Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Jemaah umrah terkandas lapan jam, terlepas penerbangan

SEPANG, 19 DIS: Seorang bakal jemaah umrah terlepas penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Tanah Suci awal hari ini, namun terkandas lebih lapan jam di Lebuhraya Persekutuan akibat banjir yang melanda Lembah Klang.

Hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, beliau sepatutnya dijadual menaiki penerbangan Emirates Airlines ke Dubai pukul 2 pagi hari ini tetapi terkandas di lebuh raya berkenaan sehingga kira-kira 3 pagi kerana laluan tersebut dinaiki air dan sukar dilalui oleh kenderaan ringan.

“Memang banyak kenderaan terkandas bersama-sama kami. Hujan awal pagi tadi memang lebat dan saya dan anak perempuan hanya duduk di dalam kereta untuk berteduh.

“Alhamdulillah, kereta saya tidak tenggelam dan saya bergilir-gilir tidur dalam kereta dengan anak… bimbang kalau dua-dua tidur nanti air naik dan kami tidak dapat keluar,” katanya ketika ditemui Bernama di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA di sini hari ini.

Ahmad, 50, dari Temerloh, Pahang berkata jika mengikut perancangan, beliau sememangnya akan tiba awal di KLIA.

“Tapi apakan daya… banyak jalan ditutup,” katanya yang berpendapat banjir di Lembah Klang kali ini amat teruk dan sama sekali tidak menjangkakan akan terlepas penerbangan untuk pergi bersama kumpulannya untuk menunaikan umrah.

Ahmad berkata beliau telah berhubung dengan ejen umrahnya yang sedang berusaha untuk mendapatkan tiket penerbangan baharu untuknya malam ini.

“Kalau ada rezeki dapatlah tunaikan umrah, kalau tidak dapat… tidak mengapa,” katanya reda dengan ujian yang menimpa.

Seorang pekerja swasta dikenali Rahim Hamzah, 26, berkata beliau terlepas penerbangan untuk ke Pulau Pinang petang semalam kerana terkandas di Lebuhraya Persekutuan.

“Memang semua jalan air naik….pukul 6 pagi tadi, saya sampai di masjid ini (Masjid Sultan Abdul Samad KLIA) bersama rakan dan kami akan tidur dahulu kerana saya telah beli tiket untuk balik ke Pulau Pinang pukul 9 malam nanti,” katanya.

Banjir melanda Lembah Klang sejak semalam menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan manakala ramai pengguna jalan raya terkandas akibat laluan sesak dan ditutup kerana dilimpahi air banjir.

Banjir juga dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan terbaharu Perak turut dilanda bencana itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan semua kementerian berkaitan menggerakkan aset ke kawasan terjejas banjir bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara dengan segera.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kargo udara catat permintaan tinggi pada Mac

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) melaporkan bahawa permintaan global untuk kargo udara pada Mac 2021 terus mengatasi jumlah permintaan tahap sebelum pandemik Covid-19 dengan permintaan naik 4.4 peratus.

IATA berkata pada Mac permintaan mencapai paras tertinggi sejak data untuk siri pasaran kargo udara global bermula pada tahun 1990.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata kargo udara terus mencatatkan pertumbuhan positf bagi sektor penerbangan dan syarikat penerbangan mengambil pelbagai langkah untuk memenuhi kapasiti yang diperlukan.

“Krisis akibat pandemik telah menunjukkan bahawa kargo udara dapat memenuhi cabaran dengan menggunakan inovasi dengan pantas.

“Begitulah caranya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, walaupun sebahagian besar pesawat penumpang tersadai,” kata Walsh dalam satu kenyataan semalam.

Sektor itu perlu mengekalkan momentum pra-pandemik ini untuk mendorong kecekapan jangka panjang industri dengan digitalisasi.

IATA juga menyatakan bahawa kenaikan permintaan bulan ke bulan dengan jumlah melonjak 0.4 peratus pada Mac berbanding tahap pada Februari, 2021.

Bagaimanapun, pertumbuhannya lebih perlahan daripada bulan sebelumnya yang menyaksikan permintaan meningkat 9.2 peratus berbanding Februari, 2019.

“Prestasi lebih lemah dicatatkan syarikat penerbangan Asia-Pasifik dan Afrika menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih rendah pada bulan Mac,” kata IATA.

Sementara itu, IATA berkata pesanan eksport baharu adalah antara keadaan yang mendasari keadaan ekonomi, ia kekal menyokong kargo udara.

“Selain pesanan eksport, waktu pengiriman barang-barang buatan juga meningkat yang pada kebiasaannya menunjukkan peningkatan permintaan untuk kargo udara dalam usaha untuk mengurangi tempoh pengiriman.

“Perdagangan global meningkat 0.3 peratus pada Februari, kenaikan bulanan kesembilan berturut-turut dan pertumbuhan secara berterusan dicatatkan dalam tempoh lebih daripada dua dekad, ia juga menyokong permintaan untuk kargo udara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Khazanah: Sukar untuk Malaysia Airlines, AirAsia bergabung

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Khazanah Nasional Bhd menegaskan bahawa sebarang penggabungan antara Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan syarikat penerbangan tambang rendah seperti AirAsia, sukar untuk dilaksanakan.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata model perniagaan yang berbeza dan budaya kerja yang berlainan membuktikan gabungan dua entiti seperti itu jarang membuahkan hasil.

“Malaysia memerlukan syarikat penerbangan tambang rendah dan syarikat yang menawarkan penerbangan nilai tinggi seperti Malaysia Airlines untuk wujud bersama, berikutan kita perlu memenuhi pelbagai segmen pasaran.

“Oleh itu, saya fikir untuk strategi jangka panjang Malaysia, penting untuk memberikan pilihan yang mencukupi, bukan hanya kepada rakyat Malaysia, tetapi juga kepada pelancong luar untuk datang ke negara ini,” katanya dalam program Money Matters terbitan TV3, pada Sabtu.

Khazanah Nasional merupakan pemilik penuh MAB.

Sebelum ini, Shahril dilaporkan berkata Khazanah sedang menunggu pelan pemulihan strategik yang akan dirangka pengurusan Malaysia Airlines.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penerbangan ihsan TUDM bawa dua pesakit jantung

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa dua bayi, masing-masing berusia 11 hari dan dua bulan dari Kuching, Sarawak ke Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.

Dalam kenyataannya, TUDM memaklumkan kedua-dua bayi bersama ibu masing-masing diterbangkan dari Pangkalan Udara Kuching dengan pesawat pengangkut A400M daripada No 22 Skuadron.

“Kedua-dua bayi itu yang masing-masing mempunyai masalah jantung Partially Obstructed Total Anomalous Pulmonary Vein Drainage dan Congenital Heart Disease of Transposition of Great Arteries sebelum ini mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Pesawat yang berlepas dari Pangkalan Udara Kuching tiba kira-kira 6.50 pagi tadi di Pangkalan Udara Subang dan dibawa ke IJN dengan diiringi pegawai dan petugas perubatan daripada HUS,” demikian menurut kenyataan itu.

TUDM mendoakan agar kedua-dua bayi berkenaan dapat menjalani rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan dan kembali sihat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Trafik penumpang Malaysia Airports jatuh 98.8 peratus

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Trafik penumpang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) secara menyeluruh merekodkan kejatuhan sebanyak 98.8 peratus dari tahun ke tahun pada bulan lepas kepada hanya 137,000 individu berikutan penguatkuasaan Perintah Sekatan Pergerakan (PKP).

Sektor antarabangsa mencatatkan penurunan 99.3 peratus dengan trafik penumpang sebanyak 39,000 pada April manakala pergerakan penumpang domestik merosot 98.4 peratus kepada hanya 97,000 orang.

MAHB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata prestasi trafik pada April di lapangan terbang domestik dan antarabangsa seperti Sabiha Gokcen International Airport (SGIA) di Istanbul terjejas akibat PKP, manakala operasi SGIA digantung berikutan keputusan kerajaan Turki untuk menutup sempadan.

“Penguatkuasaan PKP di Malaysia menghadkan operasi lapangan terbang dan syarikat penerbangan hanya untuk penghantaran balik serta penerbangan kargo.

“Syarikat penerbangan tempatan memulakan kembali penerbangan ke laluan domestik utama dengan frekuensi minimum sejak 29 April lepas melalui kerjasama antara syarikat-syarikat penerbangan dan lapangan terbang bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dengan langkah yang ketat untuk memastikan perjalanan yang lancar serta selamat,” katanya.

Menurut operator lapangan terbang itu, pada asas 12 bulan yang lalu, sistem MAHB secara menyeluruh mencatatkan 121.6 juta trafik penumpang, penurunan 10 peratus berbanding tempoh yang sama sebelumnya.

Pergerakan pesawat secara keseluruhan menguncup sebanyak 91.6 peratus dengan trafik pesawat antarabangsa dan domestik, masing-masing mencatatkan pengurangan 92.9 peratus dan 90.7 peratus, berbanding April 2019.

MAHB berkata PKP, pada mulanya dikenakan selama dua minggu mulai 18 Mac dengan beberapa siri lanjutan, kini dijangka berakhir pada 9 Jun.

Pada peringkat awal, penerbangan hanya terhad kepada operasi penghantaran balik membabitkan laluan antarabangsa serta usaha membawa pulang rakyat Malaysia dari luar negara ke dalam sektor domestik.

“Bagaimanapun, syarikat penerbangan tempatan telah memulakan penerbangan ke laluan domestik utama dengan frekuensi minimum sejak 29 April lepas dan bersedia untuk meningkatkan lebih banyak penerbangan jika kerajaan memberi kelulusan yang lebih banyak ke atas pergerakan sempadan antara negeri tetapi dengan garis panduan perjalanan yang ketat.

“Pengumuman terbaru PKP Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei yang membenarkan sebahagian besar perniagaan beroperasi semula dengan prosedur operasi standard yang ketat telah membolehkan kedai bebas cukai di lapangan terbang kami dibuka kembali,” katanya.

Melangkah ke hadapan, MAHB berkata pengutamaan dalam langkah keselamatan dan cara inovatif bagi menghidupkan keyakinan pelancong melalui pendekatan teknologi akan memainkan peranan yang lebih besar.

“Norma baharu perjalanan, bakal menyaksikan banyak proses tambahan seperti penguatkuasaan pemakaian topeng muka dan perjarakan sosial, antara lain, untuk memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat, tidak dapat dielakkan buat masa ini.

“PKP membuka peluang kepada Malaysia Airports memulakan peningkatan sistem pengendalian rangkaian terasnya sebagai sebahagian daripada program transformasi digital, yang juga menyokong penambahan infrastruktur serta pembangunan kapasiti yang lain bagi menyediakan proses automasi lebih baik, perkhidmatan layan diri tanpa sentuhan, teknologi robotik dan biometrik,” tambahnya lagi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bas ekspres, motosikal tidak dibenar perjalanan antara negeri

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Mereka yang terlibat dalam perjalanan rentas negeri bermula esok hingga 10 Mei ini tidak dibenar menggunakan perkhidmatan bas ekspres atau motosikal.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata perkara itu telah dimuktamadkan oleh polis sebelum ini.

“Bagi perjalanan menerusi penerbangan pula perjalanan di Semenanjung Malaysia dibenarkan namun mereka yang mahu ke Sabah dan Sarawak perlu membuat permohonan secara dalam talian melalui platform disediakan (kerajaan negeri) sebelum membeli tiket penerbangan,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sin hari ini.

Mengulas bilangan individu yang dibenar menaiki sesebuah kenderaan ketika perjalanan rentas negeri, beliau berkata peraturan mengehadkan kepada empat orang.

“Bagaimanapun, ia bergantung pada budi bicara petugas sekatan jalan raya yang membuat pemeriksaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI GLOBAL

Mac bulan bencana sektor penerbangan, jatuh 52.9 peratus – IATA

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyifatkan Mac sebagai bulan bencana kepada industri penerbangan berikutan permintaan yang diukur daripada penumpang mengikut kilometer (RPK) jatuh mendadak 52.9 peratus berbanding tahun lepas.

Ini merupakan penurunan yang terbesar dalam sejarah, mencerminkan impak daripada langkah kerajaan untuk memperlahankan penularan Covid-19, kata IATA yang mewakili 290 syarikat penerbangan yang terdiri daripada 82 peratus trafik udara global.

Bagi data pelarasan musim, jumlah penumpang global kembali kepada paras yang kali terakhir dilihat pada 2006.

Kapasiti Mac (tempat duduk tersedia mengikut kilometer (ASK) susut 36.2 peratus dan faktor muatan jatuh mendadak 21.4 mata peratusan kepada 60.6 peratus, kata IATA dalam kenyataan hari ini.

“Mac merupakan bulan bencana bagi penerbangan. Syarikat penerbangan secara progresif merasakan peningkatan impak daripada penutupan sempadan dan sekatan pergerakan berikutan Covid-19, termasuk di pasaran domestik.

“Permintaan berada pada paras yang sama seperti 2006, namun kami mempunyai pesawat dan pekerja untuk menggandakannya. Lebih memburukkan apabila kita tahu keadaan semakin merosot pada April dan kebanyakan isyarat menuju ke arah pemulihan yang perlahan,” kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac.

Permintaan penumpang antarabangsa bagi Mac 2020 menguncup 55.8 peratus berbanding Mac 2019.

Ia lebih buruk berbanding penurunan 10.3 peratus tahun ke tahun pada Februari. Semua rantau merekodkan penyusutan peratusan trafik dua angka. Kapasiti merosot 42.8 peratus dan faktor muatan menjunam 18.4 mata peratusan kepada 62.5 peratus, jelas IATA.

“Syarikat penerbangan Asia Pasifik mendahului penurunan itu memandangkan trafik Mac jatuh 65.5 peratus berbanding tahun lepas, iaitu melebihi dua kali ganda penurunan 30.7 peratus pada Februari. Kapasiti turun 51.4 peratus dan faktor muatan jatuh 23.4 mata peratusan kepada 57.1 peratus,” katanya.

Permintaan bagi perjalanan domestik menguncup 47.8 peratus pada Mac berbanding Mac 2019 dengan peratusan penurunan dua angka di seluruh pasaran. Ia berbanding kejatuhan 21. 3 peratus tahun ke tahun pada Februari. Kapasiti susut 24.5 peratus dan faktor muatan menjunam 26.0 mata peratusan kepada 58.1 peratus.

Menurut IATA, syarikat penerbangan China terus menyaksikan penyusutan tertinggi dengan permintaan domestik jatuh 65.5 peratus pada Mac 2020 berbanding Mac 2019. Bagaimanapun, ia adalah penambahbaikan melebihi 85 peratus bagi penurunan tahun ke tahun pada Februari berikutan langkah negara untuk membuka semula penerbangan udara domestik.

Syarikat penerbangan Jepun mencatat pengurangan 55.8 peratus tahun ke tahun bagi RPK domestik walaupun tidak mengenakan sebarang sekatan keluar masuk yang meluas.

“Industri ini dalam keadaan merosot dan kita belum jatuh ke paras terendah. Namun, masanya akan tiba tidak lama lagi, saya harap — apabila pihak berkuasa bersedia melonggarkan sekatan pergerakan dan membuka sempadan. Adalah penting untuk kerajaan bekerjasama dengan industri pada masa ini untuk membuat persiapan menghadapinya,” kata de Juniac.

Beliau berkata ia adalah satu-satunya jalan bagi memastikan industri penerbangan mempunyai kaedah untuk mengekalkan keselamatan penumpang ketika perjalanan dan memberi keyakinan kepada kerajaan bahawa sektor penerbangan tidak akan menjadi vektor dalam penularan penyakit ini.

“Kita juga perlu mengelakkan kekeliruan dan kerumitan setelah 9.11. Piawaian global yang dipersetujui bersama dan boleh dipraktikkan akan menjadi misi kritikal untuk mencapainya. Satu-satunya kaedah untuk mencapai hasrat itu adalah menerusi kerjasama,” kata beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua penerbangan pulang jemaah umrah berjalan biasa

PUTRAJAYA, 29 FEB: Semua penerbangan pulang jemaah umrah Malaysia dari Jeddah dan Madinah di Arab Saudi berjalan seperti biasa, menurut Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah.

Konsulat itu, melalui kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, berkata penerbangan berkenaan termasuk kendalian syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia.

Menurutnya, pihak konsulat telah membuat lawatan konsular ke lapangan terbang antarabangsa Jeddah dan Madinah semalam dan hari ini berikutan arahan sekatan sementara kemasukan jemaah umrah ke Arab Saudi bermula Khamis lepas bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Sekiranya terdapat sebarang permasalahan berhubung penerbangan pulang ke Malaysia, wakil ejen jemaah umrah atau penumpang diminta berhubung dengan pihak konsulat untuk bantuan dan panduan sewajarnya,” kata konsulat itu.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif untuk menyekat penularan wabak Covid-19, menurut Kementerian Luarnya pada Rabu.

Saudi Press Agency (SPA) melaporkan kerajaan negara itu turut menggantung sementara kemasukan pelawat yang memiliki visa pelancong dari negara yang terjejas akibat Covid-19 berdasarkan kriteria ditetapkan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Airlineratings.com umum Qantas syarikat penerbangan paling selamat 2019

PERTH, 4 JAN: AirlineRatings.com (www.AirlineRatings.com) satu-satunya laman sesawang penarafan keselamatan dan produk di dunia mengumumkan Qantas sebagai syarikat penerbangan mereka yang paling selamat untuk tahun 2019.

AirlineRatings.com juga mengumumkan 20 syarikat penerbangan utama dan 10 syarikat penerbangan tambang murah mereka paling selamat daripada 405 syarikat penerbangan yang dipantaunya.

Syarikat penerbangan yang terkenal dan mengikut di dalam susunan abjad daripada 20 penerbangan itu adalah Air New Zealand, Alaska Airlines, All Nippon Airways, American Airlines, Austrian Airlines, British Airways, Cathay Pacific Airways, Emirates, EVA Air, Finnair, Hawaiian Airlines, KLM, Lufthansa, Qantas, Qatar Airways, Scandinavian Airline System, Singapore Airlines, Swiss, United Airlines dan kumpulan syarikat penerbangan Virgin (Atlantik dan Australia).

Syarikat penerbangan itu berada pada kedudukan terdepan di dalam industri berkenaan dan berada di barisan hadapan daripada segi keselamatan, inovasi, reka bentuk serta pelancaran pesawat baharu, kata Ketua Pengarang AirlineRatings.com Geoffrey Thomas.

“Sebagai contoh, Qantas dari Australia diiktirafPersatuan Piawaian Pengiklanan Britain dalam satu kes ujian pada tahun 2008 sebagai syarikat penerbangan paling berpengalaman, di dunia.

“Ia adalah sesuatu yang luar biasa bahawa Qantas sudah menjadi syarikat penerbangan utama di hampir semua kemajuan keselamatan operasi dalam tempoh 60 tahun lalu dan tidak mempunyai sebarang insiden kematian, di dalam era kapal terbang jet.

“Akan tetapi Qantas tidak bersendirian. Syarikat penerbangan yang sudah lama wujud seperti Hawaiian dan Finnair juga mempunyai rekod sempurna, di dalam era kapal terbang jet,” katanya lapor AirlineRatings.com memetik BERNAMA.

Sebagai respons kepada kepentingan awam, editor AirlineRatings.com juga mengenalpasti 10 syarikat penerbangan tambang murah mereka yang utama.

Syarikat terbabit mengikut abjad adalah Flybe, Frontier, HK Express, Jetblue, Jetstar Australia/Asia, Thomas Cook, Volaris, Vueling, Westjet dan Wizz.

Dalam membuat pemilihan mereka, AirlineRatings.com mengambil kira pelbagai faktor kritikal termasuk audit daripada badan pentadbiran dan persatuan peneraju penerbangan; audit kerajaan; rekod kemalangan serta insiden serius syarikat penerbangan, hayat armada juga keuntungan.

AirlineRatings.com juga mengumumkan penarafan mereka yang paling rendah bagi syarikat penerbangan (satu bintang dan dua bintang) iaitu Ariana Afghan Airlines, Bluewing Airlines, Kam Air, Tara Air dan Trigana Air Service.

AirlineRatings.com menilai produk keselamatan dan dalam penerbangan dari 405 buah syarikat penerbangan dengan menggunakan sistem penarafan tujuh bintang mereka yang unik.

Ia digunakan oleh berjuta-juta penumpang dari 232 negara dan menjadi standard industri untuk penarafan keselamatan dan produk.

Pasukan jabatan pengarang itu adalah satu daripada yang paling berpengalaman di dunia dengan memenangi 50 anugerah dan 28 buku industri.