Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Faktor cuaca antara kekangan pembersihan fasa dua, dijangka selesai Mei

SHAH ALAM, 30 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) menjangkakan kerja pembersihan fasa kedua di kawasan terkesan banjir pada Disember selesai sepenuhnya pada Mei nanti.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata pihaknya meramalkan operasi mengambil masa sehingga Mac namun mereka berdepan pelbagai kekangan termasuk faktor cuaca.

“Sehingga sekarang masih lagi ada sampah pukal dikeluarkan penduduk. Sepatutnya ketika ini hanya fokus kerja mengorek longkang tapi pekerja terpaksa mengutip dahulu sampah pukal ini.

“Jika tidak kutip ia boleh menyebabkan longkang tersumbat. Dalam keadaan cuaca tidak menentu, kita risau sampah pukal jadi punca kejadian banjir kilat pula. Jadi kita jangka kerja pembersihan ini antara tiga hingga lima bulan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir ketika diwawancara Media Selangor mengenai makluman terkini pengurusan sisa pepejal pascabanjir di pejabat KDEB, Shah Alam pada 27 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Jelasnya, bentuk fizikal longkang yang sempit dan dalam turut menjadi cabaran kepada pekerjanya untuk menyelenggara.

“Ada juga longkang yang ditutup. Jadi kerja menyembur dan mengorek jadi lambat kerana kita kena pecahkan untuk bersihkannya,” katanya.

KDEBWM merupakan syarikat Kerajaan Negeri yang mengurus sepenuhnya kutipan sampah domestik giat membersihkan kawasan terjejas banjir mulai 20 Disember tahun lalu secara berperingkat.

Sebanyak 78,000 tan metrik sampah pukal dibersihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain yang selesai sepenuhnya pada 7 Januari.

Bermula 8 Januari, syarikat itu melaksanakan pembersihan fasa dua yang menumpukan pembasmian kuman dan pembersihan parit tersumbat mengikut keadah teknologi efektif mikrobiologi (EM).