Categories
AGENDA NASIONAL

Banci: Penduduk Malaysia cecah 32.4 juta, bilangan lelaki lebihi wanita sebanyak 4.6 peratus

SHAH ALAM, 14 FEB: Penduduk di Malaysia berjumlah 32.4 juta mengikut penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata purata Kadar Pertumbuhan Tahunan dikompaun (CAGR) penduduk adalah 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Menurutnya daripada jumlah itu, 29.8 juta atau 91.7 peratus adalah warganegara manakala 2.7 juta atau 8.3 peratus bukan warganegara.

Perdana menteri berkata banci juga mendapati 52.3 peratus ialah lelaki manakala 47.7 peratus perempuan dengan nisbah jantina adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita.

“Penemuan banci juga menunjukkan negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 100 wanita bersamaan 96 lelaki,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata bagi statistik mengikut etnik, penduduk bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 69.4 peratus diikuti Cina (23.2 peratus), India (6.7 peratus) dan lain-lain (0.7 peratus).

Dari segi kumpulan umur pula, beliau berkata dapatan menunjukkan 6.8 peratus adalah berumur 65 tahun dan ke atas, 69.3 peratus ialah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan bakinya 24 peratus dalam kalangan umur muda (0 hingga 14 tahun).

“Warga emas iaitu penduduk yang berumur 60 tahun ke atas telah direkodkan sebanyak 10.4 peratus (3.4 juta) berbanding 2010 sebanyak lapan peratus (2.2 juta).

“Umur muda telah menunjukkan penurunan daripada 27.6 peratus pada 2010 kepada 24 peratus pada 2020,” katanya.

Perdana Menteri berkata dari segi tempat kediaman pula, sebanyak 9.6 juta telah dibanci serta terdapat 8.2 juta Isi Rumah (IR) dengan Purata Saiz IR persendirian adalah sebanyak 3.8.

Beliau berkata penemuan Banci 2020 itu akan dijadikan tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan polisi dan dasar berkaitan dalam pembangunan kesejahteraan rakyat, di samping dapat memberikan input menyeluruh dalam pelaksanaan dasar sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs).

Katanya dalam menghasilkan statistik kependudukan dan demografi melalui pelaksanaan Banci 2020 itu, kerjasama strategik antara Jabatan Perangkaan Malaysia dengan kementerian, agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak swasta serta masyarakat umum telah terjalin erat bagi menjamin integriti data yang diterbitkan.

Ismail Sabri turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan banci berkenaan bagi mendapatkan hasil bermanfaat kepada negara dan rakyat, bukan sahaja untuk generasi masa kini tetapi generasi akan datang.

Beliau juga menyeru rakyat negara ini untuk terus membudayakan data dan maklumat dalam pengurusan kehidupan supaya negara dapat membentuk tamadun bangsa yang berfikiran kritis dan analitik berpaksikan data.

“Statistik dan data ini amat berkait rapat dengan pola berfikir dan seterusnya diolah kepada keputusan dan keberhasilan.

“Natijahnya, negara bakal melahirkan rakyat yang berminda kelas pertama selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia ke arah mencapai negara maju pada 2030,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk sifatkan banjir kilat Shah Alam antara terburuk

SHAH ALAM, 28 SEPT: Penduduk Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga di sini menyifatkan kejadian banjir kilat pada Ahad paling teruk menimpa mereka.

Mohammad Fadli Khairudin, 21, berkata banjir kilat pernah berlaku di kawasan itu tetapi disebabkan kejadian ban pecah beberapa tahun lalu.

Mohammad Fadli Khairudin

“Kawasan kampung ini ibarat seperti sebuah mangkuk yang menjadi tempat limpahan air sekiranya hujan lebat kerana kawasan yang rendah.

“Ibu, ayah dan dua adik perempuan bermalam di dewan disediakan sementara saya pula kekal di rumah untuk mengangkat barang elektrik keluar,” katanya ketika ditemui.

Manakala Rasimah Jarjis, 28, berkata rumahnya dinaiki air pada jam 6.30 petang dan ketika itu beliau berada di rumah bersama anaknya berusia 10 tahun.

Rasimah Jarjis

“Menyedari air mula naik saya bersama anak mengangkat barang sedikit demi sedikit sementara menunggu suami pulang ke rumah.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat membantu menyelesaikan masalah ini kerana setiap tahun perlu berhadapan dengan banjir kilat,” kata suri rumah itu.

Ahad lalu, lebih 1,000 penduduk di Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga dilanda banjir kilat susulan hujan lebat bermula jam 5.30 petang sebelum surut kira-kira jam 9 malam.

Ketua Kampung Kebun Bunga Johari Mohd Shaari berkata kejadian itu menyebabkan banyak peralatan 300 rumah yang didiami penduduk rosak.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

2,600 warga Taman Templer dapat dos pertama vaksin, tumpu warga emas

GOMBAK, 26 JULAI: Seramai 2,600 penduduk sekitar Taman Templer akan menerima suntikan pelalian dos pertama menerusi program Vaksin Selangor (Selvax).

Wakil rakyatnya berkata suntikan mula diberi hari ini hingga esok dengan menumpukan warga emas selain penjaja kecil, pekerja dalam sektor e-panggilan dan individu kerap bertemu dengan masyarakat.

“Senarai nama peserta dikumpul oleh ketua kampung dan ahli majlis dua minggu sebelum program ini bermula. Kita memastikan kesemua mereka yang layak belum menerima tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

“Sehingga jam 1 tengah hari, kira-kira 60 peratus daripada 1,300 yang diberi tarikh hari ini hadir menerima vaksin Sinovac,” kata Mohd Sany Hamzan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Sri Siantan di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohd Sany mengingatkan masyarakat supaya peka dengan waktu janji temu diberikan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi melancarkan proses vaksinasi.

“Ini (Covid-19) adalah soal hidup dan mati, sebab itu Kerajaan Selangor melaksanakan program vaksin sebagai usaha untuk menghapuskan serta mengurangkan gejala wabak.

“Saya menyeru orang ramai khususnya yang diberi kesempatan untuk hadir bagi melindungi diri dan keluarga,” katanya sambil menyeru masyarakat tidak sesekali alpa dengan tatacara operasi piawai (SOP) meskipun sudah divaksin.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Manakala program percuma Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai menerusi https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Penduduk Lembah Klang lengkap dos vaksin bulan depan

PUTRAJAYA, 15 JULAI: Semua penduduk di Lembah Klang dijangka mendapat sekurang-kurangnya dos pertama suntikan vaksin Covid-19 awal bulan depan dan dos lengkap menjelang hujung bulan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ia merupakan perancangan semasa kerajaan dengan mengambil contoh kejayaan kesihatan awam termasuk proses vaksinasi di Labuan.

“Merujuk kepada kejayaan tindakan kesihatan awam dan vaksinasi di Labuan, kes jangkitan baharu dilihat menurun kepada 26 kes hari ini berbanding 1,340 kes sebelum ini. Ini menunjukkan keberkesanan vaksinasi walaupun jangkitan adalah daripada varian Delta.

“Dalam masa dua minggu pelaksanaan tindakan kesihatan dan vaksinasi di Labuan, penerima dos pertama adalah 87 peratus manakala 52 peratus telah lengkap menerima dua suntikan. Apabila penerima vaksinasi mencecah lebih daripada 52 peratus, kita dapati kes baharu Covid-19 di Labuan menurun,” katanya pada sidang media khas Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Beliau berkata keberkesanan tindakan kesihatan awam dan peningkatan jumlah penerima vaksin itu dapat mencegah penularan varian Delta yang menular di Labuan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Dr Adham Baba mengesahkan vaksin jenis Pfizer-BioNTech akan digunakan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Kelantan bagi menggantikan vaksin jenis Sinovac bermula bulan depan.

“Sebenarnya bukan di Kelantan sahaja malah akan diperluas ke seluruh negara memandangkan kita (kerajaan) telah menempah 45.7 juta dos Pfizer-BioNTech berbanding 16 juta dos Sinovac,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan penamatan pengagihan vaksin jenis Sinovac di semua PPV di Kelantan memandangkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) hanya akan membekalkan vaksin jenis Pfizer ke semua PPV di negeri itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah penduduk Malaysia dijangka 32.7 juta pada 2020

PUTRAJAYA, 15 JULAI: Penduduk Malaysia tahun ini dianggarkan berjumlah 32.7 juta orang berbanding 32.5 juta pada 2019 dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan sebanyak 0.4 peratus, menurut penerbitan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2020.

Mengulas mengenai penerbitan itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan kadar pertumbuhan penduduk itu disebabkan oleh pengurangan bilangan penduduk bukan warganegara daripada 3.1 juta tahun lepas kepada 3.0 juta pada 2020.

“Ini selaras dengan penutupan sempadan kita dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penyebaran pandemik Covid-19 di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Uzir berkata kadar pertumbuhan warganegara kekal stabil pada 1.1 peratus dengan jumlah penduduk meningkat daripada 29.4 juta pada 2019 kepada 29.7 juta tahun ini.

Tahun ini, beliau berkata penduduk lelaki melebihi jumlah perempuan dengan masing-masing sebanyak 16.8 juta dan 15.9 juta, dan nisbah jantina adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Mohd Uzir berkata penerbitan itu juga melaporkan bahawa peratus penduduk berusia 0 hingga 14 tahun (umur muda) menurun kepada 23.3 peratus berbanding 23.5 peratus pada 2019.

Peratus keseluruhan bagi penduduk 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) juga menurun daripada 69.8 peratus pada 2019 kepada 69.7 peratus pada 2020, katanya.

“Ini berikutan jumlah penduduk bukan warganegara yang lebih rendah, kebanyakannya terdiri daripada pekerja asing,” katanya.

Menurut Mohd Uzir, peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas (umur tua) meningkat daripada 6.7 peratus kepada 7 peratus pada tempoh sama.

“Umur penengah juga meningkat daripada 28.9 tahun pada 2019 kepada 29.2 tahun, tahun ini,” katanya.

Mohd Uzir berkata Malaysia dijangka mengalami penuaan penduduk pada 2030 dengan peratusan penduduk berumur 60 tahun ke atas adalah 15.3 peratus.

Tiga negeri dengan komposisi penduduk tertinggi pada 2020 adalah Selangor (20 peratus) diikuti Sabah (12 peratus) dan Johor (11.6 peratus), katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020: Dua fasa disebabkan pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Jabatan Perangkaan melancarkan Hari Banci Malaysia yang bertemakan ‘6 Dekad Banci Membina Negara’ pada Selasa ini, 7 Julai di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Jabatan itu dalam kenyataan memaklumkan berikutan pandemik Covid-19, pelaksanaan banci 2020 yang melibatkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta tempat kediaman dijalankan secara dua fasa.

“Fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 September secara dalam talian (e-Census), manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Oktober menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.

“Objektif pelaksanaan banci adalah untuk mengumpul stok dan profil penduduk serta perumahan yang komprehensif dan terperinci sehingga ke peringkat geografi terkecil. Data banci akan menjadi sumber utama dan penting dalam penyediaan rancangan pembangunan negara,” menurut kenyataan itu.

Banci 2020 adalah yang keenam dilaksanakan sejak penubuhan Malaysia dan banci dilaksanakan setiap 10 tahun sekali.

Sementara itu, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan pada hari berkenaan termasuk sesi Media Cakna Banci bersama Pesuruhjaya Banci 2020, seminar MyCensus 2020: Statistik Kependudukan Memacu Kelestarian Malaysia dan webinar antarabangsa dengan tema ‘Counting Everyone for a Better Tomorrow’.

Selain itu, pameran daripada pelbagai agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta juga akan turut diadakan.

Menurut kenyataan itu, lagu ‘Banci Malaysia’ akan diperdengarkan ketika majlis tersebut sebagai simbolik bermulanya Banci 2020.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Banci 2020, orang ramai boleh mengakses portal banci iaitu www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia dijangka alami pengucupan penduduk pada 2072

PETALING JAYA, 11 JUL: Malaysia dijangka mengalami penguncupan penduduk pada 2072 jika kadar kesuburan terus menurun daripada 1.9 pada 2016 kepada 1.7 pada 2050 seperti yang diunjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, meskipun bilangan penduduk semakin bertambah, kadar pertumbuhan tahunan penduduk dijangka akan kekal menurun sehingga 0.7 peratus pada 2050, kesan penurunan kadar kesuburan daripada 4.0 orang anak pada 1980 kepada 1.9 orang anak pada 2016.

“Penurunan pesat kadar kesuburan penduduk ini, sekali gus mempercepatkan proses penuaan penduduk yang mana Malaysia dijangka menjadi ‘negara tua’ pada 2030 apabila 15 peratus penduduknya berumur 60 tahun ke atas.

“Perkara ini menyebabkan negara bakal kekurangan sumber tenaga kerja yang lebih serius sehingga menjejaskan pembangunan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Cabaran Utama Kependudukan di Malaysia dan Pelancaran Buku ‘Analisis Situasi Kependudukan dan Kekeluargaan’ di Malaysia di sini, hari ini.

Hannah berkata, bagi memastikan kekurangan sumber tenaga kerja dapat diatasi, kadar penyertaan tenaga buruh perlu dipertingkatkan terutamanya dalam kalangan wanita.

“Persepsi mengenai Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pendidikan kelas kedua juga perlu diubah kerana ia mampu menyumbang kepada peningkatan penyertaan tenaga buruh,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah berkata, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) juga mendapati semakin ramai pasangan tidak ingin melahirkan anak walaupun masih muda.

“Antara sebab utama pasangan tidak ingin melahirkan anak adalah kerana kesukaran yang dihadapi wanita bekerja untuk mengimbangi peranan dalam keluarga dan tempat kerja selain beberapa isu lain seperti kekangan kewangan, perkahwinan lewat dan harga rumah di luar kemampuan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai beberapa kejadian penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang berlaku akhir-akhir ini, Yeoh berkata ibu bapa perlu mendidik anak-anak untuk mengadu dan melapor kepada golongan dewasa serta pihak berkuasa sekiranya mereka menjadi mangsa seksual bagi memastikan tindakan dapat diambil.

“Saya yakin banyak kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang berlaku tetapi tidak dilaporkan. Oleh sebab itu sekarang kita uar-uarkan Talian Kasih 15999 menerusi video dengan kerjasama pihak Google dan Malaysia Against Pornography supaya kanak-kanak tahu cara untuk membuat laporan.

“Kita juga mahu universiti untuk melihat dan mengkaji bagaimana orang yang melakukan jenayah seksual ini boleh bertindak demikian, kemungkinan besar mereka juga seorang mangsa seksual masa kecil. Berdasarkan hubung kait itu, kita memerlukan lebih banyak data untuk melakukan intervensi,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

MB: Jangan timbulkan ketegangan isu roboh rumah dan kedai Kampung Pasir

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 9 NOV: Isu perobohan rumah, kedai serta pengusiran di persimpangan MRR2 Kampung Pasir, Hulu Klang dan perkarangan masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang tidak perlu digembar-gemburkan sehingga boleh menimbulkan ketegangan antara Kerajaan Negeri serta penduduk.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu berlaku kerana terdapat segelintir pimpinan parti politik cuba mempengaruhi penduduk, sedangkan mereka yang terbabit sudah diberi jaminan akan dibantu.

“Jangan ada anasir luar yang cuba mendabik dada bahawa mereka ini pejuang. Dalam hal ini, kerana Kerajaan Negeri sudah melakukan pelbagai usaha untuk membantu penduduk terbabit.

“Ingin saya tegaskan, apa yang membezakan Kerajaan Negeri hari ini ialah sebarang tindakan penguatkuasaan daripada sebarang pihak membabitkan struktur rumah sama ada kediaman atau kedai.

“Kita lakukan perancangan dan menjadi amalan kami memastikan penduduk dipindahkan ke lokasi lebih sesuai secara baik serta berhemah. Pihak terbabit akan meneruskan perbincangan bagi memastikan satu tapak baharu disediakan kepada peniaga.,” katanya

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib, berhubung kes perobohan rumah, kedai serta pengusiran penduduk di kawasan terbabit dalam sidang Dewan Negeri Selangor, pagi ini.

Katanya, Kerajaan Negeri turut berbincang dan menghormati keperluan penduduk supaya boleh membuat aktiviti diingini, namun adakala pampasan dituntut tidak munasabah tanpa mengikut akta sedia ada kerana mereka meneroka tanah yang tidak sepatutnya.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengambil tindakan proaktif yang berkemungkinan kita akan bangunkan bangunan baharu dan kemudian disyorkan supaya ia dapat disewakan kepada peniaga dalam kadar sangat minimum,” katanya.

Categories
SELANGOR

Penduduk puji tindakan pantas MBI

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 OGOS: Tindakan pantas Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) menyelesaikan isu berbangkit di Pangsapuri Saujana Damai Fasa 2 ternyata memberi kelegaan kepada 20 keluarga, di sana.

Pengerusi Persatuan Penduduk, Aminuddin Ismail berkata, kesudian MBI memberi sumbangan juga meringankan beban penduduk yang kebanyakannya berpendapatan sederhana.

“Sejak dahulu, memang pangsapuri ini di bawah MBI, namun kita dapat lihat jurang perbezaan yang amat ketara.

“Di bawah pengurusan kendalian Ketua Pegawai Operasi, Soffan Affendi Aminudin, kita dapat lihat perubahan drastik.

MBI (1)“Pengurusan agresif dan pantas seperti ini pastinya memberi kegembiraan buat kami. Tahniah MBI,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Aminuddin berharap penduduk dapat memberikan kerjasama dan komitmen untuk kepentingan jangka panjang.

“Kita tidak mahu masalah lama seperti hutang tertunggak berulang kembali. Masalah dahulu seperti air juga sudah MBI bantu selesaikan, jadi kita harap semua dapat hargai dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan baik,” katanya.

Pada 24 Mei lalu, MBI diketuai Ketua Korporat Pejabat Ketua Pegawai Operasi, Ahmad Ashraf Asnan melakukan lawatan kerja bagi mengenal pasti masalah di pangsapuri berkenaan yang memerlukan tindakan segera.

Sehingga kini, sejumlah RM710,967 diperuntukkan MBI bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan di pangsapuri berkenaan, sejak 2009.

Hak milik strata semua 20 unit kini berada dalam tangan MBI dan sedia diserahkan kepada penduduk selepas semua syarat dipenuhi.

Categories
SELANGOR

MBPJ teliti aduan penduduk sebelum laksana pembangunan

Oleh: AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 18 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya mementingkan hubungan baik dengan masyarakat setempat dan meneliti setiap aduan yang diterima sebelum pelaksanaan pembangunan di bandar itu.

Datuk Bandar MBPJ, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata slogan ‘Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli’ menjadi teras MBPJ dalam melaksanakan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.

Katanya, sebarang perancangan yang dibuat akan dirujuk kepada penduduk untuk melihat sama ada positif atau negatif walauppun pembangunan Petaling Jaya menjadi keutamaan pihaknya..

Mohd azizi mbpj“Pembangunan boleh berlaku tetapi jangan ganggu persekitaran kerana kebanyakan penduduk yang tinggal di Petaling Jaya sudah menetap lebih 50 tahun.

“MBPJ mengambil tema Kerajaan Selangor supaya mengutamakan rakyat dengan mendengar keluhan mereka sebelum sesuatu pembangunan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temubual eksklusif bersama media di Ibu Pejabat MBPJ, di sini, semalam.

Mohd Azizi berkata, kehendak masyarakat yang berlainan menjadi satu cabaran MBPJ dalam memastikan kelancaran terhadap perancangan yang dibuat.

Mengambil contoh pembinaan lebuh raya, beliau berkata, pihaknya perlu menilai semula halangan yang mungkin timbul kepada penduduk setempat dengan berusaha memperbaikinya dari masa ke masa.

“Bila sebut cabaran, ini cabarannya. Kita tahu Petaling Jaya ada isu pengangkutan, trafik dan lebuh raya.

“Contohnya, Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) yang dibatalkan dan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (Dash) yang perlu dilihat semula supaya gangguan terhadap penduduk berkurangan.

“Kita bukan sahaja berdepan situasi untuk sediakan perkhidmatan terbaik, penduduk terlibat juga menjadi cabaran buat MBPJ,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Program Kesejahteraan Masyarakat Bandar tingkat taraf hidup golongan kurang bermampuan

SUBANG JAYA, 11 JUN: Sejumlah RM300,000 diperuntukkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi pelaksanaan Program Kesejahteraan Masyarakat Bandar (PKMB).

Pegawai Komunikasi Korporat MPSJ, Muhammad Azli Miswan, berkata ia bertujuan membantu mereka yang kurang berkemampuan selaras dengan konsep kemasyarakatan setempat.

“Sumbangan diberi kepada mereka yang layak seperti golongan fakir miskin, ibu tunggal, kurang berkemampuan dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

mpsj“Ia juga akan mengeratkan dan memperkukuhkan hubungan baik yang sedia terjalin antara MPSJ dan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sumbangan wang tunai akan diberi kepada mereka yang benar-benar layak dan turut membabitkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Katanya, seramai 30 penerima akan mendapat bantuan berkenaan yang diserahkan Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, tahun ini.

“PKMB akan membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka yang tidak berkemampuan pada masa akan datang.

“Selain bantuan kebajikan, program ini juga turut merangkumi program keusahawanan dan ‘back to school’,” katanya.

Majlis penyampaian sumbangan itu akan berlangsung di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, dekat sini, bermula 2.00 hingga 5.00 petang, pada 13 Jun ini.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Penduduk Permatang Pauh mahu PKR kekal menang

Oleh: NORHAYATI UMOR

PULAU PINANG, 24 APR: Penduduk tempatan terus menanti siapa yang bakal bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, menjelang penamaan calon, pada 25 April ini.

Harapan tinggi pasti ada terhadap calon yang bakal bertanding merebut kerusi panas yang juga kubu kuat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri ANwar Ibrahim, sejak 1982.

Bagi Johar Ahmad, 60, dia berharap siapa juga calon yang dipilih PKR akan dapat menewaskan Barisan Nasional (BN).

PRK-P44“Saya tidak kisah siapa juga yang diletakkan asal PKR menang dan Umno jatuh. Tidak kira Wan Azizah (Datuk Seri) atau sebaliknya yang penting lawan Umno habis-habisan,” katanya ketika ditemui Selangor Kini.

Sementara itu, suri rumah, Samsiah Mat Ismail, 48, berkata calon yang menang diharap dapat membawa Permatang Pauh jauh ke hadapan.

“Moga beliau dapat membawa perubahan lanskap pembangunan kepada penduduk di sini. Tidak kisah siapa calon, janji PKR menang,” katanya.

Manakala, Abdul Razak Abdullah, 54, pula menganggap pembangunan yang ditinggalkan bekas Ahli Parlimen sebelum ini sudah mencukupi.

“Apa yang ditinggalkan Datuk Seri Anwar sudah cukup. Apa yang kita mahu adalah kepedulian kepada rakyat dan itu yang dilakukan beliau selama ini.

Anwar“Kalau boleh kami mahu PR mengekalkan kerusi parlimen ini,” katanya.

Sementara itu, suasana sekitar Permatang Pauh masih lagi tenang menjelang penamaan calon.

Tinjauan Selangor Kini sekitar pekan di tiga DUN kawasan berkenaan juga mendapati penduduk menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

Antara lokasi tinjauan adalah Permatang Rawa, Permatang Batu, Berapit, Pekan Permatang Pauh, Samagagah dan Mengkuang Semarak, bahkan beberapa pondok keselamatan polis juga sudah tersedia di setiap kampung.

-NFN-