Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Penggunaan e-pembelajaran murid capai 76 peratus

SHAH ALAM, 11 APRIL: Penggunaan platform e-pembelajaran bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid di Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencapai tahap lebih 76 peratus, kata timbalan pengarah sektor pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

Datin Nor Faridah A Bakar berkata selain itu capaian guru kepada murid menerusi penggunaan medium lain seperti WhatsApp, Telegram dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi proses PdP pada kadar 85 peratus.

“Setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) membuat kaji selidik sejauh mana guru boleh mencapai anak murid mereka, jadi melalui data diperoleh kita anggarkan capaian proses PdP ini sepanjang PKP.

“Kita yakin kadar ini boleh ditingkatkan lagi sepanjang sambungan PKP bagi memastikan tiada murid yang ketinggalan dalam proses PdP,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nor Faridah berkata pihaknya juga mengambil maklum kesukaran dihadapi guru untuk mencapai murid yang mungkin tidak mempunyai akses internet atau telefon bimbit yang tidak mampu memuat turun aplikasi.

“Jadi kita minta sekolah dan guru ambil inisiatif gunakan rekod alamat murid untuk pos modul kerja sekolah yang perlu dibuat.

“Selain itu guru juga boleh berkomunikasi dengan ketua kampung, ketua komuniti dan persatuan penduduk taman perumahan, kita kena libatkan komuniti dalam usaha memberi PdP kepada anak-anak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mencadangkan supaya waktu siaran Program TV Pendidikan dapat dipanjangkan supaya memberi manfaat kepada lebih ramai murid sepanjang PKP.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas minta Kementerian Pendidikan melaksanakan pembelajaran dari rumah sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini, dan mungkin untuk tempoh seterusnya sehinggalah sekolah dibuka.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2020: RM64.1 bilion sedia pendidikan berkualiti

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Komitmen kerajaan untuk melabur demi masa depan anak-anak dalam bidang pendidikan dan menyediakan pendidikan yang berkualiti jelas terlihat, apabila Kementerian Pendidikan (KPM) terus menjadi penerima peruntukan terbesar melalui Belanjawan 2020.

Ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata sebanyak RM64.1 bilion diperuntukkan kepada kementerian itu pada tahun hadapan berbanding RM60.2 bilion pada tahun lalu.

Katanya, kerajaan akan menambah peruntukan penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah daripada RM652 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 kepada RM735 juta pada tahun 2020 bagi memastikan sekolah sedia ada menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Ia meliputi peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM300 juta untuk Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (RM50 juta), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (RM50 juta), Sekolah Berasrama Penuh (RM50 juta) dan Maktab Rendah Sains MARA (RM50 juta).

Turut menerima peruntukan itu ialah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (RM50 juta), Sekolah Mubaligh (RM50 juta), Sekolah Tahfiz (RM50 juta), Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Persendirian (RM25 juta), Sekolah Pondok yang berdaftar (RM25 juta), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (RM20 juta) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) sebanyak RM15 juta.

Guan Eng berkata, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada membaik pulih sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM783 juta pada tahun 2020, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Tahun hadapan, kerajaan akan membina beberapa sekolah baharu di Langkawi, Kulai, Hulu Langat, Putrajaya, Pasir Gudang, Tumpat, Marang dan Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata bagi SK, peruntukan sebanyak RM23 juta akan disediakan untuk memastikan sekolah mempunyai kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU), selari dengan dasar penolakan sifar (zero reject) yang telah diperkenalkan KPM di mana tiada kanak-kanak OKU dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka.

“Kerajaan juga akan meningkatkan jumlah bantuan bayaran utiliti tambahan yang juga merangkumi pembentungan sebanyak RM12 juta sekali gus memberi manfaat kepada 2,000 sekolah bantuan kerajaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Kerajaan cadang beri insentif kepada guru lanjutan pelajaran peringkat sarjana dan PHD

GEORGE TOWN, 16 Mei: Kementerian Pendidikan bercadang untuk memberikan insentif kepada guru-guru yang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung cadangan itu.

“Untuk jangka masa panjang, kita sedang merangka dan berbincang dengan pihak JPA. Saya juga akan minta pertolongan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan ini,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2019, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kementerian telah menggariskan beberapa inisiatif jangka sederhana dan panjang bagi menambah baik tugas para guru di sekolah.

Maszlee berkata, bagi inisiatif jangka sederhana yang bermula seawal Januari sehingga hujung tahun ini, kementerian telah menyenaraikan beberapa isu antaranya pelaksanaan audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) telah dihentikan.

Menurutnya pihak sekolah hanya perlu melaksanakan audit kendiri bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan masing-masing.

“Fasa semakan dan penilaian kendiri dibuka dua kali setahun iaitu pada bulan Januari hingga Mac (Fasa 1) dan Ogos hingga November (Fasa 2) berbanding tiga kali sebelum ini. Sistem online sentiasa dibuka untuk dikemas kini dan pemantauan,” katanya.

Beliau berkata bagi isu pengawasan peperiksaan pada waktu cuti sekolah, bermula tahun ini pengawasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilaksanakan secara dua fasa pada Oktober dan November semasa waktu persekolahan.

Bagi memenuhi keperluan penggantian guru bercuti, cuti bersalin dan cuti sakit melebihi 28 hari, beliau berkata, peruntukan sebanyak RM35.2 juta telah disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri bagi membolehkan sekolah menggunakan khidmat guru ganti.

Sementara itu, Maszlee berkata, kementerian juga telah mengenal pasti beberapa inisiatif jangka panjang yang melibatkan isu yang lebih kompleks dan memerlukan kajian semula dasar dan peraturan sedia ada, penambahbaikan infrastruktur dan infrastruktur ICT, pengoptimaan perjawatan serta pengisian sumber manusia di sekolah.

“Bagi inisiatif jangka panjang pula selewat-lewatnya akan dilaksanakan hujung tahun ini, beberapa inisiatif telah dirangka termasuklah mengatasi masalah guru terpaksa keluar atas beberapa faktor sehingga menyebabkan mereka sukar memberikan penumpuan dalam bilik darjah.

“Prosedur operasi standard keselamatan guru juga telah siap disemak dan digubal secara menyeluruh, antara inisiatif yang akan diberikan adalah Perlindungan Insurans Guru yang akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin mengetuai bacaan ikrar. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Yayasan Qatar lawat Malaysia bincang tingkat pendidikan

KUALA LUMPUR, 28 APR: Pengerusi Yayasan Qatar Bagi Pendidikan, Sains dan Pembangunan Komuniti Qatar (QF) serta Education Above All (EAA), Sheikha Moza Nasser akan mengadakan lawatan khas ke Malaysia bermula hari ini hingga 1 Mei.

Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan, Sheikha Moza akan diiringi para pegawai dari pejabat baginda dan wakil EAA.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menjadi hos kepada lawatan berkenaan.

“Program rasmi termasuk kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pertemuan dengan timbalan perdana menteri pada 30 April,” menurut kenyataan itu.

Lawatan khas berkenaan akan menyediakan peluang kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama terutamanya berkaitan pendidikan, kesihatan, memperkasa wanita, pembangunan belia dan masyarakat.

EAA yang diasaskan pada 2012 oleh Sheikha Moza bertujuan untuk membina gerakan global yang menyumbang kepada pembangunan manusia, sosial dan ekonomi melalui penyediaan pendidikan berkualiti, manakala QF adalah pertubuhan bukan keuntungan yang menumpukan kepada pendidikan, penyelidikan dan pembangunan komuniti sejak 1995.

Sheikha Moza merupakan Permaisuri kepada Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani, bekas Emir Qatar.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Jadikan TVET pilihan utama lanjut pengajian

SEREMBAN, 24 MAC: Pendidikan, Latihan, Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) yang menekankan pendekatan kemahiran perlu dijadikan pilihan utama pelajar yang ingin melanjutkan pengajian, dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir tempatan.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, ketika ini jumlah tenaga kerja mahir hanya sebanyak 28 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 35 peratus menjelang 2020.

“Program latihan kemahiran adalah mustahak, pembangunan sesebuah negara berpotensi tergugat kalau tiada tenaga kerja yang mencukupi dalam bidang kemahiran ini dan sekiranya ia mencukupi, kita tidak perlu terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing.

“Harap anak muda boleh jadikan bidang TVET sebagai pilihan utama, ibu bapa jangan hanya tertumpu untuk hantar anak ke universiti semata-mata sedangkan bidang TVET tidak kurang pentingnya,” katanya selepas Program Bersiri Kementerian Sumber Manusia Bersama Rakyat di sini, hari ini.

Kula Segaran berkata, penglibatan kaum Cina dalam bidang TVET ketika ini hanya mencatatkan satu peratus manakala kaum India pula lima peratus.

“Sebab itu kita mahu galakkan lebih ramai pelajar tidak kira kaum menceburi bidang TVET. Bahkan saya ada juga pergi Cameron Highlands sebelum ini untuk menarik Orang Asli menyertai bidang TVET, meskipun terdapat kekangan komunikasi, namun mereka diberi sedikit kelonggaran bagi membolehkan mereka sama-sama mengikut kursus-kursus berkaitan,” katanya.

Tambahnya, dalam usaha menarik lebih ramai pelajar menceburi bidang TVET, kursus jangka pendek yang hanya mengambil masa tiga hingga enam bulan turut ditawarkan di Institusi Latihan Perindustrian (ILP) antaranya kursus membaiki telefon bimbit.

“Setakat ini permohonan kemasukan ke ILP agak menggalakkan tetapi kita masih perlu galakkan pelajar masuk ke bidang ini, jadi kena jalankan kurus-kursus pendek yang hanya ambil masa tiga hingga enam bulan berbanding dahulu yang melibatkan tempoh pengajian lebih lama iaitu antara setahun ke dua tahun.

“Mereka yang terlibat dalam bidang TVET khususnya pelajar-pelajar ILP boleh dikatakan 94 peratus mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian bahkan ketika mereka masih belajar lagi kerja sudah menanti mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kula Segaran berkata, Kementerian Sumber Manusia yang beribu pejabat di Putrajaya mengadakan Hari Bertemu Pelanggan setiap Selasa bermula pukul 8 pagi hingga 10 pagi, yang bukan sahaja dihadiri ketua-ketua jabatan namun beliau sendiri turut serta.

“Saya harap program ini dapat diperluaskan dan sekarang di Sabah pun telah diadakan program ini yang selain untuk mendekati masyarakat ia juga bertujuan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih efisien kepada masyarakat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Rangka pelan pendidikan TVET

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 MAC: Pelan komprehensif bagi memperkasakan sistem Pendidikan, Teknikal, Latihan dan Vokasional (TVET) dijangka dibentangkan dalam Belanjawan Negeri 2020, tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya sedang mengkaji beberapa inisiatif untuk memberi nilai tambah kepada perkembangan Selangor Business School (SBS) dan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS).

“Selepas lawatan ke Berlin, kita merangka pelan untuk mengukuhkan program TVET, cuma kita perlukan masa untuk melihat keperluan menyeluruh kerana jika lihat negara (Jerman) itu, program itu sudah beratus tahun, begitu juga universitinya.

“Namun, Kerajaan Negeri melihat tidak semestinya kita perlu menunggu masa yang lama untuk melihat keberkesanan program itu.

“Justeru, program ini boleh diperkasakan dan diaturkan untuk gugusan pendidikan bagi menyediakan modal insan terbaik bagi negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Jelajah Pendidikan Selangor 2019, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Amirudin menjangkakan inisiatif baharu dalam bidang itu boleh mula direncanakan bermula tahun hadapan.

“Kita juga melihat beberapa bidang yang boleh diikuti pada jangka masa pendek iaitu enam bulan hingga setahun bergantung pada kesesuaian.

“Kita melihat di European School of Management and Technical, mereka menyediakan ruang bukan sahaja akademik tetapi juga pemain industri yang boleh membentuk sebahagian asas pengurusan mahupun teknikal,” katanya.

Baru-baru ini, beliau mengetuai delegasi Kerajaan Negeri ke Berlin, Jerman.

Lawatan kerja itu turut merangkumi beberapa perbincangan industri konglomerat dan lawatan ke pusat latihan industri antaranya European School of Management and Technology, di Berlin serta Federal Institute for Vocational Education Training, di Bonn College.

Selain itu, beliau juga berkunjung ke Technical University of Munich dan BMW, di Munich.

Categories
PENDIDIKAN

Keputusan SPM 2018 diumum 14 Mac

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 MAC: Keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2018 bakal diumum pada 14 Mac ini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya hari ini berkata, keputusan SPM itu boleh mula didapati selepas jam 10 pagi di sekolah masing-masing.

“Calon persendirian dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar untuk menduduki peperiksaan.

“Malah, calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2018 melalui mySMS 15888, yang akan diaktifkan bermula jam 10 pagi pada 14 Mac dan akan ditamatkan jam 6 petang 20 Mac ini,” katanya.

Kenyataan itu juga berkata, seramai 421,706 calon mendaftar menduduki SPM di 3,308 pusat peperiksaan di seluruh negara, tahun lalu.

Daripada 362,754 calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan; calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan adalah 9,427 calon.

Selain itu, 8,160 adalah calon Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah Menengah Agama Rakyat (2,059); calon sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (14,001) dan calon persendirian (25,305).

“Calon juga boleh menyemak melalui laman sesawang Lembaga Peperiksaan di pautan sppat.moe.gov.my/semakan.

“Manakala, bagi calon SPM 2018 yang ingin mengambil SPM ulangan 2019 atau sebagai calon persendirian untuk 2019, pendaftaran dibuka mulai 14 Mac hingga 31 Mac ini dengan melayari laman sesawang sppat.moe.gov.my,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM67.58 juta buat pendidikan Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM – Kerajaan Pusat mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM67.58 juta bagi projek pembangunan pendidikan, di Selangor.⠀

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mengumumkan berita gembira itu menerusi Twitter turut memaklumkan sebanyak RM20.7 juta juga diperuntukkan untuk pembinaan sekolah baharu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi di Hulu Langat.

Sementara itu Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menerusi Twitter memberitahu, pihaknya menyambut baik pengumuman peruntukan terbabit.

Melalui surat yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan bertarikh 11 Februari menyatakan peruntukan sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi projek penggantian penuh enam bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, Sabak Bernam.

Sementara, peruntukan sebanyak RM180,000 pula untuk projek baik pulih bilik darjah pendidikan prasekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil West Country, Bandar Baru Bangi.

Peruntukan sebanyak RM1.4 juta adalah bagi projek baik pulih bilik darjah prasekolah SK Kebun Baharu, Telok Panglima Garang.

Terakhir, peruntukan sebanyak RM63 juta untuk projek pembinaan sekolah baru di SMK Bukit Mahkota, Bangi.

Melalui surat sama, kementerian turut memaklumkan semua projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bermula tahun 2019 akan dilaksana Jabatan Kerja Raya melalui proses tender terbuka.

Categories
SELANGOR

Selangor antara negeri paling ke depan bantu kaum India – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 8 DIS: Selangor menjadi diantara negeri paling komited membantu kaum India daripada pelbagai aspek termasuk pendidikan dan keusahawanan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, usaha itu ditunjukkan melalui Belanjawan Selangor 2019 apabila Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM3 juta bagi melahirkan lebih ramai usahawan berbangsa India.

Katanya, program berkenaan sekali gus menjadikan Selangor negeri pertama yang mewujudkan program seumpamanya di negara ini.

“Sementara itu bagi aspek pendidikan paling terbaru Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4 juta bagi pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Midlands di Shah Alam.

“Kita bukan mahu sekolah moden semata-mata dibina, tetapi tidak lama lagi sekolah berkenaan adalah satu-satunya sekolah yang mempunyai kemudahan dewan konvensyen bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Majlis Rumah Terbuka Deepavali DUN Sungai Tua, di Taman Awam Batu Caves, malam tadi.

Hampir 1,000 tetamu daripada pelbagai kaum menghadiri majlis yang turut diserikan dengan persembahan nyanyian dan juga cabutan bertuah.

Amirudin berkata, beliau merasa bangga apabila masyarakat berbilang kaum terutama kaum India tidak membawa emosi berlebihan ketika isu kuil menjadi hangat di negeri ini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih dengan menyebelahi mana-mana kaum.

“Lebih menyedihkan kononnya muncul pula pihak lain yang cuba menjadi jaguh sedangkan hakikatnya sebelum ini mereka gagal pertahankan nasib bangsa Malaysia.

“Semangat antara kaum perlu dipertahankan bagi menjaga kestabilan negeri, ini adalah tradisi negeri dan negara, selama ini kita berjaya kerana mempertahankan sikap toleransi dan harmoni di kalangan kaum,” katanya.

 

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Pentaksiran murid tahap satu tumpu perkembangan pelajaran

PUTRAJAYA, 4 NOV: Bermula tahun depan, bentuk pentaksiran bagi murid tahun satu, dua dan tiga (tahap satu) akan bertumpu kepada perkembangan pembelajaran dan tidak lagi berorientasikan peperiksaaan.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin dalam kenyataan hari ini berkata pentaksiran alternatif itu merujuk kepada pelbagai aktiviti selain peperiksaan untuk menilai penguasaan dan mengesan perkembangan pembelajaran murid.

Beliau berkata pentaksiran alternatif dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran melalui aktiviti seperti perbincangan, persembahan, kerja projek, tugasan, amali, pemerhatian, portfolio, pameran dan kuiz.

“Pentaksiran ini selaras dengan kaedah Pembelajaran Abad ke-21 yang berteraskan elemen kolaborasi, kreativiti, komunikasi, pemikiran kritikal dan nilai,” katanya.

Menjelas lanjut, katanya pentaksiran alternatif itu juga seiring dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang merupakan satu daripada komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang fokus kepada perkembangan dan kemenjadian murid secara holistik.

Menerusi pentaksiran itu, Amin berkata guru akan digalakkan untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran seperti pengajaran berbeza dan pengajaran pemulihan mengikut tahap keupayaan murid.

“Hasil pentaksiran boleh membantu guru dan ibu bapa untuk menilai dan menambah baik pembelajaran murid,” katanya.

Amin berkata pentaksiran alternatif itu boleh mewujudkan budaya pembelajaran yang lebih menyeronokkkan dan bermakna untuk murid berbanding peperiksaan formal.

Katanya ini membolehkan guru memberikan lebih perhatian kepada penerapan nilai kasih sayang, kegembiraan dan hormat-menghormati dalam memantapkan pembangunan sahsiah dan karakter murid.

“Di samping itu, penglibatan ibu bapa juga adalah penting dalam usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kurang tekanan kepada murid pada peringkat awal usia persekolahan,” katanya.

Amin berkata pembelajaran pada tahap satu sekolah rendah amat penting sebagai asas untuk murid mengoptimumkan perkembangan dan pertumbuhan mereka pada tahap pembelajaran seterusnya.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

MB: Rangka program khusus pelajar India tingkat mutu pendidikan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kerajaan Negeri bersedia merangka program khusus untuk pelajar India dalam usaha mempertingkatkan dan memperkukuhkan asas pendidikan kaum terbabit.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri tidak hanya mengeluarkan dana ketika janji Pilihan Raya, sebaliknya ia dikeluarkan setiap tahun tanpa gagal.

Katanya, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan tahun ini berbanding RM1 juta dikeluarkan untuk sekolah-sekolah Tamil bermula pada 2008.

“Jika tahun 60an atau 70an, kaum India berjuang untuk menubuhkan sekolah-sekolah Tamil dan sukar untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

“Namun, hari ini, isu persekolahan bukan lagi menjadi isu kerana kesedaran menghantar anak-anak ke sekolah dipertingkatkan.

“Atas sebab itu, Kerajaan Negeri sentiasa memikirkan dan melihat keperluan semasa supaya mempersiapkan generasi muda dengan keperluan abad ke-21,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) 2017 bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Negeri Selangor.

Amirudin berkata, beliau percaya menerusi pendidikan merupakan satu instrumen yang kuat dan dapat mengubah seseorang daripada keadaan kurang baik kepada lebih baik.

“Individu-individu ini akan menjadi sebahagian daripada masyarakat yang akan turut sama aktif menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai segi.

“Saya akan melihat apakah bentuk bantuan atau program khusus untuk anak-anak ini selain kemudahan dan infrastruktur supaya mereka layak setanding kaum Cina dan Melayu di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ke peringkat pengajian lebih tinggi, pendidikan asas amat penting untuk menyiapkan tapak dan mengukuhkan asas pengetahuan pelajar.

“Saya percaya pendidikan di sekolah rendah dapat membentuk murid berkeyakinan dan mampu meneruskan kecemerlangan mereka semasa di sekolah menengah dan seterusnya menemui kecenderungan dan minat selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

 

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Penyelidikan IPT perlu berinovasi dan mesra alam sekitar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 OGOS: Penyelidikan yang dijalankan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bukan sekadar memenuhi pencapaian tahunan, bahkan wajar membabitkan masyarakat dan menghasilkan inovasi yang memenuhi keperluan mereka, di samping mesra alam sekitar.

Ahli Dewan Negeri, Dr Daroyah Alwi berkata, pengembangan itu perlu berlaku, sekali gus dapat meninggalkan cara pemikiran lama .

“IPT perlu meninggalkan cara yang kurang memberi perhatian kepada penyelidikan, sebaliknya beralih kepada bentuk yang melahirkan inovasi,” katanya ketika mewakili Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, merasmikan majlis penutup International Research Management and Innovation Conference (5th IRMIC 2018), di Hotel Palm Garden, Putrajaya, baru-baru ini.

Dr Daroyah berkata, pihaknya berharap aktiviti penyelidikan diteruskan dengan membabitkan kerjasama daripada badan berkepentingan seterusnya menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Katanya, Kerajaan Negeri mahu menekankan pembudayaan penyelidikan turut menekankan berhubung pentingnya pembabitan masyarakat, khususnya bakal pengguna dalam penyelidikan yang menghasilkan inovasi.

“Ini kerana pada akhirnya, hasil penyelidikan yang biasanya menggunakan dana awam perlu menepati kesesuaian dan keperluan mereka,” katanya.

Selain itu, beliau turut menggalakkan pembentukan kumpulan penyelidik daripada pelbagai latar bidang.

Seminar Antarabangsa Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi terbabit dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bagi ahli akademik dari dalam dan luar negara secara umum berkongsi hasil penyelidikan.

Selain itu, laporan kemajuan penyelidikan yang membabitkan kakitangan KUIS turut dibentangkan.

Seminar sehari itu turut diserikan dengan ucaptama oleh Prof Datuk Ir Dr Jailani Mohd Nor; Naib Canselor dan Presiden Universiti Antarabangsa Albukhary dan mantan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Ucaptama yang bertemakan ‘Fostering Research and Innovation towards Sustainable Development’ itu dimulakan dengan galakan penyelidikan bagi membolehkan eksplorasi pengetahuan baharu yang diperlukan sebagai bekalan pengajaran oleh ahli akademik.

Seminar sehari itu yang diadakan secara tahunan buat kali kelima membabitkan 94 pembentangan.

Tiga orang pembentang menerima hadiah kertas kerja terbaik iaitu Dr Nasimah Abdullah (KUIS), Dr Norsaleha Mohd Saleh (KUIS) dan Dr Lim Siew Mooi (Universiti Malaysia Sains Komputer dan Kejuruteraan).