Categories
AGENDA NASIONAL

Perhilitan: Jangan kongsi video haiwan liar elak ancaman pemburu haram

KUALA TERENGGANU, 23 JAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang video penemuan haiwan liar menerusi media sosial bagi mengelak ancaman pemburu haram.

Pengarahnya Loo Kean Seong berkata video tersebut sebaliknya perlu dihantar kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

“Perkongsian video haiwan liar menerusi media sosial berserta butiran terperinci seperti lokasi dan masa ia ditemukan hanya memberi ‘peluang’ kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Mungkin niatnya agar orang lain boleh berhati-hati dengan kewujudan haiwan liar di sekitar lokasi tersebut namun ada kesan negatif daripada perkongsian itu dan perkara ini mesti dihentikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Malam tadi, satu video berdurasi 33 saat tular menerusi media sosial yang memaparkan kemunculan seekor harimau dijumpai seorang pemandu kereta di Santong, Paka dekat Dungun.

Lelaki tersebut mendakwa sempat merakam pergerakan harimau itu yang keluar dari kawasan semak dan kemudian melintas di laluan yang digunakan penduduk kampung.

Loo berkata pihaknya setakat ini belum menerima aduan daripada mana-mana pihak berhubung penemuan harimau tersebut.

“Individu yang terserempak dengan harimau sepatutnya tidak berada dekat kerana bimbang ia bertindak agresif. Jika mahu mengambil video, hanya dari jarak jauh dan laporkan kepada Perhilitan untuk memudahkan pemantauan dibuat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemburu haram: Cadangan denda RM1 juta, penjara 15 tahun

SEPANG, 19 OGOS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mencadangkan hukuman lebih berat terhadap pemburuan haram melibatkan denda maksimum RM1 juta dan penjara sehingga 15 tahun bagi membanteras kegiatan itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata cadangan meningkatkan hukuman itu daripada denda maksimum RM500,000 dan penjara lima tahun sekarang akan melibatkan pindaan terhadap Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Jika tiada apa-apa halangan, kita akan bawa masuk pindaan akta (ke Parlimen) pada hujung tahun ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang bertujuan melindungi hidupan liar dan pemuliharaan hutan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Abdul Latif Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Operasi dan Teknikal), Mohd Rahim Rani.

Abdul Kadir berkata kes pemburuan haram semenjak 10 tahun lepas membabitkan orang tengah warga tempatan, manakala pemburu haram pula kebanyakannya ‘orang luar’ dari Vietnam, Thailand dan Kemboja yang biasanya masuk ke hutan selama 90 hari untuk memasang jerat.

“Masalahnya orang tengah itu adalah orang Malaysia yang menyusun atur kemasukan mereka dari sempadan,” katanya.

Abdul Kadir berkata sebanyak 12 operasi berkaitan pemburuan haram telah dijalankan tahun ini sehingga Ogos lepas dan 43 kertas siasatan telah dibuka atas pelbagai kesalahan jenayah membabitkan 86 pesalah serta nilai sitaan sebanyak RM1.37 juta.

Daripada 86 pesalah itu, ia membabitkan 62 warga tempatan, Indonesia (9), Kemboja (7) dan masing-masing empat individu dari Vietnam dan Sudan, katanya.

Dalam tempoh OBK dilaksanakan antara 3 Sept tahun lalu dan Ogos tahun ini, Abdul Kadir berkata antaranya sebanyak 543 jerat telah dimusnahkan, 76 khemah pendatang tanpa izin dikesan dan 16 kes tebangan pokok karas dikesan.

Menurutnya, satu kejayaan pelaksanaan OBK ialah penahanan seorang suspek yang sangat dikehendaki dan aktif dalam pemburuan gajah, harimau dan spesies hidupan liar lain di Jerantut, Pahang, pada 10 Julai lalu.

“Dia akan potong gading gajah dan hantar ke negara jiran. Suspek ditahan di Jerantut tapi dia banyak bergerak di Kelantan dan Perak,” katanya, serta menambah bahawa suspek adalah warga tempatan yang dipercayai telah ‘menumbangkan’ 10 ekor gajah.

Sementara itu, Mohd Rahim berkata Jabatan Perhutanan akan bekerjasama dengan masyarakat Orang Asli bagi menjadi ‘mata dan telinga’ untuk menyalurkan maklumat berhubung pemburuan haram.

Menurutnya, tindakan pemburu haram memasuki hutan simpan adalah satu kesalahan dan kini terdapat pula kes ‘menanda pokok’ di lokasi hutan simpan dipercayai untuk jualan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

PDRM batalkan lesen pemilikan raifal kepada pemburu haram

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Semua lesen pemilikan raifal yang dikenal pasti sebagai senjata api popular untuk pemburu haram akan dibatal secara berperingkat-peringkat kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata pembatalan lesen itu adalah antara usaha drastik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menghentikan kegiatan pemburuan haram di negara ini yang dilihat semakin berleluasa.

Tindakan itu diambil berikutan raifal adalah senjata api paling popular menjadi pilihan dalam kalangan pemburu haram katanya kepada Bernama.

Selain itu, timbul isu kebimbangan serta kemungkinan senjata api berkenaan jatuh ke tangan kumpulan pengganas.

“Pada masa sama, PDRM turut menghentikan kelulusan syarat berburu bagi pemohon lesen senapang baharu,” katanya.

Abdul Hamid berkata polis juga sedang mengenal pasti hampir 7,000 pemilik senapang yang mempunyai lesen berburu berumur lebih 70 tahun bagi membatalkan syarat berburu yang dimiliki mereka.

Isu pemburuan haram terhadap binatang liar mula menarik perhatian ramai apabila dua ekor gajah Pygmy Borneo ditemui mati dengan kesan tembakan di Sabah masing-masing pada 17 Oktober dan 25 September lepas, dengan gading gajah didapati hilang dipercayai angkara pemburu haram.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa melancarkan operasi khas dikenali sebagai Ops Khazanah dalam usaha membanteras kegiatan pemburuan haram sekali gus menyelamat dan memulihara khazanah hutan negara yang ada antaranya hampir pupus.

Dua batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Senoi Praaq, Bidor, Perak membabitkan 1,073 anggota dikerah bagi menjalankan Ops Bersepadu Khazanah di hutan negara.

Abdul Hamid ketika ditanya mengenai segelintir masyarakat yang bergantung hidup dengan berburu, berkata: “Terdapat sesetengah orang yang bergantung hidup dengan berburu seperti Orang Asli dan penduduk yang tinggal jauh di pedalaman. Usaha akan dijalankan bagi memujuk mereka untuk bersama-sama memelihara flora dan fauna di hutan”.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima lelaki disyaki terlibat pemburuan haram diberkas

TAWAU, 26 DIS: Lima lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan pemburuan haram di daerah ini.

Kesemua suspek berusia 27 hingga 47 tahun itu ditahan dalam tempoh empat hari Ops Taskforce dilaksanakan, yang berakhir kelmarin.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Jaini berkata operasi membabitkan pelbagai agensi penguatkuasa terdiri daripada Jabatan Perhutanan Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hidupan Liar, Yayasan Sabah serta badan bukan kerajaan termasuk WWF Malaysia itu menyasarkan kawasan Hutan Simpan Kalabakan, Hutan Maliau Basin, Hutan Simpan Sapulut, Hutan Simpan Gunung Rara, Ulu Sungai Kuamut selain kawasan ladang kelapa sawit.

“Hasil daripada operasi itu, empat tangkapan dilakukan dengan kes pertama di Hutan Simpan Sapulut membabitkan tiga lelaki ditahan kerana memiliki tiga ekor babi hutan tanpa lesen manakala kes kedua seorang lelaki ditahan di ladang kelapa sawit kerana memiliki sepasang tanduk rusa, sepucuk senjata menyerupai senjata api, 1.7 kilogram daging rusa serta tiga butir peluru hidup jenis shotgun bersama sebutir kelongsong peluru.

“Kes ketiga melibatkan tangkapan seorang lelaki kerana memiliki 47 helai bulu disyaki bulu Burung Enggang Badak tanpa lesen di kawasan ladang kelapa sawit manakala kes keempat melibatkan rampasan satu bangkai babi hutan selain satu plastik disyaki organ babi hutan dan sebatang besi tajam disyaki digunakan untuk memburu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mashor berkata kesemua kes yang melibatkan hidupan liar itu akan di siasat di bawah Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 manakala senjata api dan peluru haram disiasat dibawah Seksyen 8 (a) Akta Senjatapi 1960.

“Ops kali ini sekali gus dapat membanteras jenayah hutan, aktiviti pemburuan haram serta menangani salah guna senjata api dan peluru haram dalam aktiviti pemburuan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mashor mengingatkan orang awam supaya tidak terlibat dengan pemburuan haram terutama di kawasan hutan simpan untuk memastikan khazanah alam tidak pupus.

Sementara itu katanya Ops Taskforce Bersepadu itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

-BERNAMA