Categories
AGENDA NASIONAL

MEF persoal peraturan ambil semula pekerja asing

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Peraturan yang mewajibkan pekerja asing memiliki permit kerja sah terlebih dahulu sebelum diambil kembali untuk bekerja dalam negara, dilihat bertentangan dengan tujuan asal membenarkan pengambilan kembali pekerja asing untuk bekerja, menurut Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Pengarah Eksekutifnya Datuk Shamsuddin Bardan berkata tidak ramai pekerja asing akan dapat diambil kembali bekerja jika melihat kepada peraturan ini, kerana ketika ini majikan sememangnya memberhentikan khidmat pekerja asing selepas permit kerja mereka tamat tempoh.

“MEF menyokong keputusan kerajaan membenarkan pengambilan semula pekerja asing yang masih berada dalam negara, yang khidmat mereka tidak lagi diperlukan oleh majikan semasa.

“Bagaimanapun berdasarkan kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, syarat bagi pengambilan semula adalah pekerja asing itu perlu memiliki permit kerja yang sah dan pengambilan semula itu dihadkan kepada sektor yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya tindakan mengehadkan pengambilan semula pekerja asing kepada hanya dalam sektor yang sama, ia tidak akan dapat menggunakan sepenuhnya tenaga pekerja asing yang masih berada dalam negara memandangkan permintaan dalam kalangan sektor adalah berbeza antara satu sama lain.

“Contohnya ada permintaan tinggi dalam sektor pertanian dan perladangan, di mana majikan biasanya mengekalkan semua pekerja asing mereka. Oleh kerana sekarang ini terdapat pembekuan pengambilan pekerja asing baru, sektor ini akhirnya hanya akan dapat pekerja dari sektor lain,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga harus membenarkan pekerja asing untuk diambil kembali bekerja di semua sektor industri, dan ia harus turut merangkumi mereka yang tempoh permit kerja telahpun tamat, dengan tempohnya boleh di perbaharui bagi menggalakkan penggunaan tenaga kerja asing secara optimum.

Sebelum ini pihak kementerian dilaporkan memberi kelonggaran kepada majikan mengambil pekerja asing yang diberhentikan oleh majikan sebelumnya, sekiranya mereka tidak menerima sebarang maklum balas atau sambutan daripada kalangan pekerja tempatan, namun kementerian itu tetap menggesa majikan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan.

-BERNAMA