Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Tragedi kebakaran tahfiz: Remaja dipenjara kerana bunuh 23 individu

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang remaja lelaki ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong setelah didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman ke atas remaja itu yang kini berumur 19 tahun selepas mendapati dia gagal menimbulkan keraguan munasabah atas 23 pertuduhan dengan sengaja membunuh 23 individu tersebut.

Remaja itu berusia 16 tahun ketika kejadian.

“Selepas mendengar keterangan semua pihak, mahkamah mendapati penama pertama (remaja itu) dengan sengaja melakukan khianat tersebut dengan niat membunuh, ” kata Azman.

Hakim itu berkata oleh kerana remaja tersebut masih di bawah umur semasa kejadian, beliau telah mengguna pakai Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 dalam menjatuhkan hukuman tersebut.

“Terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan syarat-syarat tahanan dari semasa ke semasa,” katanya.

Peguam Haijan Omar yang mewakili remaja itu dalam mitigasi berkata anak guamnya memohon maaf kepada semua yang terlibat dan berkata pihaknya akan menfailkan rayuan terhadap hukuman hari ini.

Pada 28 Jan 2020, Azman mengarahkan remaja itu membela diri atas pertuduhan membunuh selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Seksyen 94 akta sama memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga dikenakan denda atau pampasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Bicara SRC: Pendakwaan, pembelaan selesai jawab hujahan bertulis

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Pendakwaan mahupun pembelaan dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan SRC International Sdn Bhd masing-masing telah mengemukakan jawapan kepada hujahan bertulis setebal hampir 1,000 muka surat.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan berkata pendakwaan mengemukakan jawapan setebal 336 muka surat kepada hujahan bertulis pembelaan manakala pembelaan mengemukakan jawapan setebal 446 muka surat kepada hujahan bertulis pendakwaan.

“Kedua-dua pihak sepatutnya memfailkan hujahan balas masing-masing kepada mahkamah semalam. Bagaimanapun, pendakwaan memohon tambahan dua hari untuk menjawab kerana hujahan bertulis pembelaan terlalu tebal.

“Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan kami untuk mendapatkan lanjutan masa selama dua hari. Bagaimanapun, kami telah memfailkan hujahan balas kami pada awal hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 5 Mei, pembelaan mengemukakan hujahan bertulis setebal 643 muka surat manakala pendakwaan setebal 306 muka surat kepada Mahkamah Tinggi dan kedua-dua pihak perlu menjawab hujah masing-masing.

Pendengaran bagi hujahan lisan ditetapkan tiga hari mulai 1 Jun.

Pada 11 Mac, pembelaan menutup kesnya selepas memanggil 19 saksi yang memberi keterangan selama 33 hari sejak 3 Diembers tahun lepas.

Sebelum itu, pendakwaan memanggil 57 saksi.

Pada 11 November tahun lepas, Najib diarah membela diri atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dana itu.

– BERNAMA