PETALING JAYA, 3 FEB: Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 bakal mendapat manfaat bakul makanan dalam masa terdekat.
EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata bantuan barangan asas melalui Pakej Kita Selangor demi meringankan beban penduduk yang mendiami 3,004 unit di lapan blok perumahan bukan dikendali Kerajaan Selangor susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Di bawah inisiatif bakul makanan bernilai RM50 setiap satu sepatutnya tertumpu kepada PPR seliaan kita namun bersetuju memperluaskan ke kawasan ini atas dasar prihatin.
“Ini hanya sedikit yang mampu diberikan ekoran Covid-19 kerana kita tidak mahu meminggirkan penghuni berkaitan,” kata Rodziah Ismail selepas meninjau masalah penduduk PPR Lembah Subang 1 di Taman Putera Damai di sini.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan memutuskan kaedah penyampaian bantuan terbaik menerusi perbincangan diadakan yang sedang diuruskan Perumahan dan Hartanah Selangor (PHSB) susulan lanjutan PKP dengan tatacara operasi piawai (SOP) lebih ketat.
Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM1.3 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor untuk melaksanakan inisiatif Bakul Makanan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan diagihkan kepada pemandu teksi dan bas sekolah, penyewa PPR, orang asal dan pemandu lori sisa pepejal kendalian Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management.
Pelan dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi menggiatkan usaha memerangi pandemik dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan memerlukan.