Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PBT SELANGOR

MBSJ ambil langkah segera atasi pencemaran bau

SUBANG JAYA, 26 FEB: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengambil langkah segera menangani pencemaran bau busuk di Jalan TK 4/10, Taman Kinrara 4 di sini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya berkata sebaik menerima laporan kelmarin, penyelesaian segera telah dilakukan dengan melantik syarikat Worldwide Holding Sdn Bhd.

“Syarikat berkenaan menjalankan kerja mengenal pasti punca air di dalam tanah dan menjalankan proses mengeluar dan merawat cecair tersebut berdasarkan pengalaman mereka.

“Proses kerja telah dijalankan kelmarin melibatkan kerja mengorek beberapa perigi bagi menakung cecair di dalam tanah dan seterusnya menyedut cecair tercemar berkenaan keluar menggunakan lori tangki sebelum ia dilupuskan,” kata Azfarizal Abdul Rashid.

Beliau berkata demikian kepada Selangorkini selepas mengadakan tinjauan di tapak berkenaan, petang semalam.

Azfarizal menjelaskan kerja-kerja berkenaan dijangka selesai dalam tempoh tiga minggu dengan kos operasi itu ditanggung pemilik tanah.

Katanya, punca bau disebabkan berlaku aktiviti pembuangan sampah haram kerana tapak tidak digunakan dan ia dikesan sekitar dua bulan lalu.

“Tindakan kompaun telah dikenakan kepada pemilik tanah,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pencemaran bau catat sifar TON, LRA Semenyih kembali beroperasi

SHAH ALAM, 16 DIS: Tiga bacaan pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih akibat bau diesel telah mencatat sifar TON (nombor bau nilai ambang), menurut Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata justeru itu, LRA berkenaan beroperasi semula pada jam 12.30 tengah hari tadi.

“Gangguan minimum segera pulih secara berperingkat. Terima kasih @luas_selangor dan @air_selangor yang tangani hal ini secara pantas.

“Ambil masa kurang empat jam untuk selesai,” tulis beliau di Twitter.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas hari ini susulan pencemaran bau diesel yang dikesan di Sungai Semenyih pagi semalam.

Berikutan itu, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan aplikasi Air Selangor.

Senarai kawasan terlibat dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air di Sepang, Putrajaya pulih lebih 50 peratus

SHAH ALAM, 4 SEPT: Lebih 50 peratus bekalan air di Sepang dan Putrajaya yang terjejas akibat pencemaran bau Sungai Semenyih kembali pulih setakat jam 9 malam ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan sebanyak 80.4 peratus pemulihan di Sepang dan Putrajaya (56.5 peratus).

Manakala pemulihan bekalan di Kuala Langat masih di paras 25 peratus, sementara Hulu Langat dan Petaling belum pulih sepenuhnya.

“Air Selangor ingin menyarankan agar para pengguna yang mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Air Selangor juga berharap pengguna menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” menurut kenyataan di Facebook.

Semalam, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Wilayah terjejas ialah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Perkembangan insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang http://www.airselangor.com.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air terawat bersih disalur berperingkat ke 463 kawasan terjejas

SHAH ALAM, 4 SEPT: Bekalan air terawat yang bersih dan selamat mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna di 463 kawasan terjejas akibat pencemaran bau Sungai Semenyih sejak jam 5.30 petang tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pihaknya sedang berusaha menstabilkan sistem agihan bekalan di kesemua kawasan dan ia dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi, Isnin ini.

“Air Selangor ingin menyarankan agar para pengguna yang mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Air Selangor juga berharap pengguna menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau menambah sebanyak 94 lori tangki air digerakkan ke kawasan terjejas dan premis kritikal sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki,” katanya.

Semalam, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Wilayah terjejas ialah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Perkembangan insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air 463 kawasan terjejas akibat pencemaran bau Sungai Semenyih

SHAH ALAM, 3 SEPT: Sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi Facebook berkata pencemaran terbabit menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya pada jam 5.15 petang tadi.

Katanya, wilayah terjejas ialah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan insiden dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/

Berikut senarai 463 kawasan di lima wilayah terjejas:

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekalan air di 463 kawasan terjejas pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 2 SEPT: Semua 463 kawasan di lima wilayah yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual akibat pencemaran bau pulih sepenuhnya jam 6 pagi tadi.

Sehubungan itu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menghargai kesabaran dan kerjasama pengguna sepanjang tempoh berkenaan.

“Pengguna disaran mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang http://www.airselangor.com.

“Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor,” katanya di Facebook pagi ini.

Sejak kelmarin, kawasan di Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat terjejas disebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih selepas pencemaran bau dikesan di stesen pam air mentah Jenderam Hilir.

Categories
AGENDA NASIONAL

LRA Sungai Semenyih henti tugas, 463 lokasi dijangka alami gangguan air

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sebanyak 463 kawasan di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan menyebut pencemaran dikesan pada jam 11.10 pagi tadi sekali gus menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Ketua komunikasi korporatnya menjelaskan lokasi terlibat ialah 172 di Petaling, Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

“Air Selangor sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor bagi mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitarnya.

“Berikutan henti tugas LRA Sungai Semenyih ini, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual,” kata Elina Baseri.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata Air Selangor mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air kepada pengguna terlibat.

“Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19,” katanya lagi.

Senarai lengkap lokasi yang terlibat dengan gangguan bekalan air boleh didapati melalui laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada alat khas kesan pencemaran bau, hanya guna deria

SHAH ALAM, 27 NOV: Tiada alat khas digunakan bagi mengesan pencemaran bau pada sumber air mentah, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata ketika ini pencemaran hanya mampu dikesan dengan menghidu bau tersebut secara terus.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri berhasrat menggunakan alat menganalisis kandungan karbon organik (TOC) bagi mengesan punca pencemaran.

“Biasanya bau kandungan tercemar berasal daripada bahan organik, justeru alat ini akan mengesan sebarang punca melalui perubahan tindak balas air tercemar,” katanya.

Ir Izham Hashim bercakap pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di Bilik Gerakan Pejabat Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 26 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau bercakap pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di sini semalam.

Ir Izham menambah pencemaran bau lebih kerap berlaku berbanding tumpahan diesel dan minyak sawit yang dialami sebelum ini.

Jelasnya, sumber air yang mengalami pencemaran bau tidak boleh diproses meskipun tahap pencemaran TON (nombor bau nilai ambang) rendah dan tidak mengubah warna air.

“Pengurusan Air Selangor ada pengalaman. Bila air 1 TON (tercemar) diproses, ada tindak balas kimia yang menyebabkan bau bertambah kuat. Kita juga mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tiada gangguan air, LRA Rantau Panjang beroperasi semula

SHAH ALAM, 18 NOV: Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang yang dihenti tugas pada jam 7.10 malam tadi telah beroperasi semula, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata susulan itu tiada gangguan bekalan air kepada pengguna kerana loji dihenti tugas selama beberapa jam sahaja.

“LRA Rantau Panjang mula beroperasi semula jam 9.30 malam tadi setelah isu pencemaran yang dikesan berjaya diselesaikan dan mencapai tahap sifar TON (nombor bau nilai ambang),” katanya menerusi Facebook.

LRA berkenaan dihenti tugas selepas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesan pencemaran bau pada jam 7 malam tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dalam kenyataan berkata terdapat bau seakan bahan pelarut dengan bacaan satu TON di muka sauk loji.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Pencemaran bau dikesan, LRA Rantau Panjang dihenti tugas

SHAH ALAM, 18 NOV: Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dihenti tugas pada jam 7.10 malam tadi susulan pencemaran bau dikesan pada muka sauk loji.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berkata tindakan itu susulan laporan dari Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada jam 7 malam.

“Terdapat bau seakan bahan pelarut dengan bacaan satu TON (nombor bau nilai ambang).

“Luas, Air Selangor dan pihak terlibat menjalankan siasatan dan tindakan mitigasi segera. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata agensi menerusi Facebook.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB lawat loji, jangka pencemaran bau pulih petang ini

SHAH ALAM, 19 OKT: Pencemaran bau di loji rawatan air (LRA) dijangka pulih petang ini jika keadaan semakin baik dan bekalan air ke kawasan terjejas akan disalur secara berperingkat.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam satu kenyataan menyebut LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 merekodkan bacaan satu TON (nilai bau ambang), manakala LRA Rantau Panjang mencatat sifar TON.

TON ialah unit ukuran kadar pencairan yang diperlukan untuk menghilangkan bau di dalam air.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha memulihkan pencemaran di empat LRA sedang giat dilaksanakan.

“Mengikut trend bacaan semasa, pencemaran dijangka pulih pada petang ini. Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat selepas itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kerja-kerja pemulihan bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 berikutan pencemaran bau yang yang dikesan pada awal pagi, 19 Oktober 2020. Foto Facebook Amirudin Shari

“Laporan polis telah dibuat berhubung kes pencemaran. Siasatan sedang dilaksanakan,” maklum Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Terdahulu, beliau melawat muka sauk Sungai Selangor Fasa 2 untuk meninjau kerja-kerja pemulihan bekalan air berikutan pencemaran yang dikesan awal pagi ini.

Sementara itu, Amirudin berkata sebanyak 81 lori tangki air, 34 tangki statik dan 17 pusat khidmat setempat digerakkan oleh Air Selangor untuk pengguna yang terjejas.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.

Insiden itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1.2 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan meliputi wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kadar pencemaran LRA Sungai Semenyih turun

SHAH ALAM, 5 OKT: Bacaan nombor bau nilai ambang (TON) di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih turun kepada tujuh berbanding sembilan sehingga jam 3 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan bacaan di LRA Bukit Tampoi, Dengkil pula meningkat kepada 9 TON berbanding 8 TON pada jam 12.30 tengah hari.

“Berikutan ini, kedua-dua loji rawatan masih belum boleh beroperasi,” katanya dalam kenyataan.

Agensi itu turut menggalakkan pengguna untuk mengambil bantuan bekalan air di pili awam dan pusat khidmat setempat (PKS) dengan merujuk laman sesawang Air Selangor.

Selain itu, bantuan melalui lori tangki air diutamakan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara kematian.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com

Semalam, LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas susulan pencemaran bau bangkai di Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

Berikutan itu, sebanyak 274 kawasan membabitkan 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.