Categories
SELANGOR

Pembangkang lesu, hanya ikut ‘arahan’ Noh Omar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 NOV : Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri (BBC), Ng Suee Lim menyifatkan wakil rakyat pembangkang Selangor tidak mempunyai kesungguhan melaksanakan mandat diberikan rakyat pada pilihanraya lalu.

Beliau mendakwa, wakil rakyat pembangkang hanya mengikut telunjuk Menteri Umno, Tan Sri Noh Omar dalam membuat sebarang keputusan atau tindakan di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Lebih membimbangkan kata Suee Lim, wakil rakyat pembangkang yang dianggotai ADN Barisan Nasional tidak berani menyahut cabaran untuk berbahas secara menyeluruh menerusi lantikan Ketua Pembangkang di Dewan Negeri Selangor (DNS).

“Saya nampak banyak penyataan wakil pembangkang lesu. Mereka tidak berani menyahu cabaran untuk menjadi Ketua Pembangkang di DNS.

“Saya juga cukup hairan, ADN Batang Kali sudah diberi peluang untuk jadi Ketua Pembangkang. Tapi kita boleh melihat cara wakil rakyat itu kini.

“Tiba-tiba ada tangan ghaib datang, wakil rakyat pembangkang mengigil dengan Noh Omar. Tak perlu pandang dia, dia itu Menteri Udang,” sindirnya ketika berbahas di Dewan Negeri Selangor (DNS) pagi ini.

Sebelumnya, Suee Lim turut mendedahkan prestasi wakil rakyat pembangkang dalam jawatankuasa lantikan membabitkan wakil rakyat Barisan Nasional di peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Mereka diberi kepercayaan oleh rakyat, tapi kedatangan dalam jawatankuasa yang turut dianggotai mereka sangat mengecewakan.

“Kalau sekali dua tidak hadir tidak menjadi isu, tetapi kalau sudah banyak kali bagaimana? Rakyat boleh melihat prestasi wakil rakyat seperti ini,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa PAC, Rodziah Ismail mendedahkan, kehadiran wakil rakyat pembangkang pada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Dewan Negeri Selangor (DNS) masih mengecewakan walaupun pelbagai teguran sudah dibuat, di peringkat Kerajaan Negeri.

Dilaporkan, pada sesi 2017 belum ada kehadiran dicatatkan dua ahli jawatankuasa BN dan hanya sekali kehadiran dicatatkan tahun lalu.