SHAH ALAM, 7 JAN: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) merancang memperkenalkan konsep pembelajaran terbuka dan secara jarak jauh (ODL) yang membolehkan pelajar mengikuti sepenuhnya pengajian tanpa hadir ke kampus.
Rektornya Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata langkah menerokai kaedah baharu itu susulan kecanggihan teknologi pada masa kini yang membolehkan sesi pengajian dapat diikuti di mana sahaja seperti terbukti ketika penularan Covid-19.
Jelasnya, menerusi ODL segala proses dijalankan sepenuhnya secara dalam talian bermula dari pendaftaran, menghantar tugasan serta menyiapkan projek akhir untuk menamatkan pengajian.
“Contohnya ada pelajar Kemboja minat belajar di Kuis tetapi ada kekangan seperti tidak mampu membayar kos sara hidup di sini, mereka boleh ikuti pembelajaran dalam talian.
“Kita turut sasar kaedah baharu itu membabitkan pelajar dalam Malaysia dan Selangor, dapat jimatkan kos seperti sewa rumah yang perlu dibayar pelajar jika mereka datang ke sini,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Farid berkata pihaknya juga merancang untuk mewujudkan tabung amanah untuk membantu mengubah kehidupan asnaf dari dalam dan luar negara dengan belajar di Kuis.
Bagi tujuan itu, beliau berkata Kuis menjemput syarikat berkaitan kerajaan milik Kerajaan Selangor dan pusat untuk membantunya sebagai satu amal jariah.
“Bayangkan amal jariah kita lakukan itu dapat membantu asnaf contohnya dari Burma (Myanmar) belajar di Kuis dan akhirnya memajukan negaranya,” katanya.