Categories
AGENDA NASIONAL

Reman penganggur penggal kepala ibu dilanjut empat hari

SHAH ALAM, 22 JAN: Tempoh tahanan reman seorang penganggur yang disyaki memenggal kepala ibunya di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor dilanjutkan empat hari lagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Ramli Kasa berkata reman suspek berusia 28 tahun itu dilanjutkan hingga Selasa depan selepas perintah yang dikeluarkan pada 16 Jan tamat hari ini.

“Jika tiada halangan, suspek itu berkemungkinan didakwa Isnin ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan suspek setelah menerima maklumat mengenai seorang wanita berusia 56 tahun dicederakan anak lelakinya pada 5.45 petang 15 Jan lepas.

Polis turut merampas sebilah parang yang disyaki digunakan dalam insiden itu dan laporan awal ujian air kencing suspek mendapati dia positif dadah jenis metamfetamina serta amfetamina.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah penganggur turun 3.4 peratus setakat Oktober

PUTRAJAYA, 8 DIS: Bilangan penganggur di Malaysia menurun 3.4 peratus kepada 705,000 orang pada Oktober tahun ini daripada 729,600 orang pada bulan sebelumnya, susulan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan kembali beroperasi, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Oktober 2021.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia itu, bilangan penduduk bekerja meningkat 0.6 peratus bulan ke bulan kepada 15.55 juta orang pada Oktober berbanding 15.46 juta orang pada September, dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat 0.3 mata peratus kepada 65.8 peratus.

Bilangan tenaga buruh meningkat 0.4 peratus pada Oktober 2021 kepada 16.26 juta orang berbanding 16.19 juta orang pada September, manakala kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada Oktober 2021 meningkat 0.2 mata peratus kepada 68.8 peratus berbanding 68.6 peratus pada September.

Ketua Perangkawan negara Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata kedudukan tenaga buruh semakin baik pada Oktober 2021 adalah kerana sebahagian besar negeri telah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) susulan peningkatan kadar vaksinasi dan pengurangan bilangan kes harian Covid-19.

“Perkembangan yang baik ini telah membawa kepada pembukaan semula aktiviti ekonomi termasuk kebenaran perjalanan rentas negeri.

“Di samping itu, banyak destinasi pelancongan domestik telah dibuka kepada individu yang lengkap vaksinasi sekali gus meningkatkan aktiviti perjalanan dan pelancongan domestik pada bulan tersebut,” katanya.

Mengenai situasi pengangguran pada Oktober 2021, Mohd Uzir berkata penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.6 peratus daripada jumlah penganggur, dan kumpulan itu menurun sebanyak 3.5 peratus kepada 589,500 orang daripada 611,000 orang pada September 2021.

Daripada jumlah penganggur yang aktif itu, 55.5 peratus adalah mereka yang menganggur kurang dari tiga bulan manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun meliputi 7.8 peratus, katanya.

Mohd Uzir berkata penganggur tidak aktif yang percaya tiada pekerjaan tersedia menurun sebanyak 2.7 peratus pada Oktober kepada 115,400 orang daripada 118,700 orang pada September.

Menurutnya, kadar pengangguran golongan belia berumur antara 15 hingga 30 mencatatkan penurunan sebanyak 0.4 mata peratus bulan ke bulan kepada 8.1 peratus pada Oktober berbanding 8.5 peratus pada September.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis tahan penganggur bakar rumah ibu saudara di Klang

SHAH ALAM, 12 OKT: Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes kebakaran sebuah rumah kampung jenis kembar di Bukit Kapar, Klang dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S Vijaya Rao berkata penganggur berusia 38 tahun yang baru keluar dari penjara atas kesalahan dadah itu ditahan pada kira-kira pukul 6 petang di sekitar tempat kejadian, susulan aduan seorang wanita berusia 37 tahun pada pukul 3.30 petang mengenai kebakaran rumahnya.

Beliau berkata pengadu adalah anak saudara kepada suspek yang tinggal di rumah bersebelahan dan sebelum kejadian suspek dikatakan telah berjumpa dengan ibu pengadu untuk meminta wang, namun tidak diberikan.

Katanya, suspek mengugut akan membakar rumah jika tidak diberikan wang sebelum dia beredar dan semasa kebakaran, rumah pengadu tidak berpenghuni kerana semua penghuni keluar bekerja.

“Pengadu yang menerima maklumat mengenai kebakaran rumahnya semasa berada di tempat kerja terus bergegas pulang dan mendapati api sedang marak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vijaya Rao berkata suspek direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan penganggur cuba seludup rokok ke pusat kuarantin MAEPS

SEPANG, 8 JULAI: Polis menahan seorang lelaki yang didapati cuba menyeludup masuk 10 kotak rokok ke dalam Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hujung minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2 petang apabila penganggur berumur 33 tahun yang juga pesakit di PKRC itu dilihat melemparkan satu bungkusan hitam berhampiran Hall A, sebelum memasuki kawasan berkenaan dengan memakai pakaian seperti pekerja kontrak.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, polis yang membuat pemeriksaan sekitar lori TNB berhampiran dengan dewan itu menemukan 10 kotak rokok jenis Luffman, dibungkus dalam satu bungkusan hitam.

“Pemeriksaan lanjut terhadap lelaki berkenaan turut membawa kepada penemuan satu bungkusan yang dipercayai air ketum dianggarkan 500 mililiter di dalam begnya,” katanya kepada media di sini hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata lelaki itu telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Peluang kerja melebihi pengangguran di Selangor

SHAH ALAM, 8 OGOS: Kadar pengangguran di Selangor mencatat penurunan dan terkawal, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata peluang pekerjaan melebihi 24,000 ketika ini menjadi faktor utama penurunan berkenaan.

“Berdasarkan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), seramai 18,000 penganggur direkodkan selepas kehilangan kerja namun kita ada lebih 20,000 peluang kerja.

“Kerajaan Selangor yakin kadar akan terus turun dan peluang kerja dapat memenuhi permintaan sekaligus membantu rakyat. Kita akan pastikan kadar penurunan ini berterusan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohd Khairuddin lagi, satu pameran kerjaya melibatkan lebih 200 syarikat akan berlangsung pada September depan.

“Ini inisiatif Kerajaan Selangor membantu rakyat mendapatkan kerja,” katanya.

Hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan kadar pengangguran negara menurun 0.4 peratus dari 826,100 kepada 773,200 bagi Mei dan Jun.