Categories
AGENDA NASIONAL

Ujian enam hari Covid-19 bagi pengembara luar negara dimansuh

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Pengembara dari luar negara yang tiba di Malaysia melalui tiga program tidak perlu lagi menjalani ujian enam hari Covid-19 Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) (kendiri dan profesional) selepas ketibaan, bermula Khamis ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan hari ini berkata prosedur baharu itu terpakai untuk pengembara memasuki Malaysia melalui program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat, Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dan Pusat Sehentian (OSC) untuk pelawat perniagaan jangka pendek.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut menggugurkan keperluan menjalani ujian COVID-19 RT-PCR atau RTK-Ag (profesional) bagi pengembara yang tiba di Malaysia di bawah program LITB sebelum keluar dari Pulau Langkawi.

Selain itu, Khairy berkata KKM turut menggugurkan keperluan menjalani ujian kendiri RTK-Ag bagi pengembara umum dari United Kingdom yang sebelum ini perlu dilakukan setiap hari sepanjang tempoh kuarantin.

Katanya, keperluan Pegawai Pengiring bagi pelawat perniagaan jangka pendek Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menggunakan kemudahan OSC untuk memasuki Malaysia turut digugurkan, namun masih perlu mengikut jadual program terkawal yang diluluskan oleh Jawatankuasa OSC.

“Walaubagaimanapun, ujian pengesanan Covid-19 yang perlu dijalani dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan semasa ketibaan di Malaysia masih dikekalkan seperti protokol sedia ada.

“Saya ingin tekankan sekali lagi bahawa prosedur baharu ini hanya terpakai ke atas pengembara yang memasuki Malaysia melalui program VTL, LITB dan OSC sahaja,” katanya.

Khairy berkata bagi pengembara yang bukan memasuki Malaysia melalui tiga program berkenaan, prosedur atau protokol sedia ada masih terpakai.

-BERNAMA