Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilih 18 tahun dibenar mengundi jika PRN Sarawak selepas 31 Disember

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Pengundi muda akan dibenar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sekiranya pilihan raya itu diadakan selepas 31 Dis ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata pelaksanaan Undi 18 perlu dilaksanakan seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuching sebelum ini.

Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang meminta jaminan kerajaan akan melaksanakan Undi 18, ketika sesi menggulung Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat semalam.

“Sebenarnya soalan Yang Berhormat tiada kena mengena dengan rang undang-undang hari ini… kalau PRN (Sarawak) diadakan sebelum 31 Dis, ia masih tidak mengguna pakai yang baharu (Undi 18), tetapi kalau laksana (PRN) selepas Januari (2022)…kita kena akur dengan arahan mahkamah,” katanya.

Pada 3 Sept lepas, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Dis tahun ini.

Sementara itu Wan Junaidi ketika membentangkan Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali kedua berkata ia secara amnya bertujuan memantapkan sektor perundangan dan perkhidmatan peguam bela di Sabah.

“Proses Penggubalan Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 ini telah melibatkan pihak-pihak berkepentingan seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Negara bagi memastikan ia memenuhi ekspektasi yang diperlukan,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan rang undang-undang itu tanpa pindaan dengan suara majoriti.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Daftar pengundi 18 tahun belum dilaksana – SPR

PUTRAJAYA, 7 JUN: Pendaftaran untuk pengundi 18 tahun masih belum dilaksanakan lagi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusinya Datuk Azhar Azizan Harun berkata ini sekali gus menafikan maklumat yang tular di media sosial yang mengajak rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas untuk mendaftar sebagai pengundi.

“Pendaftaran pengundi 18 tahun akan dilaksanakan serentak dengan pendaftaran pemilih secara automatik setelah segala persiapan SPR diselesaikan termasuklah penyediaan pindaan kepada Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP) serta penyediaan sistem dan infrastruktur.

“Kesemua persiapan ini dijangka selesai selewat-lewatnya pada Julai tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Azhar berkata SPR dari semasa ke semasa akan mengeluarkan kenyataan media rasmi untuk sebarang perkembangan terkini dan menyeru kepada orang ramai untuk merujuk terlebih dahulu kepada SPR melalui laman rasmi www.spr.gov.my atau Facebook rasmi SPR atau menghubungi talian 03-8892 7200 bagi mengelakkan penularan berita palsu.

-BERNAMA