Categories
SELANGOR

Pembangunan ekonomi Malaysia perlu bebas dan adil

mb tppaSHAH ALAM 8 NOV : Pembangunan ekonomi Malaysia dilihat masih memerlukan pelaburan dan perdagangan antarabangsa, namun pelaksanaannya harus dilakukan secara bebas serta adil.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata lebih 60 peratus peluang ekonomi masih bergantung kepada perdagangan antarabangsa ekoran pasaran dalaman negara yang kecil sejak ekonomi Malaysia mula berkembang hingga kini.

Katanya, hal itu dilihat merujuk kepada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang kini dalam proses rundingan kerajaan pusat.

“Setiap orang mesti terima hakikat dan setuju bahawa kita tidak boleh lari daripada membuat hubungan dagangan antarabangsa dan rasanya tidak ada siapa menghalang.

“Namun, perlu diingatkan walaupun diterima tetapi pihak bertanggungjawab harus memastikan bahawa perjanjian perdagangan yang ditandatangani itu adil kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 100 hadirin terdiri daripada kakitangan kerajaan negeri, syarikat berkenaan kerajaan (GLC) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di majlis Taklimat TPPA yang diadakan di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Sesi taklimat TPPA itu disampaikan tiga ahli panel khas iaitu Profesor Gus Van Harten (Kanada), Pablo Solon (Bolivia) dan Cecilia Olivet (Uruguay), selain turut disertai Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Mengulas mengenai TPPA, Abdul Khalid berkata, perjanjian yang bakal ditandatangani Kerajaan Pusat pada awal tahun depan itu juga mampu memberi impak kepada kerajaan negeri.

“Contohnya, jika TPPA menyatakan pemberian kontrak harus terbuka kepada semua termasuk syarikat multinasional, namun Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pula bertindak memberi peluang kepada pengusaha bumiputera atas nama ingin membantu masyarakat, kita boleh disaman.

“Mereka boleh bawa Selangor ke mahkamah kerana tidak mematuhi syarat yang tertulis dalam perjanjian dan kita juga berpeluang untuk disaman dan bakal menyebabkan rakyat rugi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berharap taklimat yang diadakan itu memberi pengetahuan kepada orang ramai dalam memahami kesan TPPA, selain meminta kerajaan Ppsat dapat membuat keputusan yang menguntungkan rakyat. -NFN-

Categories
SELANGOR

Reformasi Agihan Kuasa

sim-tze-tzimKUALA LUMPUR 7 NOV : Malaysia perlu melaksanakan desentralisasi kuasa atau reformasi total pada peringkat pengagihan kuasa dalam usaha menjadikan kerajaan lebih cekap.

Ahli Parlimen Bayan Baru (DAP), Sim Tze Tzin, berkata proses desentralisasi membolehkan kuasa diagihkan dengan lebih adil antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Sebagai contoh di Amerika Syarikat, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikutip kerajaan tempatan, bukannya kerajaan pusat.

“Begitu juga di negara jiran Indonesia yang melaksanakan ‘Big Bang Policy’, desentralisasi kuasa kerajaan pusat kepada kerajaan tempatan,” katanya ketika sesi perbahasan Bajet 2014 di Sidang Parlimen malam tadi.

Tze Tzin berkata, kuasa yang seharusnya berada di bawah kerajaan negeri dipindahkan kepada kerajaan pusat, antaranya tanah dan air, sejak merdeka.

Pemusatan kuasa itu bukan sahaja menyebabkan pelbagai masalah atau isu tempatan tergantung tetapi terus meningkatkan hutang negara.

“Malaysia mempunyai 35 menteri dan 26 timbalan menteri, tetapi Australia dengan kadar penduduk yang agak sama hanya mempunyai 19 menteri sementara Obama hanya memerlukan 15 menteri sahaja.

“Keadaan pemusatan kuasa ini menyebabkan bajet mengurus menjadi besar dan melonjak sehingga 82.4 peratus, berbanding perbelanjaan pembangunan pada kadar 17.6 peratus sahaja,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Strategi monarki Najib kuasai kewangan negara

shah_alam_mp_khalid_samadSHAH ALAM 5 NOV : Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menambah peruntukan sehingga 43 kali ganda di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dilihat sebagai satu strategi ala monarki penuh dalam usaha menguasai kewangan negara.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata strategi itu membolehkan Najib mempunyai kelebihan mengguna wang pembayar cukai sewenang-wenangnya tanpa butiran yang jelas dan dikhuatiri digunakan untuk survival politik Barisan Nasional (BN).

“Dengan cara ini, JPM ibarat menjadi raja dan sultan menguasai penuh segalanya serta tidak boleh dipersoalkan. Dengan ini juga, kewangan negara boleh digunakan sama ada untuk menaikkan imej Perdana Menteri mahupun projek ‘mi segera’ membeli undi ketika pilihan raya bagi memenangkan BN,” katanya ketika dihubungi portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, berkenaan jumlah peruntukan untuk JPM meningkat sehingga 43 kali ganda sejak Najib mengetuai pentadbiran negara, pada 2009.

Pada 2010, jumlah peruntukan bagi JPM hanya RM 158 juta iaitu 0.3 peratus daripada keseluruhan RM 54 bilion peruntukan pembangunan, namun meningkat sehingga RM 6.8 bilion, iaitu 15 peratus daripada RM53 bilion jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan bagi 2014.

Khalid yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, tindakan Najib berselindung berkenaan urusan perbelanjaan kewangan negara di bawah nama JPM dilihat sebagai tidak telus dan bertanggungjawab.

“Ia bukti tindakan terdesak bagi Najib dalam usaha memperkukuhkan BN yang dilihat semakin hari semakin hilang kepercayaan rakyat kerana Kn menjadi lebih mudah berbanding jika diletakkan di bawah kementerian lain kerana perlu diaudit, berbanding jika diletakkan di bawah JPM,”katanya. -NFN-

Categories
SELANGOR

SPR dan SPRM ‘tertidur’ di Sg Limau, rasuah berleluasa

PRK DUN Sungai Limau

SHAH ALAM 3 NOV : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi ‘kayu mati’ yang gagal menghalang rasuah pilihanraya yang berlaku secara berleluasa dalam PRK N20 Sungai Limau.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pemberian dilakukan secara terang-terangan dalam bentuk pemberian wang ringgit, dan barangan atas pelbagai nama.

Katanya, ia dilakukan secara terbuka oleh pimpinan kerajaan, di samping penggunaan hampir seluruh jentera kerajaan kecuali Jabatan Kaji Cuaca sahaja yang tidak kelihatan.

“SPRM yang diharap menjadi agensi penguatkuasaan pencegahan rasuah serta pihak polis menjadi pemerhati kosong di atas apa yang berlaku.

“Alasan yang sering kali didengar ialah ianya bukan diberi oleh calon atau wakil calon, maka ianya bukanlah rasuah,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim berkata, kegagalan Kerajaan Umno-BN untuk mengambil contoh pencegahan rasuah negara luar menjadi bahan ketawa pemerhati asing.

“Kini ia menjadi budaya yang diterima oleh umum, menyebabkan penduduk yang terpinggir dan miskin akan bergantung kepada pilihanraya kecil untuk kawasan mereka diberi perhatian, paling tidak, pelbagai janji yang memenuhi impian mereka,” kata beliau.