Halimah: MB beri taklimat kepada Exco Selangor sebelum tandatangani MoU air

Exco Selangor hari ini menyangkal kenyataan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli kononnya MOU penstrukturan semula aset air antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan Pusat tidak telus kerana tidak dibincang dalam mesyuarat exco. Dr Halimah Ali berkata, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sentiasa memberi taklimat kepada exco dari masa ke masa berkenaan rundingan tersebut sejak beberapa tahun. Exco termasuk menteri besar turut hadir dalam majlis menandatangani perjanjian itu di Putrajaya 26 Februari lalu.

Rafizi sambut tawaran semak akaun Gani Patail

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini menyambut baik tawaran Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail yang menjemput beliau untuk meneliti semua akaun miliknya di dalam dan luar negara.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR lancar kaji selidik profail peminjam PTPTN

rafizi ptptn

PETALING JAYA, 22 OGOS: Parti Keadilan Rakyat (PKR) merintis jalan memahami masalah peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan melancarkan satu kaji selidik keberhutangan golongan itu.

Kaji selidik ini wajar disertai semua peminjam PTPTN dengan mengisi satu borang kajiselidik yang boleh dicapai di laman www.siasatptptn.wordpress.com yang akan disebarkan melalui laman sosial dan blog.

Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, keputusan kajian ini akan dibentangkan dalam satu perjumpaan ‘tweetup#PTPTN’ yang akan diadakan 29 Ogos ini, jam 8.30 malam di Perpustakaan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya.

“Semua peminjam, aktivis anti-PTPTN dan pemimpin masyarakat turut dijemput hadir dalam ‘tweetup’ yang bertujuan menyusun gerakan anti-PTPTN dalam sebuah pertubuhan rasmi yang lebih tersusun.

“Sudah masanya peminjam-peminjam PTPTN membentuk satu pertubuhan lobi yang berpengaruh supaya mana-mana pihak berunding dengan mereka terlebih dahulu sebelum membuat cadangan, bagi mengelak berulangnya peristiwa cadangan penyenaraian Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam PTPTN,” kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di sini pagi tadi.

Rafizi berkata, sebelum ini Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memaklumkan sebarang kajian khusus untuk memahami apakah faktor yang menyebabkan majoriti peminjam PTPTN menghadapi kesukaran membayar pinjaman PTPTN.

Antara faktor penting yang perlu dikaji sebelum satu langkah tersusun yang tepat dapat diambil seperti, profil pendapatan bersih peminjam-peminjam PTPTN, profail kejayaan mendapat perkerjaan yang setaraf dengan kelulusan atau jurusan dan profail kualiti IPTS yang membawa kesan kepada kemampuan seorang pemegang ijazah mendapat kerja.

Mengulas cadangan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh untuk menyenaraikan nama peminjam PTPTN ke dalam CCRIS, Rafizi berkata cadangan tersebut menunjukkan bahawa Kerajaan BN begitu terpisah dengan realiti kepayahan hidup golongan muda yang dibebankan hutang PTPTN.

“BN tidak pernah berminat mendalami masalah keberhutangan golongan muda ini dan mengambil pendekatan kasar dengan memukul rata kononnya semua peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran tidak bersyukur dan tidak bertanggungjawab.

“PKR menggesa Datuk Seri Idris Jusoh supaya tidak lagi memandai-mandai mengumumkan langkah baru menekan peminjam PTPTN sehinggalah maklumat ini dikaji sepenuhnya dan dibentangkan di parlimen,” ujar Rafizi lagi.

Terdahulu pengumuman Idris untuk menyenaraikan nama peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman PTPTN di bawah CCRIS mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk pemimpin Pakatan.

Terdesak selepas menerima asakan teruk, Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam menolak cadangan tersebut.
– mza

Categories
NASIONAL

Keadaan Sri Sanjeevan Stabil Tetapi Kritikal

Sri Sanjeevan Mywatch 01

SHAH ALAM 30 JULAI : Keadaan aktivis anti-jenayah Sri Sanjeevan Ramakrishnan, 29, yang ditembak Sabtu lalu, dilaporkan kini lebih stabil tetapi masih kritikal.

Dalam kenyataan media pada 11.20 malam semalam, bapanya, Ramakrishnan Perianan berkata anaknya yang juga Pengerusi MyWatch sedang menerima rawatan di Hospital Serdang selepas dipindahkan dari Hospital Tunku Jaafar, Negeri Sembilan petang semalam.

Selain itu, bapanya juga mahu mana-mana pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai anaknya itu tanpa merujuk kepada beliau atau kakak mangsa, R Maygala.

“Dalam tempoh beberapa jam yang lalu, saya mendapati adanya kenyataan-kenyataan berhubung keadaan anak saya yang dikeluarkan oleh beberapa pihak dan individu tertentu kepada pihak media.

“Walaubagaimanapun, ada di antara kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tersebut didapati tidak tepat dan mengelirukan.

“Saya dan keluarga masih dalam keadaan sedih dan terperanjat dengan apa yang berlaku kepada anak saya dan kenyataan-kenyataan tidak tepat yang dikeluarkan ini membuatkan kami sekeluarga bertambah bimbang dan kurang tenang,” jelas kenyataan itu.

Sabtu lalu, dalam kejadian 4.30 petang, mangsa cedera di perut akibat ditembak seorang pembonceng motosikal ketika mangsa yang memandu kereta jenis BMW menurunkan cermin keretanya di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Beberapa jam sebelum ditembak, Sanjeevan menulis di Twitternya bahawa seorang anggota polis  mengancam untuk memberi senjata kepada anggota sebuah sindiket untuk menembak rumahnya.

Ahli Parlimen Pandan yang juga Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pula mendakwa aktivis anti-jenayah itu juga merancang untuk mendedahkan satu memo didakwa mengaitkan anggota polis dengan sindiket dadah.

Rafizi mendakwa mangsa memperolehi satu memo dalaman polis, yang menyenaraikan pengawai polis yang dikenakan siasatan dalam atas (dakwaan) terlibat dalam sindiket dadah.

Rafizi mendakwa demikian bagi mengulas mengenai pertemuannya selama 20 minit dengan Sanjeevan sehari sebelum kejadian tembakan itu.

Categories
NASIONAL

Kes Rayuan Liwat II Ditangguh, Anwar Bantah Pelantikan Shafee

anwar mahkamah

PUTRAJAYA, 22 JULAI : Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini bersetuju untuk menangguhkan prosiding rayuan Kerajaan Malaysia terhadap keputusan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Keputusan itu dibuat tiga panel hakim, Datuk Ramly Ali, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Mohd Zawawi Salleh pagi tadi berikutan peguam utama Anwar, Karpal Singh disahkan tidak sihat dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana sakit tulang belakang.

Mahkamah menetapkan 1 Ogos ini untuk pengurusan kes.

Anwar tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan ditemani isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail dan diiringi Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli serta Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu, Anwar ketika ditemui di luar kamar mahkamah berkata, pihaknya menghantar notis bagi membantah keputusan Kerajaan yang melantik peguam, Datuk Shafee Abdullah sebagai Ketua Pendakwaraya dalam kes ini.

“Pelakuannya tidak profesional sejak 1998.

“Kita beri notis untuk membantah keputusan Kerajaan Umno-BN kerana melantik Datuk Shafee Abdullah yang sememangnya telah dituduh terlibat dalam kes prosiding ini sejak awal.

“Ketiadaan pendakwaraya yang sesuai untuk meneruskan perbicaraan ini tidak boleh dijadikan alasan bagi melantik seseorang yang terlibat dengan perbicaraan menentang saya di dalam dan luar mahkamah,” kata Ketua Pembangkang itu merujuk peranan Shafee dalam kes liwat I yang menyaksikan beliau dibebaskan Mahkamah Persekutuan pada 2004.

Tegas Anwar, Ram Karpal Singh akan menyerahkan notis ini kepada mahkamah bagi membantah pelantikan Shafee.

“Kita tidak boleh memandang ringan perkara tersebut kerana saya percaya ada motif politik yang besar dalam kes ini.

“Peguam Negara tidak mahu selesaikan kes lain, tetapi cuba hendak mengganggu karier politik saya,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Rekod Kewangan Syarikat Pembekal Topi SPR Meragukan

rafizi pc white stripes 03

KUALA LUMPUR 18 JULAI : Nash Ventures Sdn Bhd (Nash Ventures), syarikat yang disahkan Kerajaan Persekutuan mendapat kontrak untuk membekal topi kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk PRU13 secara rundingan terus didakwa memiliki rekod kewangan meragukan.

MP Pandan, Rafizi Ramli mendakwa berdasarkan penyata akaun 2009 yang difailkan syarikat itu, tiada aktiviti perniagaan dan perolehan yang diraihnya.

“Nash Ventures dianugerahkan kontrak oleh SPR pada tahun ini sedangkan tiada sebarang perolehan pada 2009. Ini menguatkan lagi dakwaan syarikat yang saya dedahkan ini mempunyai hubungan baik dengan SPR,” kata Pengarah Strategi PKR itu di dalam sidang media di Parlimen hari.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata Nash Ventures adalah salah sebuah syarikat yang membekalkan topi kepada SPR semasa PRU 13.

Menurut Rafizi Nash Ventures juga dikuasai oleh niagawan Mohamad Salleh Mohamad Ali, yang turut memiliki sebuah lagi syarikat yang mendapat kontrak membekal dakwat kekal semasa PRU 13 secara rundingan terus.

Rafizi menjelaskan antara kriteria bagi mendapatkan kontrak rundingan terus, sesebuah syarikat perlu memiliki kewangan yang kukuh.

Tambahnya, pengesahan Shahidan mengiyakan pendedahan yang dibuatnya di Parlimen semalam. Iaitu syarikat kawalan Mohamad Salleh telah mendapat kontrak pembekalan topi, kemeja dan dakwat kekal secara rundingan terus dari SPR.

Ini termasuk syarikat utama, Integrated Challenger (M) Sdn Bhd (Integrated Challenger), yang didakwa mendapat kontrak dakwa kekal.

Rafizi berkata walaupun tiada penafian daripada Shahidan mengenai Integrated Challenger ia menguatkan andaian bahawa syarikat itu diberi kontrak pembekalan dakwat kekal.

“Salah-seorang pengarah syarikat (Nash Ventures) iaitu Shamsia Mansoor. Beliau juga pengarah syarikat dan pemegang saham di Allisons Corp Sdn Bhd. Pemegang saham lain dan pengarah syarikat lain (Allisons Corp) ialah Mohamed Salleh Mohd Ali.”

“Kedua-dua Mohamad Salleh Mohd Ali dan Shamsia Mansoor beralamat yang sama di Seksyen 2 Shah Alam. Mengikut maklumat dan juga siasatan yang telah kita buat, mereka ini besar kemungkinan ada pertalian suami-isteri.”

“Jika ikut laporan standard perakaunan, oleh kerana kedua-dua syarikat mempunyai  pengarah yang sama, kedua-dua syarikat (nash ventures dan allisons corp) dianggap syarikat berkaitan kedua-dua pengarah dianggap individu berkaitan.”

Rafizi menambah, ketiga-tiga Integrated Challenger, Allisons Corp dan Nash Ventures juga didaftarkan di alamat sama iaitu No 44A & 48B, Jalan Tengku Ampuan Zabedah A 9/A, Seksyen 9, 40100 Shah Alam, Selangor.

Categories
NASIONAL

Rafizi : Pegawai Tinggi SPR Sendiri Akui Daftar Pengundi Bermasalah

SPR pengundi hantu selangor 01

PETALING JAYA 5 JULAI : Cadangan seorang pengarah Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) sendiri agar semua pengundi didaftarkan semula merupakan pengakuan bahawa daftar pengundi sekarang sarat dengan pengundi ragu.

Juteru, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, SPR harus pertimbangkan cadangan itu dengan serius kerana pendaftaran semula 13 juta pemilih boleh menjamin daftar pengundi bersih dan berwibawa.

Cadangan itu dikemukakan sendiri Pengarah SPR Sabah, Datuk Md Idrus Ismail kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah baru-baru ini.

“Kenyataan Pengerus SPR Sabah itu adalah adalah kenyataan yang amat kukuh yang dikeluarkan daripada seorang Pengarah SPR negeri dan beliau sendiri yang berpengalaman mengemukakan kenyataan itu dalam RCI,” kata beliau.

Rafizi berkata demikian dalam Sidang Media di Ibu Pejabat PKR di sini.

“Saya mengalu-alukan kenyataan itu kerana ia selari dengan perjuangan menuntut daftar pengundi yang bersih,” kata beliau.

Rafizi berharap Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dapat memberikan respon segera berhubung kenyataan itu.

“Jika sebelum ini pandangan untuk merombak sistem SPR daripada pihak pembangkang ditolak hidup-hidup maka cadangan oleh Pengarah SPR Sabah sendiri ketika RCI perlu diberi perhatian khusus,” kata beliau.

Sebelum ini, Md Idrus berkata pendaftaran semula itu adalah cara terbaik bagi menangani pelbagai perkara seperti kematian pemilih yang tidak dimaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pertukaran alamat pemilih.

Md Idrus juga berkata terdapat kira-kira tiga juta warganegara yang layak menjadi pemilih, tetapi tidak mendaftarkan diri dengan SPR.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SPRM Diminta Perjelas Jawapan Bercanggah Dengan Parlimen

logo SPRM

PETALING JAYA 5 JULAI : Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menjawab dakwaan percanggahan antara angka kejayaan yang diberikannya dengan angka yang dinyatakan di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini,

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, pada 2012, SPRM menyatakan peratusan sabitan telah meningkat sehingga 85 peratus. Manakala angka itu telah meningkat sehingga 89 peratus menjelang Jun 2013.

Namun tegas beliau, angka yang diberikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low di Dewan Rakyat adalah 67 peratus sabitan pada 2012 dan 34 peratus pada Jun 2013.

“Percanggahan angka sebegini tentu mengundang pelbagai persoalan dan menimbulkan lebih banyak keraguan mengenai keberkesanan dan kecekapan SPRM,” kata Rafizi dalam Sidang Media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Jelas beliau, peratusan laporan yang diberikan kepada SPRM secara puratanya masih rendah iaitu hanya 0.02 peratus per kapita rakyat. Di Hong Kong peratusan itu tiga kali ganda lebih tinggi.

Ujarnya, jika rakyat tidak tampil ke hadapan dan tidak mahu memberikan maklumat maka sudah tentu lebih sukar untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan.

“Hanya satu daripada setiap lima maklumat atau laporan yang diberikan yang berakhir dengan dengan fail siasatan dibuka,” kata beliau.

Tambahnya, walaupun mungkin banyak maklumat dikategorikan sebagai bukan berkaitan rasuah namun angka itu membayangkan samada kemahiran siasatan SPRM perlu dipertingkatkan atau berlaku campur tangan.

“Kesudian SPRM menerima pandangan mengenai perkara ini dihargai namun ia perlu disusuli dengan peningkatan angka prestasinya terutama jumlah laporan dan maklumat yang berakhir dengan fail siasatan dibuka.

“Selagi kedua-dua angka ini tidak meningkat, SPRM masih berdepan dengan masalah persepsi negatif di kalangan rakyat,” kata beliau.

Categories
NASIONAL

Rafizi Dedahkan Pembelian Undi Pos di Terengganu

SPR pengundi hantu selangor 01

PETALING JAYA 4 JUN : Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendedahkan satu lagi laporan polis yang mendakwa seorang individu bertindak merampas dan memangkah kertas undi pos dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu.

Malah, individu tersebut turut membayar wang tunai RM 100 bagi satu kertas undi di dalam insiden yang didakwa berlaku di sebuah kerusi di Terengganu.

“Laporan polis itu dibuat oleh seorang petugas Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di Balai Polis Jerteh pada 4 Mei lalu.

” Dalam kandungan laporan itu petugas (namanya dirahsiakan) mengaku bahawa beliau bersama 24 petugas SPR diarahkan menyerahkan kertas undi pos yang kosong kepada calon BN.

?(Mereka) dibayar RM 100 bagi setiap kertas undi pada 29 April,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Bagaimanapun, keesokkan harinya petugas itu kemudiannya bertemu semula dengan wakil BN terbabit untuk meminta kembali kertas undi itu.

Rafizi mendakwa kertas undi itu sudah dipangkah dan 24 kertas undi itu dimasukkan ke dalam peti undi.

Pengadu itu memaklumkan selepas membuang kertas undi pos, jari beliau tidak dicalitkan dengan dakwat kekal seperti yang sepatutnya mengikut peraturan pilihanraya, katanya.

Sehubungan itu, Rafizi berkata laporan polis itu dijadikan bukti wujudnya penipuan dan penyelewengan pada PRU13 sebelum difailkan petisyen di mahkamah.

Categories
NASIONAL

Seleweng PRU13 : SPR Perlu Bersemuka Dengan Rakyat

rafizi 01

PETALING JAYA, 29 MEI : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bersemuka dengan rakyat bagi menjelaskan semua dakwaan dan laporan polis berkaitan penyelewengan sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, kesediaan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar  bertemu dengan mana-mana pihak termasuk jawatankuasa #siasatPRU13 adalah suatu yang lucu.

“Saya agak lucu apabila tiba-tiba Datuk Wan Ahmad beriya-iya nak jumpa dengan saya dan wakil-wakil dari Pakatan Rakyat (PR) untuk berbincang,” katanya.

Rafizi mendakwa, pimpinan PR  mengadakan perbincangan bersama SPR berkali-kali tetapi tiada perubahan dilakukan sehingga PRU-13 berakhir.

“Dulu dia kata dakwat kekal boleh kekal, bila tak kekal sebab tak goncang, bila dah goncang tapi masih tak kekal dia cakap kalau kekal tak boleh solat.

“Dia ada lima versi yang berbeza untuk setiap satu penyelewengan yang kita sudah tunjukkan bukti.

“Dulu dia kata tak ada satu pun ‘blackout’ di Malaysia ini, bila tunjukkan laporan polis semalam, dia kata tak apalah nanti kita bincang,” sindirnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

“Saya sendiri hanya bersetuju berjumpa dengan beliau (Wan Ahmad) dalam satu forum rakyat yang mana beliau (Wan Ahmad) mengambil dan menerima soalan daripada rakyat.

“Terutama mereka yang melalui sendiri pelbagai penyelewengan ini dan kami akan kumpulkan dalam satu forum, biar dia (Wan Ahmad), saya, Datuk Johari Abdul, YB Fuziah duduk, biar rakyat tanya dan dia jawab, itu lebih baik,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Rafizi : Kertas Undi Lebih Daripada Jumlah Sebenar

rafizi PC

PETALING JAYA 24 MEI : Pakatan Rakyat (PR) mendedahkan penipuan yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) lalu dengan dakwaan undi melebihi kertas undi dikeluarkan dalam peti undi sepertimana terjadi di kawasan Parlimen Balik Pulau di Pulau Pinang.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa bagi pengundian di saluran 2 di SRJK(C) Yu Chye tercatat perbezaan jumlah kertas undi yang berada di dalam peti undi selepas pengundian dijalankan.

“Borang 13 iaitu Penyata Kertas Undi bagi Parlimen Balik Pulau menunjukkan sebanyak 424 kertas undi dikeluarkan.

“Selepas pengiraan dibuat dan keputusan dipindahkan  ke Borang 14 iaitu penyata pengundian selepas pengiraan undi, keputusan menunjukkan terdapat 562 undi di dalam peti undi iaitu 138 undi melebihi daripada jumlah kertas undi yang dikeluarkan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, jumlah undi di dalam peti undi yang lebih menyeleweng keputusan bagi parlimen dan DUN di antara 138 hingga 318 undi.

Katanya, dengan majoriti yang rendah dan undi rosak yang tinggi, keputusan di saluran 2 itu sahaja sudah cukup untuk mengubah keputusan bagi peringkat Parlimen Balik Pulau dan DUN Telok Bahang.

“Kejadian ini membuktikan bahawa peristiwa undi yang dikira melebihi daripada kertas undi yang mulanya dikeluarkan memang berlaku.

“Ia berlaku di Balik Pulau dan sudah tentu juga berlaku di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, PR juga mendakwa mempunyai bukti berlaku insiden membeli undi sepertimana di Pulau Pinang dalam PRU13 lalu.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mendakwa wang tunai diberikan kepada pengundi selepas keputusan tidak memihak kepada PR dengan penukaran baucer yang diberikan sebelum itu.

“Ia berlaku di DUN Bayan Lepas,  Pulau Betong dan Tanjung Bungah. Mereka memberi wang secara tunai di tiga tempat iaitu selama tiga hari beroperasi iaitu pada 10, 11 dan 12 Mei lepas.

“Kita telah melakukan pemeriksaan ke tempat itu dan laporan polis telah dibuat mengenainya,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Rafizi : PR Kumpul Laporan Dakwat Tak Kekal

rafizi ramli

PETALING JAYA 24 MEI : Pakatan Rakyat (PR) menggerakkan kempen  mengumpulkan laporan polis dari seluruh negara mengenai dakwat tidak kekal yang didakwa berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) lalu sebagai bahan bukti wujudnya penipuan dalam pilihan raya.

Sehubungan itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menjelaskan #siasatpru13 menggesa rakyat turut serta dalam kempen tersebut dengan membuat laporan polis.

Menurutnya, #siasatpru13 mensasarkan sekurang-kurangnya 100,000 laporan polis dibuat di seluruh negara mengenai dakwat kekal sebagai bukti kemarahan rakyat terhadap kegagalan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengendalikan PRU13 dengan telus dan bersih.

“Satu salinan laporan polis itu boleh diemailkan ke [email protected] atau serahkan kepada mana-mana wakil rakyat PR atau di pejabat PKR, PAS serta DAP atau ibu pejabat PKR di A-1-09, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, 47410 Petaling Jaya atau faks : 03 – 7885 0531.

“Dakwat kekal yang tidak kekal bakal menjadi petanda bahawa PRU13 dikendalikan SPR adalah tidak telus dan dipenuhi penipuan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, hakikatnya SPR tidak dapat menunaikan janjinya bahawa dakwat tersebut akan kekal sekurang-kurangnya lima hari dari tempoh pengundian melunturkan keyakinan rakyat terhadap SPR di bawah pimpinan sedia ada berwibawa untuk mengendalikan pilihanraya yang bersih dan adil.

“Kegagalan pelaksanaan dakwat kekal adalah satu simbolisme kegagalan SPR yang perlu ada pertanggungjawaban,” ujarnya.