Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air di Sepang, Kuala Langat pulih 71.5 peratus takat 9 malam

SHAH ALAM, 19 OKT: Pemulihan bekalan air di beberapa kawasan di Sepang dan Kuala Langat mencapai tahap 71.5 peratus setakat jam 9 malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata tempoh pemulihan di setiap kawasan adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan.

“Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Air Selangor berharap agar para pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya menerusi Facebook.

Katanya, pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat insiden dari semasa ke semasa.

Sementara itu, jika berdasarkan status pemulihan mengikut wilayah, bekalan air di Sepang sudah mencapai 74 peratus manakala Kuala Langat (69 peratus).

Terdahulu, kerja kecemasan dan pembaikan insiden paip pecah berhampiran Kampung Chinchang Salak Tinggi, Sepang siap jam 2 petang tadi, empat jam lebih awal daripada sasaran.

Air Selangor berkata bekalan air ke 145 kawasan di Sepang dan 11 lagi di Kuala Langat disalurkan secara berperingkat mulai jam 2.30 petang tadi.

Menurutnya, bekalan air dijangka pulih jam 10 pagi esok dan tempoh pemulihan di kawasan terbabit berbeza bergantung lokasi serta tekanan air pada sistem agihan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pemulihan bekalan air di Sepang, Kuala Langat capai 55 peratus

SHAH ALAM, 19 OKT: Pemulihan bekalan air di beberapa kawasan di Sepang dan Kuala Langat mencapai tahap 55 peratus setakat jam 7 malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata tempoh pemulihan di setiap kawasan adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan.

Katanya, senarai kawasan yang pulih boleh didapati di laman web www.airselangor.com

“Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Air Selangor berharap agar para pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya menerusi Facebook.

Sementara itu, berdasarkan perkongsian jadual di Facebook, peratusan pemulihan di Sepang adalah 69 peratus, manakala Kuala Langat sebanyak 40 peratus.

Terdahulu, kerja kecemasan dan pembaikan insiden paip pecah berhampiran Kampung Chinchang Salak Tinggi, Sepang siap jam 2 petang tadi, empat jam lebih awal daripada sasaran.

Air Selangor berkata bekalan air ke 145 kawasan di Sepang dan 11 lagi di Kuala Langat disalurkan secara berperingkat mulai jam 2.30 petang tadi.

Menurutnya, bekalan air dijangka pulih jam 10 pagi esok dan tempoh pemulihan di kawasan terbabit berbeza bergantung lokasi serta tekanan air pada sistem agihan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kedai gunting rambut, cuci kereta dibenar operasi mulai esok

KUALA LUMPUR, 15 OGOS:  Kerajaan membenarkan 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa esok, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Aktiviti-aktiviti ekonomi itu adalah kedai cuci kereta; kedai elektrik dan elektronik; kedai barangan rumah dan peralatan dapur; kedai perabot; kedai peralatan sukan; kedai aksesori kereta; pusat pengedaran dan jualan kereta; pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan bagi perkhidmatan gunting rambut asas sahaja.

Bagi kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; serta kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja), terdapat tatacara operasi piawai (SOP) kesihatan tambahan yang mesti dipatuhi.

“Ia termasuklah memakai sarung tangan, mengehadkan masa urusan antara pekerja dan pelanggan serta tidak membenarkan penggunaan bilik ‘’fitting’’. SOP ini mungkin merumitkan tetapi ia demi keselamatan pekerja dan pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan individu berkenaan telah menerima vaksinasi lengkap.

Beliau menegaskan maksud vaksinasi lengkap ialah 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos.

Selain itu, perdana menteri turut  mengumumkan sebanyak 11 aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran dibenarkan untuk kembali beroperasi dalam Fasa 2, berkuat kuasa pada hari yang sama.

Kesemua 11 aktiviti ekonomi itu adalah tambahan kepada 11 aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula dalam Fasa 1.

Aktiviti-aktiviti ekonomi ini adalah kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi; kedai barangan terpakai; kedai bunga dan nurseri; kedai kraftangan dan cenderahati; kedai antik; kedai alat permainan; kedai permaidani; kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif; kedai peralatan ‘outdoor’ termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain; kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi; serta kedai tembakau termasuk vape dan rokok elektronik.

“Pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,” tegas beliau.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pengguna diramal tangguh beli barangan bukan keperluan utama – Ideas

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Malaysia mungkin menyaksikan trend normal baharu pada masa depan apabila pengguna menolak atau menangguhkan pembelian barangan mewah atau barangan dan perkhidmatan dikategorikan sebagai bukan keperluan utama.

Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Lau Zheng Zhou berkata rasa bimbang itu perlu ditangani kerana membabitkan pandemik dan keselamatan pekerjaan yang merupakan faktor penting untuk mendorong kejayaan pelan pemulihan ekonomi.

“Pemulihan ekonomi kita juga turut bergantung kepada pemulihan ekonomi global. Negara-negara maju ketinggalan dari segi pemulihan pandemik ini. Kerajaan perlu memberi keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat bahawa mereka mampu memerangi risiko kepada kesihatan dan ekonomi.

“Sekiranya kita mengambil iktibar daripada krisis terdahulu misalnya krisis kewangan Asia, negara-negara membangun termasuk Malaysia bergantung kepada eksport untuk pulih. Keadaan itu mungkin tidak berlaku hari ini. Namun, di peringkat tempatan, rasa bimbang itu kekal sebagai halangan utama kepada pemulihan ini,” katanya ketika ditemubual di siaran berita Bernama TV semalam.

Menurutnya penggunaan swasta menyumbang hampir 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perniagaan bergantung kepada unjuran ini untuk merancang pelaburan dan penggunaan pada masa depan.

-BERNAMA