Categories
AGENDA NASIONAL

Cemar Sungai Selangor, pengusaha kolam ikan keli didakwa

KUALA KUBU BHARU, 23 FEB: Seorang pengusaha kolam ikan keli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan melepaskan bahan buangan daripada premisnya ke dalam Sungai Selangor sehingga menyebabkan susut bekalan air, Disember tahun lepas.

Bagaimanapun, Tan Kim Hong, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Lelaki itu didakwa telah melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan dari sebuah premis dilupuskan ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Selangor dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi maksud minuman manusia di sebuah premis penternakan ikan keli di Serendah, Hulu Selangor, dekat sini, pada 7 Disember 2020.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Asnawi Abu Hanipah tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan yang dilakukan tertuduh tidak boleh dijamin.

“Kes ini juga telah menyebabkan kira-kira lima juta pengguna air di 1,000 kawasan di Selangor terjejas selama lapan jam. Kes ini juga adalah kes pencemaran keempat sejak Januari 2020.

“Sekiranya mahkamah ingin memberikan jaminan, mohon jaminan yang cukup tinggi bagi menunjukkan mahkamah memandang serius kes sebegini,” katanya yang mengendalikan kes bersama-sama TPR Ashyraf Ashyari Kamaruzaman.

Peguam Zulfahami Abu Bakar yang mewakili Tan memohon jaminan rendah, mengambil kira faktor ekonomi tertuduh yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19.

“Anak guam saya bersedia untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dia juga menanggung keluarga termasuk seorang anak yang masih bersekolah,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan dan dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pada 24 Disember tahun lepas, Bernama melaporkan seorang pengusaha kolam ikan keli dan empat pekerjanya ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes pencemaran air Loji Rawatan Air Sungai Selangor 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang pada 7 Disember tahun sama.

-BERNAMA

 

Categories
ADN SELANGOR

Pelan tindakan atasi pencemaran sungai di Jeram

SHAH ALAM, 30 JAN: Isu pencemaran sungai Kampung Bagan Sungai Buloh, Jeram bakal ditangani melalui pelan tindakan oleh Lembaga Urus Air Selangor.

Wakil rakyat Bukit Melawati memaklumkan projek Pelan Tindakan Sungai Buloh dijangka mampu menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk terutama nelayan.

“Saya amat berharap pihak bertanggungjawab memantau isu ini dengan lebih kerap kerana nelayan mengadu benih kerang tidak mendatangkan hasil, malah burung migrasi juga tidak lagi singgah berikutan pencemaran,” kata Juwairiya Zulkifli.

Beliau menjelaskan insiden sejak 2018 berpunca daripada bahan tercemar dilepaskan kilang berhampiran turut dibawa ke sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Sebelum ini, media melaporkan sungai di kawasan tersebut bertukar kehitaman dan berbuih seakan sisa minyak selain berbau bangkai sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan di situ.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Projek fasa satu atasi pencemaran air siap sebelum hujung tahun

SHAH ALAM, 26 JAN: Projek rawatan air Sungai Gong di Rawang bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan air mentah akibat pencemaran dijangka siap sebelum akhir tahun ini.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata projek yang mencapai tahap lima peratus turut meliputi pembesaran kolam prarawatan air dan kolam takungan banjir.

Ir Izham Hashim menjelaskan kerja yang menelan kos RM200 juta, sebahagian daripada Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) fasa pertama yang diumumkan dalam Belanjawan Negeri 2021.

“Apabila selesai semua projek SJAM fasa pertama awal tahun depan, maka masalah gangguan bekalan air penduduk Selangor disebabkan pencemaran dapat diatasi,” tulisnya di Facebook.

Beliau berkata projek pengalihan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih pula dalam proses tender dengan pembinaannya bermula Mac ini.

Sementara itu, Ir Izham memaklumkan pembinaan stesen statik pemantauan kualiti air Lembaga Urus Air Selangor di Sungai Sembah siap 90 peratus.

“Stesen ini berperanan memantau pencemaran sungai sebelum air tercemar itu tiba di Loji Rawatan Air Sungai Selangor,” katanya lagi.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada kompromi, penjara seumur hidup sabotaj sumber air

SHAH ALAM, 29 DIS: Individu yang didapati sengaja mencemarkan sumber air mentah negeri ini boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

EXCO alam sekitar berkata tindakan tegas mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan (Akta 574) bakal dilaksana tanpa mengira status dan pangkat pelaku.

“Saya beri pesanan kepada mereka yang ada niat untuk mencemarkan Sungai Selangor atau Sungai Langat supaya fikir dahulu sebelum bertindak.

“Sekarang kita guna akta agak keras dan jika sabit kesalahan sesiapa sahaja akan dipenjara seumur hidup,” kata Hee Loy Sian selepas menyerahkan dana kepada badan agama Kristian di sini.

Sementara itu, beliau memaklumkan dua lelaki yang terlibat dalam pencemaran Sungai Selangor antara 2 hingga 10 November lalu bakal berdepan hukuman terbabit.

Hee Loy Sian ketika sidang media selepas melawat loji rawatan kumbahan (IWK) Taman Velox, Rawang pada 10 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Jelas wakil rakyat Kajang, tindakan seumpama itu kali pertama dilakukan di Malaysia selepas mendapat persetujuan peguam negara.

“Sebelum ini Seksyen 430 Kanun Keseksaan memperuntuk hukuman penjara maksimum 30 tahun tetapi kedua-dua mereka disabit mengikut Akta 574 kerana polis menemui unsur sabotaj,” kata Loy Sian.

Beliau turut memaklumkan operasi penguatkuasaan premis haram fasa kedua bakal dipergiat di seluruh negeri dengan tumpuan terhadap ladang ternakan.

Pada 23 November, dua lelaki termasuk seorang pengarah sebuah syarikat menjadi individu pertama dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mensabotaj perkhidmatan air Selangor.

Kedua-duanya didakwa kerana berniat mendatangkan mudarat terhadap sumber air di Taman Velox, Rawang antara 2 dan 10 November yang memperuntuk hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: 13 kes cemar air selesai tanpa ganggu bekalan

SHAH ALAM, 30 NOV: Sebanyak 13 kes pencemaran air berjaya diselesaikan tanpa mengakibatkan gangguan bekalan air sepanjang tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lapan kes pencemaran tidak dapat dielak terutamanya membabitkan bau kerana tiada teknologi khusus bagi mengesan masalah itu.

“Itu menjadi kekangan utama dan kita hanya bergantung kepada bau dari hidung manusia semata-mata.

“Sepanjang tahun ini, sebanyak 21 kes pencemaran sumber air yang berjaya dikesan dan berisiko mengakibatkan henti tugas loji rawatan air (LRA),” katanya menerusi Facebook hari ini.

Khamis lalu, EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim berkata Lembaga Urus Air Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berjaya mengawal lebih 60 peratus kes pencemaran sumber air sepanjang Januari hingga 30 Oktober lalu.

Ia membabitkan sembilan tumpahan minyak, tujuh pencemaran bau, tiga babitkan efluen industri serta akualkultur dan satu kes kekeruhan.

Oktober lalu, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2020, Amirudin mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi mengatasi isu sumber air menerusi empat projek bermula tahun ini.

Ia membabitkan projek rintis rawatan biologikal bagi pemuliharaan kualiti air Sungai Gong, pantauan dan pengawasan 24 jam di kawasan berisiko, tambahan stesen telemetri kualiti air di hulu muka sauk berisiko dan projek mengepam air mentah kolam takungan Hybrid Off River Augmentation Storage (Horas) 600 di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih.

 

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Enam stesen statik dibina pantau sumber air 24 jam

SHAH ALAM, 27 NOV: Sebanyak enam stesen statik bakal dibina berhampiran lembangan Sungai Selangor dan Sungai Semenyih bagi memantau sumber air secara berterusan.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata tiga stesen ditempatkan di Rantau Panjang, Sungai Gong dan Sungai Sembah bagi lembangan Sungai Selangor.

Sementara stesen Sungai Pajam, Sungai Beranang dan Sungai Semenyih khusus untuk lembangan Sungai Semenyih bagi mengelakkan pencemaran.

“Kita bina stesen statik ini kerana tidak mahu bergantung kepada rondaan semata-mata, buat masa ini terdapat dua stesen sudah dibina di Sungai Sembah dan Sungai Gong” kata Ir Izham Hashim.

Beliau bercakap pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di sini semalam.

Hadir sama, EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian dan Pemangku Pengarah (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai) Lembaga Urus Air Selangor Haslina Amer.

Ir Izham berkata kesemua stesen dibekalkan peralatan untuk memantau pencemaran dengan anggaran kos binaan bernilai RM 3 juta.

“Empat stesen akan beroperasi sepenuhnya pada Mac tahun hadapan, manakala dua lagi dijangka pada Jun 2021. Kesemua stesen ini akan digunakan oleh kakitangan Lembaga Urus Air Selangor,” katanya.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Pindah aliran sungai ketika pencemaran, elak bekalan air terputus

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerja pemindahan aliran sungai susulan pencemaran dijadikan projek rintis bagi memastikan bekalan air kepada pengguna tidak terjejas.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata air dari kolam simpanan sedia ada kemudian akan dipam sementara operasi loji rawatan air (LRA) dihentikan.

Ir Izham Hashim berkata projek bernilai RM200 juta bakal bermula awal tahun depan dan dijangka siap pada Disember 2021.

“Apabila stesen statik kesan ada pencemaran, kita akan tutup aliran sungai tercemar untuk menghalang ia daripada memasuki muka sauk loji rawatan air (LRA).

“Walaupun loji ditutup, rakyat tidak berdepan masalah kerana projek rintis ini tetap beroperasi membekalkan air,” katanya pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di sini semalam.

Ir Izham berkata kapasiti kolam takungan yang bakal digunakan mampu bertahan sehingga 100 hari.

Menurutnya, projek tersebut membabitkan LRA Rantau Panjang, Semenyih dan Sungai Selangor Fasa 1 hingga 3.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Syarikat dron terkemuka pantau pencemaran sumber air Selangor

SHAH ALAM, 27 NOV: Selangor menggunakan perkhidmatan syarikat dron ketiga terbesar dunia bagi memantau pencemaran sumber air mentah secara efektif.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata kepakaran Syarikat Aerodyne akan dimanfaatkan selama dua tahun bagi meninjau lokasi yang tidak dapat diakses oleh penguat kuasa.

Ir Izham Hashim menjelaskan penggunaan alat itu penting bagi mengesan dan menjangka sumber air berisiko tercemar selain dijadikan bahan bukti di mahkamah.

“Syarikat ini bukan calang-calang, dron yang digunakan akan memantau lokasi dan boleh mengambil sampel pencemaran. Kita tidak beli peranti ini tetapi hanya menggunakan perkhidmatan dari syarikat yang sudah dikenali,” katanya.

Beliau bercakap pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di sini semalam.

Ir Izham berkata kepakaran syarikat yang diusahakan anak tempatan itu turut digunakan Amerika Syarikat bagi memantau pelabuhan.

Sejumlah RM2 juta diperuntuk bagi menggunakan empat dron berteknologi tinggi dengan dua daripadanya ditempatkan di lembangan Sungai Langat bermula November.

Dua lagi ditempatkan di lembangan Sungai Klang dan Sungai Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Teliti semula syarat daftar kilang sekitar lembangan sungai

SHAH ALAM, 27 NOV: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor diminta mengkaji semula kriteria pendaftaran kilang sekitar lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata ketika ini hanya kilang yang mengeluarkan sisa buangan (efluen) lebih 60,000 liter layak didaftarkan.

Ir Izham Hashim memaklumkan sebanyak 223 kilang didaftarkan setakat hujung tahun lalu, berbanding lebih 15,000 premis yang wujud.

“Kita minta JAS teliti perkara ini. Jika tidak dapat mengurusnya, kita akan minta Lembaga Urus Air Selangor ambil langkah kerana tidak mahu ada kelompangan,” katanya menambah akta perlu diselaras untuk tindakan holistik.

Ir Izham Hashim bercakap pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di Bilik Gerakan Pejabat Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 26 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau bercakap pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di sini semalam.

Ir Izham menjelaskan semua kilang tidak berdaftar itu bukan dalam kelompok berisiko tinggi yang boleh menyumbang kepada masalah pencemaran.

“Masalah kita adalah hasil kumbahan yang sedikit tetapi banyak di sesuatu kawasan. Contohnya kumbahan restoran, ia sedikit tetapi ada banyak premis.

“Jadi kita mahu semua kilang yang keluarkan efluen sedikit tetap ada sistem,” katanya lagi.

Data Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor setakat 30 Jun 2017 mendapati sebanyak 15,331 kilang didirikan berhampiran lembangan sungai, namun hanya 223 berdaftar.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Cemar Sungai Selangor: Pengarah syarikat direman sehari lagi

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Tempoh tahanan reman terhadap seorang pengarah syarikat pembekalan bahan kimia berhubung kejadian pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor, dilanjut sehari lagi oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini.

Majistret Nur Hafizah Rajuni mengeluarkan perintah itu ke atas suspek lelaki berumur 58 tahun, selepas membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman sehingga esok (20 November).

Suspek sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari mulai 13 November lepas di mahkamah sama bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan, iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air, sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding reman terhadap suspek yang memakai baju lokap polis berwarna oren bermula pada 9.30 pagi dan selesai 10 pagi. Sebelum ini, empat individu termasuk dua pengarah syarikat pembinaan jalan raya ditahan reman berhubung kes sama.

Media sebelum ini melaporkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 telah dihenti tugas menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual, melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang, berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang pada 10 November lepas.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Reman empat individu terlibat pencemaran Sungai Selangor dilanjut

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Tempoh tahanan reman seorang wanita yang merupakan pengarah di sebuah syarikat pembinaan jalan raya berhubung siasatan kes pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor dilanjutkan sehari lagi sehingga Khamis ini oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

Majistret Nur Hafizah Rajuni juga membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman selama enam hari terhadap tiga suspek lelaki sehingga 23 November ini.

Kesemua suspek berumur antara 33 hingga 43 tahun sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari mulai 11 Nov lepas untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Wanita itu yang berumur 40 tahun dan lelaki berumur 43 tahun yang merupakan pengarah syarikat itu dan dua lelaki yang seorang daripadanya adalah warga Bangladesh tiba di Kompleks Mahkamah Selayang pada 8.30 pagi dan dibawa masuk ke mahkamah untuk prosiding reman pada 9.30 pagi.

Sebelum ini, media melaporkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 telah dihenti tugas menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang, berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang pada 10 November lepas.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Seorang lagi suspek cemar Sungai Selangor direman tujuh hari

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Seorang lelaki direman tujuh hari mulai hari ini hingga 19 November berhubung kejadian pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor yang menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Lembah Klang, Selasa lepas.

Perintah reman ke atas suspek berusia 58 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Hafizah Rajuni di Mahkamah Majistret Selayang di sini, selepas membenarkan permohonan polis untuk mereman suspek selama tujuh hari.

Lelaki itu direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding reman itu bermula pada 9 pagi dan selesai 9.20 pagi. Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang pada 8.30 pagi selepas ditahan semalam.

Pada 11 Nov lepas, empat individu termasuk dua pengarah syarikat pembinaan jalan raya berusia antara 33 dan 43 tahun ditahan reman tujuh hari mulai 11 hingga 17 November ini bagi membantu siasatan kes sama mengikut seksyen serupa.

Mahkamah sama mengeluarkan perintah reman itu ke atas seorang wanita berusia 40 tahun dan lelaki berusia 43 tahun yang merupakan pengarah syarikat itu dan dua lelaki yang seorang adalah warga Bangladesh.

Sebelum ini, media melaporkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 telah dihenti tugas menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang, berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang pada 10 November lepas.

-BERNAMA