Categories
SELANGOR

MBI santuni komuniti ilmuwan, komited perkasa institusi tahfiz

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 17 JUL: Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) meneruskan usaha menyantuni komuniti ilmuwan melalui penganjuran Program Kemasyarakatan kepada Pelajar Tahfiz sekitar Selangor.

Program dalam bentuk sumbangan jamuan makanan itu membabitkan 500 pelajar dan guru dari 10 sekolah tahfiz, mewakili setiap daerah terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, YM Raja Shahreen Raja Othman berkata, program itu merupakan landasan MBI Selangor mendekati golongan pelajar tahfiz.

“Sumbangan ini diberikan atas semangat membangun komuniti dan menghargai sumbangan ilmuwan terhadap masyarakat.

“Pada masa sama diharap dapat menyuntik semangat pelajar untuk terus menuntut ilmu dan berbuat kebaikan.

“MBI Selangor mengambil pendekatan menghantar jamuan ke setiap sekolah supaya ia boleh memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar dan guru, selain meraikan pelajar ini di taman ilmu yang diduduki,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Raja Shahreen hadir menyempurnakan Majlis Pemberian Sumbangan Jamuan Raya Sekolah Tahfiz, di Madrasah Tahfiz Al-Hijrah (MATAH), di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, MBI Selangor akan terus menjalankan pemantauan terhadap sekolah tahfiz di Selangor bagi memperkasa kebajikan dan pendidikan pelajarnya.

“Kami akan lihat bagaimana tahap kefungsian dan operasinya dari semasa ke semasa, selain meneliti bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada mereka.

“Ia juga seiring dengan harapan kami bagi membolehkan sekolah agama di negeri ini dapat mengorak langkah maju ke hadapan,” katanya.

Categories
SELANGOR

MBI sumbang RM240,000 untuk masjid, surau di Gombak

OLEH HAFIZAN TAIB

RAWANG, 2 FEB: Kerajaan Negeri melalui Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) menyerahkan sumbangan RM240,000 kepada masjid dan surau di daerah Gombak, hari ini.

Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporatnya, Mohd Jaafarudin Md Ali berkata, sumbangan kepada sebuah masjid dan 11 surau itu dengan setiap rumah ibadah menerima RM20,000 adalah untuk program membaik pulih dan menaik taraf.

“Selain itu, sumbangan ini juga digunakan untuk menggerakkan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid dan surau berkaitan.

“Ia bagi mengimarahkan syiar Islam dalam kalangan penduduk tempatan di daerah ini,” katanya.

Majlis penyerahan disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Teja, di sini.

Categories
SELANGOR

700 penduduk terima bantuan pakaian seragam sekolah MBI

OLEH SABIRAH AZIZ

BANGI, 1 JAN: Seramai 700 penduduk sekitar Bangi, menerima sumbangan pakaian sekolah dari Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor), dalam Program mini karnival ADAB Youth Garage (AYG), di sini.

Koordinator penyelaras AYG, Mohd Nizam Shamsuddin berkata, penyerahan sumbangan itu disempurnakan Pengurus CSR MBI, Jaffaruddin Mohd Ali al Hafiz bersama Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Operasi Institut Darul Ehsan (IDE), Sharipuddin Muis.

Terdahulu, program dimulakan dengan pengisian pelbagai aktiviti bermanfaat seperti acara ‘street soccer, pertandingan mewarna dan melukis graviti yang disertai oleh anak- anak muda sekitar Bangi.

Mohd Nizam berkata, terdapat juga Bengkel Mewarna bersama Uncle Uneh Raja Pensel Warna.

“Turut diadakan ceramah bertajuk ‘Bahaya Teknologi untuk Anak-anak’ yang disampaikan Prof Madya Dr Nor Izura Uzir dari Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada ibu bapa,” katanya kepada Selangor Kini.

Dalam program itu, seramai 500 hadir terdiri dari ibu bapa, anak-anak dan masyarakat sekitar serta penggerak mahasiswa AYG.

AYG adalah projek ‘one stop centre’ untuk belia dan anak-anak muda bermodul dan dibimbing mahasiswa sekitar yang digerakkan MBI Selangor dan IDE.

Categories
SELANGOR

MBI hargai jasa Dato’ Noordin

OLEH SHEEDA FATHIL

PUTRAJAYA, 6 DIS : Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) memberi penghargaan kepada Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman sempena persaraan beliau, pada Majlis Makan Malam MBI Group Business Retreat.

Noordin berkata, beliau meghargai pemberian daripada MBI itu dan mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada beliau selama ini.

“Saya sedaya upaya memberi perkhidmatan terbaik memandangkan sudah diberi kepercayaan memantau pelaksanaan dan dasar dasar kewangan selama berkhidmat di negeri ini.

“Saya amat terharu di atas segala penghargaan diberikan daripada Kerajaan Negeri dan juga MBI memandangkan MBI adalah satu pemerbadanan yang penting juga,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Noordin menerima sekeping sampul tanda penghargaan daripada MBI Selangor yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yang Mulia (YM) Raja Shahreen YM Raja Othman sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Restoran Tuscany Hotel Marriot, Putrajaya, semalam.

Pada 1981, Noordin mula berkhidmat di Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri.

Pada 2006, beliau dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri dan pernah menjawat pelbagai jawatan penting seperti Pegawai Daerah Klang, Penolong Ketua Pegawai Daerah dan Setiausaha Majlis Bandaraya Shah Alam.

Pada 1 November 2012, beliau mula menjawat jawatan Pegawai Kewangan Negeri dan menjadi tokoh penting membantu Mohamed Azmin melengkapkan empat belanjawan yang pernah dibentangnya sejak 2014

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MBI santuni 40 kanak-kanak di Sunway Lagoon

OLEH SABIRAH AZIZ

SUBANG JAYA, 1 DIS: Seramai 40 kanak-kanak dari Yayasan Chow Kit dan asnaf Gombak disantuni dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) di Sunway Lagoon, di sini, semalam.

Kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun itu diraikan dalam Majlis Amal “Hope for the Future” anjuran Cardinal Merit Sdn Bhd dan The Good Deeds.

Majlis dirasmikan isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamsidar Taharin.

Shamsidar dalam ucapannya berkata, MBI dan Pemodalan Negeri Selangor Berhad sedia memberi sokongan dan sumbangan kepada sebarang majlis amal seumpama itu.

“Majlis amal ini diadakan khas untuk memberi pendedahan dan bimbingan dalam bentuk terapi supaya dapat memupuk nilai-nilai positif, disiplin, memberi kekuatan diri dari aspek fizikal dan emosi, semangat berpasukan dan semangat juang yang tinggi.

“Saya sentiasa perihatin dan mengambil berat nasib di alami golongan miskin, anak-anak yatim, orang kurang upaya, ibu tunggal dan golongan tidak berkemampuan.

“Justeru, saya menyeru agar kita semua dapat memberikan yang terbaik kepada kanak-kanak ini yang bakal menjadi penyambung legasi kepimpinan dan transformasi Negara,” katanya.

Beliau berkata, setiap anak di dalam sesebuah komuniti, tidak kira kedudukan sosio-ekonomi, keluarga, agama atau adat perlu diberi peluang sama untuk mendapat bantuan dari segi akademik dan juga aktiviti kokurikulum.

“Syabas diucapkan kepada para sukarelawan, aktivis dan individu yang tidak kenal penat lelah demi membantu menjaga dan mendidik kanak-kanak dari Yayasan Chow Kit dan asnaf Gombak ini.

“Sesungguhnya peluang untuk bertemu dan bersama dengan kanak-kanak yang terdiri daripada anak yatim dan keluarga miskin sungguh berharga bagi saya,” katanya.