Categories
SELANGOR

FOMCA kesan pasar raya besar jual makanan luput tarikh

DSC_9700

PETALING JAYA 10 OKT: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendapati tiga pasar raya besar terkenal sekitar Lembah Klang menjual 75 produk makanan luput tarikh.

Pada sidang media pagi ini, Pengarah Komunikasi FOMCA, Saravanan Thambirajah, berkata penemuan itu hasil operasi pada 2 hingga 7 Oktober lalu.

“Produk pengguna yang tamat tempohnya khususnya makanan dan ubat-ubatan boleh menyebabkan masalah kesihatan pengguna.

“Risiko berkaitan produk tamat tempoh boleh dikaitkan dengan bahan kimia dan biologi berbahaya yang berpunca daripada bakteria, kulat atau cendawan,” katanya.

Beliau berkata, FOMCA juga mendapati pasar raya terbabit turut menjual produk makanan yang tiada tarikh luput sedangkan, Peraturan Makanan 1985 menetapkan keperluan perlabelan makanan dan penandaan tarikh.

“Ini keperluan perlabelan minimum bagi makanan sebagai asas memastikan hak pengguna mendapatkan maklumat untuk keselamatan mereka,” katanya.

Justeru, Saravanan mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia menguat kuasa Peraturan Makanan 1985 agar makanan yang luput tarikh dikeluarkan dari rak jualan.

– FZL

Categories
NASIONAL

Harga minyak naik, Fomca desak mansuh cukai jalan

fomca ron97

SHAH ALAM 6 SEPT: Gabungan Persatuan Pengguna- pengguna Malaysia (Fomca) mendesak kerajaan memansuh cukai jalan dan mengurangkan kadar insurans berikutan kenaikan harga minyak.

Senada dengan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM),  Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusuf Abd Rahman berkata,  ia perlu sebagai alternatif berikutan rakyat tertekan ekoran kenaikan harga minyak.

“Semua maklum kesan besar dari kenaikan ini melibatkan peningkatan kos rantaian barangan.

“Ia menjadi inisiatif meringankan beban rakyat apabila dikurangkan cukai lain termasuk cukai jalan,” katanya kepada TV Selangor.

Sebelum ini, PDAM mencadangkan kerajaan memansuh cukai jalan dan mengurangkan kadar insurans bagi kenderaan berkapasiti kurang 2,000cc.

Yusof berkata, cadangan itu wajar dipertimbang memandangkan kenaikan mendadak harga minyak mengakibatkan pengguna dihimpit kos sara hidup yang tinggi.

Beliau juga yakin langkah itu mampu mereda kemarahan rakyat berikutan kenaikan harga bahan api.

“Walaupun cukai jalan hanya kesan sementara sebab rakyat bayar cukai jalan hanya sekali setahun. Ini melegakan mereka. Segera umumkan inisiatif lain,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kenaikan RON 95 jadi punca rantaian harga barang lain naik – Fomca

minyak-naik

SHAH ALAM, 3 SEPTEMBER – Tindakan kerajaan BN menaikkan harga minyak bakal menghimpit kehidupan rakyat lantaran ia memberi kesan kepada rantaian kenaikan harga barangan keperluan harian.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata situasi sama berlaku pada 2010 apabila kerajaan menaikkan harga minyak.

“Sebelum ini pun apabila berlaku apa sahaja kenaikan harga, memang memberi kesan kepada rantaian kenaikan harga barang.

“Setiap orang tidak boleh lari dari menerima kesan kenaikan harga barangan. Ini setiap golongan akan merasai,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Sekalipun pernah berjanji tiada kenaikan petrol selepas PRU 13, kerajaan BN menaikkan harga  RON95 dan diesel sebanyak 20 sen menjadikan harganya mencecah RM2.10 dan RM2.00 seliter mulai hari ini.

Mohd Yusof berkata, golongan berpendapatan rendah mengalami kesan lebih buruk berikutan mereka berdepan peningkatan kos sara hidup dengan ketara.

“Kenaikan ini bermakna pendapatan boleh guna rakyat semakin berkurang. Pastinya menyebabkan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Bagi mengekang kenaikan harga barangan lain, beliau berkata, kerajaan perlu memastikan tiada monopoli pihak tertentu untuk menaikkan harga barangan lain sewenang-wenangnya.

– FZL