Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Penggiat seni terjejas pendapatan dipelawa mohon bantuan makanan

PETALING JAYA, 7 OGOS: Wakil rakyat Seri Setia mengalu-alukan golongan penggiat seni yang terjejas pendapatan memohon bantuan makanan menerusi pusat khidmat masyarakatnya.

Halimey Abu Bakar berkata bantuan demi meringankan beban golongan berkenaan tidak terhad kepada mereka yang menetap dalam kawasan Seri Setia.

“Kita boleh salurkan nama untuk mendapat bantuan di kawasan mereka tinggal. Insya-Allah, kita akan bantu memandangkan mereka juga memainkan penting kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan pek makanan asas kepada 100 individu terjejas pendapatan akibat Covid-19 di Pusat Khidmat Rakyat DUN Seri Setia semalam.

Menurut Halimey setakat ini seramai 15 individu termasuk pelakon, penyanyi, penulis dan pelukis yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 menerima bantuan pusat khidmatnya.

Antara artis veteran pernah dibantu ialah Yeop Fadhil dan Sulaiman Yassin atau lebih dikenali sebagai Mat Over.

“Walaupun bantuan hanya berbentuk makanan asas, namun mampu meringankan beban mereka yang terputus pendapatan akibat Covid-19,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Bantuan tunai, geran karya bantu penggiat seni hilang sumber rezeki

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Negeri dicadang menyediakan bantuan kewangan dan geran karya kepada penggiat seni kreatif di Selangor yang terjejas pendapatan susulan Covid-19.

Pengarah Galeri Shah Alam berkata langkah itu membolehkan lebih banyak karya dihasilkan seterusnya merancakkan kembali industri yang menjadi sumber rezeki golongan terbabit.

“Kita sudah menghantar kertas cadangan berhubung perkara tersebut kepada Kerajaan Negeri dan menunggu maklum balas,” kata Alina Abdullah ketika dihubungi.

Dalam laporan kaji selidik dikeluarkan Galeri Shah Alam, sebanyak 90 peratus daripada 372 pekerja industri seni di seluruh negara berdepan masalah ekonomi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kaji selidik dalam talian yang dijalankan antara 24 Jun hingga 5 Julai lalu mendapati sebanyak 58 peratus memerlukan bantuan geran karya dan kewangan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Sementara itu, Alina meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menempatkan penggiat seni di perusahaan mereka sebagai artis residensi dengan menawarkan elaun bulanan.

Beliau turut mencadangkan syarikat berkaitan membeli hasil seni pengkarya untuk dijadikan aset selain mewujudkan koloni artis di bangunan kerajaan terbiar.

“Penggiat seni boleh manfaatkan penempatan tersebut untuk menghasilkan karya memandangkan kos sewa studio agak mahal.

“Mereka boleh praktikkan konsep menang-menang yang mana GLC memiliki aset manakala artis dapat teruskan kehidupan dengan menyumbang karya tersendiri,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor rancang bantu penggiat seni hasilkan karya

SHAH ALAM, 20 JULAI:  Selangor merancang untuk membantu penggiat seni bagi menggalakkan mereka berkarya termasuk merakam peristiwa pandemik yang melanda negara ketika ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan usaha dengan kerjasama EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau juga sedang meneliti pendekatan sesuai untuk membantu pengkarya dan kelompok seni yang terlibat dalam kegiatan kebudayaan termasuk termasuk bidang perfileman dan nyanyian.

“…untuk dapat menyumbang buah fikiran mereka dalam bentuk karya namun akan dibiayai sebahagiannya oleh Kerajaan Negeri supaya mereka dapat menyambung hidup mereka serta melaksanakan kehidupan yang terdesak ketika pandemik ini,” katanya.

Berucap pada majlis anugerah Hadiah Sastera Selangor (HSS) 2020 yang disiar dalam Facebook Media Selangor malam ini, Amirudin menyedari ramai pemain penggiat seni tidak dapat bergerak dan berkarya seperti biasa.

Namun, beliau menegaskan peristiwa pandemik memerlukan kelompok kreatif untuk merakamkan momen penting dalam sejarah manusia sama ada menerusi filem, catan, lagu dan fotografi.

“Saya mahu mereka menyumbangkan karya dan kreativiti mereka untuk sama-sama memikirkan bagaimanakah rupa kita ketika berdepan krisis ini, bagaimanakah wajah kita ketika melalui detik-detik yang sukar ini.

“Apakah cabaran-cabaran di depan, apakah sudut-sudut dan bingkai yang mungkin tak dapat dilihat oleh mereka yang tidak dapat mendalami setiap perkara dan detik yang kita lalui,” katanya.

Dianjur sejak 2015 ketika Amirudin sebagai EXCO kebudayaan, program anjuran Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) itu mendapat sambutan menggalakkan saban tahun.

Categories
EXCO SELANGOR

Bina pentas di desa bantu penggiat seni jana pendapatan

SHAH ALAM, 4 MAC: Kerajaan Negeri dalam rancangan menyediakan pentas persembahan di kawasan luar bandar bagi menjana pendapatan industri seni itu, kata EXCO kebudayaan.

Borhan Aman Shah berkata kemudahan itu dapat mengatasi isu keterbatasan ruang bagi pelakon teater, penyanyi, penari dan pemuzik sejak perebakan Covid-19.

“Selain menyediakan platform persembahan secara maya, kita boleh jalin kerjasama dengan syarikat produksi atau pengendali persembahan untuk menyediakan arena persembahan di luar bandar.

“Persembahan pentas tidak semestinya diadakan di bandar, kita boleh membawa peminat seni atau pelancong ke lokasi yang memiliki tarikan tertentu sekaligus membangunkan lagi kawasan tersebut,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pada 1 Mac Kerajaan Negeri menganjurkan Rentak Selangor secara maya untuk menyemarak aktiviti seni dan budaya.

Persembahan secara langsung menerusi Facebook menampilkan 10 jenis persembahan antaranya tarian pooja, tarian bahbola, tarian merak, tarian joget Selangor dan muzik cempuleng berjaya meraih 62,000 tontonan.

Categories
NASIONAL SENI

Hazami : Jangan abai kebajikan penggiat seni negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 JAN: Ketika gendang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hampir bermula, rakyat Malaysia terus mengharapkan ‘sinar baru’ pentadbiran negara yang telus dan berintegriti.

Harapan sama turut dizahirkan selebriti tempatan, Hazami yang mengharapkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan terus mengangkat martabat penggiat seni tanah air.

“Saya sebagai anak seni berharap kebajikan selebriti tempatan dan penggiat seni tanah air turut mendapat pembelaan sewajarnya dan tidak dipinggirkan,” kata penyanyi Sonata Musim Salju itu kepada SelangorKini.

Di peringkat Persekutuan, kebajikan selebriti negara ini antaranya dipantau Persatuan Karyawan Malaysia, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M).

Walaupun pelbagai dasar diperkenalkan, namun beberapa selebriti tempatan masih meluahkan rasa kecewa terhadap komitmen pihak tertentu untuk membantu keperluan mereka.

Antara yang lantang sebelum ini, pelakon Tiz Zaqyah yang meluahkan rasa kecewa terhadap Persatuan SENIMAN, di Instagram.

Menurut Tiz, persatuan itu tidak mendatangkan sebarang faedah dan sering mengabaikan kebajikan artis tempatan.

Tiz berkata, sebagai ahli berdaftar, pelakon itu tertanya-tanya sebarang faedah diterimanya di bawah persatuan itu.

“Saya bukan sesiapa, sebaliknya hanya ahli biasa tetapi saya juga mempunyai hak untuk bersuara kerana turut membayar yuran keahlian.

“Suara kecil saya memerlukan seseorang untuk mendengarnya, tetapi siapa?

“Saya memilih (bersuara) di media sosial kerana lebih telus. Saya tidak perlukan apa-apa jawatan dalam persatuan, cukup sebagai ahli yang ikhlas bertanya dan memberikan pendapat. Sudah tentu, saya juga mewakili ahli SENIMAN yang lain,” katanya.

Kenyataan pelakon Nur Kasih itu turut disokong, Syazwan Zulkifly yang melahirkan kekecewaannya apabila tidak mendapat pembelaan selepas digam stesen televisyen tempatan, kerana mempunyai masalah dengan pelakon dari Singapura.

“Dah dua kali saya renew (perbaharui) keahlian SENIMAN, rasanya masalah saya ini (ada) keluar di blog dan surat khabar.

“Banyak sangat kes lain yang lagi penting agaknya bagi SENIMAN untuk diselesaikan berbanding masalah saya,” sindirnya.

Adakah PAS ketepikan penggiat seni?

Layari http://www.tv.selangorku.com