Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Penantian 40 tahun berakhir, peneroka lega isu pajakan tanah selesai

SHAH ALAM, 30 NOV: Penantian empat dekad hampir 400 peneroka Ladang Tennamaram Kampung Tanjung Pasir, Bestari Jaya, Kuala Selangor terlerai apabila kemelut pajakan tanah berjaya diselesaikan.

Wakil peneroka V Jaya Kumar, 50, berkata kata sepakat dicapai selepas melalui beberapa siri perbincangan bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selain komitmen Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan isu itu.

“Mewakili peneroka lain, saya amat lega dan bersyukur kerana Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari cakna serta memandang serius isu ini.

“Kita berharap dengan adanya penglibatan daripada PKPS, nasib peneroka dapat dibela dan diberikan perhatian sewajarnya,” katanya pada sidang media di foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar, Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Jaya Kumar berkata beberapa perkara asas dipersetujui secara bersama dengan pengurusan PKPS manakala butiran lanjut akan diteliti secara berperingkat bersama peneroka lain.

Terdahulu, Kerajaan Negeri bersetuju membatalkan pajakan tanah seluas 96.4 ekar (39.01 hektar) yang diberikan kepada dua syarikat di Tanjung Pasir Ladang Tennamaram Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata syarikat Baisan Suria Sdn Bhd dan Trilion Project Sdn Bhd akan diberi gantian pajakan di kawasan lain bagi tujuan pertanian serta penternakan.

Beliau menjelaskan PKPS akan memajak tanah itu selama 21 tahun dan perlu membuat pemutihan terhadap hampir 400 peneroka yang memohon.

Untuk rekod, kawasan itu dibuka sekumpulan penduduk untuk aktiviti pertanian sejak 1967.

Isu berkaitan pertikaian pajakan tanah dibangkitkan pada awal April lalu apabila peneroka Ladang Tennamaram mengadakan protes berhubung pajakan kepada dua syarikat swasta bagi menjalankan kerja di ladang tersebut.

Pada 3 Mei, sebuah jawatankuasa siasatan dalaman ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan terdiri daripada lima anggota termasuk unit integriti dan bahagian audit dalaman pejabat SUK.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu pajak Ladang Tennamaram selesai, peneroka diberi peluang usaha tanah

SHAH ALAM, 30 NOV: Kerajaan Negeri bersetuju membatalkan pajakan tanah seluas 96.4 ekar (39.01 hektar) yang diberikan kepada dua syarikat di Tanjung Pasir Ladang Tennamaram Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata syarikat Baisan Suria Sdn Bhd dan Trilion Project Sdn Bhd akan diberi gantian pajakan di kawasan lain bagi tujuan pertanian serta penternakan.

Beliau menjelaskan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan memajak tanah itu selama 21 tahun dan perlu membuat pemutihan terhadap hampir 400 peneroka yang memohon.

“Rundingan antara PKPS dan kesemua kumpulan peneroka yang berminat mencapai kata sepakat bahawa peneroka bersetuju untuk mendaftar sebagai pemajak melalui perbadanan ini.

“Saya berterima kasih dengan kerjasama diberikan semua pihak dalam usaha mencari jalan tengah untuk menyelesaikan pertikaian ini,” katanya pada sidang media di foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Amirudin menambah keputusan dicapai itu sekali gus menyelesaikan isu peneroka haram di tanah PKPS seluas 795.76 ekar (322.03 hektar) di kawasan sama.

“Justeru, jumlah keseluruhan pertikaian tanah antara peneroka berjaya diselesaikan di Ladang Tennamaran berjumlah 892.16 ekar (361.04 hektar),” katanya.

Sementara itu, Dr Mohamad Khairul berkata pihaknya mengenal pasti kawasan gantian pajakan kepada dua syarikat berkenaan berhampiran Serendah, Hulu Selangor.

“Kita tidak mahu berlaku isu implikasi perundangan jika tiada tempat untuk dipindahkan syarikat terbabit bagi melaksanakan aktiviti ekonomi mereka,” katanya.

Isu berkaitan pertikaian pajakan tanah dibangkitkan pada awal April lalu apabila peneroka Ladang Tennamaram mengadakan protes berhubung pajakan kepada dua syarikat swasta bagi menjalankan kerja di ladang tersebut.

Mereka mendakwa Kerajaan Negeri tidak mengadakan perbincangan dengan peneroka sebelum memberikan pajakan di kawasan yang dibuka dan diusahakan mereka sejak 40 tahun lalu.

Pada 3 Mei, sebuah jawatankuasa siasatan dalaman ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan terdiri daripada lima anggota termasuk unit integriti dan bahagian audit dalaman pejabat SUK.

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantu peneroka bandar miliki rumah

SHAH ALAM, 26 NOV: Sejumlah RM10.77 juta diperuntuk bagi membantu peneroka bandar mendapatkan pembiayaan memiliki kediaman menerusi Tabung Amanah Rumah Mampu Milik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan bagi tempoh empat tahun bermula 2021 hingga 2024 itu membolehkan pembelian unit sebelum dijadikan Skim S2-OWN.

“Kerajaan Negeri amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh peneroka bandar sejak sekian lama terutamanya kegagalan pemohon untuk mendapatkan pembiayaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata sebanyak 49 projek melibatkan 84,192 unit Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman MBI diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sehingga 31 Ogos tahun ini.

“Angka ini telah melebihi sasaran Kerajaan Negeri untuk membina 30,000 unit menjelang tahun 2023.

“Insentif ini membenarkan pemaju meminda syarat daripada Rumah Selangorku Jenis A, Jenis B, Jenis C dan Jenis D kepada satu jenis sahaja iaitu Rumah Selangorku Jenis E (Khas) atau dikenali sebagai Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman MBI,” katanya.

Beliau menjelaskan rumah berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi dengan harga jualan tidak lebih RM250,000 seunit itu turut dilengkapi dengan kelengkapan asas antaranya pendingin hawa, kabinet televisyen, kabinet dapur, kabinet baju dan pemanas air.

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Sesi pertemuan dengar pandangan peneroka FELDA

PUTRAJAYA, 15 APRIL – Pengurusan FELDA akan mengadakan sesi ‘pertemuan’ dengan peneroka dalam masa terdekat, bagi mendengar pandangan mereka berhubung hala tuju baharu agensi itu susulan pembentangan kertas putih FELDA.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sesi itu juga akan turut mengumpul maklum balas golongan peneroka berhubung kertas putih FELDA itu.

“Proses engagement bersama penerok adalah satu proses utama dalam usaha membentuk semula FELDA,” katanya ketika ditemui BERNAMA di pejabatnya, di sini, baru-baru ini.

-fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Al,i ketika membentangkan kertas putih ‘Ke Arah Kelestarian Felda’ di Dewan Rakyat minggu lalu (10 April) mengumumkan peruntukan RM6.23 bilion kepada FELDA secara berperingkat dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan mengikut keperluan untuk kelestarian masa depan agensi rancangan pembangunan tanah itu.

Mohd Radzi berkata, pengurusan FELDA akan turut berkongsi idea dengan peneroka berhubung cadangan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi supaya peneroka menyewakan ladang mereka kepada FELDA untuk digabung dan diusahakan dalam skala besar.

Katanya, jika ladang seluas 10 ekar (4.047 hektar) milik seorang peneroka digabungkan dengan ladang milik peneroka lain diusahakan secara besar-besaran, ia akan mewujudkan sinergi.

“80 peratus peneroka FELDA kini berumur 60 tahun ke atas. Daripada membiarkan ladang mereka tidak diusahakan pada tahap optimum, lebih baik ia diserahkan kepada FELDA untuk diusahakan sebagai satu ladang yang besar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, cadangan membangunkan ladang peneroka secara skala besar bergantung kepada persetujuan peneroka. – BERNAMA

Categories
SELANGOR

Umno-BN lebih sebelahi pemaju punca ramai rakyat tertindas

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 11 FEB: Sikap Kerajaan Umno-Barisan Nasional yang gemar menyebelahi syarikat pemaju perumahan menjadi antara faktor semakin rakyat tertindas.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, masalah projek rumah terbengkalai selama 20 tahun seperti dihadapi peneroka Bukit Cherakah pasti dapat diselesaikan lebih awal jika kerajaan terdahulu mengambil serius terhadap penderitaan ditanggung rakyat.

“Ini membuktikan kalau kerajaan itu peduli rakyat, bertanggungjawab dan berintegriti, bukan sahaja memajukan negeri tetapi akan mengangkat umat rakyat Selangor.

“Namun kenapa tuan-tuan terpaksa menunggu sehingga 20 tahun? Jawapannya pentadbiran sebelum ini tidak peduli rakyat, tidak mengambil berat masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pemilikan Rumah Antara Peserta dengan Syarikat Pemaju Paragon Pinnacle Sdn Bhd di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Jelasnya, beliau bersyukur kerana berjaya menyelesaikan masalah dihadapi peneroka terbabit dalam tempoh dua tahun selepas mula menduduki jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor.

Katanya, usaha seperti dijalankan Kerajaan Negeri ini sepatutnya turut menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan dan bukannya untuk memancing undi dalam pilihan raya.

Terdahulu, selepas 20 tahun menunggu seramai 980 peneroka Bukit Cherakah menandatangani perjanjian pemilikan perumahan bernilai RM250,000.

Peserta terbabit juga sudah menerima keseluruhan bayaran pampasan tunai berjumlah RM180,000 pada 2016 lalu.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

MB: Kenapa Noh Omar tak pertahankan peneroka di tanah milik BN?

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 9 NOV: Tanah milik Kerajaan Persekutuan yang diteroka di perkarangan masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang, perlu dipertahankan Tan Sri Noh Omar, bukan beliau, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, sebarang keputusan membabitkan isu perobohan tiga rumah dan dua kedai di kawasan itu di bawah bidang kuasa Noh sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang perlu mempertahankan hak peneroka di tanah terbabit.

“Tuan tanah bukan saya tapi Noh Omar daripada Kerajaan Persekutuan, mengapa main politik seharusnya dia yang mempertahanan hak peneroka di tanah terbabit.

“Saya tiada bidang kuasa, namun atas rasa kemanusiaan saya hubungi Pegawai Daerah Petaling dan minta berunding juga dipertimbangkan supaya kita dapat berikan satu penyelesaian terbaik kepada mereka,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan yang mendakwa Kerajaan Negeri tidak prihatin atas kemelut dihadapi pemohon yang meminta ditangguhkan aktiviti perobohan tiga rumah dan kedai di kawasan terbabit.

“Jangan putar belit fakta. Kenapa disalahkan Kerajaan Negeri sedangkan tanah itu milik Persekutuan iaitu arahan bukan datang daripada Kerajaan Negeri.

“Kami terus ambil tindakan dan buat mesyuarat tergempar susulan isu ini tetapi datang penghasut mempengaruhi mereka supaya tidak menerima tawaran Kerajaan Negeri,” katanya.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri menawarkan inisiatif kediaman di Pusat Perumahan Rakyat Kota Damansara kepada dua keluarga serta bersetuju membiayai kos sewa unit kediaman baharu bagi tempoh enam bulan sebelum ia ditawarkan kepada mereka atas keprihatinan berkenaan isu itu.

Categories
SELANGOR

Jawatankuasa khas selesai isu peneroka bandar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 JULAI: Kerajaan Negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu penempatan 573 peneroka bandar yang kini mendiami tanah kerajaan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, semua peneroka berkenaan sudah dikenal pasti mendiami tanah yang boleh diberi hak milik.

Katanya, penyelesaian penempatan mereka bagaimanapun tertakluk kepada ulasan Jabatan Teknikal.

iskandar01“Kerajaan Negeri melaksanakan pendekatan dan cara lebih berhemah dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

“Kita juga mengambil pandangan peneroka bandar sendiri sebelum penyelesaian secara menyeluruh dikenal pasti dan dilaksanakan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib berhubung isu peneroka bandar.

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri turut menawarkan Rumah Selangorku kepada peneroka bandar yang layak.

Katanya, satu jawatankuasa khas turut ditubuhkan bagi penyelesaian projek perumahan berstrata lama yang masih belum mendapat hak milik strata.

“Ia membabitkan Jawatankuasa Perumahan dan Pejabat Tanah Galian (PTG) Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

Peneroka tanah haram tidak layak terima pampasan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SERDANG, 25 MEI: Peneroka dan pekebun kecil Parit 14 dan Parit 15, Sungai Panjang yang menjalankan pertanian secara haram di tanah berkenaan tidak akan menerima bayaran pampasan daripada Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata tanah terbabit adalah milik Kerajaan Negeri sepenuhnya yang diterokai secara haram penduduk di kawasan itu dan mereka tidak pernah membayar sebarang premium.

Abdul Khalid“Kita tidak akan membayar pampasan kepada mereka yang melakukan penerokaan tanah secara haram kerana jika berbuat demikian, kita perlu bayar kepada lebih 500,000 peneroka tanah lain.

“Kalau kita bayar, nanti Selangor penuh dengan penerokaan secara haram. Ini tanah rakyat Selangor, mereka yang kena bayar pampasan semula,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor di Universiti Putra Malaysia, di sini, semalam.

Sebelum ini, lebih 50 peneroka tanah kawasan Parit 14 dan Parit 15, Sungai Panjang berdekatan Sabak Bernam berkumpul secara aman di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), awal Mei lalu.

Peneroka-Tanah-Sungai-Panjang-2Ia berikutan mereka membantah tindakan Kerajaan Negeri yang didakwa mengambil alih tanah yang menjadi mata pencarian keluarga mereka sejak 60 tahun lalu.

Mereka adalah sebahagian daripada 336 peneroka yang menuntut Kerajaan Negeri supaya menarik balik keputusan pengambilalihan itu, selain membenarkan mereka terus mengusahakan penanaman kelapa sawit, sawah padi dan koko di atas Tanah Hutan Simpan Sungai Karang itu.

-NFN-

MB di Majlis dialog bersama peneroka terbengkalai


http://tv.selangorku.com