Categories
AGENDA NASIONAL

Nilai jualan sektor pembuatan naik 11.6 peratus kepada RM135.3 bilion

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia meningkat 11.6 peratus pada bulan September 2021 kepada RM135.3 bilion berbanding bulan yang sama tahun 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Nilai jualan meningkat sebanyak 6.9 peratus berbanding bulan sebelumnya, dipacu oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (29.2 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.

“Pengembangan ini juga didorong oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (12.0 peratus) yang disokong oleh industri pembuatan produk makanan serta subsektor produk elektrik dan elektronik (10.8 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal,” kata ketua perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini.

Nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang sebanyak 74.0 peratus daripada jumlah nilai jualan merekodkan kenaikan 15.9 peratus (RM100.2 bilion) manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan kenaikan 1.1 peratus pada September 2021 berbanding bulan yang sama tahun 2020.

Menurut Jabatan Perangkaan, pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport adalah selari dengan pertumbuhan dua digit yang dicatatkan bagi eksport perdagangan luar negeri serta faktor harga yang kekal memberangsangkan.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing merekodkan pertumbuhan positif 5.2 peratus dan 12.3 peratus.

Mohd Uzir menambah jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan September 2021 adalah seramai 2.23 juta orang, meningkat 1.6 peratus berbanding 2.19 juta orang pada September 2020.

Peningkatan ini disumbangkan oleh produk elektrik dan elektronik (4.5 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (1.3 peratus) dan produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (1.5 peratus).

Laporan itu turut menyatakan jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah berjumlah RM7.48 bilion, meningkat 3.6 peratus atau RM261.8 juta pada September 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Pada suku tahun ketiga 2021, nilai jualan sektor pembuatan meningkat 6.4 peratus kepada RM381.8 bilion berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan ini didorong oleh kenaikan dalam produk petroleum, kimia, getah dan plastik (34.2 peratus), produk makanan, minuman dan tembakau (8.8 peratus) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (2.9 peratus).

Bilangan pekerja dan gaji dan upah masing-masing meningkat 1.6 peratus dan 2.3 peratus pada suku tahun ketiga 2021.

Bagi tempoh Januari hingga September 2021, nilai jualan sektor pembuatan bertambah 15.1 peratus kepada RM1.13 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2020.

Bilangan pekerja dan gaji dan upah masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.6 peratus dan 2.5 peratus iaitu berjumlah 2.23 juta orang dan RM66.6 bilion.

Nilai jualan setiap pekerja bagi sembilan bulan pertama tahun 2021 turut meningkat 13.2 peratus kepada RM505,404.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Indeks Pengeluaran Perindustrian melonjak 9.3 peratus pada Mac 2021

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia melonjak 9.3 peratus pada Mac 2021 berbanding angka pada bulan yang sama 2020 dan ia merupakan angka tertinggi yang dicatatkan bagi tempoh sejak Julai 2013, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan IPP pada Mac 2021 dipacu oleh indeks pembuatan dan elektrik yang masing-masing meningkat 12.7 peratus dan 10.3 peratus.

“Bagaimanapun indeks perlombongan menguncup 1.9 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Khamis bagi mengulas laporan IPP Malaysia, Mac 2021 yang dikeluarkan DOSM.

Menurut jabatan itu, IPP bagi suku pertama 2021 berkembang 3.9 peratus berbanding angka pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pertumbuhan ini didorong peningkatan 6.8 peratus dalam indeks pembuatan namun sektor perlombongan dan elektrik masing-masing merekodkan kemerosotan 4.1 peratus dan 0.1 peratus, jelasnya.

DOSM melaporkan subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada Mac 2021 adalah kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (20.9 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (14.1 peratus) serta produk peralatan elektrik dan elektronik (13.8 peratus).

Ia menambah, industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 12.4 peratus manakala industri berorientasikan domestik meningkat 13.4 peratus.

Pertumbuhan sektor pembuatan turut didorong oleh kadar kapasiti penggunaan kilang yang tinggi terutama dalam subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

Prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan dan IPP bagi beberapa rakan dagang utama Malaysia, tambah jabatan itu.

Output sektor perlombongan menguncup 1.9 peratus pada Mac 2021 berbanding tempoh yang sama 2020 disebabkan oleh penurunan indeks minyak mentah dan kondensat (-9.4 peratus).

Pada masa yang sama, indeks gas asli berkembang 4.3 peratus, menurut DOSM.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Indeks keluaran industri naik 1.7 peratus pada Dis 2020

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 1.7 peratus pada bulan Disember 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, dipacu oleh indek pembuatan sebanyak 4.1 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Bagaimanapun, indeks perlombongan dan elektrik, masing-masing menyusut 5.4 peratus dan 0.2 peratus.

Jabatan Perangkaan berkata output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 4.1 peratus pada bulan Disember 2020 selepas mencatatkan pertumbuhan 2.0 peratus pada bulan November 2020.

“Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan Disember 2020 adalah kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (8.4 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (7.7 peratus) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (7.6 peratus), katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Ia menambah output sektor perlombongan menguncup 5.4 peratus pada bulan Disember 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya dan kemerosotan itu disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah dan kondensat (-9.0 peratus) serta indeks gas asli (-2.5 peratus).

Output sektor elektrik menurun sedikit 0.2 peratus pada Disember 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, IPP bagi suku tahun keempat 2020 jatuh 0.3 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya dan ini terutamanya disebabkan oleh penguncupan dalam perlombongan (-10.5 peratus) dan elektrik (-0.6 peratus).

Bagaimanapun, sektor pembuatan merekodkan peningkatan 2.8 peratus.

IPP bagi keseluruhan tahun 2020 merekodkan penyusutan 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh semua indeks iaitu indeks perlombongan (-9.7 peratus), indeks elektrik (-3.7 peratus) dan indeks pembuatan (-2.7 peratus).

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Syarikat Jepun teroka sektor kesihatan, teknologi digital di Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Selepas berdekad-dekad menumpukan operasi dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), syarikat Jepun kini mempelbagaikan pelaburan mereka ke bidang baharu yang sekali gus membuktikan keyakinan mereka terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing pilihan utama mereka.

Duta Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka berkata syarikat baharu mula berkembang ke bidang baharu di negara ini dengan meneroka ke dalam sektor kesihatan, pembuatan peralatan perubatan, teknologi digital dan industri makanan halal.

“Syarikat Jepun mula datang ke Malaysia pada tahun 1970-an, dan ketika trend meningkat dengan bermulanya Dasar Pandang Ke Timur pada era 1980-an, syarikat terkemuka Jepun seperti Toray, Hitachi, Sony dan Panasonic semua bergegas membuka operasi di Malaysia.

“Kini terdapat kira-kira 1,500 syarikat Jepun beroperasi di Malaysia dan syarikat-syarikat ini telah menyumbang kepada pengindustrian Malaysia. Kira-kira 40 peratus daripada eksport Malaysia adalah daripada sektor E&E dan sektor ini secara tradisinya merupakan tumpuan utama pelaburan langsung daripada syarikat Jepun. Kami telah berkembang bersama-sama dengan pengindustrian Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Satu daripada dimensi paling menarik daripada pelaburan Jepun di Malaysia adalah ketika seluruh industri mengalami kemorosotan serius akibat daripada pengurangan besar-besaran pekerja disebabkan pandemik Covid-19, syarikat Jepun berjaya mengekalkan kakitangan mereka yang berjumlah 340,000 orang dalam sektor pembuatan sahaja, sepanjang tempoh beberapa bulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Oka berkata tahun lepas, Jepun merupakan penyumbang terbesar pelaburan langsung asing di Malaysia yang menyumbang kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan jumlah aliran pelaburan langsung ke negara ini.

“Ini mencerminkan sokongan perniagaan Jepun terhadap daya tarikan Malaysia dan menariknya, bidang pelaburan syarikat Jepun telah semakin dipelbagaikan,” katanya.

Dalam sektor kesihatan, tahun lepas menyaksikan Mitsui, salah sebuah syarikat dagangan utama Jepun, membeli tambahan 16 peratus pegangan daripada rangkaian hospital global Malaysia, IHH Healthcare Berhad (IHH).

Manakala sebuah syarikat pembuatan peralatan perubatan Jepun, yang menghasilkan peralatan perubatan kardiovaskular canggih di negara itu, telah membuka kilang luar negara pertamanya di Malaysia untuk mengeksport balik produknya ke Jepun.

“Syarikat itu juga sedang menimbang untuk mengeksport peralatan perubatan berkualiti tingginya ke pasaran Asia lain pada masa depan. Jadi, pembuatan peralatan perubatan merupakan satu daripada bidang baharu bagi pelaburan Jepun di Malaysia,” katanya.

Mengenai teknologi digital, sebuah syarikat pemula niaga ditubuhkan di Malaysia tahun ini untuk menyediakan perkhidmatan berasaskan data mobiliti bagi menambah baik kesedaran keselamatan pemanduan dan menyumbang kepada penyuraian kuantiti trafik dan mengurangkan kemalangan.

Sebuah lagi syarikat terkemuka, Hitachi, juga menyediakan perkhidmatan penyelesaian berasaskan teknologi digital dan menjadikan Malaysia sebagai hab serantaunya bagi perkhidmatan ini untuk seluruh rantau ASEAN.

Mengenai industri halal, duta itu berkata, semakin banyak industri makanan Jepun tertarik dengan Malaysia kerana sijil halal yang dikeluarkan Malaysia dianggap sebagai sangat boleh dipercayai di peringkat global.

“Jadi, mereka menjadikan Malaysia sebagai pusat sehentinya sebelum menembusi pasaran Islam dan Timur Tengah dengan produk makanan mereka yang memiliki sijil halal Malaysia,” kata Oka.

Satu lagi bidang baharu bagi pelaburan syarikat Jepun di Malaysia adalah industri pesawat.

“Di ASEAN, kami menimbang untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi menggalakkan penyertaan sektor swasta Jepun dalam industri pesawat di Malaysia berikutan potensi tingginya. Ini merupakan contoh usaha kerajaan Jepun untuk mendorongkan lagi syarikat Jepun datang ke Malaysia bagi menjalin kolaborasi perniagaan dengan syarikat Malaysia menerusi pelaburan,” katanya.

Mengenai pandemik Covid-19, beliau berkata ia tidak menjejaskan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi bagi perniagaan Jepun.

“Sebaliknya, berdasarkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi bagi perniagaan Jepun, kami sebagai kerajaan menyokong perniagaan Jepun untuk meningkatkan lagi komitmen mereka kepada Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor rekod pelaburan RM11.6 bilion setakat Jun

SHAH ALAM, 2 OKT: Selangor berjaya merekodkan pelaburan berjumlah RM11.6 bilion membabitkan bidang pembuatan dan perkhidmatan sehingga Jun tahun ini.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata sektor pembuatan menyumbang RM3.3 bilion manakala baki RM8.3 bilion diperoleh daripada sektor perkhidmatan.

“Keadaan ini berbanding tahun lepas agak rendah sedikit tetapi memandangkan pandemik (Covid-19) ini, kita (Kerajaan Negeri) sudah menjangka ia akan menjejaskan persembahan (pelaburan) kita.

“Bagaimanapun, kita masih berharap (pertambahan) kerana ada beberapa permohonan tahun lepas yang masih ditangguhkan, selain masih ada pertanyaan serta belum mendapat pengesahan. Buat masa ini sekurang-kurangnya ada RM5 bilion (pelaburan) yang kami dimaklumkan adalah disahkan cuma kita belum menerima permohonan secara rasmi,” katanya selepas majlis pelancaran program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) semalam.

Beliau menjelaskan pihaknya tidak dapat membuat promosi ke luar negara susulan pandemik walaupun Kerajaan Negeri menyasarkan pelaburan berjumlah RM12 bilion pada tahun ini.

Bagaimanapun, Chang Khim berkata pihaknya telah mengadakan dan menyertai 10 seminar berasaskan web (webinar) dan sambutan yang diterima sangat baik.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Nilai jualan asing mengecil kepada RM331.04 juta minggu ini

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Pelabur asing terus kekal sebagai penjual bersih minggu ini, namun, jumlah nilai aliran keluar bersih mengecil kepada RM331.04 juta daripada RM444.92 juta minggu lepas.

Dari 29 Jun hingga 2 Julai, purata penyertaan asing berkurangan kepada 15.5 peratus berbanding dengan 16.3 peratus bagi tempoh sebelum itu.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dalam jangka tersebut, penjualan bersih oleh runcit tempatan pula bernilai RM39.7 juta dengan purata penyertaan sebanyak 36.49 peratus berbanding dengan pembelian bersih RM266.93 juta pada minggu sebelum ini.

Sementara itu, nilai pembelian bersih oleh institusi tempatan meningkat kepada RM370.75 juta dengan purata penyertaan mereka pada 48.02 peratus, daripada RM177.98 juta pada minggu lepas.

Beliau berkata penjualan bersih asing tidak banyak berubah pada awal minggu apabila dana luar pesisir hanya menjual ekuiti tempatan bernilai RM12.7 juta bersih pada Isnin.

“Kekurangan aktiviti penjualan adalah sejajar dengan peningkatan semula FBM KLCI sebanyak 0.5 peratus pada hari yang sama, dalam persekitaran minat baru terhadap kaunter sarung tangan dan penjagaan kesihatan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, penjualan bersih asing meningkat kepada RM79.2 juta pada Selasa, menjadikan nilai aliran keluar bersih asing bagi keseluruhan Jun 2020 berjumlah RM2.98 bilion.

Mohd Afzanizam berkata dagangan Julai bermula suram berikutan dana antarabangsa meningkatkan aktiviti penjualan pada Rabu, dengan menjual RM142.1 juta bersih nilai ekuiti tempatan, tertinggi untuk minggu ini.

Beliau berkata walaupun begitu, institusi tempatan pula aktif membeli ekuiti tempatan bernilai RM180.9 juta pada hari yang sama, didorong peningkatan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia, yang melonjak kepada 51 pada Jun — paras tertinggi sejak September 2018 — daripada 45.6 pada Mei.

Pada Khamis, penjualan bersih asing susut kepada RM97.0 juta, meneruskan jualan sehingga 12 hari berturut-turut.

“Sentimen optimis pada Khamis — yang mengehadkan aliran keluar asing — dipacu oleh harapan daripada keputusan percubaan yang positif bagi kemungkinan vaksin COVID-19 yang diusahakan Pfizer (firma utama farmaseutikal Amerika Syarikat) bersama-sama dengan BioNTechm (syarikat bioteknologi Jerman),” katanya.

Beliau berkata berbanding dengan rakan serantau ASEAN — Thailand, Indonesia dan Filipina — Malaysia mencatatkan nilai aliran keluar asing kedua tertinggi iaitu RM16.52 bilion selepas Thailand setakat ini bagi 2020.

-BERNAMA