Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Penggerak Belia Selangor agih makanan, bantu ringan beban mangsa bah

SHAH ALAM, 10 MAC: Penggerak Belia Selangor (PeBS) mengagihkan 950 bungkus makanan kepada penduduk Kampung Permata, Kundang dan Kampung Gombak, Kuang yang terkesan dengan banjir semalam.

Presiden Akmal Halim berkata inisiatif Dapur Selangor Bangkit itu dapat meringankan beban mangsa selepas rumah mereka dinaiki air pada petang Isnin.

“Agihan kepada mangsa yang mendiami pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan JKKK Kampung Permata selain penduduk yang sudah pulang ke rumah.

Penggerak Belia Selangor (PeBS) mengagihkan makanan kepada penduduk Kampung Permata, Kundang dan Kampung Gombak, Kuang yang terkesan dengan banjir semalam. Foto Ihsan PeBS

“Mereka penat selepas bertungkus-lumus membersihkan rumah masing-masing,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Akmal berkata ahli PeBS yang kini hampir mencecah 300 orang juga dalam keadaan bersedia untuk digerakkan sekiranya berlaku bencana banjir selepas ini.

“Semua ahli ada di setiap Dewan Undangan Negeri. Jika berlaku bah lagi kami akan turun membantu kebajikan mangsa termasuk pembersihan rumah,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Enakmen Penggerak Belia Selangor dibentang dalam sidang dewan negeri

SHAH ALAM, 25 OKT: Enakmen Penggerak Belia Selangor antara perkara yang akan diusul dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada November ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata tindakan itu bertujuan mewujudkan satu organisasi kukuh bagi mendekati belia dan persatuan belia di Selangor.

“Enakmen Penggerak Belia Selangor akan dibentang dalam sidang dewan negeri November ini, apabila wujudnya enakmen itu maka persatuan belia di negeri ini menjadi badan atau pertubuhan atau organisasi legislatif.

“Saya berharap Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dapat berikan sokongan kepada golongan belia di Selangor bagi memastikan mereka tidak tertinggal dalam pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Kepada Penggerak Belia Selangor (PeBS) di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar kenangan selepas majlis penyerahan watikah kepada ahli Penggerak Belia Selangor (PeBS) di Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam pada 24 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut merasmikan dan menyerahkan watikah kepada 280 ahli PeBS dan 10 EXCO Jawatankuasa Induk PeBS.

Sementara itu, Khairuddin berkata hampir separuh daripada 6.5 juta penduduk di Selangor terdiri daripada golongan belia sehingga suku tahun kedua 2021.

“Justeru, bagi mengurus penglibatan belia di negeri ini Kerajaan Selangor mewujudkan satu hubungan baik bersama belia dengan mewujudkan PeBS.

“Saya harap dengan pelantikan ini golongan belia dan Kerajaan Negeri dapat menjalin kerjasama baik di samping menjadi PeBS terunggul di Malaysia,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

PeBS sedia sukarelawan bantu mangsa tanah runtuh berpindah

HULU KELANG, 19 SEPT: Penggerak Belia Selangor (PeBS) bersedia menggerakkan sukarelawan untuk membantu mangsa tanah runtuh di Kemensah Heights yang diarah berpindah.

Presidennya Muhammad Akmal Abdul Halim berkata pihaknya akan menyediakan beberapa pasukan sukarelawan bagi memudahkan urusan pemindahan mangsa.

“Peringkat awal ini kita tidak tahu rumah mana yang perlu berpindah dan menunggu pihak bencana negeri periksa.

Presiden Penggerak Belia Selangor (PeBS) Muhammad Akmal Abdul Halim. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Setakat ini tiada perancangan tetapi jika perlu kita bersedia dan akan selaraskan bantuan dengan menghantar pasukan,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, PeBS dengan kekuatan 15 sukarelawan menyerahkan bantuan bakul makanan kepada 24 unit rumah yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights.

Pada Januari lalu, Penggerak Belia Tempatan (PeBT) telah dijenamakan semula kepada PeBS yang memainkan peranan sebagai ejen penggerak agenda pembangunan belia di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerajaan Negeri menubuhkan PeBT pada 2009 bertujuan untuk melahirkan kepimpinan generasi muda berwibawa serta dapat menjadi ejen perubahan kepada golongan belia di Selangor.