Oleh : AFIX REDZUAN
KLANG, 19 DIS: Selangor akan mencari pemain import terbaik bagi mengukuhkan pasukan menghadapi musim hadapan memandangkan mereka akan beraksi di Piala AFC.
Pengurus pasukan, Amirudin Shari, berkata Red Giants akan memulakan latihan awal Januari sebagai persediaan menghadapi Piala Sumbangsih pada 13 Februari 2016.
“Kita akan mendapatkan pemain import lebih berkaliber dan mampu menjulang Piala AFC. Namun, dengan kemampuan pemain tempatan juga kita akan melihat langkah di peringkat Piala AFC,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Selangor Kini ketika Jelajah Juara Piala Malaysia (JJPM) di Dataran GM Klang, di sini, hari ini.
Setakat ini, Andik Vermansyah dan Robert Cornthwaite akan dikekalkan sementara dua yang lain, Leandro Dos Santos dan Guilherme De Paula dilepaskan.
Menyentuh kedudukan Mehmed Durakovic musim hadapan beliau berkata, pengurusan Selangor akan membuat keputusan dalam masa terdekat sama ada untuk dikekalkan atau sebaliknya.
Katanya, jika berlaku pertukaran jurulatih, pasukan Selangor tetap perlu membuat persediaan rapi menghadapi musim mencabar 2016.