Categories
AGENDA GLOBAL

Pfizer, BioNTech mampu keluar 3 bilion dos vaksin Covid-19 menjelang 2022

MOSCOW, 10 MAC: BioNTech Jerman dan Pfizer Amerika Syarikat mempunyai kapasiti untuk menghasilkan hingga tiga bilion dos vaksin Covid-19 tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif BioNTech Ugur Sahin dalam temu bual dengan Bloomberg pada Rabu, lapor Sputnik.

“Pada prinsipnya, kami dapat meningkatkan lagi kapasiti pembuatan kami. Oleh itu, saya tidak melihat adanya halangan untuk menghasilkan lebih banyak dos vaksin, bahkan sehingfga tiga bilion dos pada 2022. Ia benar-benar bergantung pada permintaan.

“Ia juga bergantung pada faktor, misalnya, sama ada vaksin tambahan diperlukan,” kata Sahin.

Pada awal Februari, syarikat bioteknologi itu mengumumkan rancangannya untuk menghasilkan dua bilion dos vaksin dan bukannya 1.3 bilion dos yang dijangkakan pada 2021 berikutan peningkatan permintaan global.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka lengang minggu depan

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan yang lengang pada minggu depan berikutan sentimen eksport yang lemah.

Menurut Peniaga Minyak Sawit, David Ng, jangkaan stok yang lebih tinggi menjelang pengumuman data rasmi akan menjejaskan harga untuk berlegar antara RM3,650 dan RM3,800 setan.

Sementara itu Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics, Singapura, Dr Sathia Varqa berkata pasaran niaga hadapan MSM akan memberi tumpuan kepada data Lembaga Minyak Sawit Malaysia yang akan dikeluarkan menjelang 10 Mac ini.

”Perhatian pasaran akan tertumpu kepada perubahan pengeluaran minyak sawit pada Februari,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, CGS-CIMB Research menjangkakan harga MSM akan didagangkan antara RM3,200 dan RM3,700 setan pada Mac 2021, disebabkan unjuran inventori rendah di Malaysia serta pemulihan dalam bekalan minyak sawit pada suku kedua 2021

Firma penyelidikan itu menjangkakan inventori minyak sawit Malaysia akan berkembang 7.6 peratus dari bulan ke bulan, tetapi merosot 16.2 peratus dari tahun ke tahun kepada 1.43 juta tan pada akhir Februari 2021 berikutan penurunan pengeluaran yang lebih perlahan berbanding eksport.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran diniagakan kebanyakannya lebih tinggi, menjejaki pengukuhan daripada prestasi harga minyak kacang soya yang lebih baik serta kenaikan semula harga minyak mentah.

Secara mingguan, kontrak niaga hadapan MSM untuk Mac 2021 jatuh RM39 kepada RM3,947 setan, April 2021 adalah RM31 lebih rendah kepada RM3,889 setan, Mei 2021 berkurangan sebanyak RM1 kepada RM3,741 setan dan Jun 2021 susut RM7 kepada RM3,590 setan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 268,358 lot daripada 285,584 lot yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 251,949 kontrak daripada 240,111 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan merosot RM40 kepada RM3,960 setan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP permudah lulus i-Sinar mulai 8 Mac

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia di bawah 55 tahun yang membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar akan diberikan kelulusan bermula 8 Mac, 2021.

Menerusi kenyataan pada Khamis, KWSP menjelaskan ia termasuk mana-mana permohonan baharu yang diterima selepas tarikh tersebut, tertakluk kepada baki yang sedia ada dalam Akaun 1 ahli.

“Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000 dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000,” menurutnya.

Menurut KWSP manakala bagi ahli yang mempunyai lebih RM100,000 dalam Akaun 1, mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1.

Bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000, jelasnya.

Dana persaraan itu juga menjelaskan pemansuhan kriteria i-Sinar juga bermakna pembayaran interim RM1,000 yang dilaksanakan pada bulan lepas akan dihentikan.

KWSP menasihatkan ahli yang belum pernah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar sebelum ini dan berhasrat untuk memohon pada tempoh peralihan, supaya menangguhkan permohonan mereka sehingga i-Sinar yang telah dikemaskinikan dilancarkan pada 8 Mac.

Ini akan memendekkan masa yang diperlukan untuk proses permohonan mereka dan mempercepat pembayaran wang i-Sinar, jelasnya.

Menurut KWSP pemansuhan kriteria i-Sinar yang diumumkan pada 11 Februari 2021 melibatkan perubahan besar kepada sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online.

Sehingga kini, sejumlah RM18.5 bilion dikeluarkan di bawah kemudahan i-Sinar sejak permohonan dibuka pada Disember 2020, dimanfaatkan oleh 3.3 juta ahli, jelasnya.

Ahli boleh menghubungi talian hotline khas i-Sinar di 03-8922 4848 dan untuk pertanyaan umum, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau melayari laman web www.kwsp.gov.my.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka alami pembetulan teknikal

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka mengalami pembetulan teknikal pada minggu depan dengan prospek eksport yang rendah.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata kontrak niaga hadapan diramal didagangkan di antara RM3,200 dan RM3,300 setiap tan minggu hadapan.

“Permintaan itu juga akan berkurangan berikutan cuti umum Tahun Baharu Cina pada bulan depan,” katanya kepada Bernama.

Menurut penyelidik kargo Societe Generale de Surveillance eksport produk minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1-20 Januari turun 43.3 peratus kepada 572,910 tan metrik daripada 1,010,653 tan metrik bagi 1-20 Disember.

Sementara itu, juru ukur kargo Intertek Testing Services juga menunjukkan eksport produk minyak sawit negara bagi 1-20 Januari jatuh 43.1 peratus kepada 607,900 tan daripada 1,067,670 tan bagi 1-20 Disember.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata eksport bagi tempoh 1-25 Januari mungkin lebih rendah manakala data pengeluaran akan datang daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan pengumuman dari Indonesia mengenai cukai eksport Februari akan menyokong harga MSM untuk kekal pada paras melebihi paras semasa.

Pada Khamis, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi meramalkan pengeluaran MSM akan meningkat kira-kira tiga peratus kepada 19.7 juta tan tahun ini daripada 19.14 juta tan pada 2020.

Menterinya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata ia berdasarkan jangkaan pengembangan kawasan tanaman sawit matang serta cuaca kering yang telah menjejaskan pengeluaran buah tandan segar (FFB) dan MSM.

Bagi minggu yang baru berakhir, harga MSM kebanyakannya rendah berikutan data eksport yang lemah.

Pada asas mingguan, kontrak niaga hadapan MSM bagi Februari 2020 merosot RM33 kepada RM3,583 satu tan, Mac 2021 jatuh RM3 kepada RM3,420 satu tan, April 2021 berkurangan RM40 kepada RM3,282 satu tan dan Mei 2021 jatuh RM47 kepada RM3,198 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 391,143 lot daripada 356,133 lot yang direkodkan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka susut kepada 245,194 kontrak daripada 260,960 kontrak sebelumnya.

Di pasaran fizikal, harga MSM untuk Mac Selatan turun RM197 kepada RM3,630 satu tan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan, didorong oleh jangkaan pengeluaran yang lebih rendah pada minggu akan datang.

Menurut seorang peniaga, pedagang menjangkakan pengeluaran yang lebih rendah akibat musim monsun yang boleh menyebabkan simpanan stok berkurangan di negara ini.

“Malahan, mereka turut menantikan laporan daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang akan dikeluarkan pada Isnin,” katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini laporan media memetik satu kajian yang memaklumkan simpanan stok minyak sawit Malaysia pada Disember 2020 merosot kepada 1.18 juta tan daripada November 2020, berkurangan 24 peratus, berkemungkinan merupakan paras terendah dalam tempoh 13 tahun.

Sementara itu, data oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menunjukkan bahawa pengeluaran MSM pada Disember 2020 turun 12.23 peratus kepada 1.3 juta tan daripada November 2020.

Bagi minggu baru berakhir, kebanyakan harga MSM adalah tinggi berikutan harga minyak kacang soya yang lebih kukuh serta output dan stok minyak sawit yang lebih rendah.

Pada asas mingguan, kontrak niaga hadapan MSM bagi Januari 2020 meningkat RM106 kepada RM3,997 satu tan, Februari 2021 naik RM210 kepada RM3,974 satu tan, Mac 2021 menokok RM230 kepada RM3,830 satu tan dan April 2021 meningkat RM235 kepada RM3,709 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 370,671 lot daripada 138,285 lot pada minggu sebelum ini manakala kepentingan terbuka menokok kepada 206,172 kontrak daripada 196,440 kontrak pada minggu sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan naik RM160 kepada RM4,030 satu tan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Rusia boleh bertindak tangani harga rendah minyak dunia

MOSCOW, 11 MAC: Rusia boleh meningkatkan pengeluaran minyak antara 200,000-300,000 tong sehari (bpd) untuk jangka pendek dan sehingga 500,000 bpd pada masa depan bagi menangani kejatuhan berlarutan harga minyak.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Menteri Tenaga, Alexander Novak, berkata tumpuan utama Rusia ketika ini untuk bertindak balas pantas terhadap keadaan pasaran bagi menangani akibat kejatuhan harga.

“Tugas kami sekarang memberi respon pantas terhadap keadaan pasaran bagi mengurangkan kebanyakan kesan buruk selain terus melakukan pemantauan,” katanya.

Harga minyak terus menjunam selepas Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dan pengeluar utama lain termasuk Rusia, gagal mencari kata sepakat di Vienna bagi melanjutkan lagi tempoh pengurangan pengeluaran yang sepatutnya tamat pada hujung bulan ini.

Novak berkata, pada mesyuarat itu Rusia dan beberapa negara bukan anggota OPEC mencadangkan memperluaskan perjanjian sedia ada iaitu pengurangan pengeluaran sebanyak 1.7 juta bpd untuk sekurang-kurangnya satu perempat lagi dan memantau pasaran sebelum mengambil langkah lanjut.

Bagaimanapun, OPEC terutama Arab Saudi mencadangkan meningkatkan lagi jumlah pemotongan pengeluaran sehingga sebanyak 1.5 juta bpd lagi daripada jumlah sedia ada bermula 1 April hingga hujung 2020.

“Rusia tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana menyatakan, pilihan Rusia mampu menstabilkan dengan ketara keadaan harga tidak menentu di pasaran.

“Pintu tidak tertutup. Hakikat bahawa perjanjian pengurangan pengeluaran tidak dilanjutkan bermula 1 April tidak bermakna kita tidak lagi boleh terus bekerjasama dengan OPEC dan negara bukan anggota OPEC,” kata Novak.

Katanya, perjanjian yang dikenali sebagai OPEC+ yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu, menunjukkan keberkesanannya, membolehkan Rusia menjana keuntungan tambahan sebanyak 10 trilion ruble (kira-kira US$140 bilion).

Beliau berkata, Rusia dan OPEC bersetuju untuk mengadakan mesyuarat dengan lebih kerap pada Mei dan Jun bagi menilai keadaan pasaran.

-BERNAMA