Categories
AGENDA NASIONAL

Ikan bekok tambah selera ketika berbuka puasa, sahur

KOTA BHARU, 5 MEI: Seorang pengusaha ‘ikan bekok’ (ikan bengkak) meraih pendapatan berganda dan tidak menang tangan apabila permintaan pelanggan terhadap hidangan pembuka selera itu terus meningkat sepanjang Ramadan kali ini.

Nor Azreena Mohd Nor, 37, mengusahakan ikan bekok sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, bermula sekitar 50 kilogram (kg) sebulan, permintaan terus meningkat mencecah 150 kg pada Ramadan kali ini.

Katanya idea untuk membuat ikan bekok tersebut tercetus, setelah beliau memikirkan cara untuk meningkatkan pendapatan keluarga dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Tak sangka pula mendapat sambutan berganda berbanding sebelum ini, proses hanya 50 kg ikan sahaja purata sebulan.

“Pada bulan puasa seperti sekarang, pelanggan gemar makan ikan bekok untuk berbuka, malah ia membuka selera ketika bersahur, kerana ada kecapan rasa masin, lemak ditambah pula adanya bawang dan cili goreng serta perahan asam limau,” katanya ketika ditemui di gerai Ikan Bekok Kadok di Kampung Berangan Jalan Kota Bharu-Ketereh, di sini.

Bercerita lanjut, Nor Azreena untuk menyediakan ikan bekok tersebut, beliau mempunyai dua cawangan iaitu di Kadok dan Tanah Merah, dibantu tujuh pekerja untuk menyiang ikan segar dengan membelah perut, kemudian ikan itu direndam di dalam air garam semalaman.

“Pada keesokan hari, air garam tadi dibuang dan ikan kemudian direndam ke dalam air biasa selama empat jam untuk menghilangkan rasa masin berlebihan. Selepas itu barulah dijemur selama tiga hingga lima jam, bergantung kepada tahap cuaca panas.

“Sebaik sahaja ikan ini dijemur mengikut tempohnya, kita perlu angkat dan terus dimasukkan ke dalam peti, bagi membolehkan penyimpanan lebih lama sehingga tiga minggu,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Nor Azreena berkata bekalan ikan segar diambil daripada pembekal di Tok Bali, Pasir Puteh Geting, Tumpat, Jelawat dan Bachok.

“Antara jenis ikan bekok yang dihasilkan termasuk gelama bongkok, gelama gigi, cencaru, layur, talang, selar kuning dan ‘butir nako’, manakala ikan kering seperti tambang, pari, pelata serta bulu ayam, yang dijual dari harga RM18 hingga RM45 sekilogram bergantung kepada jenis ikan.

Nor Azreena berkata, ikan bekok tersebut juga mendapat permintaan untuk dipasarkan ke luar negara seperti United Kingdom dan Arab Saudi, namun beliau terpaksa menangguhkan atas beberapa kekangan seperti kos penghantaran, ketahanan ikan serta pembungkusan, bagi memastikan ia dihantar berada dalam keadaan baik.

“Walau bagaimanapun, untuk memenuhi permintaan pelanggan yang ingin mendapatkan ikan bekok di luar Kelantan, sehingga kini saya mempunyai 20 hingga 30 ejen dari seluruh negara,” kata ibu kepada tujuh anak dan mendapat sokongan suami Muhammad Ai’Amin Mohamad Kasim, 37, yang bekerja sebagai kakitangan awam.

Sementara itu seoarang pelanggan, Tuan Jusoh Tuan Dollah, 50, yang berasal dari Pasir Puteh berkata, sejak puasa beliau sudah beberapa kali membeli ikan bekok di situ, kerana gemarkan aroma dan rasanya yang boleh membuka selera.

“Ikan bekok ini adalah makanan tradisi sejak dulu, dan biasanya orang berpuasa kurang berselera terutama waktu dinihari ketika sahur, tetapi apabila ada ikan bekok yang digoreng panas-panas, ia menambah kenikmatan semasa makan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah jejaki prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu dalam persekitaran petunjuk yang rendah daripada Wall Street semalaman.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.77 mata kepada 1,603.80 daripada 1,607.57 semasa ditutup semalam.

Saham pandu pasaran dibuka tinggi 2.70 mata kepada 1,604.87.

Suasana pasaran secara keseluruhannya negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 248 berbanding 173, manakala 319 kaunter tidak berubah, 1,426 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 366.08 juta saham bernilai RM201.39 juta.

Malacca Securities berkata walaupun sentimen pasaran dijangka kurang memberangsangkan, menjejaki penurunan di Wall Street, bursa tempatan mungkin disokong oleh minat belian dalam saham berpendapatan tinggi menjelang laporan pendapatan suku tahunan syarikat.

Pasaran saham AS terus merosot pada Selasa berikutan Dow jatuh 0.8 peratus dalam persekitaran kes Covid-19 yang meningkat, mempengaruhi sejumlah pendapatan korporat yang kukuh baru-baru ini.

Di Asia, saham ditutup kebanyakannya rendah semalam, manakala harga minyak susut daripada paras tertinggi dalam tempoh sebulan pada Isnin berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan penguatkuasaan sekatan di India untuk membendung peningkatan jangkitan dan kematian disebabkan Covid-19.

Dalam negara, katanya pedagang dijangka memberi tumpuan kepada kaunter perladangan berikutan harga minyak mentah sawit meningkat semula melebihi RM3,800 satu tan.

“Selain itu, kami menjangka akan menyaksikan minat belian di kaunter sarung tangan yang lain susulan laporan pendapatan tinggi Kossan yang dikeluarkan semalam dalam persekitaran kes Covid-19 harian yang meningkat.

“Saham berkaitan bahan binaan turut menjadi tumpuan berikutan kenaikan harga bahan mentah,” katanya dalam nota.

Kebanyakan saham wajaran tinggi rendah dengan Press Metal kekal dalam julat negatif, merosot 13 sen kepada RM5.13, manakala Axiata dan Maxis, masing-masing susut lima sen kepada RM3.95 dan RM4.73.

MISC berkurangan sembilan sen kepada RM6.71 dan Digi turun empat sen kepada RM4.21.

Sebaliknya, Top Glove naik empat sen kepada RM5.44 dan Supermax meningkat 10 sen kepada RM5.50.

Dalam kalangan kaunter aktif, Ucrest naik setengah sen kepada 60 sen, Key Asic tidak berubah pada 20.5 sen, Dataprep melonjak 33 sen kepada RM2.33 dan Bina puri tidak berubah pada RM9.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 14.45 mata kepada 11,810.68, FBMT 100 susut 19.09 mata kepada 11,467.46 manakala FBM 70 naik 4.14 mata kepada 15,607.06.

FBM Emas Shariah susut 23.21 mata kepada 13,208.87 dan FBM ACE merosot 10.70 mata kepada 8,581.96.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 1.34 mata kepada 6,878.69, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 7.28 mata kepada 15,085.87 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 1.02 mata kepada 194.06.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Permintaan trafik udara dijangka pulih berperingkat

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Walaupun trafik udara mengalami penurunan ketara sebanyak 98.4 peratus tahun ke tahun pada April berikutan pandemik Covid-19, namun permintaannya dijangka pulih secara berperingkat pada separuh kedua tahun ini.

MIDF Bhd menerusi nota penyelidikan berkata meskipun trafik penumpang pada Januari hingga April 2020 hanya merekodkan 26.3 peratus daripada jangkaan setahun penuh, namun ia optimis dengan pendapatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memandangkan jangkaannya tidak berubah.

“Secara kumulatif, trafik penumpang di lapangan terbang di Malaysia bagi empat bulan pertama 2020 mencatat penurunan 45.8 peratus tahun ke tahun kepada 18.6 juta.

“Angka itu merangkumi 26.3 peratus daripada anggaran pertumbuhan trafik penumpang bagi tahun kewangan 2020 iaitu 70.7 juta,” menurut MIDF.

Ia berkata susulan penggantungan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, Istanbul (ISGA) bagi keseluruhan April 2020, keadaan berbeza akan dilihat pada Mei.

MIDF berkata ini kerana lebih banyak penerbangan kargo dan sewa khas dijangka dilaksanakan pada bulan itu, dengan Pegasus dan Turkish Airlines merancang untuk memulakan kembali operasi mulai 28 Mei, 2020 dan seterusnya.

MAHB merupakan pemegang saham utama ISGA dan pendapatan positif dari lapangan terbang itu akan menyumbang kepada pendapatan syarikat.

“Trafik domestik bagi lapangan terbang di Malaysia pada April 2020 masih berada dalam aliran menurun, merosot 97.8 peratus tahun ke tahun kepada 97 penumpang, terkesan susulan penguatkuasaan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata MIDF.

Ia berkata bagaimanapun susulan PKP Bersyarat (PKPB) dijadual berakhir pada 9 Jun yang akan memulihkan semula keadaan itu, syarikat penerbangan tempatan juga telah memulakan kembali penerbangannya bagi laluan domestik penting dengan kekerapan minimum mulai 29 April lepas.

MIDF berkata syarikat penerbangan bersedia menambah penerbangan dengan kebenaran kerajaan untuk membolehkan lebih banyak pergerakan sempadan antara negeri berlandaskan garis panduan perjalanan yang ketat.

“Berasaskan unjuran positif ini, kami mengekalkan harga sasaran kami pada RM5.13 sesaham,” menurutnya.

MAHB mengendalikan kebanyakan lapangan terbang di Malaysia bersama pemegang saham utama lain iaitu Khazanah Nasional Bhd (33.21 peratus), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (14.62 peratus) dan Amanah Saham Nasional Bhd (1.84 peratus)

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perintah Kawalan: Majikan digesa tidak tekan pekerja – MTUC

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa majikan tidak mengambil kesempatan terhadap pekerja mereka yang kehilangan pendapatan hasil kerja lebih masa dan komisyen susulan penularan wabak Covid-19

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata penutupan perniagaan tidak penting mulai 18 hingga 31 Mac susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan perlu dibuat berasaskan gaji dibayar kerana majikan mempunyai pilihan melakukan persediaan bagi kakitangan bekerja dari rumah.

“Pekerja hendaklah dilayan seperti rakan kongsi dan majikan perlu melengkapi usaha kerajaan mengekalkan keselamatan dan keharmonian sosial dan bukannya mengambil tindakan tidak wajar yang boleh mencetuskan kekacauan dalam negara” menurutnya dalam satu kenyatan di sini.

Beliau berkata majikan tidak boleh bergantung kepada Manfaat Penamatan Kerja dan Pemberhentian Sementara kerana Perintah Kawalan Pergerakan bukan situasi di mana majikan tidak memberikan tugas kepada pekerja bagi tempoh sekurang-kurangnya 12 hari bekerja biasa dalam masa empat minggu berturut-turut.

“Sebaliknya, ini adalah situasi di mana majikan diarah kerajaan untuk menutup perniagaannya atas sebab-sebab kesihatan dan keselamatan. Oleh itu, majikan tidak boleh bergantung kepada Manfaat Penamatan Kerja dan Pemberhentian Sementara untuk memecat pekerja.

“Gaji juga tidak sepatutnya dipotong atau melakukan kerja lebih masa tanpa bayaran, cuti mingguan atau tahun dikurangkan susulan penutupan wajib selama 14 hari susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 dan menyelamatkan nyawa rakyat,” katanya.

Beliau berkata majikan yang bergantung secara salah terhadap force majeure, atau doktrin kekecewaan kontrak atau manfaat penamatan kerja dan pemberhentian sementara atau cuba berunding dengan pekerja untuk membayar balik tempoh 14 hari itu boleh disifatkan sebagai kecuaian, salah laku dan perilaku yang bercanggah dengan kepentingan semua pihak berkepentingan dan negara.

Solomon berkata penting majikan mempamerkan patriotisme susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 dan mereka yang tidak mematuhinya berdepan pendakwaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Akta Polis 1967 dan jika sabit kesalahan, berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun dan/atau denda.

“Menjadi obligasi moral untuk majikan sektor swasta yang bukan tergolong dalam perkhidmatan penting untuk menutup perniagaan mereka dari 18 hingga 31 Mac untuk membantu usaha kerajaan membendung penularan wabak koronavirus.

“Lebih cepat mereka patuh, lebih cepat kita boleh melangkah ke depan. Jika tidak, tindakan mereka boleh ditafsirkan sebagai satu subversi atau mensabotaj inisiatif kerajaan untuk memastikan rakyat dan keluarga mereka mampu mengharungi krisis global ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

PKNS Real Estate catat tambahan 15% pendapatan kasar

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 14 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Real Estate terus komited membangun dengan peningkatan 15 peratus pendapatan kasar pada separuh tahun pertama.

Pengurus Besar PKNS Real Estate, Fakru Radzi Ab Ghani, berkata, prestasi tahun ini lebih memberangsangkan dengan kos pendapatan RM28 juta berbanding 2014.

IMG_4958“Walaupun kita menghadapi beberapa kekangan akibat masalah ekonomi yang kurang baik tetapi itu tidak dijadikan halangan untuk terus bekerja keras.

“Kita terus merangka beberapa strategi baru demi mencapai matlamat syarikat,” katanya pada rumah terbuka PKNS Real Estate, di sini, baru-baru ini.

Fakru Radzi berkata, PKNS Real Estate juga dalam usaha mereformasikan aset yang dibeli pada 2014.

“Antara aset yang akan dipertingkatkan adalah Kompleks PKNS Shah Slam, Kompleks PKNS Bangi, SACC Mall, Menara PKNS Petaling Jaya dan Menara World Wide.

“Matlamat kami untuk memastikan ia berwajah dan berimej baru pada awal tahun depan supaya lebih berdaya saing,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Pendapatan isi rumah RM5,900 bertentangan realiti

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 SEPT: Hasil Kajian Pendapatan Isi Rumah 2014 yang menyaksikan peningkatan isi rumah kepada RM5,900 sebulan ternyata bertentangan dengan realiti sebenar taraf hidup rakyat.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan berkata rakyat di negara ini sebenarnya semakin tertekan dengan peningkatan kos hidup semasa.

cukainaikOleh itu, katanya, peningkatan pendapatan daripada RM5, 000 pada tahun 2012 itu tidak memberi gambaran sebenar realiti kehidupan rakyat marhaen.

“Tanpa menafikan peningkatan angka itu menunjukkan suatu kemajuan, namun ukuran pendapatan isi rumah menggabungkan semua jenis pendapatan individu berusia 15 tahun dan ke atas dalam sesebuah rumah atau tempat tinggal itu tidak berupaya menjelaskan realiti dan hakikat sebenar keadaan taraf hidup semasa rakyat Malaysia.

“Tambahan pula, dalam keadaan harga barang kegunaan harian meningkat terutamanya selepas kenaikan harga petrol, peningkatan purata pendapatan isi rumah itu tidak memberikan nilai yang besar kerana kuasa beli (purchasing power) yang dimiliki rakyat tetap berada dalam keadaan yang masih lemah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar mengumumkan purata bulanan pendapatan isi rumah pada tahun 2014 meningkat lagi kepada RM5,900.

Beliau berkata, hasil Kajian Pendapatan Isi Rumah 2014 itu bukti jelas bahawa Kerajaan Pusat berjaya merangsang ekonomi Malaysia dengan pertumbuhan GDP sebbanyak 6.3 peratus pada separuh tahun ini.

Mengulas lanjut, Nasruddin berkata Bank Dunia melalui Gini Coefficient Index mendedahkan bahawa ketidaksamaan pendapatan (income inequality) atau jurang pendapatan (income gap) di Malaysia adalah kekal tinggi berbanding negara-negara lain seperti Jepun, Korea Utara, India, Vietnam, Indonesia, Thailand, Filipinan, Singapura dan China.

“Bagi saya, keadaan begini tidak pelik jika ia menyumbang kepada peningkatan purata bulanan pendapatan isi rumah.

“Situasi ini juga menunjukkan berlakunya kesan monopoli berpunca daripada sistem ekonomi berasaskan kapitalisme.

“Monopoli mengenakan bayaran yang lebih kepada pelanggan kerana tidak wujudnya persaingan,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Selangor sasar pendapatan keluarga RM4,000 menjelang 2018

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 20 MEI : Kerajaan Negeri mensasarkan pendapatan perkapita keluarga menjelang 2018 boleh mencecah RM4,000 dengan bantuan dari Kerajaan Negeri.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah berkata jika penggal sebelum ini, Kerajaan Negeri dapat melaksanakan pendapatan RM1,500 maka sasaran pendapatan RM4,000 pula akan dicapai melalui beberapa program pelaksanaan.

selangorKatanya, Kerajaan Negeri pada ketika ini sedang merangka pelan tindakan komprehensif bagi wanita yang bekerja bagi meningkatkan pendapatan dan persekitaran kerja yang lebih baik.

“Banyak perkara yang boleh diambil perhatian. Begitu juga dengan kekosongan jawatan apabila wanita bercuti bersalin.

“Ia boleh diisi dengan wanita lain secara sementara bagi meneruskan kerja-kerja terbabit.

“Begitu juga dengan kelulusan pusat-pusat asuhan dan sebagainya,” katanya di majlis Sambutan Hari Ibu peringkat negeri 2014.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga akan turut membantu wanita yang mempunyai kemahiran tetapi tidak bekerja.

“Kita akan memaksimumkan kepakaran mereka walaupun mereka tidak bekerja.

“Kerajaan Negeri akan cuba sebaik mungkin menyediakan kemudahan terbaik bagi golongan wanita,” katanya.

Dalam program itu, kira-kira 1,000 hadir bagi menyambut Hari Ibu yang diadakan pada Ahad minggu kedua setiap tahun yang bertemakan ibu muda dan cabaran bekerjaya.

Sambutan itu dianjurkan oleh Pejabat Exco Wanita dengan kerjasama Puspanita negeri.

Hadir sama, Isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut yang turut merasmikan majlis terbabit.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Selangor mahu cipta pekerjaan inovatif, sasar pendapatan minima isi rumah RM4,000

Oleh : Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah mengadakan sesi percambahan minda bersama pihak berkuasa tempatan dan jabatan kerajaan negeri bagi merangka hala tuju strategik untuk menjamin pertumbuhan ekonomi mampan di samping mengagihkan semula kekayaan negeri secara saksama.

Perbincangan dua hari ini telah menghasilkan satu set rumusan yang akan disusuli dengan pelan tindakan yang antara lain bakal menangani masalah kemiskinan bandar dan luar bandar.

Antara idea yang dikupas adalah strategi untuk mencipta peluang pekerjaan inovatif ke arah mencapai sasaran pendapatan isi rumah minimum RM4,000.

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 03Kita juga telah mengenalpasti fokus pertumbuhan kepada industri bernilai tinggi yang boleh menjana ekonomi mampan seperti eletronik dan elektrik berteknologi tinggi, bioteknologi, teknologi hijau, industri berkaitan kesihatan dan perubatan, pelancongan, pendidikan serta bidang penyelenggaraan dan baik pulih pesawat (MRO).

Kita sedang mempertimbangkan ‘konsep pengkongsian keuntungan’ yang telah digunapakai secara meluas dalam industri minyak and gas untuk disesuaikan bagi sektor kuari dan perlombongan.

Kita juga telah mengenal pasti lokasi strategik di mana terdapat permintaan tinggi bagi perumahan mampu milik sebagai langkah mengatasi isu lonjakan harga rumah.

Kita juga sedang meneliti pelbagai program latihan teknikal khusus untuk belia luar bandar yang mana setiap kampung akan diminta menghantar lima peserta untuk menjalani kursus dalam bidang perbidanan, perpaipan, elektrikal dan sebagainya.

Berkat usaha gigih, kerjasama erat dan doa ikhlas semua pihak, saya yakin negeri Selangor mampu mencapai sasaran yang ditetapkan dalam tempoh yang munasabah.

Tambahan pula, kita diberitahu oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pada sesi taklimat semalam bahawa Selangor dijangka mencapai pendapatan per kapita menepati definisi ” negara maju” menjelang 2016 dengan mengandaikan Senario A (Model Ekonomi Baharu) dan Senario C (berdasarkan prestasi pertumbuhan historikal Selangor).

Malah, bersandarkan dua senario yang sama, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor diunjurkan berkembang masing-masing pada kadar 6.8% dan 6.5% secara purata di antara 2013 dan 2023.

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua ahli EXCO, ketua PBT dan ketua jabatan kerajaan negeri atas penglibatan aktif dan maklumat berguna sepanjang perbincangan kali ini.

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Speaker Negeri Selangor, Puan Hannah Yeoh dan para pegawai Dewan Negeri Selangor kerana berjaya menganjurkan sesi percambahan minda di Dime Darby Plantation Academy (SDPA) di Pulau Carey..