Categories
NASIONAL

Insiden Pengerang: MB bawa cadangan penduduk ke Mesyuarat EXCO

KOTA TINGGI, 16 APRIL: Kerajaan Johor akan membawa cadangan penduduk kampung berdekatan projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), terutama yang terjejas dengan letupan dan kebakaran di situ baru-baru ini, ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk dibincangkan.

Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, kerajaan negeri mengambil maklum kebimbangan dan cadangan penduduk yang terkesan dengan insiden itu termasuk yang menyuarakan hasrat untuk berpindah.

“Berhubung sebarang isu, sama ada soal pemindahan, semua kita akan bawa ke MMK dan berbincang juga dengan Petronas serta pihak berkaitan, penyelesaian terbaik yang boleh diambil,” katanya ketika berucap di Masjid Kampung Lepau, di sini, semalam.

Katanya, kerajaan negeri akan cuba membantu penduduk yang terjejas sebaik mungkin dan meminta supaya mereka bersabar.

Pada masa sama, Dr Sahruddin turut berharap Petronas membuat “engagement” bersama penduduk supaya memahami masalah dihadapi mereka terutama yang tinggal berhampiran dengan projek berkenaan.

Kampung Lepau, yang terletak kira-kira satu kilometer dari projek berkenaan adalah antara yang terjejas akibat insiden letupan dan kebakaran di kompleks berkenaan, pada 12 April lalu.

Kediaman penduduk turut mengalami kerosakan susulan insiden berkenaan termasuk siling jatuh, retak pada dinding rumah dan pintu kaca pecah.

Kampung itu mempunyai 67 rumah dan lebih 100 penduduk. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

JKKP Johor arah pegawai siasat insiden Pengerang

JOHOR BAHRU, 12 APRIL: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor mengarahkan sepasukan pegawainya untuk menjalankan siasatan ke atas kejadian kebakaran dan letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), dekat Kota Tinggi hari ini.

Pejabat Pengarah JKKP Johor dalam satu kenyataan berkata, pada ketika ini, pasukan penyiasat itu masih lagi menunggu keadaan selamat dan stabil sebelum memulakan siasatan.

Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh, dua pekerja
mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Central Medical Facility untuk menerima rawatan lanjut.

“JKKP memandang serius setiap insiden dan kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam,” kata jabatan itu.

Dalam pada itu, ia menasihatkan orang ramai supaya menghentikan sebarang kenyataan atau komen yang mengelirukan berhubung kejadian berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah, kejadian kira-kira 1.20 pagi itu berlaku di satu daripada lot tapak projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) dalam PIC. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Saksi rasa gegaran letupan di Pengerang

JOHOR BAHRU, 12 APRIL: Letupan dan kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Kota Tinggi, pada awal pagi ini, dipercayai menyebabkan satu gegaran kuat di kawasan sekitar, menurut beberapa saksi.

Seorang daripadanya, Mohd Azizi Mahmun, 24, yang tinggal di Taman Ramunia Indah berdekatan kawasan kejadian berkata, dia merasakan pintu rumahnya seperti ditendang ketika kejadian itu berlaku.

“Ketika kejadian, saya sedang tidur dan tersedar akibat satu gegaran kuat,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

“Alarm (alat penggera) kereta juga semua berbunyi. Saya dan jiran kemudian keluar dan ternampak ada kepulan asap dan api di kawasan itu,” katanya yang penyelaras tapak bagi sebuah syarikat di kompleks berkenaan.

Mohd Azizi berkata, dia juga dapat menghidu bau gas akibat letupan berkenaan.

“Orang ramai boleh nampak kejadian kerana lokasinya dekat tepi jalan. Apatah lagi di kawasan Tanjung Pengelih, boleh nampak semua.

“Tetapi sekarang saya rasa keadaannya sudah terkawal kerana tiada arahan mana-mana pihak untuk kami (penduduk) berpindah. Saya pun nak ke tapak selepas ini untuk melihat keadaan,” katanya.

Seorang lagi saksi, Muslim Mustafa, 30, berkata dia turut merasai gegaran kuat kira-kira 1.30 pagi.

“Saya tengah tidur ketika terdengar satu bunyi letupan kuat berlaku. Bunyi itu menyebabkan pintu rumah saya bergegar dan semua jiran keluar melihat apa yang berlaku.

“Tidak lama selepas itu, saya nampak ada kereta ambulans dan bomba menuju ke kawasan kejadian,” katanya yang bekerja sebagai pengawal bahan di tapak projek terbabit.

Klip video dan gambar kejadian itu turut tular di Facebook dan Twitter.

Turut sama berkongsi klip video itu dalam laman berkenaan ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Berikutan itu, ramai netizan mendoakan supaya kejadian terbabit tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa dan semua pekerja di lokasi kejadian dilaporkan selamat. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Dua cedera susulan kebakaran, letupan di Pengerang

JOHOR BAHRU, 12 APRIL: Dua warga tempatan disahkan cedera dalam insiden kebakaran di satu daripada lot tapak projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, dekat Kota Tinggi, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Ahsmon Bajah yang mengesahkan perkara itu berkata, kejadian berlaku kira-kira 1.20 pagi tadi.

Katanya, Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) dengan lima kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Petronas RAPID Pengerang dengan kekuatan 30 kakitangan diaktifkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan berhubung insiden itu.

“Kebakaran dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada 2.15 pagi tadi.

“Kedua-dua mangsa yang merupakan pengawal keselamatan itu dirawat sebagai pesakit luar di Pusat Kecemasan Perubatan RAPID Pengerang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahsmon berkata, siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan akan dibuat bersama-sama Jawatankuasa Keselamatan Dan Sosial (Jaksas) Johor, Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah dan pihak Pengurusan Keselamatan Petronas RAPID Pengerang.

“Pihak polis memuji tindak balas ERT Petronas RAPID Pengerang yang dapat mengawal sepenuhnya insiden terpencil ini dalam masa singkat,” katanya.

Sementara itu, Petronas dalam satu kenyataan berasingan mengesahkan satu letupan dan kebakaran berlaku di Kompleks Bersepadu Pengerang.

Bagaimanapun, siasatan sedang dijalankan. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

MB Johor Diajak Berdialog Isu RAPID

KUALA LUMPUR, 8 OKT : MP Kubang Kerian Salahuddin Ayub akan menghantar surat jemputan dialog berkenaan projek RAPID di Pengerang kepada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Salahuddin sebelum ini telah mempersoalkan keperluan mengambil-alih tanah penduduk 10 dari kampung tradisi di sekitar Pengerang bagi memberi laluan kepada Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Petronas yang bernilai RM60 bilion itu.

“Kalau fobia sangat dengan debat, tidak apa. Mungkin saya akan datang (ke sesi dialog) dengan pakar pembangunan hartanah serta dari sektor petroleum dan gas,” kata Salahuddin dalam sebuah sidang media di lobi Perlimen hari ini.

Beliau berkata sesi dialog berkenaan adalah penting bagi mencapai objektif “pembangunan lestari” yang tidak menjejaskan kepentingan penduduk setempat.

Mengulas cabaran Ahli Parlimen Pengerang Datuk Azalina Othman Said untuk berdebat mengenai isu Rapid, Salahuddin berkata perkara utama adalah pandangan Abdul Ghani kerana beliau paling berkuasa dalam soal tanah.

Salahuddin turut menegaskan bahawa Pakatan Rakyat tidak “anti-pembangunan” dalam isu Rapid.

Sebaliknya hanya mempersoalkan lokasi yang dipilih kerana terdapat tanah milik kerajaan negeri di kawasan berhampiran yang juga boleh diberikan kepada Petronas.

Categories
NASIONAL

Loji Penapis Minyak di Johor, BN Ketepi Hak Sabah, Sarawak

SHAH ALAM, 2 JUN : Tindakan kerajaan Pusat mendirikan loji penapis minyak terbesar di Pengerang, Johor merupakan usaha tersusun kerajaan membelakangi kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak yang merupakan negeri pengeluar minyak terbesar di negara ini.

Parti Reformasi Negeri Sabah (Star) mendakwa mengalami kerugian “tak terhingga” berikutan keputusan Kerajaan Pusat membina logi penapisan minyak di Johor dengan kos RM127 bilion.

Pengerusi Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan juga menyifatkan keputusan dibuat sebagai tidak munasabah kerana Johor bukan sebuah negeri pengeluar minyak.

Menurutnya, adalah jelas Kerajaan Pusat tidak ikhlas serta menyisih pembangunan di Sabah dan Sarawak yang telah menyumbang hasil simpanan negara menerusi sumber minyak sehingga 95 peratus.

“Sekiranya perkara ini diambil kira, sudah tentulah ia akan memutuskan untuk membina logi penapis minyak di Sabah atau Sarawak.

“Dengan keputusan bagi membina loji penapisan minyak di Johor maka kita di Sabah dan Sarawak akan mengalami kerugian yang besar. Dari segi jangka panjang, kerugian ini akan berjumlah trilion ringgit,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Dr Jeffrey berkata, sekiranya logi penapisan minyak dibina di Sabah tentunya ia menjadi satu projek terbesar yang pernah dilaksanakan untuk Sabah dan Sarawak.

Keputusan itu tambahnya akan merangsang pertumbuhan ekonomi yang pesat bagi negeri-negeri Borneo selain membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di kepulauan tersebut.

“Bayangkan kilang penapisan itu akan memproses 300 ribu tong sehari manakala sebuah lagi logi  penapisan ‘berdekatan’ yang akan dibina sebuah syarikat Taiwan bagi memproses 150 ribu tong sehari. Ini akan menyebabkan jumlahnya menjadi 450 ribu tong sehari yang mana ia merupakan peratusan yang besar terhadap pengeluaran minyak mentah negara sebanyak 700 ribu tong sehari.

“Ia adalah perkiraan yang jumlahnya penghasilan luarbiasa. Kerajaan Pusat pastinya mendapati projek tersebut sesuai dibina dengan menjadikannya sebagai dua projek super mega di kawasan sama.

“Sukar dipercayai bahawa Kerajaan Pusat tidak melihat potensi ekonomi sekiranya logi penapisan itu dilaksanakan di negeri Borneo. Logi penapisan di sebelah Laut China Selatan ini akan memberi gambaran adil dalam perkongsian kek ekonomi,” katanya.

Namun Jeffrey berkata, usaha Kerajaan pusat membina logi penapisan minyak di Johor adalah bertujuan menjadikan negeri itu yang hebat di sebelah Singapura.

Tambahnya, ia perancangan Kerajaan Pusat bagi mengalirkan ratusan bilion ringgit ke Johor selepas peruntukan besar disalurkan bagi pembangunan Iskandar Malaysia di negeri itu.

Beliau berkata, langkah terbaru yang salah itu merupakan satu penghinaan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap konsep 1Malaysia menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“Apa yang jelas sekarang ialah Sabah dan Sarawak hanya dilihat sebagai “pembekal sumber hasil mentah” untuk Semenanjung Malaysia. Bayangkanlah kerugian yang terpaksa kita tanggung dan terlepas peluang bagi menjana pertumbuhan ekonomi secara besar-besaran selain perkembangan infrastruktur teknologi pemindahan dan pemprosesan hiliran.

“Semua ini mungkin menjadikan negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak sebagai pusat ekonomi  yang bertenaga tetapi Kerajaan Pusat bertindak seperti penjajah yang lapar. Ia sama seperti apa yang British lakukan ketika Sabah dan Sarawak. Ia satu tamparan hebat bagi negeri-negeri Borneo,” katanya.

Categories
NASIONAL

SAMM Johor Sokong Petisyen Terhadap RAPID

PENGERANG, 30 MAC: Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor menyokong tindakan MP Bakri, Er Teck Hwa melancarkan satu kempen Petisyen Rakyat berhubung dengan projek Refinery And Petrochemical Integrated Development (RAPID) di Pengerang, Johor.

Petisyen ini dijangka akan dijadikan sebagai satu usul di bawah Perkara 19, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.

Menurut Penyelaras SAMM Johor, Ahmad Anwar Asyraf walaupun projek RAPID mampu membuka peluang pekerjaan namun rintihan rakyat berhubung isu pampasan, pencemaran, masalah ekosistem dan pemindahan penempatan baru perlu diselesai secara menang-menang.

“Soalan-soalan ini harus didengari dahulu agar satu penyelesaian menang-menang jangka panjang dapat diadakan tanpa menolak pembangunan yang bakal berlaku di kawasan tersebut.

“SAMM Johor memandang serius ketiga-tiga aspek ini atas nama pembangunan yang menjaga kemaslahatan rakyat. Pihak syarikat yang diberikan kelulusan untuk membangunkan projek di kawasan tersebut perlu memikirkan soal pampasan yang setimpal perlu diberikan, bukan hanya sekadar memberikannya semata-mata.

“Ia seharusnya turut memikirkan kemungkinan ada di antara rakyat kawasan ini yang akan kekurangan hasil pencarian atau lebih malang lagi mungkin akan terus kehilangan mata pencarian.” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Katanya Rakyat turut berhak mengetahui secara terperinci kemungkinan-kemungkinan pencemaran yang boleh berlaku sekiranya terdapat kemalangan di loji-loji Petrokimia ini dan apakah langkah-langkah pemuliharaan yang akan diambil.

‘SAMM JOHOR dengan ini menyokong penuh usaha kempen tersebut dan akan bersama-sama dengan seluruh kekuatan aktivis kami untuk memberikan bantuan seupaya mungkin bagi menjayakan kempen ?Kampungku  Suaraku? ini.

“SAMM Johor turut merayu kepada semua anak muda Pengerang tanpa mengira latar belakang bangsa dan ideologi politik harus bersama-sama menjayakan kempen ini agar satu referendum atau pungutan suara penduduk Pengerang dapat diadakan dan dipersembahkan kepada Parlimen Malaysia demi masa depan Pengerang yang lebih baik tanpa menjejaskan kualiti kehidupan setiap penduduknya.” ujar beliau