Categories
AGENDA NASIONAL

Lindung keselamatan murid, hanya guru divaksin boleh ajar semuka

PETALING JAYA, 20 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan hanya guru lengkap vaksin sahaja dibenarkan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas serta berinteraksi dengan murid.

Menterinya berkata langkah itu termasuk dalam penyediaan pelan komprehensif pembukaan sekolah bagi memastikan murid dapat kembali belajar secara bersemuka dalam keadaan selamat, lapor portal Kosmo!.

Jelas Datuk Dr. Radzi Jidin Radzi dalam merangka pelan itu, KPM mengadakan sesi libat urus yang menyeluruh bagi mendapatkan pandangan dan cadangan daripada semua pihak berkepentingan.

“Pelan itu juga dibuat melalui analisis terperinci bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta diselarikan dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagi memastikan kelancaran pengoperasian sekolah, KPM telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 sebagai rujukan kepada jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pentadbir serta guru,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bashir Alias yang ingin mengetahui apakah bentuk kajian, analisis risiko situasi Covid-19 dan aspek-aspek yang dipertimbangkan oleh pihak Kementerian bagi menentukan keputusan pembukaan sekolah.

Dalam pada itu, Radzi berkata, garis panduan pengurusan itu termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada semua warga sekolah termasuk murid serta memastikan sistem pengudaraan yang baik di dalam kelas.

“Selain itu, guru-guru juga perlu memastikan murid makan di ruang terbuka dengan seliaan guru bagi kelas yang menggunakan penyaman udara selain turut melaksanakan tiga kali ujian kendiri Covid-19 kepada murid yang akan pulang ke sekolah asrama sepenuhnya.

“Ujian kendiri Covid-19 juga perlu dilaksanakan satu kali bagi murid asrama harian semasa pendaftaran masuk,” tambahnya.

Selain itu, KPM juga mengambil ketetapan untuk mengehadkan kapasiti murid di sekolah pada kadar 50 peratus enrolmen keseluruhan.

“Bagi tujuan tersebut, kaedah sistem penggiliran murid hadir digunakan bagi mengehadkan kapasiti murid di dalam kelas kepada 50 peratus daripada jumlah murid dalam kelas tersebut.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PENDIDIKAN

Pembukaan sekolah lancar, patuhi SOP, normal baharu

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Pembukaan semula sesi persekolahan hari ini berjalan lancar dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) normal baharu.

Setelah kira-kira tiga bulan terhenti akibat pandemik Covid-19, seramai 500,444 pelajar daripada 2,440 sekolah menengah yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), serta peperiksaan antarabangsa hari ini kembali semula ke sekolah untuk meneruskan pembelajaran mereka.

Hasil tinjauan Bernama di beberapa sekolah seluruh negara pada seawal 7 pagi, mendapati guru-guru yang bertugas memeriksa suhu badan pelajar di pintu masuk sekolah sebelum membenarkan mereka memasuki kelas masing-masing.

Pada masa sama, kesemua pelajar yang hadir dilihat memakai pelitup separuh muka, sementara beberapa guru pula turut memakai pelindung muka bagi tujuan keselamatan, selain mematuhi penjarakan sosial dalam kalangan mereka .

Di Selangor, tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia mendapati semua laluan telah ditanda dengan pelekat bagi menandakan arah yang perlu diikuti para pelajar dan guru bertujuan mematuhi jarak sosial.

Waktu rehat pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam Atas juga dibahagikan pada tiga sesi bagi memastikan pelajar tidak berkumpul dalam jumlah yang ramai pada satu masa, sekali gus mematuhi SOP pergerakan di sekitar sekolah.

-BERNAMA