Categories
AGENDA NASIONAL

Kubu di Pantai Sabak, lokasi Jepun mendarat di Tanah Melayu lenyap

KOTA BHARU, 26 JULAI: Tanggal 8 Dis 1941 menjadi detik sejarah yang tidak akan dilupakan apabila laluan Pantai Sabak, Pengkalan Chepa di sini ketika itu menjadi saksi lokasi pendaratan pertama Jepun menakluki Tanah Melayu.

Namun, menurut Ahli Persatuan Sejarah Malaysia, Sarapa Ismail, 48, tinggalan berupa kubu itu tenggelam akibat hakisan pantai terutama di Pantai Kuala Pak Amat, Sabak dan sehingga kini masalah itu turut sama menenggelamkan Jambatan Bijih Jubakar Tumpat.

“Antara tempat tinggalan tersebut yang sudah tiada ialah kubu-kubu di Pantai Sabak, namun tinggalan sejarah yang masih ada pula sehingga kini ialah perigi di Kampung Sungai Nyor, terowong dan pelabuhan di Palekbang (Tumpat) dan Jambatan Guillemard (Kuala Krai/Tanah Merah),” katanya.

Memorial Perang Dunia Kedua (Kota Bharu) pula pernah menjadi pusat tahanan orang Melayu dan tentera ‘kempeitai’ iaitu polis dan tentera yang ditangkap, diseksa dan dipancung kepala.

“Bagi kubu yang terdapat di Cabang Tiga Pengkalan Chepa ini, ia dikatakan antara 25 kubu yang ada sepanjang Pantai Sabak hingga ke Pantai Bachok, yang kebanyakannya sudah hampir ditenggelami akibat hakisan pantai,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Tapak Peninggalan Kubu di Cabang Tiga Pengkalan Chepa di sini, baru-baru ini.

Ketika mengimbau sejarah itu beliau berkata serangan Jepun tersebut mampu melumpuhkan Tanah Melayu termasuk Singapura hanya dalam masa 70 hari sahaja.

Sarapa yang juga guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini yang juga merangkap Pengerusi Kumpulan ‘123sejSPM seMalaysia’ berkata menurut sumber, kubu tersebut dibina oleh British untuk menempatkan tentera India dan Punjabi.

“Namun selepas penjajahan Jepun, ia dijadikan kubu pertahanan, cuma setelah menyedari bentuk yang tidak sesuai (kecil), kubu tersebut akhirnya dijadikan tempat menyimpan senjata dan barang-barang rampasan penduduk,” katanya.

Sarapa berkata walaupun kubu itu dibina oleh tentera British, namun penduduk tempatan lebih gemar menggelarnya sebagai kubu Jepun.

Mengaitkan sejarah penaklukan itu, beliau berkata masyarakat negara ini diminta tidak mudah terpengaruh dengan budaya asing yang bertentangan dengan nilai norma kerana bukan mudah untuk mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata iktibar yang dapat dipelajari daripada penaklukan Jepun itu ialah menjadi kuasa industri yang maju dan berlumba-lumba bersama negara penjajah lain seperti Jerman dan Itali dengan mempunyai strategi serta perancangan kukuh.

“Kaedah Jepun membawa slogan ‘Asia Untuk Asia’ menjadikan masyarakat tempatan terpegun kerana pihaknya menonjolkan perjuangan untuk membela orang Melayu menggunakan dakyah tersebut, biarpun hakikat sebenar adalah untuk mendapat sokongan penduduk,” katanya.

Seorang pelajar universiti swasta di sini, Lim Siew Fong, 25, yang bersama rakannya di tapak tersebut berkata rakyat perlu mengambil iktibar sejarah itu agar negara tidak dijajah semula dan terus maju sehingga dihormati seluruh dunia.

“Saya sebagai generasi muda mahu kita belajar mengenai sejarah penjajah ini,” katanya yang berasal dari Selangor dan meminati bidang Sejarah.

Bagi rakannya, Azizah Hassan, 24, juga mahu menjadikan sejarah lama sebagai penguat azam untuk membangunkan negara tercinta dan meminta mana-mana pihak yang cuba untuk meruntuhkan apa yang dibina pemimpin terdahulu perlu bermuhasabah diri.

“Alhamdulillah saya berbangga bersama rakan-rakan berbangsa lain dapat hidup bertoleransi sesama kami dan saya pohon janganlah ada pihak yang cuba merosakkan semua ini,” katanya.

-BERNAMA