Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia kutuk serangan pemberontak Houthi ke atas Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan peluru berpandu dan dron oleh puak pemberontak Houthi di Yaman ke atas Arab Saudi sejak beberapa minggu yang lepas.

Wisma Putra berkata provokasi berterusan oleh Houthi adalah tidak produktif ke arah keamanan dan kestabilan di Yaman kerana tindakan pencerobohan selanjutnya hanya akan memburukkan lagi keadaan di negara itu.

“Selaras dengan sokongan Malaysia terhadap rayuan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 23 Mac 2020 mengenai gencatan senjata global di tengah-tengah pandemik Covid-19, Malaysia menggesa semua pihak di Yaman agar segera menamatkan provokasi ini,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Dengan kerjasama rakan kongsi serantau, inisiatif Malaysia melancarkan pernyataan sokongan kepada rayuan Setiausaha Agung menerima sokongan lebih 170 negara anggota PBB, negara pemerhati bukan anggota dan pemerhati pada 23 Jun.

Malaysia akan terus menggesa semua pihak untuk bekerja secara konstruktif bagi penyelesaian politik untuk keamanan kekal di Yaman, menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Serangan Houthi, Arab Saudi henti hantar minyak

DUBAI, 26 JUL: Susulan serangan ke atas dua kapal tangki milik Arab Saudi oleh pemberontak Houthi, negara itu menghentikan sementara penghantaran minyak menggunakan laluan kapal di Selat Bab El-Mandeb, Laut Merah.

Menteri Tenaganya, Khalid Al-Falih dalam kenyataan berkata, ia berkuat kuasa serta merta sehinggalah keadaan di laluan itu disahkan selamat.

“Serangan pemberontak Houthi ke atas dua kapal tangki pembawa minyak mentah (VLCC) milik negara itu berlaku pada pagi semalam.

“Namun, serangan itu menyebabkan kerosakan kecil pada salah satu kapal berkenaan,” katanya kenyataan itu.

Selat Bab El-Mandeb terletak di antara pertemuan Laut Merah dan Teluk Aden di Laut Arab.

Dengan jarak selebar 20 kilometer, ia menyebabkan ratusan kapal yang menggunakan laluan itu menjadi sasaran mudah pengganas. – Reuters