Categories
AGENDA NASIONAL

Hasil tangan masyarakat Penan kualiti tinggi, pikat pembeli Eropah

MIRI, 22 NOV: Masyarakat Penan yang sinonim dengan usaha memanfaatkan hasil hutan demi kelangsungan hidup kini mengorak langkah ke hadapan tanpa mensia-siakan bakat mereka apabila menghasilkan kraf tangan yang mampu memikat pembeli dari Eropah sekali gus menembusi pasaran di benua itu.

Meskipun tidak terlibat secara langsung dalam proses memasarkan kraf tangan yang dihasilkan mereka, produk seperti beg tangan Penan yang dianyam menggunakan bahan terpakai seperti polipropelina telah mendapat permintaan tinggi dari negara seperti Jerman dan Switzerland, sesuatu yang perlu dibanggakan.

Mendedahkan perkara itu, peniaga di Pusat Kraf Tangan Miri, Norsiati Ibrahim, 52, berkata beliau menjual kraf tangan yang dibeli daripada masyarakat Penan di Ulu Baram selain memiliki beberapa produk yang dihasilkannya sendiri.

“Beg tangan Penan ini memang berkualiti tinggi dan kemasan kerja sangat bagus sebab itu mendapat permintaan yang tinggi di negara luar antaranya New Zealand, Jordan, Australia serta Switzerland.

“Beg ini pun sudah terjual ke Jerman lebih 200 unit. Saya membuat pengeposan dari Kuala Lumpur kerana perlu melalui beberapa proses seperti membuat pengisytiharan bahan untuk membuat beg ini dan sama ada ia dapat dilupuskan atau tidak sebelum diberi kebenaran memasuki negara itu,” katanya kepada Bernama.

Pusat Kraftangan Miri menjadi tumpuan bagi pelancong dan warga tempatan untuk mendapat barangan kraftangan yang diidamkan mereka. Foto BERNAMA

Norsiati berkata selain berjaya dijual di benua Eropah, beg tangan Penan juga berupaya mendapat tempat di butik pereka fesyen terkenal negara Bill Keith.

Menceritakan kembali saat mula menceburi bidang penjualan kraf tangan itu 21 tahun lepas, beliau berkata hanya keazaman dan semangat yang tinggi mampu membawanya ke tahap ini.

“Saya bermula dengan modal RM50. Produk kraf tangan yang dijual pada waktu itu pun tidak banyak…sedikit demi sedikit saya kumpul wang dengan hasil jualan dan ketika ini, saya mampu membuat jualan melebihi lima angka sebulan,” katanya.

Walau sebesar mana cabaran dan halangan yang dihadapi sejak mula berniaga, sifat berputus asa tiada dalam kamus hidup Norsiati dan itulah rahsia beliau mampu bertahan dan pada masa sama, berbangga dengan pencapaiannya hari ini.

Pengunjung membeli barangan kraftangan yang dibuat oleh masyarakat Penan di Pusat Kraftangan Miri pada 22 November 2021. Foto BERNAMA.

Mengulas mengenai Pusat Kraf Tangan Miri, Norsiati berkata ia menjadi tumpuan pelancong dan warga tempatan untuk mendapatkan produk kraf tangan yang diidamkan mereka.

“Dengan adanya tempat seperti ini, ia memudahkan kami para peniaga dan juga pembeli kerana mereka tidak perlu lagi tercari-cari di mana hendak mendapatkan produk kraf tangan. Produk ini masih tidak dilupakan dan mempunyai peminatnya yang tersendiri selain digunakan sebagai cenderahati pada majlis tertentu,” katanya.

Seorang lagi peniaga Batheria Aming turut mengakui beg tangan Penan merupakan ‘barangan panas’ dan sering menjadi tumpuan pelanggan apabila melangkah masuk ke pusat itu.

“Kebanyakan pelanggan, sama ada dari Semenanjung ataupun tempatan, akan tertarik melihat beg tangan itu, mungkin kerana warnanya yang pelbagai serta kualitinya yang kemas,” katanya.

Boleh dikatakan hampir separuh kedai yang terdapat di premis itu menjual beg tangan Penan yang secara tidak langsung menarik pelanggan untuk menjenguk perniagaan mereka.

Pusat Kraf Tangan Miri di Jalan Merbau di sini, yang dibangunkan dengan kos RM1.9 juta dan beroperasi sejak 2018, menjadi tarikan pelancongan di utara Sarawak bagi membantu usaha memulihara kepelbagaian warisan budaya etnik di Bumi Kenyalang ini.

Secara keseluruhan, terdapat 13 gerai menjual pelbagai produk kraf tangan selain juadah tradisi etnik serta subetnik yang terdapat di sini dan pastinya akan menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar Sarawak.

— BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Masyarakat Penan bantah pembangunan projek Empangan Murum

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 20 NOV : Orang Asal Penan Murum, Sarawak mengadakan pertemuan bersama pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bagi mendesak kawasan tanah asal mereka dikekalkan daripada dibangunkan untuk projek Empangan Murum.

Rombongan seramai 13 orang yang daripada lapan rumah panjang diketuai Penasihat Guaman Penan, Abun Sui Anyit itu tiba di Pejabat Ketua Pembangkang, tingkat 14, bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Mereka menyerahkan memorandum berkenaan yang diterima Ahli Parlimen Seremban, Antony Loke sambil diiringi Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

abunPeguam Abun Sui Anyit dalam kenyataannya mendesak kerajaan supaya berbincang dan memberikan surat jaminan sekurang-kurangnya kepada ketua rumah panjang.

Katanya, kumpulan minoriti seperti orang asal Penan seharusnya dilindungi dan tidak ditindas kerana membabitkan soal nyawa serta kedudukan tradisi mereka sejak sekian lama.

Sui Anyit berkata, Ahli Parlimen Hulu Rajang, Wilson Ugak Kumpong juga tidak prihatin dengan nasib masyarakat di sana dalam isu terbabit.

“Setakat ini tidak ada dokumen diberikan kepada orang Penan berkenaan apa yang dijanjikan kerajaan dan hanya meletakkannya dalam surat khabar, televisyen dan radio. Tidak ada dokumen terus yang diberikan kepada orang Penan.

“Sekurang-kurangnya berilah dokumen janji itu terutama pelan penempatan semula kepada setiap rumah panjang dan ketua kampung berkenaan apa yang kerajaan janjikan,” katanya.

Sebelum itu, rombongan terbabit menyerahkan memorandum di Bukit Aman bagi mendesak campur tangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya menghentikan tindakan keras polis terhadap mereka.

Anthony-LokeSementara itu, Antony Loke berkata, polis tidak harus menggunakan kekerasan terhadap kumpulan itu sehingga ada anggotanya melepaskan tembakan ke udara.

“Tidak patut guna pendekatan keras kerana mereka adalah mangsa dalam isu pembangunan. Mereka hanya menuntut pampasan dan perlindungan, selain itu kita minta kerajaan ambil perhatian berkenaan perkara ini,” katanya.

Projek pembinaan Empangan Murum itu membabitkan syarikat Sarawak Energy Berhad (SEB) dan hampir 1,500 penduduk bakal kehilangan kediaman dan tanah adat yang diusahakan sejak sekian lama jika pembangunan itu diteruskan.

-NFN-