Categories
EXCO SELANGOR

EXCO puji anggota penguat kuasa, tenang berdepan provokasi

SHAH ALAM, 6 JAN: EXCO kerajaan tempatan memuji tindakan seorang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) yang tenang mengendalikan provokasi seorang lelaki ketika bertugas pada Selasa.

Ng Sze Han berkata tugas menguatkuasa undang-undang bukan mudah kerana perlu bertindak terhadap aduan penduduk dan pada masa berdepan kecaman jika tindakan diambil terhadap pelakunya.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pegawai penguat kuasa MPKS dalam video berkenaan yang tenang mengendalikan situasi itu. Beliau tidak bertindak balas. Ini satu contoh yang baik,” katanya di Facebook hari ini.

Sze Han turut mengingatkan adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana pihak menghalang tugas penjawat awam.

Kejadian pada 9.45 pagi di Saujana Utama, Sungai Buloh itu berlaku ketika anggota terbabit memantau bayaran kupon parkir.

Anggota penguat kuasa MPKS itu tiba-tiba dihampiri lelaki yang mengeluarkan kata-kata kesat serta ancaman kerana tidak berpuas hati selepas dikompaun kerana meletakkan motosikal di petak orang kelainan upaya (OKU).

Susulan itu anggota berkenaan membuat laporan di Balai Polis Saujana Utama kerana diugut dan menghalang tugasnya sebagai penjawat awam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembeli harap harga ayam turun, rakyat bergelut dengan kesan pandemik

SHAH ALAM, 21 SEPT: Rata-rata pembeli akur dengan ketetapan harga ayam di pasaran antara RM8.50 hingga RM9.50 sekilogram yang dianggap masih membebankan.

Rejumah Dahalan, 72. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pembeli, Rejumah Dahalan, 72, bagaimanapun berkata kenaikan harga ketika ini tidak wajar memandangkan ramai rakyat bergelut dengan masalah kewangan ekoran pandemik Covid-19.

“Saya terkejut apabila melihat harga ayam naik kepada RM9.50, kalau ikutkan memang mahal dan membebankan sebab sebelum ini saya beli hanya RM7.90 sekilogram.

“Tetapi nak buat macam mana, cucu-cucu saya suka makan ayam, mahu atau tidak kena beli juga,” kata nenek kepada enam cucu ketika ditemui di Pasar Awam Seksyen 6 di sini hari ini.

Bagi Zailan Nor Salleh, 41, meskipun kenaikan harga ayam hanya memberi sedikit kesan terhadapnya, namun berharap masalah tersebut diatasi segera.

Zailan Nor Salleh, 41. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengurus jenama syarikat perniagaan makanan dan minuman berkata dia memahami situasi dihadapi peniaga yang mendapat bekalan ayam daripada orang tengah atau pembekal.

“Kalau boleh kita nak harga kembali seperti sedia kala, apatah lagi saya sering berbelanja sehingga RM300 sebulan untuk mendapatkan barang basah seperti ayam, ikan, sotong dan daging.

“Saya faham peniaga tiada pilihan lain dan terpaksa berbuat demikian, mereka pun nak dapat keuntungan, ditambah pula perlu membayar kos upah pekerja serta fasiliti,” kata bapa tiga anak yang tinggal di Bandar Puncak Alam.

Categories
PBT SELANGOR

Pemilik restoran dikompaun RM10,000 operasi selepas 8 malam

SHAH ALAM, 4 JUN: Pemilik sebuah restoran di SS15, Subang Jaya dikompaun RM10,000 kerana beroperasi lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata pemantauan anggota penguat kuasa pada Rabu mengesan premis itu masih beroperasi selepas jam 8 malam.

“Pemilik premis juga dikompaun RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen.

“Kompaun RM1,000 turut dikenakan mengikut Undang-Undang Kecil 7, Undang-Undang Kecil Iklan MPSJ 2007 atas kesalahan mempamerkan papan iklan visual tanpa kebenaran,” kata Azfarizal Abdul Rashid menerusi kenyataan semalam.

Beliau berkata pemeriksaan dijalankan sekitar Bandar Puteri, Puchong, Seri Kembangan, Sunway Metro, Bandar Sunway dan SS15 diketuai Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali bersama 11 anggota penguat kuasa.

Waktu operasi perniagaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA tempatkan 200 anggota pantau SOP bazar Ramadan

SHAH ALAM, 21 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menempatkan 200 anggota penguat kuasa di 51 bazar Ramadan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

Pemangku Datuk Bandar berkata anggota melibatkan kakitangan Jabatan Pelesenan, Kesihatan Persekitaran dan Sisa Pepejal selain dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Anggota akan memastikan pengunjung ikut ketetapan seperti tidak membawa kanak-kanak bawah 12 tahun. Kita minta semua pihak agar patuh.

“Gunakan peluang yang diberikan sebaik mungkin dan MBSA berusaha memudahkan segala urusan bazar,” kata Mohd Rashidi Ruslan ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Hotel Concorde semalam.

Beliau menambah semua bazar termasuk 21 kendalian pihak swasta turut mengehadkan jumlah pengunjung mengikut keluasan lokasi.

“Kita ambil nisbah satu gerai tiga pengunjung. Jadi jika ada 100 tapak gerai, hanya 300 pengunjung dibenarkan dalam satu-satu masa,” katanya.

Bermula semalam, Kerajaan Selangor menyelaras semula penguatkuasaan SOP seluruh bazar Ramadan dan Aidifitri bagi mengelakkan kluster baharu serta gelombang keempat Covid-19.

Ketetapan baharu antaranya melibatkan laluan sehala, pelaksanaan sistem bernombor, mengehadkan bilangan pengunjung dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk.

 

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPS peruntuk lebih RM11,000 beli 15 unit kamera badan

SHAH ALAM, 29 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memperuntuk RM11,250 untuk membeli 15 unit kamera badan bagi kegunaan anggotanya ketika bertugas.

Yang Dipertuanya berkata alat itu digunakan di 10 zon penguatkuasaan membabitkan unit khas, tunda, malam, hasil serta zon Gombak, Rawang, Selayang dan Kepong.

“Harga seunit kamera badan ialah RM750 dan pemasangan alat ini bermula awal Julai lalu supaya dapat dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

“Setakat ini, kamera badan digunakan dalam operasi penguatkuasaan seperti kegiatan pembuangan sampah haram dan aktiviti perniagaan tanpa lesen terutama gerai penjaja,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Beliau berkata pihaknya sedia menambah peralatan tersebut dari masa ke semasa bergantung pada keperluan anggota.

Pada 22 Jun lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memberi tempoh sehingga hujung tahun kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) melengkapkan anggota mereka dengan kamera badan bagi meningkatkan kecekapan dan integriti terutama jika berlaku insiden luar dugaan ketika bertugas.

Selain MPS, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Subang Jaya sudah menggunakan peranti tersebut.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rasuah: Empat penguat kuasa MBSA direman tujuh hari

PUTRAJAYA, 12 OGOS: Empat anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman tujuh hari berkaitan siasatan kes menerima dan mengutip rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh, Selangor.

Turut direman tujuh hari ialah seorang peniaga rokok seludup berbangsa Aceh kerana disyaki membayar wang rasuah sebanyak RM300 sebulan kepada penguat kuasa.

Perintah tahanan reman bagi kelima-lima individu berkenaan bermula hari ini sehingga Selasa (18 Ogos) dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Semalam, keempat-empat penguat kuasa MBSA – tiga bertugas di cawangan Sungai Buloh manakala seorang lagi di Shah Alam – ditahan di ibu pejabat SPRM selepas hadir bagi memberi keterangan berkaitan kes berkenaan.

Empat penguat kuasa dan peniaga itu tiba di mahkamah pada kira-kira 8.40 pagi dengan digari dan berbaju lokap SPRM berwarna jingga.

Isu berkenaan menjadi hangat apabila baru-baru ini tular dua klip video menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan itu.

-BERNAMA