Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kakitangan terjejas banjir, Unisel tawar penempatan percuma tiga bulan

SHAH ALAM, 25 DIS: Universiti Selangor (Unisel) menawarkan bantuan penempatan selama tiga bulan secara percuma kepada seorang kakitangannya yang terjejas banjir minggu lalu.

Pengarah Komunikasi Korporat Hasril Abu Hassan berkata pembantu perpustakaan Siti Mariani Mohd Yusof bersama keluarga ditempatkan di perumahan staf sepanjang tempoh terbabit.

“Beliau yang menerima pemakluman ini amat bersyukur atas pelbagai bantuan diterima pihak Unisel termasuk penempatan percuma diumumkan Presiden dan Naib Canselor Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

“Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dr Mohammad Redzuan kerana amat prihatin terhadap kakitangan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan.

Kejadian Sabtu lalu mengakibatkan kediaman Siti Mariani di Kampung Bestari Jaya yang dihuni bersama ibu bapa serta adik beradik lain musnah sekelip mata akibat dilimpahi air paras pinggang.

Menceritakan detik cemas itu, Siti Mariani berkata beliau dan ibunya berpindah di rumah kawannya manakala bapa serta adik beradik lain berada di rumah untuk mengalihkan barang penting ke tempat lebih selamat.

“Apabila keadaan semakin buruk, adik menarik ayah saya keluar dan berlindung ke tempat lebih tinggi serta selamat. Alhamdulillah, pada malam itu juga saya dimaklumkan Unisel ada membuka penempatan sementara kepada kakitangan.

“Saya ke Unisel mengambil kunci namun tidak dapat berpatah balik membawa ahli keluarga yang lain kerana laluan sudah ditutup sebelum adik memaklumkan laluan ke rumah terputus keesokan harinya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kewangan boleh disalurkan ke akaun 7603721975 (Cimb Bank) atas nama Siti Mariani Binti Mohd Yusof.

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan digesa sedia penginapan selesa pekerja, patuhi syarat

KAJANG, 21 DIS: Majikan digesa mematuhi syarat Akta 446 dengan menyediakan penginapan selesa kepada pekerja tidak kira warga asing atau tempatan untuk menjaga kebajikan pekerja mereka.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan majikan yang gagal mematuhi spesifikasi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Saya memberi amaran kepada semua majikan supaya membela nasib pekerja dengan menyediakan tempat penginapan selesa dan mengikut kapasiti ditetapkan. Jika permohonan penginapan adalah untuk 100 pekerja, maka hanya 100 orang dibenarkan tinggal di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi bersepadu Kementerian Sumber Manusia (KSM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dengan Kementerian Kesihatan (KKM) di sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah di Batu 13, Jalan Cheras, di sini hari ini.

Saravanan berkata majikan yang tidak memiliki perakuan penginapan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 24D(1) Akta 446 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan.

Menurutnya majikan yang disabitkan kesalahan juga boleh disenaraihitamkan daripada mengambil pekerja asing.

Sementara itu, Saravanan berkata permohonan penginapan pekerja oleh majikan tidak akan diluluskan selagi pemeriksaan terhadap kawasan penginapan tersebut tidak menepati syarat ditetapkan.

Mengenai operasi di kilang yang mempunyai 781 pekerja dengan 759 daripadanya warga asing dan 22 warga tempatan itu, Saravanan berkata penginapan pekerja berkenaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan kesemua pekerja asing di kilang itu belum membuat ujian saringan Covid-19.

-BERNAMA