Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB seru guna sistem IG MBI, tolak amalan rasuah

SHAH ALAM, 11 JAN: Semua warga kerja Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan anak-anak syarikatnya diseru untuk menggunakan sistem Integriti dan Governans MBI (IG MBI) supaya tadbir urus dapat diperkukuh serta menolak amalan rasuah.

Dato’ Menteri Besar berkata peningkatan aduan dan tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan melibatkan badan berkanun kebelakangan ini sedikit sebanyak menjejaskan imej perkhidmatan awam dan kerajaan.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari sebanyak 22 kes rasuah melibatkan badan berkanun direkodkan SPRM tahun lalu berbanding 10 kes pada 2019 dan 17 kes 2018.

“Ia menunjukkan berlakunya peningkatan bilangan pesalah rasuah bagi kategori badan berkanun di seluruh negara, yang mana MBI jatuh di bawah kategori sama.

“Statistik jumlah tangkapan SPRM di seluruh Malaysia bagi ketiga-tiga tahun tersebut adalah sebanyak 840 (2020), 1,101 (2019) dan 894 pada 2018. Ini suatu yang sangat membimbangkan,” katanya pada majlis pelancaran IG MBI secara maya hari ini.

Sistem IG MBI antaranya mengandungi dokumen penting seperti polisi pemberi maklumat, polisi klonflik kepentingan, integrity pact, polisi penerimaan dan pemberian hadiah, kod etika dan tatalaku serta polisi anti rasuah.

Amirudin menjelaskan rasuah dan integriti perlu dilihat dalam konteks yang luas, tidak hanya tertumpu kepada amalan rasuah malah tugas diberikan juga perlu dilaksana mengikut peraturan sama ada dalam bentuk akta, garis panduan serta tatacara operasi piawai (SOP).

Malah beliau berkata soal integriti juga sering dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang akhirnya mengakibatkan kerugian dan krisis keyakinan terhadap agensi serta kerajaan.

Categories
SELANGOR

MBI-QSR kongsi kasih, empat rumah kebajikan dibantu

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 16 MEI: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dengan kerjasama QSR Sdn Bhd memberikan sumbangan kepada empat pertubuhan kebajikan pada Program Santunan Mahabah di Rumah Puteri Arafiah, Seksyan 7, di sini, semalam.

Pengarah Programnya, Ahmad Shahrir berkata, program itu adalah titik permulaan bagi masyarakat luar membuka mata bahawa golongan berkenaan berhak mendapat kasih sayang daripada mereka.

Katanya, ia juga menyantuni golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim, mualaf, warga emas dan kelainan upaya berkampung disini meraikan majlis berbuka puasa bersama-sama seperti keluarga mereka.

“Kami berasa amat gembira melihat keceriaan yang jelas terpancar pada wajah mereka apabila menerima sumbangan ini.

“Kami juga tidak menjangkakan menerima sumbangan begitu besar daripada mereka dan sambutan program ini amat meriah.

“Alhamdulillah kami mendapat perhatian tinggi daripada MBI dan PEKAWANIS juga pengerusinya, Puan Masdiana Muhammad selaku isteri kepada Menteri Besar Selangor bagi memberi sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik ini”, katanya.

Pada masa sama, Ahmad Shahrir berkata, pihaknya berterima kasih kepada QSR Sdn Bhd kerana berbesar hati diberikan sumbangan berkenaan termasuk juadah berbuka puasa dan juga moreh.

Sementara itu, wakil Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKEAS), Mohd Adlan, 35,berkata, pihaknya berasa sangat terharu dengan sumbangan yang diberikan pihak MBI

“Saya amat berasa bangga dengan hasil kerjasama baik dan jalinan antara keempat-empat rumah yang di himpunkan di satu tempat.

“Walaupun program ini dianjurkan secara mengejut, program ini berjalan lancar dan tidak mempunyai cacat cela ketika masjlis ini berlangsung”, katanya ketika di temui media.

Turut hadir, Pengerusi Rumah Puteri Arafiah (RPA), Masdiana Muhamad; Penasihat PEKAWANIS & RPA merangkap Timbalan Pengerusi KASIH Malaysia, Datin Seri Shamshida Taharin; Setiausaha Kehormat PEKAWANIS, Mazura Mokhtar dan Pengurus Kanan QSR Brands (M) Holding Bhd, Hayuzi Darus bagi meraikan majlis berkenaan.

Selain dijamu juadah berbuka yang enak, semua anak-anak yatim turut menerima duit raya sumbangan MBI berjumlah RM100 setiap seorang yang disampaikan Masdiana dan Shamshida.

Sementara itu, syarikat korporat, QSR Brands turut menyerahkan replika cek sumbangan makanan sebanyak 200 pek kepada wakil RPA.

Majlis juga diisi dengan aktiviti kerohanian seperti tazkirah Ramadan dan permainan santunan kasih serta persembahan selain disusuli dengan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah.

Categories
SELANGOR

MBI-RAC kerjasama bina rumah mampu milik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 MEI: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bakal merangka rancangan pembangunan menyeluruh untuk membina rumah mampu milik di seluruh kawasan RAC, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak terbabit akan memberi tumpuan terhadap pembangunan berorientasikan transit (TOD) termasuk rumah mampu milik.

“Ini bertujuan membina komuniti mampan dan pembangunan berkenaan akan menyediakan pembangunan perumahan yang sesuai serta mampu dimiliki.

“Pembangunan itu juga akan menyediakan jaringan hubungan yang baik, meningkatkan pembangunan ekonomi di sekitar pusat transit dan bagi komuniti sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik Negara, di Elmina Community Park di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir, Menteri Besar, Amirudin Shari dan Pengerusi Sime Darby Property, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir; EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha dan Pengerusi Sime Darby Property, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Amirudin berkata, inisiatif pembangunan itu turut mencerminkan sokongan kerajaan persekutuan dalam merealisasikan visi Selangor untuk menjadi Negeri Pintar menjelang 2025.

“Ia juga bakal menghubungkan kemudahan pengangkutan awam bersepadu bersama perumahan mampu milik,” katanya.

Categories
SELANGOR

RM140,000 untuk institusi agama Kuala Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 26 APR: Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menghulur sumbangan RM140,000 kepada institusi Agama Islam di Kuala Selangor.

Sumbangan membabitkan empat buah masjid, tiga surau dan tiga Sekolah Rendah Agama itu diserahkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada Jelajah Maju Bersama di Masjid Jamiul Muhammadiah, Kampung Kuantan, di sini.

Program sumbangan kepada institusi Islam di Selangor menjadi acara tetap tahunan bagi membantu institusi terbabit mebaik pulih bangunan atau melaksanakan pelbagai program mengimarahkan masjid dan surau.

Terdahulu, Amirudin Shari yang menunaikan Solat Jumaat di masjid itu turut mengambil kesempatan beramah mesra bersama penduduk kampung.

Amirudin yang diiringi beberapa EXCO turut menikmati jamuan makan tengah hari dalam Majlis Kenduri Rakyat di perkarangan masjid itu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Program Nisfu Sya’ban suntik semangat kerohanian kakitangan MBI

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 23 APR: Sebagai persediaan menyambut kedatangan Ramadan, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjaya menganjurkan program Nisfu Sya’ban, di Bangunan Selangor Darul Ehsan, semalam.

Ketua Pegawai CSR MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali berkata, program yang dihadiri kakitangan MBI itu bertujuan menyuntik semangat mereka di bulan Ramadan sekali gus memberi penekanan terhadap aspek kerohanian.

“Pada masa sama, ia dapat mengembalikan emosi yang baik bagi menyambut kedatangan Ramadan dan meraikan ahli keluarga kakitangan MBI.

“Alhamdulillah, saya menzahirkan rasa gembira kerana program anjuran kali kedua ini mendapat sambutan menggalakkan walaupun ia diadakan selepas waktu pejabat,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian pada Program Nisfu Sya’ban Countdown Ramadhn di Bangunan Selangor Darul Ehsan, di sini, semalam.

Jaafaruddin berkata, ekoran sambutan memberangsangkan, pihaknya bercadang menjadikannya sebagai program tahunan.

“Pada Ramadan akan datang, kami akan melipat ganda tazkirah khususnya kepada kakitangan wanita supaya mereka mendapat pengisian bermanfaat.

“Saya berharap program ukhwah ini berterusan dan sentiasa memberi sokongan kepada Musolla Al-Husna,” katanya.

Program yang diadakan dari 5.30 petang hingga 8 malam itu turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan pendakwah terkenal iaitu Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman dan Pencetus Ummah Rahmat Ikhsan.

Categories
SELANGOR

Rumah Idaman terima sambutan hangat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 APR: Lebih 6,000 nama telah mendaftar bagi memohon pembelian Rumah Idaman Rakyat Selangor (Idaman), sejak ia mula dilancarkan pada 6 April lalu.

Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Soffan Affendi Aminudin berkata, sambutan menggalakkan itu mengejutkan pihaknya selain ada permintaan daripada penduduk supaya rumah yang sama dibina di kawasan lain.

“Formula pinjaman perumahan diumumkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut merancakkan lagi pembelian rumah oleh kumpulan anak muda.

“Malah kita berjaya menggerakkan ekosistem yang mana pembeli, pemaju dan agensi pembiayaan berminat untuk merancakkan industri pembinaan rumah mampu milik buat rakyat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melalui twitter berkata, ini membuktikan projek itu mendapat respon positif daripada rakyat Selangor.

Projek Rumah Idaman adalah perkongsian pintar antara Kerajaan Selangor dan swasta menggunakan teknologi berinovasi tinggi serta kerjasama erat bersama institusi kewangan.

Ia menawarkan unit kediaman berkeluasan lebih 1,000 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir kereta dengan harga bersih hanya RM250,000.

Menariknya, setiap unit rumah Idaman itu dibekalkan set televisyen, peti sejuk, kabinet TV, kabinet dapur, penyaman udara di setiap bilik dan pemanas air di bilik air.

Difahamkan, projek itu akan dimajukan di Kajang, Bangi, Ampang, Shah Alam, Cyberjaya, Dengkil, Setia Alam, Klang, Bandar Saujana Putra, Bandar Salak Tinggi dan Kuala Langat Utara.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri mensasarkan pembinaan sebanyak 30,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang.

Categories
SELANGOR

MBI salur RM1.7 juta bantu 8,400 pelajar

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 14 DIS: Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor memperuntukkan RM1.7 juta bagi membantu 8,400 pelajar yang bakal memulakan sesi persekolahan 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, menerusi peruntukan itu, 150 pelajar di setiap DUN bakal menerima bantuan RM200 seorang.

“Inilah kebaikan Selangor selain melaksanakan program Inisiatif Peduli Rakyat, kita juga turut memberikan bantuan persekolahan untuk kanak-kanak yang bakal memulakan sesi persekolahan.

“Saya optimis bantuan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban ibu bapa atau penjaga menyediakan kelengkapan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Perdana Program Jelajah Kembali Ke Sekolah, di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Pusu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Hilman Idham; Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Suliman Abd Rahman.

Pada majlis terbabit, Amirudin turut menyerahkan bantuan persekolahan fasa pertama kepada 600 penerima membabitkan Dewan Undangan Negeri Gombak Setia; Bukit Antarabangsa; Lembah Jaya; Pandan Indah; Sungai Tua dan Taman Templer.

Pada masa sama, Amirudin komited program berbentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu dapat dizahirkan supaya keuntungan perniagaan diperoleh dapat diterjemah dalam bentuk kepedulian kepada rakyat.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor The Regional Power House diperkenal tahun hadapan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Forum ‘Selangor Synergies’ terus diperkasa menerusi pendekatan terbaharu, ‘Selangor The Regional Power House’ yang bakal diperkenalkan tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), YM Raja Shahreen Raja Othman berkata, menerusinya, MBI akan menjemput pemain industri, komuniti perniagaan selain Kerajaan Negeri untuk terus membincangkan kaedah terbaik merealisasikan agenda Smart Selangor menjelang 2025.

Katanya, ia lanjutan daripada kelima-lima siri ‘Selangor Synergies’ yang mendapat maklum balas positif semua pihak.

“Ia adalah program yang baik kerana berjaya merapatkan Kerajaan Negeri, pemain industri dan komuniti perniagaan.

“Kita berjaya mendengar keluhan atau cadangan pihak swasta yang mahukan kerjasama dengan kerajaan,” katanya ketika ditemui di Forum ‘Selangor Synergies’ di Saujana Hotel, semalam.

Menerusi forum yang bertemakan ‘Connecting The Dots’, Raja Shahreen berkata, ia membincangkan mengenai cadangan mewujudkan ‘Smart Digital Infrastructure’, ‘internet of Things’ dan ‘Smart Transport’.

“Banyak isu dibincangkan antaranya kerjasama semua agensi dalam mencari cadangan dan menyelesaikan masalah secara bersama.

“Bagi MBI, kita mempunyai beberapa inisiatif strategik antaranya program rumah mampu milik, ‘Selangor Maritime Gateway’ yang berteraskan Sungai Klang supaya pembangunan Bandar Klang yang dikatakan ‘sleeping town’ dapat dibangunkan,” katanya.

Forum ‘Selangor Synergies’ kali ke lima itu menampilkan panelis antaranya Pengarah Urusan Central Spectrum, Dato’ Mahmud Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Dato’ Mohamad Azlan Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mutiara Teknologi, Puteri Mariana Abdul Majid.

Manakala Moderator, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IBR Asia, Dato’ Beatrice Nirmala.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri teruskan tanggungjawab semarak institusi agama

OLEH AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 26 OKT: Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menyalurkan sumbangan RM60,000 kepada 20 buah institusi agama sempena program menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Sumbangan disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sempena Jelajah Maju Bersama ke Daerah Gombak di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves, hari ini.

Setiap institusi agama terdiri daripada masjid, surau dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) masing-masing menerima sumbangan RM5,000.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noor Azmie Diron; Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim; Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali.

Dalam majlis sama, Amirudin turut menyampaikan bantuan pembiayaan perniagaan Hijrah Selangor (HIJRAH) berjumlah RM351,000 bagi Daerah Gombak.

Bagi Sumbangan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua, 10 buah institusi agama menerima sumbangan al-Quran, tiga buah komputer riba manakala sumbangan baik pulih Bangunan KRT berjumlah RM32,000.

Amirudin bersama rombongan Kerajaan Negeri sebelum itu menunaikan solat fardhu Jumaat dipimpin Imam 3 Masjid Jamek Al-Amaniah, Nasrul Yaqin Abdullah dengan tajuk khutbah ‘Akhlak Mulia Cerminan Solat Sempurna’.

Dalam ucapannya beliau berharap sumbangan diberikan kepada institusi agama dapat menambahkan lagi aktiviti ilmu di samping menjadi pusat pertemuan rakyat dan penyatuan ummah.

Categories
SELANGOR

78 bakal haji muassasah DUN Sungai Kandis terima insentif

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI KANDIS, 13 JUL: Seramai 78 bakal haji muassasah menerima insentif haji bernilai RM500 setiap seorang yang disumbangkan Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Penyerahan sumbangan disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari serentak merasmikan Majlis Mesra Rakyat Aidilfitri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang berlangsung di Masjid An-Naim, Kampung Batu 7, Jalan Kebun.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali.

Bagi musim haji 1439H/2018, seramai 6,500 daripada 7,500 bakal haji dari Selangor merupakan bakal haji muassasah dengan peruntukkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM3.25 juta.

Amirudin dalam ucapannya berkata, menjadi tanggungjawab masyarakat untuk bersama berlumba melakukan kebaikan (Fastabiqul Khairat) seperti semangat yang disuburkan Kerajaan Negeri.

Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM100,000 buat Masjid An-Naim bagi membolehkan kerja naik taraf dilakukan hasil sumbangan Pejabat Menteri Besar dan MBI.

Categories
SELANGOR

Faekah, dan tujuh individu lagi diarah kembalikan RM2.7 juta

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 MEI: Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Faekah Hussin dan bekas Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Rohany Talib serta enam lagi diarahkan membayar semula wang pampasan sebanyaK RM2,713,590 kepada MBI.

Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini memihak kepada lapan individu itu.

Mahkamah menetapkan Faekah dan tujuh orang lagi mengembalikan semula amaun yang dibayar sebagai ‘pampasan’ apabila Abdul Khalid disingkirkan sebagai Menteri Besar.

Peguam bagi mewakili MBI adalah, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Edwin Lim. Manakala, Peguam untuk Faekah ialah Edmund Bon.

Terdahulu, MBI bertindak mengambil tindakan undang-undang dalam perkara itu kerana mendakwa keputusan bekas Menteri Besar memberikan skim pemisahan sukarela (VSS) kepada lapan bekas pekerja pada hari terakhir beliau sebagai Menteri Besar tanpa mendapatkan kelulusan lembaga pengarah adalah melanggar prinsip dipegang pengurusan MBI.

Enam individu lain itu merupakan bekas setiausaha akhbar, Arfa’eza Abd Aziz; setiausaha politik, Mustafa Talib; pegawai penyelaras, Rahimah Kamaruddin; pegawai komunikasi khas, Dr Sulaiman Masri; pengurus penyelidikan ekonomi, Abdul Halim Mohd Yusuf dan pegawai akhbar, Tuan Nazuri Ismail.

Categories
SELANGOR

MBI agih sumbangan Aidilfitri RM105,000 buat tiga DUN

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JUN: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Pejabat ADN Kota Anggerik menyampaikan sumbangan Aidilfitri RM20,000 kepada anak yatim dan asnaf, semalam.

Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Anak Yatim dan Anak Asnaf di Masjid Azhariah (UNTA) Seksyen 18 disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari.

Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin berkata, sumbangan ini adalah satu lagi tindakan yang diusahakan melalui kerjasama bersama komuniti tempatan.

“Golongan ini penting untuk dipeduli bagi menaikkan kualiti sosio ekonomi mereka sekali gus menjamin kesejahteraan negeri.

“Justeru, kecemerlangan prestasi anak syarikat dan kebajikan jemaah harus diperjuangkan bersama. Ini pendekatan ‘two pronged’ yang kami akan terus rencanakan bagi memastikan semua warga Selangor yang memerlukan dibantu sewajarnya,” katanya.

Secara keseluruhan 200 individu menerima sumbangan yang turut diagihkan kepada keluarga yang mempunyai anak orang kelainan upaya (OKU) menjelang sambutan Aidilfitri hujung minggu ini.

Dalam perkembangan sama, MBI turut menyalurkan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM20,000 kepada asnaf fakir di DUN Kota Damansara.

Ia kemudiannya disusuli dengan sumbangan di DUN Sementa berjumlah RM65,000.