Categories
AGENDA NASIONAL

Polis selamat enam mangsa pemerdagangan manusia, tahan sembilan suspek

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Polis berjaya menyelamatkan lima wanita dan seorang lelaki warga asing yang dipercayai menjadi mangsa aktiviti pemerdagangan manusia di sebuah pangsapuri di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata dalam serbuan Isnin lepas, sembilan suspek berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti itu turut ditahan manakala sebuah kenderaan mewah dirampas.

Beliau berkata serbuan dibuat susulan laporan seorang remaja wanita warga tempatan pada 12.20 tengah hari bahawa pekerja ibunya, iaitu seorang remaja warga asing, telah dilarikan oleh dua suspek lelaki warga tempatan dan seorang suspek wanita warga asing yang menaiki sebuah kereta mewah.

Menurutnya dalam satu kenyataan semalam, pengadu bersama mangsa yang ketika itu berada di kawasan Damansara Utama turut mendakwa ditarik suspek ke dalam kenderaan berkenaan sambil mulut kedua-duanya ditekup namun beliau kemudian dibebaskan tidak jauh dari lokasi kejadian.

Bertindak atas risikan, Mohamad Fakhruddin berkata kedua-dua suspek lelaki berjaya ditahan di sebuah pusat hiburan di ibu kota pada 5.30 petang hari yang sama.

Hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek, mangsa yang dilarikan berjaya ditemukan bersama empat wanita dan seorang lelaki yang juga warga asing berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun di sebuah unit di pangsapuri perkhidmatan di sebuah hotel terkemuka di sini.

Beliau berkata kesemua mangsa dikawal oleh empat lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki warga asing yang kemudian ditahan di premis itu serta direman selama lima hari untuk disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal ke atas semua mangsa yang diselamatkan mendapati seorang suspek adalah ejen pekerja warga asing yang telah memperdaya mangsa untuk bekerja tanpa bayaran gaji,” katanya.

Mohamad Fakhruddin berkata kesemua mangsa dikurung di premis itu selama beberapa hari serta dipukul sehingga cedera dan ada antara mereka yang dikurung kerana cuba melarikan diri daripada majikan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Bukit Aman: 829 mangsa pemerdagangan manusia diselamat

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Sebanyak 829 orang dipercayai mangsa pemerdagangan orang diselamatkan dalam 190 serbuan polis di seluruh negara dalam tempoh Januari tahun lepas hingga Mei tahun ini dan memperoleh Perintah Perlindungan Sementara (IPO).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata daripada jumlah itu, 74 orang telah mendapat Perintah Perlindungan (PO) tahun lepas manakala 65 orang memperolehnya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

“Sebanyak 599 orang diselamatkan hasil 146 serbuan tahun lepas manakala 230 orang diselamatkan dalam 44 serbuan dari Januari hingga Mei tahun ini.

“Sebanyak 243 orang ditahan kerana disyaki terlibat dalam jenayah pemerdangan orang sepanjang tahun lepas manakala 110 orang ditahan tahun ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata jenayah pemerdagangan orang adalah jenayah rentas sempadan yang menjadi isu global dan polis serius dalam membanteras jenayah itu.

“Antaranya bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan yang banyak membantu dalam penyaluran maklumat dan mewujudkan kesedaran awam berhubung jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

“(Selain itu), pelbagai program tahunan termasuk kursus, latihan dalam perkhidmatan, seminar dan bengkel dijalankan sama ada anjuran dalaman atau kerjasama dengan agensi atau pertubuhan luar,” katanya.

Beliau berkata program-program berkenaan bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran pegawai terutama dalam kalangan agensi penguatkuasaan dan pendakwaan bagi memerangi jenayah tersebut.

Abd Jalil berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusaha untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang terutamanya buruh paksa dengan tindakan yang berterusan.

“Merujuk kepada statistik sepanjang tahun lepas, PDRM menjalankan 62 serbuan terhadap jenayah eksploitasi buruh paksa dan bagi tahun ini sehingga bulan Mei, sebanyak 25 serbuan dijalankan. Kebanyakan mangsa adalah rakyat Indonesia, Filipina dan India,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Pemerdagangan manusia: Polis tahan dua lelaki

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Polis menahan dua lelaki warga tempatan yang disyaki menjadi dalang mangsa pemerdagangan manusia melibatkan lima wanita warga Vietnam, di Jalan Raden Bagus di sini, pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Saiful Annuar Yusoff berkata kedua-dua lelaki terbabit dipercayai bertindak selaku pengurus kepada kesemua mangsa berusia lingkungan 26 hingga 34 tahun.

“Operasi Pintas (Op Pintas) kira-kira 10.10 malam itu membongkar kegiatan jijik terbabit dipercayai telah beroperasi kira-kira sebulan lepas.

“Polis dalam masa sama, turut menemukan pasport milik kesemua mangsa dipercayai dipegang oleh seorang daripada suspek yang ditahan.

“Hasil siasatan juga mendapati mangsa telah dipaksa untuk memberikan khidmat seks dengan bayaran RM250 dikenakan bagi setiap pelanggan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Saiful Annuar berkata pihaknya akan memohon reman kepada dua suspek terbabit dan mereka akan disiasat di bawah Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Kesemua mangsa terbabit akan dimohon Perintah Perlindungan Interim (IPO) seterusnya dihantar ke pusat perlindungan sementara,” katanya.

Saiful Annuar berkata serbuan terbabit turut membawa kepada rampasan sembilan buah telefon bimbit, tiga keping kad akses bilik, 24 kondom selain wang tunai berjumlah RM1,250.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Imigresen tumpaskan sindiket pemerdagangan manusia, tiga anggota polis antara ditahan

 

IPOH, 24 Mei: Jabatan Imigresen Perak berjaya melumpuhkan satu sindiket pemerdagangan manusia melibatkan penyeludupan migran warga India ke negara Eropah yang aktif sejak 10 tahun lalu, kata Pengarahnya Kamalludin Ismail.

Beliau berkata kejayaan itu susulan penahanan tiga dalang utama warga tempatan terdiri daripada sepasang suami isteri dan seorang anak mereka dalam satu operasi selama empat hari yang bermula Isnin lalu.

Selain itu, katanya tiga anggota polis terdiri daripada seorang sarjan dan dua konstabel berumur antara 22 dan 57 tahun turut ditahan bersama 45 lagi migran India dalam operasi itu.

“Modus operandi mereka adalah sindiket akan berhubung dengan pasangan suami isteri itu kemudian mereka akan mencari orang awam atau penjawat awam untuk membawa pendatang tanpa izin keluar melalui sempadan Thailand sebelum ke negara Eropah.

“Peranan anggota polis berkenaan pula adalah seorang bertindak sebagai pengatur manakala dua lagi sebagai ejen pengangkut,” katanya dalam satu sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini, lewat malam tadi.

Mengulas lanjut Kamalludin berkata berdasarkan siasatan awal, seorang migran dikenakan bayaran sehingga RM5,000 untuk diseludup ke Thailand sebelum ke Eropah.

Katanya pihak Imigresen merampas wang tunai kira-kira RM13,750, beberapa buah telefon bimbit, dua motosikal serta tiga kereta dalam operasi itu dan semua yang ditahan disiasat di bawah beberapa Akta Imigresen termasuk Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Menurut Kamalluddin operasi itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia serta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia. -BERNAMA

Foto Ihsan Jabatan Imigresen Perak

Categories
NASIONAL

TPM, siapa tiga ‘jerung’ pemerdagangan manusia di Perlis?

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dicabar mendedahkan tiga nama dalang sindiket pemerdagangan manusia yang akan diekstradiksi dari Thailand susulan penemuan 139 mayat di Wang Kelian, Perlis, pada Mei 2015.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri sebelum ini menyatakan Malaysia sedang dalam proses mendapatkan tiga suspek utama kes pemerdagangan manusia itu.

“Persoalannya siapakah tiga dalang (didakwa) dari Malaysia yang berpangkat ‘jerung’ dan mengapa mereka tidak disabitkan serta didakwa di Malaysia?

“Adakah Malaysia kurang kepakaran dalam mengendalikan kes ini atau adakah lebih mudah melepaskan batok di tangga dan menyerahkan mereka kepada mahkamah jenayah Thailand untuk dibicarakan?” soalnya.

Media sebelum ini melaporkan 10 suspek terlibat tetapi selepas berbincang dengan Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan, tiga suspek berkenaan adalah ‘jerung’ dan bukannya ‘ikan bilis’ dalam sindiket pemerdagangan juga penyeludupan itu serta kini berada di penjara Thailand.

kasthuriAntara pegawai Kerajaan Thailand yang disabitkan bersalah adalah bekas penasihat pentera, Leftenan Jeneral Manas Kongpan (penjara 27 tahun), bekas Datuk Bandar Wilayah Narathiwat Padang Besar, Bannajong Pongphol (penjara 78 tahun), bekas Datuk Bandar Daerah Padang Besar, Prasit Lemleh (penjara 78 tahun) dan bekas pegawai tadbir wilayah Satun, Pajuban Aungchotiphan (penjara 75 tahun).

Di samping itu, berdasarkan laporan tahunan berkenaan Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat atau Trafficking in Persons Report (TIPS) yang dikeluarkan Jabatan Negera Amerika Syarikat, Malaysia berada tahap Tier 3 sebelum dinaikkan tahap Tier 2, pada Jun 2016.

“Kenaikkan ke tahap Tier 2 haruslah mencerminkan melalui usaha yang realistik dan efektif bukan sahaja dengan mendabik dada serta menghadiri persidangan antarabangsa dalam usaha membenteras jenayah ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kubur di sempadan negara: PR tubuh Jawatankuasa Anti Pemerdagangan Manusia

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Pakatan Rakyat (PR) menubuhkan Jawatankuasa Anti Pemerdagangan Manusia bagi menyuarakan pandangan kepada kerajaan berhubung isu berkenaan.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, isu terbabit menjadi hangat dan dunia kini memerhatikan apa berlaku di Malaysia.

johari-abdul“PR tubuhkan jawatankuasa ini menjurus kepada apa yang berlaku khususnya penemuan kawasan perkuburan di sempadan negara.

“Kita akan mencari segala data berkaitan dan bertemu kerajaan bagi menyatakan pandangan berkenaan isu ini,” katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata, isu itu penting dan PR mahu mendengar apa perancangan kerajaan dalam menanganinya, apatah lagi Malaysia dilantik sebagai Pengerusi Persidangan Asean tahun ini.

“Kita tidak akan berdiam diri kerana kerajaan perlu mempunyai perancangan menyeluruh terhadap isu ini. Ia adalah isu besar dan memerlukan perancangan secara bersama,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Jawatankuasa Teknikal Antipemerdagangan Manusia PBT giat selamat mangsa dizalimi

Oleh: RODZIAH ISMAIL  

Sidang Dewan Negeri Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan Ketiga Belas Tahun 2014

 Tajuk:

Jawatankuasa Teknikal Antipemerdagangan Manusia Pihak Berkuasa Tempatan

Pertanyaan bertulis daripada ADUN Hulu Bernam, YB Rosni binti Sohar:

a)              Apakah perkembangan selepas pelancaran Jawatankuasa ini?

b)              Apakah tugas utama dan sumbangan Jawatankuasa ini?

c)              Nyatakan kriteria pemilihan Jawatankuasa dan PBT yang terlibat?

 

JAWAPAN YB RODZIAH ISMAIL:

(a)                      Jawatankuasa Teknikal Antipemerdagangan Manusia (JKTAPM) PBT telah dilancarkan pada 28 Ogos 2012.   Perkembangan selepas pelancaran tersebut melibatkan kolaborasi Jawatankuasa  Bertindak MAPMAS dengan JKTAPM PBT dalam usaha:

i)                Menyelamatkan mangsa-mangsa pemerdagangan manusia dari situasi yang menzalimi mereka.

BILANGAN KES DAN JENIS PEMERDAGANAGAN MANUSIA YANG DIKENDALIKAN OLEH MAPMAS SEHINGGA 30 MEI 2014:

JENIS PEMERDAGANGAN MANUSIA

BILANGAN KES

BILANGAN MANGSA

TENAGA KERJA

34

727

SEKS

5

53

PEMBANTU RUMAH

29

31

YANG TIDAK DIKENALPASTI

14

15

YANG BUKAN PEMERDAGANGAN MANUSIA

10

70

JUMLAH

92

896

 

ii)               Memberi latihan teknikal untuk mengenalpasti dan menangani kes-kes yang disyaki insiden pemerdagangan manusia

iii)              Mengkaji kebolehan dan keberkesanan undang-undang/peraturan baru bagi menghalang insiden pemerdagangan manusia seperti mewajibkan kehadiran dalam taklimat mengenai pemerdagangan manusia sebelum lesen perniagaan diperbaharui, mempamer nombor-nombor untuk bantuan mangsa pemerdagnagan manusia di pejabat/premis perniagaan

iv)             Meningkatkan usaha advokasi kepada warga PBT & masyarakat setempat dengan kerjasama persatuan penduduk dan Pusat Wanita Berdaya. Sehingga 30 Mei 2014, 5011 peserta telah menyertai program/usaha advokasi MAPMAS.

(b)        Penubuhan Jawatankuasa Teknikal Anti Pemerdagangan Manusia (JKTAPM) diperingkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Selangor telah dipersetujui oleh Mesyuarat Bil.3/2011 Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan yang telah diadakan pada 24 Mei 2011 yang lalu.

Peranan dan fungsi khusus jawatankuasa tersebut adalah seperti berikut :

1.              Mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 2 bulan atau apabila perlu;

2.              Membantu membanteras pemerdagangan manusia di negeri Selangor menerusi pemantauan dan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang PBT;

3.              Mengkoordinasi keperluan latihan dan bimbingan ke arah membina kemampuan dan keupayaan dalam :

  • Mengenalpasti insiden pemerdagangan manusia.
  • Mengenalpasti mangsa pemerdagangan manusia.
  • Mengendalikan kes pemerdagangan manusia.
  • Melaksanakan etika operasi dan pegawai-pegawai serta para anggota yang terlibat.
  • Melaksanakan Akta dan undang-undang kecil PBT yang berkaitan.

4.              Merancang, memperoleh dan meluluskan peruntukan kewangan bagi setiap program dan aktiviti yang dirancang mengikut pembahagian peruntukan;

5.              Memberi perhatian kepada keperluan teknikal daripada segi pengumpulan data, pengurusan dan penjanaan semula maklumat demi membanteras jenayah pemerdagangan manusia di negeri Selangor;

6.              Membantu Majlis Antipemerdagangan Manusia Negeri Selangor (MAPMAS) dalam mengkaji semula peraturan dan undang-undang agar diselaraskan dengan usaha menghalang pemerdagangan manusia;

7.              Menjalinkan kerjasama dengan MAPMAS dan antara kumpulan berkepentingan, seperti PDRM, Polis Marin, Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja dalam kerja-kerja operasi dan penguatkuasaan;

8.              Menyediakan laporan pelaksanaan program yang lengkap kepada pihak Urusetia Induk di PBT dan MAPMAS; dan

9.              Membantu Pengerusi JKTAPM peringkat PBT untuk mencadangkan dan menyediakan program, projek dan aktiviti untuk diluluskan pelaksanaan dan peruntukan kewangannya oleh Mesyuarat Ahli Majlis PBT.

10.           Melaksanakan usaha-usaha advokasi antipemerdagangan manusia kepada masyarakat setempat

 

(c)        Kerjasama  PBT adalah dikehendaki untuk menubuhkan JKTAPM.     Ini terdiri dari pihak pengurusan PBT. Ia melibatkan yang utamanya bahagian penguatkuasaan, perlesenan, undang-undang, kewangan dan pembangunan awam. JKTAPM ini adalah diketuai oleh seorang ahli Majlis PBT.

Selain bahagian pengurusan yang tersebut di atas, setiap PBT boleh melibatkan mana-mana bahagian pengurusannya agar menjayakan misi membanteras pemerdagangan manusia di kawasan-kawasan seliaan PBT.

# Rodziah Ismail adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Selangor merangkap Pengerusi Majlis Antipemerdagangan Manusia Negeri Selangor (MAPMAS)

Categories
SELANGOR

Rasuah punca banyak kes pemerdagangan manusia

Oleh : Mohd Ezli Mashut,

KUALA SELANGOR, 14 DIS : Antara elemen yang menyuburkan pemerdagangan manusia adalah berpunca berleluasanya perbuatan rasuah, kata wakil Tenaganita, Aegile Fernandez.

“Rasuah perlu ditangani untuk menghasilkan kejayaan dalam usaha pembanterasan aktiviti pemerdagangan manusia, khususnya di negara ini,” katanya semasa Program Advokasi Antipemerdagangan Manusia.

antiKira-kira 100 orang peserta menghadiri program itu anjuran Majlis Antipemerdagangan Manusia Negeri Selangor (MAPMAS) di Kampung Bukit Kucing Hilir, Jeram di sini baru-baru ini.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Pusat Wanita Berdaya Jeram, MPP Zon 5 MDKS, JKK Kampung-kampung di Jeram dan pimpinan wanita tempatan.

Program itu bertujuan memberikan pendedahan kepada isu dan kaedah mengenalpasti insiden pemerdagangan manusia dan tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh penduduk setempat ke arah membanteras jenayah pemerdagangan manusia di negeri Selangor.

MAPMAS dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail yang merupakan entiti Kerajaan Selangor yang mengendalikan isu pemerdagangan manusia yang bukan saja melibatkan warga dan tenaga kerja asing tetapi juga warganegara Malaysia.

Kes-kes melibatkan penjualan bayi, pemerdagangan pengantin, seks, tenaga kerja, pembantu rumah dan lain-lainnya.

Sehingga kini MAPMAS terlibat mengendalikan lebih lima ribu pekerja asing dan tempatan dengan majoritinya adalah kes pekerja yang tidak dibayar gaji oleh majikan.

Anggota Jawatankuasa MAPMAS, Rozaini Mohd Rosli dan Aziz Ismail turut menjadi panel penceramah program tersebut.

Turut hadir ialah Ahli Majlis MDKS, Ahmad Alang, Penghulu, Baharom Hussein, enam orang ketua kampung, AJK Biro Wanita tempatan dan wakil Pusat Khidmat Rakyat Jeram.

Untuk melaporkan pemerdagangan manusia yang disyaki, sila hubungi:

• Hotline Antipemerdagangan Malaysia – No. Hotline: 999

• Laporkan kes /kejadian kepada balai polis yang berdekatan

• NGO dan/atau talian hotline Tenaganita: 012-33650512/014-23395350

• Hotline Negeri Selangor : 03-55190600
(Isnin-Jumaat: 8.00 pagi-5.00ptg.,
Sabtu & Ahad: 9.00 pagi – 5.00 ptg)