RAWANG : 26 APRIL : Rakyat di kawasan Batu Arang terpaksa berdepan sentimen ‘politik ugut’ yang diamalkan pimpinan Umno-BN berhubung pemberian milikan geran tanah di kampung itu sejak berpuluh tahun lamanya.
Ini kerana, Umno-BN didakwa hanya akan menyerahkan geran tanah kepada mana-mana pihak yang menyokong parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU).
Menurut Ketua Kampung Batu Arang, Rosli Mohd Sharif, tindakan itu sama sekali berbeza dengan pendirian Pakatan Rakyat (PR) yang tidak menilai berdasarkan fahaman politik bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Kita dapati banyak geran tidak dikeluarkan sejak tahun 2000 kerana Umno-BN mengamalkan politik ugut di mana geran hanya akan dikeluarkan semasa PRU dan diserahkan kepada sesiapa yang menyokong parti itu sahaja.
“Apabila PR sudah berjaya memerintah Selangor, beratus-ratus geran tanah berjaya dikeluarkan kurang dalam tempoh lima tahun pemerintahan. PR bantu rakyat tanpa kira kaum dan parti,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan PKR Batu Arang, di sini.
Tambahnya, sejak PR mengambil alih tampuk pemerintahan di Selangor, lebih 500 geran tanah berjaya diserahkan kepada penduduk setempat, manakala 600 permohonan lagi bakal selesai dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, penyandang Parlimen Selayang, William Leong berkata, teknik bancian dari rumah ke rumah digunakan bagi mengenalpasti penduduk atau pemilik tanah yang mendiami kawasan itu sebelum diserahkan geran.
Jelasnya, masalah yang berlarutan lebih 20 tahun ini berjaya diselesaikan PR dalam tempoh singkat dan turut membabitkan beberapa kawasan lain di seluruh Selayang.
“Oleh sebab itu, Menteri Besar mengarahkan semua ahli Parlimen dan Adun untuk membuat bancian siapa yang layak menerima geran tanah dan benar-benar menetap di situ,” ujarnya.
Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim Siang ChaiĀ sebelum ini mendakwa penduduk di kawasan Batu Arang berdepan masalah permohonan geran tanah meskipun lama memohon kepada Kerajaan PR.