Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanah runtuh: Tempoh pembersihan di Genting Peras dijangka dua minggu

HULU LANGAT, 29 DIS: Tempoh pembersihan kawasan tanah runtuh di Kampung Orang Asli Genting Peras di sini dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang giat menjalankan operasi pembersihan dan dijangka lebih banyak kawasan dapat dibersihkan dalam tempoh tersebut.

“Perkampungan ini satu-satunya kawasan yang terputus bekalan akibat tanah runtuh berbanding kawasan lain disebabkan banjir. Minggu lepas kita lihat lebih 30 kawasan tanah runtuh antara Genting Peras ke Kuala Klawang.

“Kalau dilihat dari awal lagi susah kerana tiada laluan dan mengambil masa lima ke enam jam tetapi kini sebahagian daripadanya boleh dilalui,” katanya ditemui selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Kampung Orang Asli Genting Peras.

Dalam program sama, Amirudin turut melepaskan 58 sukarelawan pendaki dan anggota bomba yang terlibat dalam operasi mengagih bantuan bekalan makanan serta keperluan harian kepada penduduk terputus hubungan.

“Lebih 600 individu daripada 54 keluarga berada di perkampungan itu yang masih berada di atas disebabkan kesukaran mereka untuk turun.

“Kita berpendapat tidak praktikal untuk membawa mereka turun kerana melibatkan kanak-kanak dan orang tua. Setakat ini, bekalan makanan yang dihantar kepada mereka mencukupi untuk tempoh seminggu,” katanya.

Keadaan tanah runtuh di Genting Peras, Hulu Langat pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
AGENDA NASIONAL

16 pendaki ditahan, masuk Hutan Simpan Bukit Kutu tanpa permit

SHAH ALAM, 7 NOV: Jabatan Perhutanan Selangor menahan 16 pendaki yang memasuki Hutan Simpan Bukit Kutu di Kuala Kubu Bharu tanpa permit sah semalam.

Pengarahnya Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata orang awam terbabit berusia 32 hingga 59 tahun ditahan dalam operasi bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

Katanya operasi dijalankan 14 pegawai dan kakitangan Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor bersama dua anggota dari Balai Polis Kuala Kubu Bharu.

“Kesemua meraka telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Bharu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadzil berharap operasi kali ini memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mematuhi undang-undang perhutanan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

56 pendaki ditahan, masuk kawasan Air Terjun Setinggi tanpa permit

SHAH ALAM, 26 SEPT: Jabatan Perhutanan Selangor menahan 56 pendaki yang memasuki kawasan Air Terjun Setinggi, Serendah, dekat Hulu Selangor tanpa permit yang sah, semalam.

Pengarahnya Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata kesemua individu berusia 19 hingga 33 tahun itu ditahan dalam operasi bermula jam 10 pagi hingga 4 petang, lapor Berita Harian.

Katanya operasi dijalankan sepasukan pegawai dan kakitangan Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor bersama polis, susulan aduan penduduk.

“Penduduk mendakwa ramai pendaki masuk ke kawasan Air Terjun Setinggi tanpa permit sah, melalui kawasan kediaman mereka.

“Penduduk juga mendakwa pengunjung meletak kenderaan di tepi jalan rumah sehingga merosakkan paip air dan tong sampah, selain meninggalkan sampah merata-rata,” katanya dalam  kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadzil menegaskan negeri ini masih berada dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), justeru pihaknya tidak mengeluarkan permit masuk untuk aktiviti merentas hutan atau rekreasi.

Susulan itu, beliau berkata, tindakan memasuki hutan simpanan kekal tanpa permit sah, merupakan satu kesalahan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan).

“Kesemua individu ditahan dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Categories
NASIONAL

130 pendaki Gunung Kinabalu selamat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 MAC: Semua 130 pendaki Gunung Kinabalu selamat turun ke ibu pejabat Taman Kinabalu pagi ini susulan kejadian gemba bumi di Ranau, semalam.

Memetik laporan Borneo Post, perkara itu disahkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menerusi twitter @MasidiM.

Beliau berkata, pendaki terakhir tiba di Pintu Timpohon iaitu titik pendakian, bermula jam 4.20 pagi.

Masidi berkongsi satu lagi gambar Gunung Kinabalu dari ibu pejabat Taman Kinabalu yang diambil oleh Pengarah Taman Sabah, Dr Jamili Nais, yang bertajuk ‘hari yang indah, tenang dan aman’.

Satu gempa bumi pada kekuatan 2.8 skala richter berlaku di Ranau pada kedalaman lima kilometer di dalam tanah, pada jam 9.27 malam tadi.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan berkata, tiada amaran tsunami dikeluarkan dan lokasi tepat gempa bumi adalah di kedudukan 6.04 latitud utara juga 116.6 longitud timur.

Sebelum itu, satu gempa bumi berukuran 5.2 skala Richter melanda Ranau, kira-kira jam 9.06 malam ini.

Gempa bumi yang berpunca dari dalam tanah pada kedalaman kira-kira lima kilometer itu menyebabkan kesemua daerah di pantai barat Sabah merasai gegaran antara lima hingga 10 saat.