Categories
SELANGOR

Penubuhan JK Perwakilan Penduduk kelirukan rakyat

teng chang kim limSHAH ALAM 8 NOV : Kerajaan negeri menyifatkan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) yang ditubuhkan kerajaan pusat bagi menyokong program pembangunan masyarakat tidak mendatangkan manfaat dan mengelirukan rakyat kerana peranannya sama dengan ahli majlis.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Teng Chang Khim, berkata beliau kesal apabila kerajaan pusat bertindak mengumumkan perkara itu tanpa merujuk kepada kerajaan negeri terlebih dahulu.

Beliau berkata, Selangor sudah menubuhkan JPP mengikut zon sebelum ini dan perkara itu sudah dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Negara, bulan lalu.

“Selangor sudah mempunyai JPP yang ditubuhkan pada tahun 2008 dan jumlahnya bergantung kepada zon di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Oleh itu, saya minta kerajaan pusat berbincang dengan kerajaan negeri supaya tidak berlaku pertindihan kuasa dan kita tidak mahu ada dua kumpulan JPP yang berlainan,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata fungsi JPP yang dicadangkan kerajaan pusat didapati sama dengan tugas ahli majlis dan mungkin melanggar Perlembagaan.

Katanya, JPP yang tertumpu di kawasan bandar itu akan mensasarkan PBT di negeri Pakatan Rakyat (PR) dan mungkin bertujuan bersaing dengan ahli majlis lantikan kerajaan negeri.

“Kalau mereka ikhlas untuk membangunkan JPP, lebih baik peruntukan itu diberi kepada JPP sedia ada dan tidak perlu wujudkan dua kumpulan,” katanya. -NFN-

Categories
SELANGOR

Maahad Tahfiz Integrasi Sains diwujud di setiap daerah

halimah-01a

BANGI 8 NOV: Kerajaan Selangor mensasarkan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah sekolah Maahad Tahfiz Integrasi Sains dan sebuah Sekolah Kafa Menengah di setiap daerah di negeri itu.

Rancangan itu dibuat bagi melahirkan modal insan yang bukan sahaja memiliki ilmu duniawi untuk menjana kemajuan Selangor tetapi mempunyai pegangan agama yang mantap.

halimah 02Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali, berkata sehingga kini kerajaan negeri sudah mewujudkan Maahad Tahfiz Intergrasi Sains di tiga buah daerah.

“Kita mahukan generasi yang mantap Al-Quran kerana itu adalah sumber ilmu yang akan membentuk pembangunan negeri dalam acuan yang murni, selain memiliki kepakaran ilmu sains dan teknologi dalam usaha menjadikan Selangor negeri maju.

halimah 03“Kita komited melahirkan modal insan yang mempunyai gabungan kepakaran ilmu sains teknologi dan kemantapan pegangan agama kerana ini adalah proses perlaksanaan Manifesto Pakatan Rakyat Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu,” katanya pada Majlis Perasmian Kompleks Pendidikan Islam Bangi (KPi Bangi), di sini, hari ini.

Pembinaan KPi Bangi yang dianggarkan menelan kos RM2.7 juta itu turut menerima sumbangan RM240,000 dari kerajaan negeri dan selebihnya hasil sumbangan daripada orang perseorangan, masyarakat Bangi dan kutipan daripada pelbagai aktiviti yang dijalankan.

Penaung KPi Bangi, Dr Tajul Ariffin Noordin, berkata pihaknya masih memerlukan dana tambahan bagi tujuan pembinaan bumbung di Dataran KPi Bangi bagi kemudahan pelajar mengadakan pelbagai aktiviti.

halimah 04KPi Bangi yang mempunyai sebuah bangunan tiga tingkat itu turut memiliki kelengkapan kemudahan asas serba moden seperti auditorium, dewan serba guna, bilik mesyuarat, bilik transit lelaki, bilik tasmi perempuan, makmal komputer, makmal Bahasa Arab, perpustakaan, bilik guru dan tiga buah kelas.

KPi Bangi turut menempatkan Sekolah Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (Taski), Sekolah Agama Kafa dan Sekolah Menengah Kafa Tahfiz (Faiz) itu mempunyai hampir 600 orang pelajar dengan dikendalikan 25 tenaga pengajar. -NFN-

Categories
SELANGOR

Pembangunan ekonomi Malaysia perlu bebas dan adil

mb tppaSHAH ALAM 8 NOV : Pembangunan ekonomi Malaysia dilihat masih memerlukan pelaburan dan perdagangan antarabangsa, namun pelaksanaannya harus dilakukan secara bebas serta adil.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata lebih 60 peratus peluang ekonomi masih bergantung kepada perdagangan antarabangsa ekoran pasaran dalaman negara yang kecil sejak ekonomi Malaysia mula berkembang hingga kini.

Katanya, hal itu dilihat merujuk kepada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang kini dalam proses rundingan kerajaan pusat.

“Setiap orang mesti terima hakikat dan setuju bahawa kita tidak boleh lari daripada membuat hubungan dagangan antarabangsa dan rasanya tidak ada siapa menghalang.

“Namun, perlu diingatkan walaupun diterima tetapi pihak bertanggungjawab harus memastikan bahawa perjanjian perdagangan yang ditandatangani itu adil kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 100 hadirin terdiri daripada kakitangan kerajaan negeri, syarikat berkenaan kerajaan (GLC) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di majlis Taklimat TPPA yang diadakan di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Sesi taklimat TPPA itu disampaikan tiga ahli panel khas iaitu Profesor Gus Van Harten (Kanada), Pablo Solon (Bolivia) dan Cecilia Olivet (Uruguay), selain turut disertai Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Mengulas mengenai TPPA, Abdul Khalid berkata, perjanjian yang bakal ditandatangani Kerajaan Pusat pada awal tahun depan itu juga mampu memberi impak kepada kerajaan negeri.

“Contohnya, jika TPPA menyatakan pemberian kontrak harus terbuka kepada semua termasuk syarikat multinasional, namun Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pula bertindak memberi peluang kepada pengusaha bumiputera atas nama ingin membantu masyarakat, kita boleh disaman.

“Mereka boleh bawa Selangor ke mahkamah kerana tidak mematuhi syarat yang tertulis dalam perjanjian dan kita juga berpeluang untuk disaman dan bakal menyebabkan rakyat rugi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berharap taklimat yang diadakan itu memberi pengetahuan kepada orang ramai dalam memahami kesan TPPA, selain meminta kerajaan Ppsat dapat membuat keputusan yang menguntungkan rakyat. -NFN-

Categories
NASIONAL

PKR kecam tindakan 2 ADUN Sabah lompat parti

Tian Chua parlimen 01SHAH ALAM 8 NOV : Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak beretika dua pemimpin PKR dari Sabah yang bertindak meninggalkan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu, baru-baru ini.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata tindakan dua pemimpin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu disifatkan sebagai satu pengkhianatan besar kepada rakyat Malaysia, khusunya Sabah.

Beliau berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu juga jelas mengkhianati amanah yang diberikan rakyat Sabah ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Kenyataan bahawa mereka berdua sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti hanya satu helah dan alasan biasa bagi membenarkan langkah pengkhianatan mereka ini.

“Tindakan ADUN lompat parti ini adalah modus operandi biasa Barisan Nasional (BN) di Sabah untuk cuba melemahkan semangat perjuangan rakyat yang menginginkan perubahan,” katanya.

Justeru katanya, PKR menggesa rakyat Sabah supaya bersatu padu dan tidak membiarkan taktik kotor BN untuk memecah-belahkan semangat perjuangan dan reformasi PR.

Desas-desus berkenaan hasrat ADUN Matunggong, Jailani Hamdan dan ADUN Kadamaian, Jeremy Malajad @ Malazah untuk keluar parti menjadi perhatian selepas mereka didapati tidak hadir dalam mesyuarat bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu.

Jeremy dalam satu kenyataan menegaskan tindakannya keluar PKR dan menyokong BN adalah bagi membolehkan kawasan diwakilinya menikmati pembangunan.

Beliau yang mengumumkan keputusan menjadi wakil rakyat bebas turut meletak jawatan Ketua Penerangan PKR negeri, berkuatkuasa serta-merta, baru-baru ini.

-NFN

Categories
SELANGOR

Kaji beri kontrak tidak bermakna selagi BN berkuasa

Badrul Hisham Shaharin AMK Negeri SembilanSHAH ALAM 8 NOV : Saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuh Malaysia (SPRM) supaya projek kerajaan yang dianugerahkan melalui rundingan terus dan membabitkan pinjaman mudah perlu diteliti kabinet boleh dianggap sia-sia selagi Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan kuasa mereka.

BN dilihat menjadikan anugerah kontrak rundingan terus itu sebagai sumber dana politik mereka sehingga mampu mencecah jutaan ringgit bagi setiap projek.

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, keadaan itu menjadikan SPRM sebuah suruhanjaya tidak bertaring.

“Perkara ini masih berlaku kerana tidak ada kehendak politik kerana dana jentera BN sendiri datang dari kontrak kerajaan yang dianugerahkan secara rundingan terus.

“Selagi BN berkuasa, cadangan SPRM itu hampir mustahil untuk dilaksanakan, dan tidak membawa sebarang makna,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, semalam.

Badrul Hisham berkata, jentera BN memerlukan jumlah dana yang tinggi untuk membiayai program kepartian mereka yang berbeza dengan Pakatan Rakyat (PR)

Terdahulu, SPRM dalam laporannya menyarankan projek kerajaan yang dianugerahkan melalui rundingan terus dan membabitkan pinjaman mudah perlu diteliti kabinet, terutama jika membabitkan ‘keluarga dan sekutu’.

SPRM juga mengemukakan syor mengisytiharkan konflik kepentingan anggota keluarga yang mendapat pinjaman kerajaan, garis panduan untuk pinjaman mudah bagi kementerian kewangan serta peranan dan tanggungjawab pihak mewakili kerajaan dalam lembaga pengarah syarikat.

Laporan itu turut menyebut beberapa masalah dalam penganugerahan projek National Feedlot Corporation (NFC) kepada syarikat yang dimiliki dan diuruskan keluarga Ketua Wanita Umno yang juga bekas menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut SPRM dalam laporan 2012 itu, NFC turut diberikan pinjaman mudah RM250 juta walau tidak mempunyai kemahiran teknikal mahupun kewangan.

-NFN

Categories
SELANGOR

‘SMS undi PAS masuk syurga, undi BN masuk neraka’ dari BN

2013-11-07-13-54-47SHAH ALAM 8 NOV: Sistem pesanan ringkas (SMS) ‘menyeru’ pengundi memilih PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sebagai ‘tiket ke syurga’ sebenarnya bukan dihantar jentera pilihan raya PAS tetapi sebaliknya dihantar Barisan Nasional (BN).

Mesej terbabit yang juga mendakwa jika memilih UMNO akan menyebabkan individu itu masuk neraka jelas bertujuan menunjukkan kononnya mesej itu dihantar PAS, sekali gus memberi gambaran parti itu ekstrimis.

Taktik jentera BN untuk meraih undi secara kotor itu walaupun dapat dibaca sesetengah masyarakat tetapi masih tidak dapat dibuktikan.

Bagaimanapun taktik itu akhirnya dibuktikan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin ketika umat Islam di Malaysia bersedia menyambut tahun baru kalendar Islam, 1435 Hijrah.

Taktik itu berjaya dikesan apabila seorang anggota SAMM di Kedah menerima dua mesej berbeza dari nombor sama 019-5791297 yang diyakini dihantar jentera kempen BN.

“Mesej pertama diterima ketika kempen PRU-13 lalu dan saya percaya mereka terlupa atau menyangka tidak ada yang perasan penghantaran mesej kedua sebelum Maal Hijrah, baru-baru ini.

“Bagi telefon bimbit yang menggunakan sistem Android, setiap sms yang diterima akan menyebabkan mesej lama turut dipaparkan jika belum dipadam.

“Memang Allah ingin tunjuk apabila anggota SAMM itu tidak padamkan mesej pertama dan bila mereka hantar mesej kedua secara automatik mesej sebelum ini dipaparkan. Inilah yang dikatakan sepandai-pandai tupai melompat,” kata Badrul Hisham ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, semalam.

Mesej pertama yang diterima Mei lalu, berbunyi, “Ingatlah syurga neraka apabila mengundi. Undi PAS ke syurga, undi Umno ke neraka. PAS parti Allah (hizbullah), Umno parti syaitan”.

Mesej kedua yang diterima sebelum Maal Hijrah pula berbunyi “Salam. Selamat menyambut Maal Hijrah 1435H daripada Barisan Nasional “Bersatu Bersama Bergerak Ke Hadapan”.

Badrul Hisham berkata, BN sepatutnya kena fikirkan taktik lebih bijak lagi berbanding sms berbaur fitnah itu.

“Pengundi sekarang sudah cerdik, ramai yang sudah tahu taktik ini tetapi BN suka menghantar SMS melagakan ulama dalam PAS. Kaedah sama turut digunakan bagi melagakan pemimpin PAS dengan menghantar SMS pada Pilihan Raya Kecil Bukit Limau, baru-baru ini,” katanya.

-NFN

Kerajaan Selangor bantu penduduk Kg. Buloh Telor atasi tebing sungai runtuh

Sinopsis

FOKUS Untuk 07112013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Penduduk Kampung Buloh Telor kini boleh menarik nafas lega apabila runtuhan tebing sungai yang merosakkan satu-satunya jalan menghubungkan perkampungan Orang Asli itu akan dibaiki sepenuhnya tidak berapa lama lagi.

2. Kerajaan Selangor komited membantu meningkatkan taraf kehidupan penduduk Kampung Buloh Telor dengan menyediakan pelbagai prasarana untuk kemudahan penduduk kampung Orang Asli itu.

3. Tourism Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) komited untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 dengan mengambil inisiatif mempromosikan tempat pelancongan dan rekreasi di sekitar Selayang.

4. Pertubuhan Sukarelawan Islam Hospital Selangor (SAHABAT) adalah pertubuhan berdaftar yang ditubuhkan bagi membantu dan memberikan sokongan untuk memenuhi keperluan sosial, kebajikan serta emosi pesakit ketika menjalani rawatan serta pemulihan di hospital.

5. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kekal fokus dalam usaha membangun sektor infrastruktur pengangkutan awam dan pengurusan lalu lintas yang efisyen serta berintegrasi bagi memastikan kemudahan juga keselesaan penduduk sekitar.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

UNISEL jalin kerjasama dengan delegasi pendidikan Sulawesi

Unisel-GrafikBESTARI JAYA 7 NOV : Universiti Selangor (UNISEL) mengadakan seminar Pemerkasaan Wanita dengan kerjasama deligasi pendidikan dari Sulawesi, Indonesia yang berlangsung di Dewan Senat Canselori, di sini, hari ini.

Seminar itu bertujuan menyambut kedatangan 20 deligasi Kopertis Wilayah IX yang datang membuat lawatan kerja sebagai kunjungan balas kepada Unisel yang melawat Sulawesi, pada Mei lalu.

Kopertis Wilayah IX adalah gabungan 320 institusi pendidikan swasta yang terdapat di Sulawesi dan hasil kerjasama itu memberikan manfaat besar kepada UNISEL dalam usaha meningkatkan jumlah pelajar terutama daripada luar negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Dan Sains Sosial Unisel, Datin Dr Asmah Ahmad, berkata keakraban hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia dilihat mampu mengembangkan sektor pendidikan negara dalam meningkatkan program bercorak ilmiah, sekali gus dapat bertukar pandangan antara wakil dua negara.

“Hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia khasnya UNISEL berjaya menambah bilangan pelajar PhD di universiti ini. Kita juga akan menggalakkan pelajar ke negara terbabit untuk membuat latihan industri.

“Kalau ada peluang kita akan menghantar pelajar menjalani latihan industri di sana kerana kehidupan yang mencabar. Kita sudah pergi dan melihat jika di sana kalau yang kaya, sangat kaya, tetapi golongan bertaraf rendah, sungguh menyedihkan,” katanya.

Katanya, usaha yang dilakukan Pengarah Institut Kajian Malaysia-Indonesia, Prof Dr Zaidi Hajazi yang menjadi penghubung antara universiti itu dengan pusat pendidikan Sulawesi adalah langkah proaktif dalam mencapai persefahaman dalam mempelajari sosiobudaya dan latar belakang dua negara berbeza.

Pengarah Yayasan Pendidikan Ujung Pandang Makassar, Dr Roslina Alam, berkata pemilihan UNISEL sebagai rakan jalinan kerjasama pendidikan itu dilihat mampu mengetengahkan wanita ke tahap yang lebih baik sebagai antara watak penting dalam sektor industri.

Beliau yang membuat pembentangan berkenaan peranan wanita dalam urus tadbir yang baik melihat pembabitan golongan terbabit mampu dikembangkan menerusi latihan dan menyediakan lebih banyak peluang buat mereka.

Rektor Universiti Veteran Republik Indonesia, Dr Andi Niniek Fariaty pula berkata, beberapa wanita di Sulawesi sudah menjadi pemimpin di peringkat masyarakat dan segala pandangan yang diketengahkan melalui seminar itu diharap dapat diadaptasi untuk memantapkan lagi wanita di Sulawesi.

-NFN-

Kerajaan Selangor sedia jadi ‘orang tengah’ antara nelayan dan Kerajaan Pusat

Sinopsis

FOKUS Untuk 06112013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan Selangor akan terus membantu nasib golongan nelayan yang terjejas ekoran penguatkuasaan baru Kerajaan Pusat dengan berusaha mengadakan pertemuan antara kedua belah pihak.

2. Isu mogok nelayan di seluruh negara wajar diselesaikan dengan kadar segera Kerajaan Pusat demi kebaikan rakyat dan golongan nelayan, tegas Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.

3. Sebanyak 1,000 wisel diedarkan kepada orang awam oleh wanita DAP Selangor bagi membendung jenayah ragut dan rompak di sekitar pasar borong Seri Kembangan, di sini, baru-baru ini.Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersiap sedia dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan terutama longkang besar dan kolam tadahan banjir untuk berhadapan bencana alam terutama banjir.

4. Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengakui Selangor menjadi pilihan sebagai ‘destinasi’ utama kegiatan jenayah seperti kes tembakan dan gejala sosial lain yang dipercayai berpunca daripada kepadatan penduduk.

5. Peniaga di Medan Selera Prima Dua, di sini, dinasihatkan supaya mementingkan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan dan minuman selain mematuhi peraturan yang ditetapkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

6. Pasangan suami isteri, Mohd Dawam Dollah dan Noraisah Hassan dianugerahkan Tokoh Keluarga Mithali dalam Majlis Ambang Hijrah dan Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1435H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Categories
SELANGOR

EKSKLUSIF SIRI 2 : Polis akui Selangor ‘destinasi’ utama jenayah

jenayahSHAH ALAM 6 NOV : Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengakui Selangor menjadi pilihan sebagai ‘destinasi’ utama kegiatan jenayah seperti kes tembakan dan gejala sosial lain yang dipercayai berpunca daripada kepadatan penduduk.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata rakyat negeri itu terdiri daripada pelbagai kaum dan warganegara asing yang sering berkunjung atas pelbagai urusan, yang mana ada di kalangan mereka didapati mengambil kesempatan melakukan jenayah.

Katanya, indeks jenayah  di Malaysia juga secara keseluruhannya banyak dipengaruhi kejadian di Selangor dengan kadar kira-kira 40 peratus.

“Kebiasaannya, indeks jenayah  di Malaysia bergantung kepada kadar di Selangor kerana negeri ini termasuk di kawasan Lembah Klang. Walaupun terdapat peningkatan kes jenayah sebanyak lima peratus sehingga Ogos lalu, namun polis Selangor berjaya mengurangkannya kepada enam peratus,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, baru-baru ini.

Shukri berkata, tidak adil bagi sesetengah pihak untuk membuat dakwaan bahawa polis gagal menjalankan tugas dengan baik dalam menangani kes berkenaan, namun beliau tidak menafikan bahawa jenayah di Selangor membimbangkan dan pihaknya sentiasa berusaha memantau serta menangani masalah itu secara agresif.

“Tidak bermakna jika Selangor penuh dengan cerita jenayah, maka orang ramai menganggap polis tidak membuat kerja. Kita tidak nafikan jenayah di Selangor perlu ditangani secara agresif, tetapi polis sentiasa menggerakkan anggota kami dan berusaha mengurangkan jenayah atau gejala sosial yang berlaku di negeri ini secara holistik,” katanya.

Beliau berkata, OPS Cantas Khas dan sekatan jalan raya yang sering diadakan di beberapa kawasan tumpuan di negeri itu berjaya mengurangkan kadar jenayah kepada empat hingga enam peratus sehingga awal bulan ini.

“Usaha ini akan diteruskan polis Selangor sebagai salah satu pendekatan membanteras jenayah, selain memantapkan strategi bagi memastikan keadaan dan keselamatan rakyat kembali terkawal.

“Selain itu, tidak dinafikan pemansuhan dua undang-undang iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) juga memberi kesan kepada peningkatan jenayah di negara ini.

Katanya, pelaksanaan kedua-dua undang-undang tanpa bicara itu berkesan untuk menghalang penjenayah daripada melakukan kesalahan kerana mereka diletakkan di dalam kem tahanan dalam tempoh tertentu.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Selangor mencatatkan indeks jenayah tertinggi berbanding negeri lain membabitkan jumlah 32,348 kes sepanjang Januari hingga September tahun ini.

Daripada jumlah itu, kes curi motosikal menunjukkan kekerapan tertinggi dengan 9,698 kes, diikuti kes pecah rumah dan curi (5,682), samun berkumpulan tanpa senjata api (4,583) dan curi motokar (4,370), manakala 293 kes rogol dicatatkan, kes bunuh (124), ragut (698) serta mencederakan (868).

Kedudukan jenayah di Selangor juga dicatatkan sebagai tertinggi sejak lima tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2008 (57,752 kes), 2009 (54,994), 2010 (49,469), 2011 (44,302) dan 2012 (40,629).

Selain itu, Selangor mempunyai kes kesalahan narkotik paling tinggi dengan 18,602 tangkapan, manakala 18,063 sudah ada dalam kes polis membabitkan kes pengedaran, pemilikan, penyalahgunaan dan penagihan dadah, selain kekal di tangga teratas mencatatkan kira-kira 15 kes kematian berpunca daripada tembakan, bermula Januari hingga September lalu.

-NFN-