KUALA LUMPUR, 30 DIS: AmBank Islamic memperkenalkan Pembiayaan Peribadi-i untuk kakitangan kerajaan persekutuan dan negeri, agensi-agensi terpilih, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan berkanun.
Dalam kenyataan hari ini, AmBank Islamic berkata Pembiayaan Peribadi-i merupakan kemudahan pembiayaan patuh syariah yang menawarkan pembiayaan sehingga RM200,000 tanpa memerlukan penjamin, cagaran, malah tanpa sebarang tempoh penguncian.
“Sebagai manfaat tambahan, produk ini juga adalah tanpa pembayaran untuk permulaan selama tiga bulan. Oleh itu, bayaran pertama hanya akan bermula pada bulan keempat selepas pembayaran. Selain itu, Pembiayaan Peribadi-i dilengkapi dengan perlindungan takaful pilihan oleh AmMetlife Takaful Bhd,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Islamic Eqhwan Mokhzanee berkata kemudahan pembiayaan itu dan tawaran-tawaran menariknya, telah diwujudkan khas kepada pelanggan yang memerlukan fleksibiliti kewangan untuk menampung keperluan mereka terutamanya dalam tempoh yang sukar ini.
Menerusi pelancaran Pembiayaan Peribadi-i, Ambank Islamic menyasarkan untuk menawarkan kemudahan pembiayaan yang fleksibel untuk pelbagai tujuan termasuk pendidikan, kecemasan dan perbelanjaan-perbelanjaan lain.
– BERNAMA