Oleh: AFEEQA AFEERA
BATU CAVES, 21 NOV: Tiada siapa dapat membayangkan perasaan seorang ibu apabila kehilangan anak yang dikandung selama sembilan bulan dan dijaga penuh kasih.
Episod penuh duka itu dialami Zakiah Ismail apabila kehilangan anaknya berusia 10 bulan disebabkan penyakit sawan dan barah otak, pada 6 November lalu.
Dia berkata, anak bongsunya itu disahkan menghidap penyakit kronik ketika berusia enam bulan dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Selayang selama empat bulan.
“Anak saya dilahirkan sihat dan cukup sifat seperti bayi lain tetapi tidak lama selepas itu doktor mengesahkan arwah menghidap penyakit serius.
“Saya reda dengan pemergiannya kerana apa yang berlaku itu adalah ketentuan Ilahi,” kata Zakiah kepada Selangor Kini di kediamannya di Taman Amaniah, dekat sini, semalam.
Bagaimanapun, Zakiah, 39, yang mendaftar anaknya di bawah Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) menerima skim khairat kematian RM1,500.
Skim itu diserahkan Penolong Setiausaha Pusat Khidmat Rakyat (PKR) DUN Batu Caves, Maimon Misman bersama kakitangan TAWAS di kediaman Zakiah.
Zakiah yang juga seorang suri rumah melahirkan kesyukuran atas sumbangan berkenaan kerana ia meringankan bebannya dan keluarga.
“Saya tahu berkenaan TAWAS apabila mendaftar anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi tidak maklum berkenaan khairat kematian. Saya bersyukur atas manfaat ini dan berterima kasih kepada Kerajaan Selangor yang memahami nasib insan memerlukan,” katanya.
Dianggarkan lebih 8,000 anak Selangor sudah mendaftar di bawah skim TAWAS di DUN Batu Caves sejak ia diperkenalkan.
Manfaat Khairat Kematian YAWAS pula membolehkan ibu bapa peserta TAWAS yang meninggal dunia sebelum mencapai umur 18 tahun menerima sumbangan RM1,500 daripada Nerajaan Negeri.
Pendaftaran TAWAS boleh dibuat di Pejabat DUN, Pejabat Daerah, Pejabat Penghulu/Ketua Kampung, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), JPN terpilih dan pejabat TAWAS di Shah Alam.
-NFN-