Categories
AGENDA NASIONAL

309 pendatang tanpa izin ditahan, tempat tinggal padat langgar SOP

DENGKIL, 21 JUN: Jabatan Imigresen menahan 309 pendatang tanpa izin daripada 715 yang diperiksa dalam operasi bersepadu di kawasan kediaman sebuah tapak pembinaan di sekitar Dengkil di sini, awal pagi tadi.

Pendatang tanpa izin yang ditahan terdiri daripada 280 lelaki dan 29 wanita melibatkan pecahan warganegara iaitu Indonesia (193), Bangladesh (102), lapan warga Myanmar, Vietnam (empat) dan dua warga India berusia lingkungan 20-an hingga 50-an.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang mendakwa tempat tinggal mereka dipercayai melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.

Ekoran itu, beliau berkata pihaknya telah menyerbu kawasan itu dan mendapati ia tidak mematuhi SOP PKP seperti yang ditetapkan.

“Saya tiba bersama pasukan operasi mendapati penempatan mereka begitu padat, kotor serta tidak mempunyai sistem saliran perparitan yang lengkap, selain mempunyai tempat untuk berkumpul dan makan secara beramai-ramai.

“Selain itu, hasil temu bual saya bersama mereka juga, pendatang itu mengaku tinggal dalam secara beramai-ramai dalam satu bilik iaitu sekitar empat hingga tujuh orang,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Khairul Dzaimee berkata ini menunjukkan mereka ini bebas melakukan apa sahaja di dalam kawasan penempatan tapak pembinaan tanpa sebarang pematuhan SOP PKP.

Beliau berkata ini adalah tujuan utama Kementerian Dalam Negeri yang mengarahkan Jabatan Imigresen untuk membantu mengurangkan kes-kes positif wabak Covid-19 di tempat kerja warga asing.

Mengulas mengenai bagaimana wanita warga Indonesia menyelinap masuk ke negara ini mengikuti pasangan mereka, Khairul Dzaimee menjelaskan bahawa suami mereka akan masuk terlebih dahulu bekerja di Malaysia kemudiannya diikuti oleh pasangan masing-masing.

“Wanita warga Indonesia memasuki Malaysia dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial dan terus menetap di negara ini melebihi masa yang ditetapkan. Selain itu, mereka ini akan tinggal bersama suami mereka yang bekerja secara haram di negara ini.

“Kesemua pendatang tanpa izin ini akan menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini yang akan dilaksanakan oleh Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya dan PKD Seremban,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata selepas ujian saringan dilaksanakan kesemua mereka akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama sebelum proses proses pengusiran ke negara masing-masing dibuat.

Dalam operasi ini juga, Jabatan Imigresen turut memeriksa 10 warga Rohingya yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Daripada 10 pemegang kad UNCHR, hanya dua daripada mereka ditahan kerana memiliki kad UNCHR palsu manakala yang lain dibebaskan,” katanya.

Operasi bersepadu itu yang bermula pada 12.30 tengah malam dan berakhir 2.30 pagi tadi, disertai 189 anggota melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan antaranya Pasukan Gerakan Am, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Tenaga Kerja serta Angkatan Pertahanan Awam.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Imigresen tahan 33 pendatang tanpa izin kerja di kedai runcit

PUTRAJAYA, 17 JUN: Jabatan Imigresen menyerbu 16 kedai runcit yang disyaki dikendalikan warga asing di sekitar Bukit Sentosa, Rawang dan Dengkil di Selangor dalam operasi pada Isnin (14 Jun) dan Selasa lalu, serta menahan 33 pendatang tanpa izin di premis terbabit.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 18 lelaki warga Bangladesh, tujuh lelaki warga Myanmar, dua lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga India dan tiga lelaki serta dua wanita warga Indonesia.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati kesemua pendatang tanpa izin terbabit disyaki melakukan kesalahan menyalahgunakan pas atau permit dan juga tidak memiliki pas yang sah untuk bekerja di premis tersebut.

“Semasa serbuan dijalankan terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan membuat provokasi. Walau bagaimanapun, kesemua warga asing ini berjaya ditahan dan situasi dapat dikawal,” katanya dalam kenyataan hari ini mengenai operasi berkenaan.

Pemeriksaan di semua premis terlibat mendapati kesemua premis berkenaan mempunyai lesen perniagaan yang dimiliki dan didaftarkan atas nama warganegara Malaysia namun disyaki disewakan kepada warganegara asing, katanya.

Kesemua pendatang tanpa izin yang ditahan telah dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya untuk menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih, katanya.

Khairul Dzaimee berkata antara kesalahan yang dikenal pasti dilakukan pendatang tanpa izin terbabit adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas dan kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata seramai enam warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Op Benteng diperhebat, elak sempadan negara dibolosi

BUKIT KAYU HITAM, 25 JULAI: Angkatan Tentera Malaysia bersama pasukan keselamatan negara di bawah Pasukan Petugas Khas (NTF) mengatur gerak aset masing-masing bagi memperhebat Op Benteng di sempadan Malaysia-Thailand di Kedah dan Perlis bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta kemasukan pendatang tanpa asing terutama melalui lorong-lorong tikus.

Panglima Briged Keenam Infantri Brig Jen Datuk Mohd Halim Khalid berkata aset-aset seperti kenderaan tempur infantri ‘Gempita’ dan dron digerakkan selain berkongsi maklumat risikan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia.

“Dron digunakan untuk membuat pengawasan di kawasan sempadan, manakala ‘Gempita’ yang dilengkapi radar canggih juga telah diatur gerak ke Langkawi untuk memantau kawasan sekitar pantai.

“Menerusi Op Benteng, pihak tentera berkongsi maklumat risikan dengan pasukan keselamatan lain dalam memastikan cubaan menyeludup barangan seperti daun ketum serta pendatang tanpa izin dapat dipatahkan,” katanya kepada Bernama dalam liputan media eksklusif Op Benteng di sini.

Mohd Halim berkata pihaknya percaya sindiket penyeludupan akan mula menggunakan jalan darat untuk melakukan kegiatan mereka terutama pada musim tengkujuh.

“Sekarang keadaan laut sedikit bergelora, mungkin sindiket akan cuba masuk menggunakan sempadan daratan untuk masuk dan pihak tentera bersama agensi lain sentiasa memantau perkara ini.

“Cubaan untuk masuk dan keluar negara juga mungkin akan bertambah menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata selain rondaan jalan kaki di kawasan pagar sempadan oleh pihaknya bagi menutup ruang pencerobohan, PGA turut menerima bantuan Pasukan Gerakan Udara PDRM yang melakukan rondaan udara di sempadan Malaysia-Thailand di kedua-dua negeri.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata 2,105 pendatang tanpa izin, 572 tekong serta 126 penyeludup ditahan sejak 1 Mei hingga 23 Julai dalam Op Benteng bagi mengawal sempadan negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

5,951 pendatang tanpa izin dihantar pulang semasa PKP

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Seramai 5,951 tahanan di Depot Tahanan Imigresen dihantar pulang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula 18 Mac sehingga 1 Julai.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan daripada jumlah itu seramai 4,110 adalah rakyat Indonesia; Thailand (637); Myanmar (391); Pakistan (380); Bangladesh (279); China (73); India (26); Sri Lanka (11) dan lain-lain 44 orang.

“Dari 1 Januari hingga 2 Julai 2020, Jabatan Imigresen melaksanakan 4,301 operasi yang melibatkan pemeriksaan 68,033 orang warganegara asing. Hasilnya, seramai 17,473 pendatang tanpa izin dan 250 orang majikan diambil tindakan undang-undang.

“Daripada jumlah itu, warganegara Indonesia mencatat jumlah tangkapan yang tertinggi iaitu 6,514 dan diikuti Bangladesh seramai 2,964 orang dan bakinya adalah Filipina, Myanmar, Thailand dan lain-lain,” menurut KDN dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen, bagi menjawab soalan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PAKATAN-Johor Bahru).

Selain itu, KDN memaklumkan sebanyak 59,946 operasi dijalankan Jabatan Imigresen dengan tangkapan seramai 191,632 pendatang tanpa izin dan 5,484 orang majikan pada tahun 2016 hingga 2019.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu kanak-kanak tanpa IC antara tumpuan Parlimen

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Isu kewarganegaraan untuk anak-anak tanpa kad pengenalan (stateless children) antara yang bakal mencuri tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu tersebut terkandung dalam Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang diajukan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP-Bandar Kuching) kepada Menteri Dalam Negeri, antara lain berkaitan pelan kerajaan untuk memudah dan mempercepatkan proses mendapatkan status kewarganegaraan untuk golongan berkenaan.

Turut dibangkitkan dalam sesi itu adalah pertanyaan daripada Shaharizukirnain (Shaharizukirnain) Abd Kadir (PAS-Setiu) mengenai status pelaksanaan penebusan Ganti Cuti Rehat (GCR) kepada wang tunai selama 75 hari bagi penjawat awam yang berkhidmat selama 15 tahun seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2020.

Usai sesi tersebut, tumpuan dijangka terarah kepada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan antara dijangka menjadi perhatian adalah soalan daripada M. Kula Segaran (DAP-Ipoh Barat) yang ingin tahu jumlah majikan yang diluluskan di bawah Program Subsidi Upah serta telah menyalurkan subsidi itu tanpa memberhentikan pekerja.

Selain itu, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) pula ingin tahu langkah kerajaan dalam memperkenalkan dasar baharu terhadap pengambilan pekerja asing bagi menghapuskan pendatang tanpa izin.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Ia termasuk pemakaian pelitup separuh muka, penyediaan dan penggunaan cecair pembasmi kuman serta jarak sosial satu meter antara tempat duduk Ahli Parlimen semasa persidangan berlangsung seperti yang diputuskan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tekong perjudikan kedaulatan negara seludup Pati diburu – NTF

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Demi mengaut keuntungan lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit, ada segelintir rakyat tempatan sanggup memperjudikan kedaulatan tanah air dengan menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini.

Tekong darat dan laut itu dikatakan menerima bayaran tinggi kira-kira RM13,000 hingga RM15,000 untuk setiap pendatang asing tanpa izin yang dibawa masuk secara haram.

Mendedahkan perkara itu, Komander Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah berkata, pihaknya akan memperhebatkan usaha membanteras penyeludupan Pati yang didalangi kebanyakannya tekong terdiri daripada rakyat tempatan.

“Keuntungan diperoleh mereka (tekong) ini luar biasa, malah jumlah bayaran juga berbeza mengikut kawasan dan aktiviti,” katanya dalam satu temu bual khas bersama Bernama di ibu pejabat NTF di sini baru-baru ini.

Contohnya, jika pendatang asing tanpa izin dibawa bergerak dari satu tempat ke tempat lain melalu sempadan yang dekat, tekong terbabit akan menerima bayaran antara RM800 dan RM1,500 untuk setiap seorang Pati.

“Jika sempadan yang (jaraknya) jauh, sudah tentu dikenakan bayaran tinggi sekitar RM13,000 hingga RM15,000 dan mempunyai harga tertentu,” katanya.

Pihak NTF telah mengenal pasti laluan masuk Pati terbabit melibatkan kawasan utara Pulau Langkawi di Kedah; selatan Kuala Selangor, Selangor ke Tanjung Piai, Johor; dan tenggara Johor.

“NTF mempunyai anggota yang bertugas 24 jam setiap hari di kawasan panas itu,” katanya.

NTF juga membuat pemantauan kira-kira 500 laluan tikus masing-masing di Sabah dan Sarawak, yang dijadikan laluan untuk membawa masuk Pati.

Aris berkata lorong tikus di Malaysia di bahagikan kepada tiga kategori iaitu laluan yang mempunyai rekod tangkapan sebelum ini tetapi aktif berjumlah 203; laluan pernah digunakan sebelum ini namun kurang aktif (202); dan laluan tidak aktif dan dianggap jalan terakhir jika laluan satu dan dua dikawal ketat (106).

Beliau berkata, pasukannya berdepan cabaran besar dalam mengesan dan mengenal pasti pergerakan PATI terutamanya etnik Rohingya yang masuk ke negara ini melalui lorong tikus kerana didalangi tekong serta individu rakyat tempatan di sempadan daratan dan maritim negara.

“Selat Melaka dan Selat Singapura juga adalah laluan maritim yang sibuk dengan pergerakan kapal dagang.

“Maka, pendatang asing tanpa izin khususnya di barat dan selatan Semenanjung mengambil peluang dengan menggunakan laluan kapal dagang untuk masuk ke perairan negara,” katanya.

Walaupun perairan negara ini luas, ia tidak mematahkan komitmen NTF untuk membanteras kegiatan pencerobohan pendatang asing tanpa izin sehingga ke akar umbi, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Panglima ATM: Tiada kompromi pegawai, anggota terlibat sindiket jenayah

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi dengan pegawai serta anggotanya, yang terlibat dengan apa juga kegiatan jenayah termasuklah sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, pihaknya mengambil pendekatan tegas berhubung perkara berkenaan, demi menjaga imej pasukan keselamatan itu yang bertanggungjawab memastikan kedaulatan serta kesejahteraan negara, terpelihara.

“ATM bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa, untuk sebarang tindakan lanjut ke atas mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, dengan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini, yang melakukan penahanan 18 penguatkuasa melibatkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta ATM, susulan tangkapan 40 suspek sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin pada 4 Jun lepas.

“ATM juga ingin mengesahkan bahawa dua pegawai serta tiga anggota ATM, disyaki terlibat seludup pendatang tanpa izin 4 Jun lepas,” katanya.

Beliau berkata, penahanan anggota ATM terlibat berkenaan menunjukkan keberkesanan Op Benteng, di bawah pengawasan National Task Force (NTF).

Sebelum ini, Bernama melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed memaklumkan, seramai 371 orang ditahan dalam tempoh empat hari bagi fasa ketiga Op Covid-19 Benteng, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 4 hingga 7 Jun lepas.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis KL tahan 94 pendatang tanpa izin

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Seramai 94 pendatang asing tanpa izin ditahan, dalam operasi bersepadu mencegah jenayah warga asing di beberapa lokasi tumpuan mereka di sekitar ibu kota, selama dua hari.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, operasi berkenaan yang bermula sejak 4 petang semalam sehingga 5.30 pagi tadi, melibatkan lokasi di sekitar kawasan Setapak, stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Stesen Bas Kota Raya, Jalan Chow Kit dan Pasar Chow Kit.

Selain itu, pemeriksaan turut dilakukan di Sri Petaling, Jalan Alor, Jalan Segambut Pusat, Jalan Ipoh, Taman Seri Kuching dan Jalan Tun Razak.

Beliau berkata pihaknya memeriksa seramai 271 warga asing dan daripada jumlah itu, seramai 90 lelaki dan empat wanita ditahan selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Paling ramai ditahan adalah lelaki warga Bangladesh iaitu 30 orang diikuti 28 lelaki warga Myanmar dan 10 lelaki warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

Mazlan berkata pihaknya juga menahan 11 pendatang tanpa izin dari beberapa negara di benua Afrika termasuk seorang wanita, manakala jumlah selebihnya adalah dari India, Nepal, Pakistan, Vietnam dan Yaman.

“Kesemua mereka diambil tindakan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan akta-akta yang berkaitan.

“Tangkapan dalam operasi itu dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang untuk tindakan lanjut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata operasi berkenaan melibatkan seramai 197 pegawai dan anggota polis kontinjen Kuala Lumpur, bersama enam pegawai dan anggota Jabatan Imigresen.

“Operasi akan diteruskan bagi membanteras kebanjiran warga asing, sekali gus berusaha menurunkan kadar jenayah berpunca daripada warga asing,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pendatang tanpa izin boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

-BERNAMA