Categories
SELANGOR

Op Mabuk: Lima ditahan memandu di bawah pengaruh alkohol di PJ

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Seorang pengamal perubatan antara lima lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di sekitar Petaling Jaya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua suspek berumur lingkungan 26 hingga 61 tahun itu didapati positif melebihi kadar alkohol yang ditetapkan.

Beliau berkata, operasi selama empat jam bermula 11 malam tadi, memberi fokus untuk mencegah pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

“Polis mengeluarkan 36 saman terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Op Mabuk di daerah itu.

“Selain itu, 508 pengguna jalan raya dan 356 kenderaan diperiksa dalam operasi yang berakhir 3.00 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Memandu mabuk lagi, dua lelaki didenda RM3,000

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Akibat tidak serik memandu di bawah pengaruh alkohol, dua lelaki masing-masing didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhkan hukuman itu ke atas kontraktor Fan Kok Wai, 45, dan penjual mee Chin Wen Hoong, 55, selepas mereka mengaku bersalah memandu kereta di bawah pengaruh alkohol sebanyak 189mg dan 195mg dalam 100ml darah, melebihi had ditetapkan iaitu 80mg di Lebuhraya Kesas dan Jalan Cheras pada 31 Mei lepas, antara 10.15 malam dan 11.05 malam.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu kedua-dua lelaki tersebut digantung selama dua tahun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM6,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan serta lesen percubaan dibatalkan.

Pegawai Pendakwa Insp Abdullah Khazali, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran ke atas tertuduh dengan alasan itu adalah kesalahan kali kedua mereka, manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon maaf dan merayu hukuman denda minimum.

Sementara itu, Puteri Nursheila turun menasihati Fan supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

“Ini kesalahan kali kedua. Kamu perlu ambil ini sebagai pengajaran,” katanya.

Mereka membayar denda tersebut.

– BERNAMA