Categories
AGENDA JENAYAH

Pengawal keselamatan maut insiden rompakan di Puchong Prima

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Seorang pengawal keselamatan maut selepas ditembak manakala seorang lagi cedera dalam satu rompakan nekad berhampiran sebuah bank di Puchong Prima, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata kejadian berkenaan berlaku pada 5.50 petang.

Menurutnya, semasa kejadian terdapat empat pengawal keselamatan yang ditugaskan untuk mengambil wang tunai daripada sebuah bank untuk diangkut ke dalam van syarikat keselamatan dengan seorang pemandu menunggu dalam kenderaan.

Katanya ketika mereka mengambil wang di bank berkenaan, dua pengawal keselamatan berada di dalam bank manakala seorang pengawal keselamatan berada di antara bank dan van itu dan seorang lagi pengawal keselamatan bersama pemandu berada dalam kenderaan.

Menurutnya ketika kejadian, pengawal keselamatan yang berada di antara bank dan van sedang menyerahkan karung berisi wang kepada rakannya yang menunggu di van dan pada masa itu seorang suspek lelaki meluru ke arah mereka untuk merampas karung wang itu lalu berlaku pergelutan antara mereka bertiga.

Kemudian kata Abd Khalid suspek berusia 38 tahun disyaki memukul salah seorang daripada pengawal keselamatan sehingga cedera dan menembak seorang lagi pengawal keselamatan sebelum melarikan karung berisi wang itu.

Katanya pemandu van keselamatan yang panik segera membawa pengawal keselamatan yang cedera di bahagian tulang belakang masuk ke dalam van dan memandu van itu sehingga ke Puchong Perdana, tidak jauh dari lokasi kejadian dan mangsa yang cedera itu disahkan meninggal dunia di dalam van.

Sementara itu, Abd Khalid berkata suspek yang dipercayai melakukan jenayah itu secara bersendirian berjaya ditahan di tempat awam sekitar Seksyen 24, Shah Alam pada 7 malam hari sama bersama karung berisi wang tunai namun jumlah wang yang dibawa lari suspek masih dalam siasatan.

Menurutnya pistol yang disyaki digunakan suspek menembak pengawal keselamatan berkenaan ditemukan di lokasi lain dan polis masih menyiasat kenderaan yang digunakan suspek semasa melarikan diri.

Dalam pada itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata kejadian berkenaan berlaku pada kira-kira 5 lebih petang.

“Saya melihat ada sebuah van keselamatan berhenti di hadapan bank…datang seorang lelaki menghampiri pengawal keselamatan berkenaan lalu saya terdengar bunyi das tembakan dilepaskan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya mahu ambil pesara tentera jadi pengawal keselamatan

SUNGAI SIPUT, 26 SEPT: Kementerian Sumber Manusia dalam perbincangan dengan Kementerian Pertahanan untuk mengambil pesara tentera mengisi kekosongan perkhidmatan kawalan keselamatan di negara ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata perkhidmatan kawalan keselamatan perlu diberi penjenamaan semula dengan mengambil kira tahap kecergasan dan faktor usia seseorang petugas yang menjaga kebanyakan premis perbankan dan perniagaan.

Mengambil contoh perkhidmatan kawalan keselamatan di kebanyakan negara luar, Saravanan berkata ia merupakan suatu pekerjaan yang dipandang tinggi berbanding di negara ini kebanyakan pengawal keselamatan terdiri daripada mereka yang sudah lanjut usia.

“Kita mesti mempunyai tahap dengan imej yang baharu dengan pertambahan pendapatan dan pelbagai insentif yang akan ditawarkan kepada pengawal keselamatan.

“Pengambilan pesara tentera dalam perkhidmatan kawalan keselamatan dapat mengatasi kebergantungan terhadap pekerja asing apatah lagi ketika ini kita sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia bagi Sungai Siput 2020 di Pusat Konvensyen Sungai Siput hari ini.

Sementara itu, Saravanan yang juga ahli parlimen Tapah berkata seramai 41,696 pencari kerja di seluruh negara mendapat pekerjaan menerusi Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) sejak ia dimulakan pada 15 Jun hingga 23 Sept lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 3,532 pekerja menjalani latihan kemahiran dan peningkatan kemahiran.

Bagi Perak, Saravanan berkata sejumlah 1,317 pencari kerja berjaya mendapat peluang pekerjaan menerusi program PenjanaKerjaya.

Pada karnival sehari itu, lebih 10,000 kekosongan jawatan ditawarkan oleh kira-kira 20 majikan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

MP BN, pembangkang senada persoal kriteria lantikan pengawal keselamatan sekolah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Kegagalan syarikat keselamatan menyediakan tenaga kerja mahir dan individu berkelayakan menjaga kawalan keselamatan di sekolah seluruh negara diakui anggota Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang.

Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Bahrin Abbas ketika membangkitkan pertanyaan di Dewan Rakyat pagi ini berkata, ada dalam kalangan syarikat keselamatan melanggar kriteria dengan menggajikan pengawal keselamatan tidak berkelayakan menjaga kawalan keselamatan di sekolah.

Beliau berkata, keadaan itu sekali gus menimbulkan kecurigaan terhadap aspek keselamatan pelajar di sekolah khususnya di kawasan pinggir bandar.

“Dalam keadaan ini, ada pengawal keselamatan di sekolah itu adalah tukang kebun sekolah sendiri, ini bukan masalah luar biasa kerana keadaan ini memang berlaku khususnya di kawasan luar bandar.

“Sejauh mana keseriusan kementerian? Kontrak berjuta-juta dan mencecah ratusan juta untuk jumlah 10,000 sekolah.

“Apakah tindakan Putrajaya memastikan lantikan kontrak ini dilaksanakan mengikut kriteria yang ada?” kata anggota parlimen KEADILAN itu.

Mengakui perkara tersebut, anggota parlimen Barisan Nasional, Anuar Abd Manap menyarankan supaya Putrajaya mempertimbang cadangan untuk mengetatkan lagi prosedur dan kriteria lantikan pengawal keselamatan di sekolah seluruh negeri.

“Teluk Kemang ada menyebut isu ini, dan mungkin menteri tidak perasaan kerana isu ini sememangnya sangat penting apabila kita dimaklumkan ada sekolah yang mengambil pengawal keselamatan yang bukan dalam kriteria itu.

“Apakah wujud cadangan dengan menetapkan supaya hanya bekas polis, tentera, warga tempatan dan had umur tertentu sahaja dipilih untuk menjadi pengawal keselamatan?” soal Ahli Parlimen Sekijang itu.

Mengulas perkara tersebut, Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanthan berkata, kontrak syarikat keselamatan boleh ditamatkan sekiranya wujud pelanggaran ketetapan kriteria sebelum ini.

“Untuk tempoh ini sudah 30 peratus kontrak ditamatkan menerusi 24 laporan dibuat susulan prestasi mereka yang tidak memuaskan.

“Kementerian akan terus memantau perkara ini dan sekiranya perlu kriteria syarat-syarat lantikan juga boleh diperketatkan,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

‘Penahanan suspek tembak isteri tak mampu hilangkan kesedihan saya’

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 10 NOV : Suami Allahyarham Norazita Abu Talib yang ditembak mati dalam kejadian rompakan di Ambank USJ Sentral 2, Subang Jaya, 23 Oktober lalu hari ini melahirkan rasa lega selepas suspek utama kes itu ditangkap polis di Johor Bharu awal pagi tadi.

kes-tembak-3Bagaimanapun, Irwan Kamaruddin, 37, berkata penangkapan suspek yang merupakan Pengawal Keselamatan itu tetap tidak dapat menghilangkan kesedihan dan penderitaan yang terpaksa ditanggung beliau dan dua anaknya yang memerlukan belaian seorang ibu.

“Saya puas hati dengan tertangkapnya suspek dan berharap dia akan mendapat hukuman yang seberat-beratnya tetapi macam mana sekalipun masih tidak dapat hilangkan kesedihan kami sekeluarga.

“Saya percaya pihak pendakwa akan bersedia dengan bukti dan saksi bagi memastikan suspek tidak terlepas dari hukuman yang setimpal.

“Bagaimanapun kita sebagai seorang Islam, saya terima yang pergi tetap pergi tidak dapat dikembalikan lagi walaupun pembunuh itu menerima hukumannya nanti,” kata Irwan ketika dihubungi Selangor Kini hari ini.

Mengulas lanjut, Irwan melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak polis dan orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penangkapan tersebut.

Irwan juga berharap agar kejadian yang menimpa isteri beliau dijadikan pengajaran kepada semua pihak bertanggungjawab.

“Saya berharap agar syarikat pengawal keselamatan menyaring ketat pengambilan kakitangan baru dan pihak berkuasa juga kena ketatkan syarat, kalau tidak ia boleh berulang kepada orang lain.

“Saya tidak sanggup melihat perkara seperti ini berlaku kepada keluarga lain pula,” kata beliau lagi.

Dalam kejadian rompakan di Ambank Subang Jaya, 23 Oktober lalu, suspek seorang Pengawal Keselamatan menembak mati Norazita dengan menggunakan senjata api jenis ‘pump gun’ sebelum melarikan wang sebanyak RM450,000 dari peti besi bank berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa bersama tiga pekerja bank wanita diiringi pengawal keselamatan terbabit untuk mengeluarkan wang daripada bilik kebal.

Norazita meninggalkan suami dan dua orang anak masih bersekolah, Nurisa Nabilah Irwan,12 dan Muhammad Hazimi Irwan, 8.

-EZY