Categories
ADN SELANGOR

KDEBWM sedia pengorek kaut, lori 10 tan bersihkan Taman Kinrara pascabah

SHAH ALAM, 10 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) menempatkan kakitangan dan asetnya selama seminggu di Taman Kinrara, Puchong bagi pembersihan kesan banjir kilat.

Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han berkata tindakan mulai semalam membolehkan penduduk yang terkesan mengeluarkan sampah dan barangan yang rosak pada hujung minggu.

“Saya faham kesukaran dan dilema dihadapi rakan-rakan di Taman Kinrara. Baru beli perabot selepas banjir pada Disember tetapi tenggelam lagi.

“Perlukan masa pilih barang yang mahu dibuang atau masih bole digunakan. Jangan bimbang. Ambil masa anda,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Sze Han yang juga pengerusi KDEBWM berkata proses pembersihan bermula pagi semalam menggunakan dua pengorek kaut, enam lori tipper 10 tan dan 10 lori Roll On Roll Off.

“Pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) juga sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada penduduk yang memerlukan,” katanya.

Hujan lebat pada petang Isnin menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air dengan 1,215 mangsa daripada 298 keluarga ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara.

 

Categories
EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

EXCO: Hampir RM20 juta dibelanja laksana operasi bersih pascabanjir

SHAH ALAM, 18 FEB: Hampir RM20 juta dibelanjakan Kerajaan Selangor setakat ini bagi melaksanakan operasi pembersihan pascabanjir fasa satu dan dua.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata peruntukan itu termasuk mewujudkan satu kawasan khas di Jeram untuk meletakkan sisa sampah banjir.

“Kita belum tahu berapa banyak sudah dibelanjakan setakat ini, kemungkinan hampir RM20 juta sudah diguna termasuk yang akan diberikan kepada KDEB Waste Management, pihak berkuasa tempatan dan Worldwide Holdings.

“Kita bayar kepada Worldwide Holdings kerana sejak pembersihan banjir mereka terpaksa mewujudkan satu kawasan khas di Jeram untuk meletakkan sisa sampah banjir sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Sze Han berkata Kerajaan Negeri juga merancang memperluaskan longkang dan meninggikan ban di beberapa kawasan terjejas bagi mengurangkan risiko banjir pada masa datang.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima PBT selesai kerja bersih sampah banjir, tiga lagi capai 92 peratus

SHAH ALAM, 6 JAN: Lima pihak berkuasa tempatan (PBT) selesai menjalankan operasi pembersihan sisa pascabanjir sepenuhnya setakat semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tiga lagi PBT sedang giat menjalankan kerja pembersihan dengan purata lebih daripada 92 peratus.

Jelas beliau perkembangan terbaharu itu menunjukkan keseluruhan operasi pembersihan dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Majlis Bandaraya Subang Jaya telah mencatatkan 92 peratus bagi status operasi pembersihan.

“Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Klang pula mencatatkan 95 peratus,”katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, berdasarkan info grafik yang dikongsi Amirudin, lima PBT yang telah selesai kerja pembersihan ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pembersihan pascabanjir lokaliti MBSA selesai Ahad ini

SHAH ALAM, 5 JAN: Operasi pembersihan sampah banjir fasa satu bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dijangka selesai sepenuhnya Ahad ini.

Timbalan Datuk Bandar Mohd Rashidi Ruslan berkata sebanyak 13 dari 21 lokasi terjejas selesai dibersihkan manakala baki mencecah antara 70 hingga 80 peratus.

Beliau memaklumkan sebanyak 34,188 tan metrik sampah dikeluarkan setakat semalam dengan lebih separuh membabitkan kawasan Taman Sri Muda.

“Proses pembersihan dijalankan hampir 24 jam dengan menumpukan kawasan kediaman pada waktu siang manakala malam di kawasan industri dan komersial,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau operasi pembersihan pascabanjir di beberapa lokasi di Taman Sri Muda termasuk dua stesen pemindahan sementara (TS).

Mohd Rashidi turut memaklumkan jentera sama iaitu 1,537 lori dan ratusan tong Roll-on-Roll-off (Roro) digerakkan ke setiap lokaliti untuk pembersihan fasa kedua.

Taburan hujan luar biasa antara 100 ke 400 milimeter secara berterusan antara 17 hingga 19 Disember mengakibatkan 186 kawasan di sembilan daerah di Selangor terjejas banjir.

Antara yang terkesan teruk ialah Taman Sri Muda, dengan 4,276 mangsa berjaya diselamatkan dan sebahagian besar ditempatkan ke 18 pusat pemindahan sementara (PPS).

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM mahu tambah aset pembersihan, siap siaga ketika kecemasan

SHAH ALAM, 5 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) berhasrat menambah aset pembersihan untuk digunakan ketika kecemasan terutama musim banjir, kata pengarah urusannya.

Mengambil iktibar bencana pada 17 Disember lalu, Ramli Mohd Tahir berkata sebanyak RM12 juta dibelanja untuk menyewa lori 10 dan 40 tan bagi mengangkut sampah pukal.

“Kita terpaksa menyewa lori untuk mengangkut sisa pukal dari kawasan terjejas ke pusat pengumpulan sampah sementara dan tapak pelupusan di Jeram, Kuala Selangor dengan kos RM12 juta,” katanya ketika ditemui selepas meninjau operasi pembersihan di Taman Sri Muda di sini hari ini.

Ramli berkata sebanyak 500 lori Roll on Roll off (RoRo) digerakkan ke seluruh lokasi terjejas sejak dua minggu lalu.

“Mana-mana kawasan yang selesai proses pembersihan, lori terbabit akan dibawa ke lokasi lain supaya kerja pembersihan lancar dan cepat,” kata Ramli.

Syarikat pengurusan sisa pepejal milik Kerajaan Negeri itu membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak 20 Disember secara berperingkat.

Antara lokasi yang selesai dibersihkan ialah Petaling Jaya, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Kajang manakala Shah Alam, Subang Jaya serta Klang dijangka Sabtu ini.

Setakat ini, sebanyak 44,500 tan sisa banjir dikutip di semua kawasan terjejas.

Categories
EXCO SELANGOR

Lebih 80 peratus kawasan Kuala Langat, Sepang dibersih pascabanjir

KUALA LANGAT, 4 JAN: Pembersihan pascabanjir di Kuala Langat dan Sepang mencecah lebih 80 peratus sejak air mulai surut pada 20 Disember lalu.

Bagaimanapun, EXCO pembangunan luar bandar terus berharap lebih ramai sukarelawan membantu untuk mempercepat proses pembersihan di lokasi terjejas.

“Berdasarkan maklumat diperolehi dan tinjauan hari ini, kedua-dua kawasan ini semakin stabil tetapi masih ada sampah khususnya barangan rosak yang perlu dibuang.

“Saya harap sukarelawan atau badan bukan kerajaan dapat membantu kerana masih ada lagi rumah-rumah mangsa yang belum selesai dicuci,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau ditemui selepas menyerahkan Bantuan Selangor Bangkit berjumlah RM1,000 kepada mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Bukit Changgang di sini hari ini.

Hampir 41,000 tan sampah pukal dibersihkan di lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terjejas banjir, kebanyakan dalam kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam sebanyak 16,503 tan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Proses bersih kawasan bah di Selangor capai 90 peratus minggu depan

GOMBAK, 30 DIS: Proses pembersihan kawasan banjir di negeri ini dijangka mencapai 90 peratus menjelang minggu depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini secara keseluruhannya proses pembersihan kawasan banjir mencapai 40 peratus dan Kerajaan Negeri sedang pergiat operasi dengan lebih agresif.

“Di Sri Muda sebanyak 90 lori roro (Roll On Roll Off) dan jengkaut diletakkan untuk mengangkut sampah. Jumlah ini lebih tiga kali ganda berbanding lima hari lalu yang hanya ada 35 lori sahaja.

“Selain itu, pembersihan di Bukit Lanchong dan Kampung Tengah dan Kampung Sri Aman semakin baik serta tinggal 25 peratus sahaja,”katanya ditemui selepas penyerahan bantuan Selangor Bangkit di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak hari ini.

Penduduk membersihkan rumah yang berlumpur di Batu 17, Sungai Lui, Hulu Langat ketika tinjauan keadaan selepas banjir pada 22 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tambah Amirudin, proses pembersihan kini menumpukan Bukit Changgang dan Labohan Dagang kerana kawasan ini antara terakhir surut.

“Kerajaan Negeri juga meningkatkan jumlah kutipan sampah pukal mangsa banjir dan domestik bermula semalam.

“Keseluruhan kita angkat sampah banjir 3,000 tan dan sampah domestik yang masih diteruskan pula sebanyak 7,000 tan. Kita sudah tingkatkan 10,000 tan setiap hari mulai semalam,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibatkan banyak lokasi di negeri ini dilanda banjir.

Sukarelawan Team Selangor bergotong-royong membersihkan kawasan dilanda banjir di Kampung Lombong, Shah Alam pada 26 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Kerja pembersihan empat daerah surut banjir giat dilaksana

SHAH ALAM, 24 DIS: Kerja pembersihan kawasan yang sudah surut banjir sedang giat dilaksanakan hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari kawasan itu meliputi Klang, Petaling, Shah Alam dan Hulu Langat.

“Kerja pembersihan sudah mula di semua kawasan banjir yang dah surut. Bukit Changgang dengan Kuala Selangor belum surut, harap petang ini boleh surut sepenuhnya.

“Kita jangka kerja pembersihan ambil masa dua minggu,” katanya mengenai perkembangan banjir di Selangor dalam temu bual menerusi Bernama Radio hari ini.

Selain itu, Amirudin berkata jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) dan mangsa yang dipindahkan juga menunjukkan penurunan.

“Jumlah mangsa pada Selasa kira-kira 30,000 dan turun sekitar 18,000 hari ini. Juga PPS daripada 203 pada hari sama jatuh pada 103 hari ini,”katanya.