Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya diminta tambah baik pengangkutan awam luar bandar

SHAH ALAM, 3O SEPT: Putrajaya diminta meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam luar bandar dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), gesa ahli Parlimen Hulu Selangor.

June Leow Hsiad Hui berkata kualiti kemudahan itu yang tidak memuaskan menyebabkan ramai penduduk menggunakan kenderaan sendiri untuk berulang alik ke tempat kerja di bandar.

Beliau menjelaskan faktor lain berpunca daripada kekurangan perjalanan dan sambungan laluan terhad.

“Keadaan berbeza terutama di Kuala Lumpur yang memiliki akses pengangkutan awam, sudah tiba masanya kerajaan memperbaiki kemudahan itu di luar bandar seperti Hulu Selangor dalam RMK12.

“Tingkatkan kecekapan pengangkutan awam supaya budaya penggunaan pengangkutan awam dapat disemai dalam kalangan penduduk luar bandar,” katanya dalam perbahasan RMK12 di Parlimen hari ini.

June Leow turut membangkitkan kebimbangan ibu bapa berhubung keselamatan anak remaja mereka dalam program suntikan vaksin yang dimulakan sejak 20 September.

“Mereka takut menandatangani borang kebenaran kerana ada dinyatakan risiko pengambilan vaksin ditanggung ibu bapa,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk gembira Kerajaan Negeri sedia pengangkutan awam ke PPV

SHAH ALAM, 8 JULAI: Orang ramai gembira dengan inisiatif Kerajaan Selangor yang menyediakan pengangkutan awam untuk memudahkan mereka ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Penerima vaksin, Izaruddin Osman, 50, berkata beliau menyambut baik inisiatif itu kerana tidak semua orang mempunyai kenderaan sendiri.

Izaruddin Osman

“Saya memilih pergi PPV menaiki Bas Smart Selangor kerana stesen bas berhampiran dengan rumah. Pengangkutan awam ini memudahkan terutama untuk warga emas yang mana anak tinggal berjauhan.

“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana menyediakan kemudahan kepada rakyat yang mahu pergi ke PPV,” katanya ketika ditemui di PPV Pusat Konvensyen Sunway Pyramid semalam.

Sementara itu, Nurkiah Jusoh, 31, memuji inisiatif yang menurutnya amat membantu terutama golongan seperti beliau yang bergantung kepada pengangkutan awam kerana tidak memiliki kenderaan sendiri.

Nurkiah Jusoh

“Menaiki kenderaan awam ke PPV satu langkah yang amat bagus kerana saya khuatir sekiranya selepas divaksin akan ada kesan sampingan sama ada mengantuk atau tidak larat untuk memandu. Ia juga membantu golongan warga emas atau mereka yang berada di luar bandar untuk pergi PPV,” katanya.

Manakala, Muhammad Azizan Alias, 27, ketika ditemui di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pula berpendapat beliau memilih untuk menaiki Grab ke PPV kerana mudah dan tidak perlu fikir untuk mencari parkir.

Muhammad Azizan Alias

“Saya tidak tahu pula mengenai rebat perjalanan Grab tetapi Insya-Allah dos kedua nanti saya akan daftar manfaat ini untuk menaiki Grab ke PPV,” jelasnya.

Selain itu, Viki Too, 34, memuji inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan pengangkutan awam ke PPV dan berharap diperluaskan ke semua kawasan.

Viki Too

“Hari ini suami ambil cuti kerja untuk hantar saya ke PPV kerana bimbang keadaan selepas divaksin. Selepas dimaklum adanya inisiatif Kerajaan Selangor ini saya akan memilih untuk menaiki pengangkutan awam itu bagi dos kedua nanti,” katanya ketika ditemui di IDCC.

Kerajaan Selangor menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor termasuk tawaran rebat perjalanan ke PPV menggunakan Grab berjumlah RM20 dibuka kepada semua rakyat negeri ini tanpa mengira usia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Teksi, e-panggilan dibenar operasi sepanjang PKP penuh

PUTRAJAYA, 12 JUN: Semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi dan e-panggilan dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang dilanjutkan sehingga 28 Jun ini dengan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata setiap kenderaan penumpang pengangkutan awam teksi dan e-panggilan dihadkan kepada dua orang iaitu seorang pemandu dan seorang penumpang, termasuk kenderaan bersaiz lebih besar seperti pacuan empat roda (4WD) dan van.

“Para pengguna pengangkutan awam perlu mendapatkan kebenaran rentas negeri atau rentas daerah daripada pihak polis sekiranya menggunakan mana-mana mod pengangkutan awam bagi perjalanan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wee berkata pemandu teksi perlu mendapatkan surat kebenaran beroperasi daripada Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) di https://application.mot.gov.my. manakala pemandu e-panggilan pula boleh mendapatkan salinan surat kebenaran Kementerian Pengangkutan (MOT) yang telah diberikan kepada syarikat operasi masing-masing.

Beliau berkata surat tersebut dan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diperlukan sebagai bukti kebenaran beroperasi di sekatan jalan raya (SJR).

Wee berkata kesemua pemain industri yang telah mendapat kelulusan di bawah SMILE sebelum 1 Jun lepas boleh memuat turun semula surat pengesahan beroperasi dalam laman sesawang sama tanpa perlu mendaftar semula.

Sekatan pergerakan penuh di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sepatutnya berakhir 14 Jun ini disambung untuk tempoh dua minggu lagi, berkuat kuasa 15 hingga 28 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian yang masih tinggi iaitu melebihi 5,000 kes sehari.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kapasiti pengangkutan awam dihadkan 50 peratus mulai Selasa

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Kapasiti penumpang bagi semua perkhidmatan pengangkutan awam darat dan laut dihadkan sehingga 50 peratus daripada kapasiti maksimum, berkuat kuasa 25 Mei ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata ia susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperketatkan tatacara operasi piawai (SOP) dalam menangani situasi pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata perkhidmatan penerbangan penumpang dan kargo dikecualikan berikutan kapasiti penumpang yang sudah rendah.

“Syarikat penerbangan dan penumpang juga perlu mematuhi SOP ketat seperti yang ditetapkan oleh MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pengangkutan awam adalah perkhidmatan yang penting namun dalam tempoh ini, mengelakkan himpunan secara ramai dan mengurangkan pergerakan adalah perkara yang lebih utama,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Wee menjelaskan agensi-agensi berkaitan di bawah kementerian itu akan mengemas kini jadual perjalanan termasuk mengehadkan frekuensi perkhidmatan bagi bas, feri, rel dan kereta api.

Beliau berkata pengguna pengangkutan awam digalakkan untuk mendapatkan maklumat terkini menerusi laman web rasmi dan media sosial penyedia perkhidmatan yang berkaitan.

Bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing pula, Wee berkata setiap kenderaan penumpang dihadkan kepada tiga orang (seorang pemandu dan dua penumpang), termasuk bagi kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan van.

Beliau menegaskan pengguna pengangkutan awam perlu mendapatkan kebenaran rentas negeri atau daerah daripada polis sekiranya menggunakan pengangkutan awam bagi perjalanan yang berkaitan.

Anggota penguat kuasa akan ditempatkan di stesen dan terminal pengangkutan awam bagi memastikan pematuhan SOP pencegahan Covid-19 serta memantau keadaan semasa bersama pihak keselamatan agensi yang berkaitan, katanya.

Wee turut menyeru pengguna pengangkutan awam agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan di semua stesen dan terminal.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Stesen LRT KLCC, KL Sentral terus operasi meski bawah sistem amaran

PUTRAJAYA, 9 MEI: Semua perkhidmatan pengangkutan awam di stesen dan terminal yang tersenarai bawah sistem amaran awal Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) akan terus beroperasi.

Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata tiga stesen yang terlibat ialah LRT KLCC, LRT Masjid Jamek dan KL Sentral.

“Bagaimanapun semua premis perniagaan di stesen yang disenaraikan itu akan ditutup selama tiga hari dari 9 hingga 11 Mei mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti yang diumumkan semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

MOT berkata sebarang penutupan atau pembukaan premis perniagaan ini adalah tertakluk kepada arahan MKN dari semasa ke semasa.

Katanya perkhidmatan pengangkutan awam sangat penting bagi negara, terutama bagi petugas barisan hadapan yang bergantung pada operasi berterusan walaupun semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Semua stesen pengangkutan awam perlu sentiasa dibuka bagi tujuan pemindahan atau penghantaran bekalan penting sekiranya berlakunya kecemasan,” katanya.

MOT berkata stesen pengangkutan ini juga dilengkapi dengan alat pengimbas suhu di samping melaksanakan penguatkuasaan tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan Covid-19 yang ketat.

Ia juga mengingatkan semua pengguna pengangkutan awam untuk terus mematuhi SOP termasuk penggunaan cecair pencuci tangan, memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mengimbas kod QR MySejahtera.

Sistem HIDE yang dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kesihatan bertujuan memberi amaran awal dalam mencegah peningkatan jangkitan Covid-19 dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera, dan baru-baru ini ia telah mengeluarkan senarai premis atau lokasi yang dianggap berpotensi menjadi kluster sekiranya tiada tindakan awalan diambil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor yakin capai sasaran 60 peratus pengangkutan awam menjelang 2030

SUBANG JAYA, 25 APRIL: Kerajaan Selangor yakin Pelan Induk Pengangkutan yang menyasarkan penggunaan 60 peratus kenderaan awam dapat dicapai menjelang 2030.

Dato’ Menteri Besar berkata pelaksanaan beberapa inisiatif antaranya Bas Smart Selangor menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam selain pihaknya giat menyediakan kemudahan tertentu bagi menjadikan kenderaan awam sebagai pilihan.

“Macam hari ini kita rasmikan kemudahan pejalan kaki. Ia akan menghubungkan penduduk dengan stesen LRT (Transit Aliran Ringan). Walaupun projek kurang dari RM20,000 namun, ia beri makna besar kepada penduduk.

“Pelan itu diperkenalkan pada 2016. Ketika ini kesesakan lalu lintas masih menjadi isu penting terutama di bandar besar. Hanya 40 peratus masyarakat menggunakan kenderaan awam,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Michelle Ng Mei Sze melalui laluan pejalan kaki baharu di taman permainan USJ13/2, Subang Jaya pada 25 April 2021 yang menghubungkan ke stesen LRT USJ13, Subang Jaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas merasmikan laluan pejalan kaki sejauh 140 meter di Taman Permainan USJ 13/2, dekat sini hari ini.

Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri akan menggabungkan aspek kemanusiaan dan keperluan setempat dalam menyediakan kemudahan demi keselesaan masyarakat.

“Kadang kala kita tak perlukan projek berjuta…yang penting ia beri manfaat kepada penduduk dan komuniti.

“Untuk projek ini, ia tercetus selepas satu rakaman diambil pesakit kanser warga emas yang selalu menggunakan laluan tidak sempurna,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Jumlah penumpang pengangkutan awam menurun

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Perkhidmatan pengangkutan awam di ibu kota mencatatkan penurunan jumlah penumpang harian lebih 30 peratus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang bermula Selasa.

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata jumlah itu melibatkan perkhidmatan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan bas di bawah seliaanya.

Jumlah penumpang harian perkhidmatan rel sebelum PKPB yang dianggarkan mencecah 800,000 sehari kini menurun kepada lebih 500,000 penumpang manakala bas menurun kepada sekitar 200,000 penumpang sehari.

“Situasi ini dipengaruhi budaya bekerja dari rumah yang dilaksanakan ketika PKPB ini, dan kami percaya ia adalah untuk sementara waktu sahaja.

“Walaupun dalam situasi PKPB, Prasarana akan memastikan perkhidmatan pengangkutan awam ini akan beroperasi pada kekerapan normal terutama pada waktu puncak bagi kemudahan orang ramai,” katanya.

Tajuddin berkata demikian kepada pemberita hari ini selepas meluangkan masa lebih sejam meninjau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan penumpang dan pekerja ketika menaiki pengangkutan awam. Tinjauan itu bermula dari stesen MRT Pusat Bandar Damansara hingga stesen LRT Masjid Jamek.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memastikan kebersihan kenderaan dan stesen termasuk pemegang tangan, eskalator, lif dan mesin tiket bagi mencegah penularan Covid-19.

Antara SOP lain yang dipastikan ialah menyediakan cecair pembasmi kuman, membuat saringan suhu badan selain membuat pengumuman berterusan bagi mengingatkan pengguna menjaga jarak fizikal.

Tambahnya, pihaknya juga memastikan kakitangan di stesen sentiasa memakai pelitup muka, sarung tangan getah apabila perlu, serta mewajibkan pemeriksaan suhu badan sebelum memulakan tugas.

Beliau berkata perkhidmatan bas Rapid turut menggunakan aplikasi Google Map, Moovit, MyRapidBus Kiosk untuk membantu merancang perjalanan bagi mengelakkan pengguna menunggu terlampau lama di kawasan awam.

“Hanya kapten bas yang sihat dan lulus saringan dibenarkan memandu bas,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Jumlah penumpang pengangkutan awam menurun

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Perkhidmatan pengangkutan awam di ibu kota mencatatkan penurunan jumlah penumpang harian lebih 30 peratus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang bermula Selasa.

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata jumlah itu melibatkan perkhidmatan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan bas di bawah seliaanya.

Jumlah penumpang harian perkhidmatan rel sebelum PKPB yang dianggarkan mencecah 800,000 sehari kini menurun kepada lebih 500,000 penumpang manakala bas menurun kepada sekitar 200,000 penumpang sehari.

“Situasi ini dipengaruhi budaya bekerja dari rumah yang dilaksanakan ketika PKPB ini, dan kami percaya ia adalah untuk sementara waktu sahaja.

“Walaupun dalam situasi PKPB, Prasarana akan memastikan perkhidmatan pengangkutan awam ini akan beroperasi pada kekerapan normal terutama pada waktu puncak bagi kemudahan orang ramai,” katanya.

Tajuddin berkata demikian kepada pemberita hari ini selepas meluangkan masa lebih sejam meninjau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan penumpang dan pekerja ketika menaiki pengangkutan awam. Tinjauan itu bermula dari stesen MRT Pusat Bandar Damansara hingga stesen LRT Masjid Jamek.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memastikan kebersihan kenderaan dan stesen termasuk pemegang tangan, eskalator, lif dan mesin tiket bagi mencegah penularan Covid-19.

Antara SOP lain yang dipastikan ialah menyediakan cecair pembasmi kuman, membuat saringan suhu badan selain membuat pengumuman berterusan bagi mengingatkan pengguna menjaga jarak fizikal.

Tambahnya, pihaknya juga memastikan kakitangan di stesen sentiasa memakai pelitup muka, sarung tangan getah apabila perlu, serta mewajibkan pemeriksaan suhu badan sebelum memulakan tugas.

Beliau berkata perkhidmatan bas Rapid turut menggunakan aplikasi Google Map, Moovit, MyRapidBus Kiosk untuk membantu merancang perjalanan bagi mengelakkan pengguna menunggu terlampau lama di kawasan awam.

“Hanya kapten bas yang sihat dan lulus saringan dibenarkan memandu bas,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan kesihatan lebih ketat di terminal pengangkutan awam

PUTRAJAYA, 1 OKT: Mulai esok, saringan kesihatan yang lebih ketat perlu dilaksanakan operator di terminal dan stesen, termasuk perkhidmatan kaunter pengangkutan awam di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, langkah-langkah pencegahan Covid-19 seperti melakukan pembersihan atau disinfeksi juga perlu dilaksanakan di semua lokasi itu.

Katanya, tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), seperti mengamalkan penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka, perlu dikuatkuasakan tanpa kompromi demi kepentingan semua pihak, termasuk para kakitangan dan pengguna pengangkutan awam.

“Mohon ambil perhatian serius berhubung perkara ini. Sebanyak 260 kes dilaporkan positif Covid-19 hari ini dan peningkatan sehingga angka tiga digit ini pastinya membimbangkan kita semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata sebanyak 260 kes baharu Covid-19 dicatatkan hari ini, kedua tertinggi di Malaysia selepas 4 Jun lalu yang merekodkan 277 kes.

Empat kluster baharu Covid-19 pula dikenal pasti iaitu kluster Jalan Meru di Selangor, kluster Joo Hwa di Sabah, kluster Selasih di Putrajaya dan kluster Bah Ketil di Kedah, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengangkutan awam kini boleh beroperasi sepenuhnya

SHAH ALAM, 11 JUN: Perkhidmatan e-panggilan dan teksi dibenarkan beroperasi tanpa had masa mengikut kapasiti kenderaan masing-masing ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata bayaran tambang pula dibuat tanpa tunai dan penumpang serta pemandu diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang perjalanan.

“Penggunaan aplikasi MySejahtera perlu dimuat turun bagi proses menjejak kontak rapat selain digalakkan membuat sanitasi selepas selesai operasi,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kerajaan turut bersetuju membenarkan operasi bas ekspres dengan kapasiti penuh tanpa had masa mulai hari ini selepas mengambil kira kebanyakan perjalanan dari malam hingga subuh.

“Bagaimanapun, pengusaha bas perlu mendaftar penumpang melalui aplikasi MySejahtera atau manual dan memeriksa suhu badan mereka serta memakai pelitup muka,” katanya lagi.

Selain itu, Ismail Sabri berkata pengangkutan awam termasuk bas, feri, kereta api, transit aliran ringan (LRT) dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh mulai hari ini.

“Bagi kenderaan yang membenarkan penumpang berdiri, penumpang perlu mengawal kendiri penjarakan sosial supaya tidak berhimpit dan bersesak,” katanya.

Pesawat penerbangan juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh tetapi perlu merekodkan suhu penumpang dan diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang perjalanan, jelasnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat pengangkutan awam dilarang naik kadar tambang

SHAH ALAM, 16 MEI: Syarikat pengangkutan awam tidak dibenarkan untuk menaikkan kadar tambang ketika ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata syarikat pengangkutan awam kini menikmati harga bahan bakar lebih murah, susulan penurunan harga minyak sejak beberapa bulan lalu.

“Kebiasaannya kadar tambang dinaikkan apabila harga minyak meningkat, namun bila harga bahan bakar turun, kadar tambang tak berkurang.

“Kita faham pengusaha pengangkutan awam terpaksa bawa penumpang separuh dari biasa (untuk penjarakan sosial), tetapi kerugian boleh ditampung dengan harga minyak yang rendah,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian susulan terdapat aduan caj tambang perkhidmatan feri di Pulau Langkawi dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis dinaikkan RM10 semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengangkutan awam selamat digunakan sepanjang PKP Bersyarat

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Kementerian Pengangkutan memberi jaminan perkhidmatan pengangkutan awam negara kekal boleh diharap dan selamat digunakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pihak kementerian sentiasa bersiap siaga dan memastikan operator mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan termasuk semua pengangkutan awam disanitasi dengan kerap.

Beliau turut meminta pengguna memberi kerjasama dengan mematuhi SOP seperti mengamalkan jarak sosial dan memakai penutup hidung dan mulut dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

“Walaupun dari segi undang-undang sukar untuk kita cakap wajib (pakai penutup hidung dan mulut) tetapi untuk pengangkutan awam kita wajibkan.

“Kita dah dapatkan pandangan pakar bagaimana (pemakaian) penutup hidung dan mulut dapat mencegah (penularan Covid-19), ” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di stesen MRT Bukit Bintang di sini, hari ini. Terdahulu Wee turut meninjau operasi di MRT Taman Mutiara dan MRT Muzium Negara.

Beliau berkata walaupun kapasiti pengangkutan awam dikurangkan kepada separuh penumpang, waktu puncak bagi semua perkhidmatan rel dan bas telah dilanjutkan dari 7 pagi hingga 11 pagi, dan dari 4 petang hingga 7 malam.

Sementara itu, Wee mencadangkan agar individu yang didapati bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian dikenakan hukuman penjara mandatori.

Katanya beliau juga telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk meneliti Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 khususnya Seksyen 41 hingga 45 untuk dipinda sekiranya perlu bagi mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan seumpama itu.

Ketika ini Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 bagi kesalahan berkenaan.

– BERNAMA