Categories
AGENDA GLOBAL

WHO kaji semula keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca

GENEVA, 16 MAC: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih menjalankan kajian semula terhadap keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca/Oxford apabila Perancis, Itali, Sepanyol dan Jerman menyertai negara lain menangguhkan penggunaan vaksin ini.

Beberapa negara bertindak menangguhkan penggunaan vaksin itu berikutan laporan segelintir penerima vaksin itu mengalami darah beku dan meninggal dunia, lapor Xinhua.

“Sejak Jumaat, beberapa negara telah menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca sebagai langkah pencegahan setelah laporan mengenai darah beku oleh penerima vaksin daripada dua kumpulan yang dihasilkan di Eropah,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Isnin.

Katanya kajian itu tidak semestinya berkaitan dengan vaksinasi, tetapi merupakan praktik rutin dan ini menunjukkan bahawa sistem pengawasan berfungsi dan wujudnya kawalan yang efektif.

Jawatankuasa Penasihat Global WHO mengenai Keselamatan Vaksin telah mengkaji data yang ada dan sedang berhubung rapat dengan Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) dan akan bertemu pada Selasa.

Pada Isnin, Perancis, Jerman dan Sepanyol memutuskan untuk menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca / Oxford Covid-19 sebagai “langkah pencegahan” sementara menunggu penilaian oleh EMA, yang membenarkan penggunaannya di Kesatuan Eropah (EU) pada 29 Januari.

Sebelum itu, Austria, Itali, Bulgaria, Denmark, Romania, Estonia, Lithuania, Luxembourg, Latvia dan negara-negara bukan EU Norway dan Iceland juga menangguhkan sepenuhnya atau sebahagian penggunaan vaksin AstraZeneca.

Tedros berkata ancaman terbesar dihadapi kebanyakan negara sekarang ialah kekurangan akses kepada vaksin kerana beberapa negara terkaya di dunia membeli secara berlebihan manakala banyak negara lain langsung tidak memperolehnya.

WHO meminta semua negara bersolidariti memastikan vaksinasi bermula dalam 100 hari pertama tahun ini.

“Tidak ada negara yang akan bebas pandemik walaupun setelah divaksinasi melainkan kita semua melakukannya bersama-sama,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Mohon lanjut tempoh bayar balik pinjaman PTPTN dibuka mulai esok

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Permohonan untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), boleh dilakukan mulai esok sehingga 31 Mac ini.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, peminjam yang layak boleh berbuat demikian melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my/PelanjutanBayaranBalikCovid19.

Tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan semasa permohonan.

“Peminjam yang layak adalah peminjam yang kehilangan pendapatan akibat diberhentikan pekerjaan dan yang terjejas pendapatan, ekoran pendapatan berkurangan.

“Pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk tempoh tiga bulan akan bermula pada bulan yang sama dengan kelulusan permohonan yang diberikan PTPTN dan dua bulan ke hadapan di antara Januari hingga Mei 2021,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel yang dikemukakan dalam tempoh tiga hari bekerja, dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.

Peminjam adalah diingatkan untuk mengemaskini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini, bagi memastikan maklumat berkenaan kelulusan permohonan pelanjutan dapat disampaikan kepada mereka.

“Mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran balik pinjaman melalui saluran yang disediakan, PTPTN mengucapkan terima kasih serta merakamkan penghargaan kepada semua peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman demi kelangsungan pembiayaan PTPTN kepada pelajar lain pada masa akan datang,” katanya.

Ahmad Dasuki berkata untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi ‘Careline’ PTPTN melalui talian di 03-21933000, yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang, atau melayari portal rasmi www.ptptn.gov.my di ruangan ‘Soalan Lazim’.

Pada 1 Januari lepas, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengumumkan bahawa, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman itu selama tiga bulan lagi, kepada peminjam yang layak.

Sebelum ini, kerajaan menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac hingga 31 Disember 2020 kepada semua peminjam PTPTN, berikutan pandemik Covid-19.

– BERNAMA