Categories
NASIONAL

Rafizi Terus Bongkar Pelbagai Isu Di Parlimen

rafizi 01

KUALA LUMPUR 24 JUN : Rafizi Ramli akan terus membongkar pelbagai isu ketika sesi persidangan Dewan Rakyat pada penggal kali ini.

Beliau yang ditemui sejurus selesai Majlis Angkat Sumpah Ahli Parlimen di sini pagi tadi menyedari peluang berbahas mengenai sesuatu isu adalah terhad di dalam sesi Dewan Rakyat.

“Sebenarnya berada dalam (Parlimen) lebih terhad bergantung kepada masa yang dihadkan, giliran dan sebagainya.

“Tetapi tidak mengapa, jika tidak dapat peluang mencukupi di dalam Parlimen, saya tetap akan bongkar di luar,” jelas Ahli Parlimen Pandan itu.

Beliau sebelum ini terkenal membongkar pelbagai isu antaranya isu penyelewengan National Feedlot Centre (NFC) yang melibatkan mantan Menteri Hal Ehwal Wanita, Datuk Seri Sharizat Jalil dan isu tanah di Bukit Raja yang melibatkan Ketua Wanita Umno Selangor, Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah.

Dalam perkembangan lain, seramai 26 orang aktivis di Padang Merbok yang berbaring di hadapan parlimen pagi dilaporkan ditahan pihak berkuasa.

Antara yang ditahan ialah aktivis mahasiswa, Mohd Safwan Anang sementara Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dan seorang lagi aktivis, Adam Adli menyerah diri kepada pihak polis.

khalid samad

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi dan dijangka dibawa ke lokap di Jinjang.

Mengulas penahanan tersebut, Rafizi di dalam responnya meminta agar pihak polis tidak menggunakan kekerasan terhadap mereka yang ditahan.

“Kita akan memastikan mereka ini mendapat bantuan guaman dan apa-apa yang perlu,” ujar Rafizi.

Pagi tadi lebih 50 orang menyertai demonstrasi di hadapan parlimen bagi mendesak anngota tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan.

Mereka turut berkesempatan menghantar memorandum kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Categories
NASIONAL SELANGOR

ROS Diminta Selesai Kemelut Kepimpinan Persatuan Bekas Polis

bekas polis

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) diminta menyelesaikan kemelut kepimpinan yang berlaku di dalam Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) sekaligus memutuskan pucuk pimpinan sebenar yang layak mengemudi persatuan berkenaan.

Kemelut yang bermula sejak tahun 2005 ini timbul ekoran penyelewengan RM200,000 daripada RM500,000 Geran Bantuan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak khusus untuk Tabung Kebajikan dan Pentadbrian Persatuan Bekas Polis yang melibatkan seorang ahli PBPM bernama Shafie Bakri daripada Ibu Pejabat PBPM Pusat.

Naib Presiden PBPM, Nasiruddin Mohamad dalam satu sidang media berkata, sehingga kini pihak ROS masih berdiam diri dan tidak memberikan sebarang jawapan terhadap aduan yang dibuat sebelum ini.

“Menghormati nasihat daripada Penasihat PBPM yang juga Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, satu laporan polis dibuat Mohd Hanafiah Abd Manap, Bendahari Agung PBPM yang juga Pengerusi PBPM Selangor mengenai penyelewengan tersebut.

“(Jumlah) RM200,000 dipindahkan ke akaun sebuah syarikat atas nama KT Solution Enterprise beralamat di Kelang yang kononnya bertindak sebagai orang tengah untuk mendapatkan geran tersebut serta bayaran komisyen,” katanya.

Selain ROS,  laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dibuat oleh Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard) bersama SAMM Pulau Pinang.

Nasiruddin mendakwa, Shafie yang kini kononnya menjawat jawatan Presiden PBPM didapati terlibat perlanggaran fundamental peruntukkan undang-undang kerana terlibat mengatur kehadiran ‘Perwakilan Haram’ dari Pulau Pinang yang hadir ke Perhimpunan Agung pada 24 Januari 2009 untuk mengundi dan memilih beliau sebagai Presiden sedangkan Pendaftar Persatuan Pulau Pinang  dibubarkan oleh ROS pada 25 Jun 2008.

“Dibuktikan juga wujud pemalsuan tandatangan semasa beliau mengendalikan Mesyuarat Agung Negeri Kedah pada 15 Disember 2008 sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung Pemilihan Ahli Majis Tertinggi PBPM pada 24 Januari 2009.

“Beliau juga didapat terlibat menghantar laporan palsu kepada ROS Wilayah Persekutuan bahawa pemilihan Ahli Majlis tertinggi yang diadakan di Kelab Golf Titiwangsa Kuala Lumpur pada 24 Januari 2009 sebagaimana perintah mahkamah sedangkan semasa melaksanakan perhimpunan tersebut, beliau bersubahat dan dengan sengaja gagal mematuhi Undang-Undang Tubuh serta Akta Pertubuhan 1966 yang boleh menjurus kepada pertuduhan di bawah Seksyen 15 Akta Pertubuhan (Person Responsible For Suplying Information),” ujar beliau lagi.

Sehubungan itu, Nasiruddin mendesak agar ROS mencari jalan penyelesaian alternatif tanpa melibatkan pembubaran persatuan ekoran kesalahan yang dibuat oleh seorang individu.

Tegas beliau, sekiranya berlaku pembubaran persatuan, satu Himpunan Bekas Polis Seluruh Malaysia akan dibuat bagi menuntut hak mereka yang dinafikan akibat penyelewengan pihak tidak bertanggungjawab.