Categories
AGENSI SELANGOR

LUAS berjaya tangani 18 insiden pencemaran sungai sejak Januari

SHAH ALAM, 22 JUN: Sebanyak 18 insiden pencemaran sungai berjaya ditangani segera bagi mengelak henti tugas loji rawatan air (LRA) sejak Januari sehingga semalam.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi kenyataan berkata sehingga kini juga tiada kes pencemaran direkodkan dalam tempoh tersebut.

“LUAS sentiasa menggerakkan Skuad Pantas untuk melaksanakan operasi pemantauan 24 jam di kawasan sensitif sumber air iaitu di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Tindakan ini bagi mencegah daripada berlakunya pencemaran sumber air dan meminimumkan risiko henti tugas LRA disamping memastikan kelangsungan sumber air di negeri ini sentiasa terpelihara,” katanya.

LUAS turut menyeru orang awam membuat aduan berhubung aktiviti mencurigakan sehingga menyebabkan pencemaran sumber air dengan menghubungi talian WhatsApp 019-264 7904 atau e-mel [email protected].

Berdasarkan rekod sepanjang tahun lalu, LUAS berjaya menangani 19 daripada 29 kes pencemaran air. Bagaimanapun, baki 10 kes menyebabkan henti tugas LRA sehingga menjejaskan bekalan air kepada pengguna.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kilang cat terbakar: LUAS pantas bertindak elak Sungai Semenyih tercemar

SHAH ALAM, 13 APRIL: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pantas bertindak menghalang pencemaran sumber air susulan Sungai Batang Benar dicemari air berwarna putih akibat kebakaran kilang cat di Nilai 3 semalam.

EXCO alam sekitar berkata pihaknya menerima laporan sungai di Negeri Sembilan itu tercemar dan siasatan awal mendapati jarak insiden ke muka sauk Jenderam Hilir, Sungai Semenyih ialah 13.7 kilometer.

“LUAS mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

“Ujian pensampelan bau dilaksanakan di tiga lokasi berbeza di Sungai Pajam, Sungai Beranang dan Sungai Semenyih mencatatkan kadar bau sifar ton,” kata Hee Loy Sian dalam kenyataan hari ini.

Kilang cat di kawasan perindustrian Nilai 3 musnah 70 peratus dalam kebakaran pada 12 April 2021. Foto LUAS

Beliau menjelaskan LUAS juga meletakkan 10 beg serbuk karbon teraktif di Sungai Batang Benar untuk mencegah pencemaran bau dalam air mentah.

“Tindakan pantas kawalan di tapak berjaya mengelakkan henti tugas LRA Sungai Semenyih dan tiada berlaku gangguan bekalan air kepada pengguna,” katanya.

Sebuah kilang cat di kawasan perindustrian Nilai 3 dilaporkan musnah 70 peratus dalam kebakaran petang semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Abd Rahman Ali berkata 64 anggota digerakkan daripada lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Nilai, Mantin, Seremban, Seremban 2, Port Dickson.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JAS perlu perketat penguatkuasaan atasi pencemaran sungai

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Isu gangguan bekalan air di Lembah Klang yang berpunca daripada pencemaran bekalan air mentah dari sungai kerap berlaku sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan persoalan mengapa pihak berkuasa masih buntu menangani masalah itu.

Terbaru, Selasa lepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas setelah pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor, menyebabkan gangguan bekalan air melibatkan 1,139,008 akaun pengguna merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Pencemaran sungai yang sering berlaku terus mengundang resah dan bosan rakyat yang mahu tindakan lebih konkrit diambil kerana 90 peratus sumber air mentah negara ini diambil dari air sungai atau air permukaan.

Risiko pencemaran sungai seperti tidak akan berakhir terutama dengan situasi hari ini apabila berlaku pembangunan pesat di kawasan hulu sungai dengan pembukaan kilang dan premis yang boleh menyumbang kepada pencemaran. Dalam kes Selasa lepas, ia dikesan berpunca daripada pembuangan sisa dari sebuah premis di Taman Velox, Rawang yang melakukan pelepasan secara haram.

Bagi pensyarah Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Azhar Abdul Halim, sungai di Lembah Klang mencapai tahap tepu yang menjadikannya lebih sensitif kepada pencemaran.

Katanya, oleh itu tidak ada pilihan lain untuk masalah itu melainkan mengawal pencemaran, menguruskan bahan-bahan kimia oleh kilang, memantau dan mengenal pasti sisa yang dilepaskan selain memperbanyakkan lagi kemudahan takungan air untuk kegunaan semasa kecemasan.

“Jika 20 tahun lalu, pencemaran yang berlaku masih boleh diserap tetapi sekarang lembangan sungai tidak lagi mampu dan sebarang pencemaran akan memberi kesan terus kepada rakyat dan pihak yang mencemarinya. Oleh itu pembuangan sisa industri secara tidak terkawal paling utama wajib dibanteras kerana ia menjadi sumber pencemaran,” katanya kepada Bernama.

Azhar berkata isu utama yg harus ditangani adalah kilang haram yang terdapat di Sungai Selangor terutama di bahagian hulu sungai kerana kilang haram ini sukar dipantau dan mengambil jalan mudah membuang sisa berjadual ke dalan sistem pembentungan untuk mengelakkan kos rawatan di Kualiti Alam, syarikat yang menguruskan pelupusan bagi sisa terjadual di Malaysia.

Kerana itu, setiap industri wajib berlesen dan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) seharusnya mempunyai maklumat yang terkini bagi setiap bahan kimia yang digunakan, sisa kimia yang bakal dan beroperasi dilupuskan.

“Peraturan memang ada iaitu bagi industri berlesen wajib merawat air sisa yang dilupuskan. Jika melibatkan sisa berjadual memang wajib dirawat atau dihantar ke Kualiti Alam untuk rawatan. Ini semua melibatkan kos dan ia perlu dipantau. Sementara itu kilang-kilang haram memang tidak akan ada sistem rawatan,” katanya.

Tegasnya, penguatkuasaan yang ketat perlu dilakukan oleh JAS kerana jika pemantauan dan penguatkuasaan longgar kemungkinan ada pihak industri walaupun berlesen tidak melupuskan sisa tanpa rawatan kerana kos yang perlu dibayar.

Mengikut peraturan yang ditetapkan JAS, sisa industri berjadual perlu dihantar ke satu premis tertentu untuk dirawat dan diuruskan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Peningkatan kekerapan pencemaran sungai yang berlaku kebelakangan ini menimbulkan tanda tanya adakah keadaan ini berkait rapat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan di kebanyakan negeri termasuk Lembah Klang ketika ini?

Pakar Kualiti Air dan Permodelan Kualiti Air Dr Zaki Zainudin berkata terdapat rasional andaian itu berikutan ramai peniaga dalam kalangan industri kecil dan sederhana mengalami kegawatan akibat PKP dan PKPB hingga ada yang terpaksa menutup operasi.

Keadaan ini juga dipercayai memberi kesan kepada kerja pembersihan sisa industri yang menyebabkan pihak terbabit mengambil jalan mudah melupuskan bahan-bahan pencemar sewenang-wenangnya.

“Kos rawatan sisa industri bukannya murah…, ia boleh menelan belanja beribu-ribu ringgit malah berpuluh-puluh ribu ringgit. Jadi mungkin disebabkan kegawatan ekonomi yang berlaku sekarang ini menyebabkan premis-premis ini mengambil jalan mudah bagi mengurangkan kos.

“Keadaan ini menyebabkan lebih banyak premis melupuskan sisa-sisa secara haram bagi kurangkan kos untuk mereka bertahan dalam situasi pandemik ini,” katanya.

Pihak berwajib sepatutnya mendengar pandangan pemain industri ini untuk mengetahui keadaan sebenar yang berlaku sama ada mereka terkesan dari segi kos merawat sisa industri.

Jika benar mereka terkesan, mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian insentif kepada mereka untuk memastikan mereka dapat merawat sisa industri seperti yang ditetapkan, kata Zaki.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPS beri tempoh 24 jam pemilik kilang bersih sisa minyak sawit

SHAH ALAM, 24 OKT: Pemilik kilang di kawasan perindustrian Kundang, Rawang yang menjadi punca pencemaran bau di Sungai Kundang diberi tempoh 24 jam untuk membersihkan sisa minyak sawit.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata notis kacau ganggu dikeluarkan mengikut Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) menerusi operasi pemantauan pencemaran bahan biodiesel semalam.

“Sekiranya premis berkenaan gagal mematuhi notis yang diberikan, tindakan penutupan premis dan penarikan lesen akan diambil oleh MPS,” kata Shamsul Sharil Badliza Mohd Noor dalam kenyataan.

Beliau berkata semua premis di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu diingatkan mematuhi garis panduan bagi menjalankan sebarang aktiviti supaya tidak menimbulkan isu pencemaran.

“MPS akan lebih agresif dan membuat pemantauan berterusan serta mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada terhadap pihak tidak bertanggungjawab sehingga mencemarkan alam sekitar,” katanya.

Semalam, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berjaya mengesan pencemaran bau sehingga 10 TON (nilai bau ambang) di sungai berkenaan sekali gus berjaya mengelak henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian memaklumkan siasatan lanjut Luas bersama Air Selangor di premis yang disyaki mendapati bau sama sehingga 10 TON dikesan di pelepasan akhir premis di kawasan industri Kundang Jaya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan suspek cemar Sungai Selangor direman tujuh hari

SHAH ALAM, 22 OKT: Lapan suspek yang dipercayai terlibat dengan insiden pencemaran Sungai Selangor direman tujuh hari mulai hari ini hingga 28 Oktober.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor berkata suspek merupakan seorang pengarah syarikat yang ditahan bersama bapanya, manakala enam lagi pekerja tempatan dan asing.

“Perintah reman dikeluarkan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan di Mahkamah Majistret Selayang, Gombak pagi tadi. Mereka (suspek) diwakili dua peguam,” kata Datuk Fadzil Ahmat dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan khianat yang mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga bekalan kepada manusia dan haiwan susut.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 19 Oktober, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang dihenti tugas susulan pencemaran bau dikesan pada awal pagi.

Berikutan itu, sebanyak 1.2 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Empat LRA ditutup, lebih 1.1 juta akaun pengguna alami gangguan air

SHAH ALAM, 19 OKT: Lebih 1.1 juta akaun pengguna di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air susulan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) akibat pencemaran di Sungai Selangor.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata ia merangkumi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

“LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSF1), Sungai Selangor 2 (SSF2), Sungai Selangor 3 (SSF3) dan Rantau Panjang dihenti tugas selepas pencemaran dikesan jam 2 pagi tadi.

“Setakat 6.30 pagi ini, pencemaran ditahap 1 TON (kadar pencemaran bau). Pemulihan pada tahap 80 peratus namun berikutan pencemaran bau melibatkan loji sama, ia tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual,” kata Elina Baseri dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, Air Selangor melepaskan 285 juta liter air sehari (JLH) dari projek Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS) 600 serta 800 JLH dari empangan bagi mencairkan pencemaran berkenaan sementara Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengepam air mentah dari kolam KL Larut dengan kapasiti 336 JLH.

“Lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas terutama premis kritikal seperti hospital serta pusat dialisis dan pengguna yang memerlukan bantuan air untuk kecemasan seperti kematian boleh menghubungi talian 15300.

Maklumat gangguan bekalan air akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi agensi termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tangkap suspek pencemar sungai, MB hargai tindakan polis

SHAH ALAM, 14 OKT: Dato’ Menteri Besar menghargai tindakan polis yang berjaya menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan kes pencemaran Sungai Semenyih.

“Terima kasih polis atas tindakan tegas dalam siasatan kes pencemaran sungai yang telah menjejaskan bekalan air di Selangor,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter hari ini.

Dilaporkan seramai tiga orang suspek berjaya ditahan setakat ini dalam insiden yang turut menjejaskan Sungai Batang Benar di Nilai.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian pada 5 Oktober memaklumkan aktiviti pembersihan ladang angsa disyaki punca pencemaran yang menyebabkan operasi dua loji rawatan air dihenti tugas.

Kejadian itu menyebabkan sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor minta Negeri Sembilan siasat lanjut punca sungai tercemar

SEPANG, 5 OKT: Selangor mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran serta Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan melakukan siasatan lanjut di lokasi disyaki menjadi punca pencemaran bau hingga menyebabkan 309,687 akaun pengguna negeri ini berdepan masalah bekalan air.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata tumpuan dilakukan di kawasan Perindustian Nilai 3 memandangkan lokasi khusus tidak dapat dikenal pasti.

“Jadi mereka sedang siasat kawasan terbabit. Penguatkuasa Selangor susah untuk jalankan siasatan kerana ia di luar kawasan negeri.

“Kita harap Negeri Sembilan ambil inisiatif menyiasat punca kejadian ini. Unsur sabotaj juga akan disiasat,” katanya pada sidang media di Tasik Idaman hari ini.

Loy Sian berkata laporan polis akan dibuat berhubung kejadian selain JAS akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak melanggar Akta Kualiti Alam Sekitar.

Semalam, dua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas susulan pencemaran bau bangkai di Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

Berikutan itu sebanyak 274 kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Pencemar sumber air berdepan denda RM1 juta, penjara tiga tahun

SUBANG JAYA, 26 SEPT: Individu didapati bersalah mencemarkan sumber air Selangor berdepan hukuman denda sehingga RM1 juta dan penjara tiga tahun, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pindaan hukuman di bawah Seksyen 79 Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas) 1999 akan dibentang pada sidang Dewan Undangan Negeri yang dijangka November ini.

“Denda RM100,000 akan dipinda kepada nilai tidak kurang RM200,000 dan tidak lebih RM1 juta serta boleh dipenjarakan tidak lebih tiga tahun.

“Kerajaan Selangor memandang serius isu pencemaran sungai dan Luas sedang menambah baik Enakmen Luas 1999 meliputi keseluruhan perihal pengurusan sumber air negeri terutama tahap hukuman,” katanya melalui ucapan dibacakan EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim sempena Hari Sungai Sedunia Peringkat Negeri hari ini.

Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga menyemak Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 sebelum membuat pindaan bagi menekankan hukuman berat kepada pesalah terbabit.

“Luas menubuhkan Skuad Pantas bagi mengawal 24 jam kawasan sensitif sumber air di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang yang berisiko menyebabkan henti tugas loji pembersihan air,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Luas guna dron pantau sumber air

SUBANG JAYA, 26 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menggunakan dron untuk memantau sumber air bagi memastikan tiada pencerobohan dan pencemaran berlaku.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata teknologi itu juga boleh digunakan untuk mengambil sampel air serta memberi amaran awal sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan, lapor Sinar Harian.

“Projek perintis ini membuktikan Kerajaan Negeri serius mengatasi isu pencemaran sumber air selain penubuhan Skuad Pantas Luas yang melakukan pemantauan 24 jam di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang.

“Op Sumber Air dilaksana oleh Luas sejak Mac berjaya mengelak tujuh insiden pencemaran yang boleh menyebabkan henti tugas LRA (Loji Rawatan Air) dan gangguan bekalan air,” Ir Izham Hashim dipetik sebagai berkata.

Pada 10 September, Dato’ Menteri Besar berkata teknologi dron akan digunakan bagi menjalankan pemantauan di kawasan sungai sebagai langkah mengelak insiden luar jangka yang memberi risiko terhadap sumber air mentah di LRA.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tambahan teknologi membolehkan rondaan secara kerap tanpa manusia dilakukan terutama di dua lembangan sungai penting iaitu Sungai Selangor dan Sungai Langat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor tubuh jawatankuasa pantau pemuliharaan sungai

SUBANG JAYA, 26 SEPT: Kerajaan Selangor menubuhkan jawatankuasa khas bagi merancang dan memantau program pemuliharaaan sungai negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Jawatankuasa Pelaksanaan Pemuliharaan Sungai Negeri Selangor merangkumi dasar, polisi serta strategi dilaksanakan Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

“Strategi pertama menyentuh pembangunan fizikal sungai seperti menaik taraf struktur tebing, landskap dan pusat info manakala strategi kedua berkenaan peningkatan kebersihan rizab dan kualiti sungai.

“Seterusnya meningkatkan kesedaran awam dan penglibatan pihak berkepentingan seperti Friends of River (FoR), modul pembelajaran, program kesedaran dan pembangunan platform pangkalan data,” katanya melalui ucapan dibacakan EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim sempena sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Negeri hari ini.

Jelas Amirudin, pihaknya turut mengkaji insentif untuk pemberi maklumat insiden pencemaran atau aktiviti berisiko mengundang masalah air.

“Cara ini membantu kerajaan mengenalpasti pihak yang tidak bertanggungjawab dan prihatin terhadap sungai dan sumber air negeri,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pencemaran sungai di Selangor semakin kurang

KLANG, 26 NOV: Peningkatan kesedaran masyarakat terhadap isu alam sekitar menjadi salah satu faktor isu-isu pencemaran sungai semakin berkurangan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkara ini terbukti apabila semakin ramai masyarakat berani tampil membuat aduan jika mereka ternampak sebarang aktiviti mencurigakan.

“Secara keseluruhan, jumlah kes pencemaran sungai semakin menurun dari tahun ke tahun tetapi untuk dibenteras sehingga kosong kita terpaksa ambil masa lagi.

“Dalam tempoh setahun dua ini, keprihatinan rakyat juga semakin tinggi kerana beberapa kes yang kita dapat tangani sebelum ini berpunca daripada aduan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Majlis Perasmian Penyiapan Projek Cadangan Tebatan Banjir di Jalan Sungai Rasah dan Jalan Padang Jawa, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, sebelum ini Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar beberapa kali berjaya mengatasi masalah pencemaran sungai apabila berjaya menyekat bahan tercemar daripada memasuki muka sauk loji rawatan air.

Katanya, kejayaan kedua-dua agensi itu selepas menerima aduan orang awam yang nampak aktiviti pencemaran seperti yang berlaku di Sungai Semenyih, Sijangkang, Kuala Langat dan Sungai Selangor sekali gus membolehkan tindakan awal diambil.

“Tidak semua pencemaran yang berlaku mengakibatkan gangguan bekalan air kerana sebenarnya ada banyak kali pencemaran yang kita berjaya atasi sebelum sampai ke muka sauk disebabkan aduan orang awam,” katanya.