Categories
AGENDA NASIONAL

Pendakwaan fail rayuan tambah hukuman penjara, denda terhadap Najib

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Pihak pendakwaan memfailkan rayuan untuk menambah tempoh hukuman penjara 12 tahun dan jumlah denda RM210 juta dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC Sdn Bhd.

Ketua Unit Rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) Datuk Mohd Dusuki Mokhtar semasa dihubungi mengesahkan notis rayuan difailkan Jumaat lepas menerusi e-filing.

“Kami (pihak pendakwaan) memfailkan notis rayuan terhadap semua hukuman dan denda yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi,” katanya.

Mohd Dusuki juga berkata hari ini adalah hari terakhir bagi pihak pendakwaan dan pembelaan untuk memfailkan rayuan mereka, berikutan kedua-dua pihak mempunyai tempoh 14 hari untuk memfailkan rayuan masing-masing selepas keputusan pada 28 Julai.

Pada 30 Julai, Najib memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati beliau bersalah terhadap tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Ahli parlimen Pekan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, masing-masing bagi tiga kes CBT dan masing-masing bagi tiga kes pengubahan wang haram dan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau lima tahun penjara jika gagal membayar denda itu bagi kes salah guna kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Najib kini bebas atas ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuannya selesai.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPRU : Penguatkuasaan ‘Cacat’ Punca Jenayah Berat Berleluasa

tembak-01

SHAH ALAM, 3 OGOS: Peningkatan kes jenayah berat mutakhir ini adalah akibat kecacatan proses penguatkuasaan undang-undang dan proses kehakiman negara ini, tegas Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Justeru, KPRU menyaran pihak berkuasa agar mengkaji semula dan memperbaikkan kelemahan proses penguatkuasaan undang-undang yang merangkumi proses siasatan, pengumpulan bukti, pendakwaan dan juga perbicaraan kehakiman.

“Didapati bahawa sejumlah 31 kes serangan atau pembunuhan melibatkan senjata api telah berlaku dalam tempoh empat bulan yang singkat dari April hingga Julai tahun 2013 ini.

“Di mana seramai 43 orang telah dipermangsakan, antaranya 22 nyawa telah diragut manakala 21 orang mengalami kecederaan.

“Dan dalam bulan Julai sahaja telah pun memperlihatkan sebanyak 14 kes tembak-bunuh,” kata KPRU dalam kenyataan medianya.

Jelas PKRU, kajian yang dijalankan Penang Institute menunjukkan bahawa dalam tempoh empat bulan pertama 2013 sahaja telah memperlihatkan bilangan kes tembak-bunuh yang jauh lebih banyak daripada 2012 dengan mencatat sebanyak 38 kes.

Katanya, ia menunjukkan di mana dua kejadian tembak-bunuh berlaku dalam tempoh seminggu secara purata.

“Dengan mengambil kira kedua-dua kajian KPRU dan Penang Institute, adalah jelas bahawa kes tembak-bunuh berlaku dengan begitu konsisitennya sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini tanpa berhenti, secara purata dua kes seminggu.

“Kekerapan yang setinggi ini sejurus mencetuskan kebimbangan dan ketakutan di kalangan masyarakat,” jelas badan pemikir itu.

Ujar KPRU lagi, kerajaan digesa untuk memberi tumpuan kepada peningkatan taraf penyiasatan polis dan bukan menggubal undang-undang pencegahan yang baru untuk menyelesaikan masalah jenayah yang serius di Malaysia.

“Pengagihan tenaga polis yang tidak seimbang merupakan faktor kegagalan pihak polis dalam menyelesaikan kemelut peningkatan gejala jenayah yang semakin serius dalam negara ini,” kata KPRU.